Thursday, January 15, 2009

Rintihan Genting Gaza




Mahmud berlari ke ceruk dapur dan menjerit,“Jangan tinggalkan saya! Saya takut!”

Mataku kabur disebabkan habuk yang berterbangan, yang aku dengar hanya jeritan Mahmud yang tidak jauh daripada tempatku berlindung, “Di sini!” jeritku sepuas hati sambil tanganku meraba-raba di sekelilingku.

“Di mana..di mana?!” jeritan anak kecil itu semakin menghampiriku. Tangisannya tenggelam dalam suasana yang bingit.

“Di sini Mahmud!” tanganku merangkul satu tubuh kecil, tubuh anak kecil itu tinggi paras pehaku. Aku memeluknya erat-erat dan serta merta air mataku berlinangan. Mahmud memeluk pehaku dengan kuat. Bunyi di sekeliling sungguh bingit dan menakutkan. Buat pertama kalinya aku diselimuti ketakutan yang amat.

“Mahmud jangan ke mana-mana,jangan takut!” kataku seraya mencangkung dan memeluk Mahmud.

Aku mendukungnya dan berlari ke bawah meja makan di kawasan dapur berhampiran. Tatkala itu rumah yang didiami itu runtuh bumbungnya dan jatuh menghempap meja makan tempat kami berlindung. Ia tidak dapat menampung konkrit yang berat menyebabkan meja itu terbelah dua dan menghempap badanku. Aku merasa beban yang sangat berat.
“Ya Allah!” satu-satu kalimah yang mampu terpacul dari mulutku, aku cuba memastikan Mahmud tetap selamat dalam pelukanku. Barangkali ajalku sudah tiba.

Kedengaran suatu suara dari luar rumah, “Hancur..Hancur Wahai Yahudi!Tentera Muhammad..Akan kembali!”. Suara itu membuatkan aku tersedar.

Mendengar suara manusia berhampiran akupun segera menjerit mohon pertolongan,“Tolong!..Tolong kami!”

Mahmud membisu, senyap seribu bahasa. Dia berada dalam pelukanku dan tidak bergerak. Kerisauan mula menerjah benakku. Semakin kuat aku menjerit mohon pertolongan.

Kesilauan cahaya menerangiku apabila serpihan meja makan itu dialihkan. Satu suara hinggap di telingaku,“Wahai anak muda! Kamu tidak apa-apa?”

“Saya tidak apa-apa, tetapi anak kecil dalam pelukan saya ini perlukan bantuan segara! Cepat!” responku sambil menghulurkan Mahmud yang berada dalam pelukanku sebelum ini. Seorang insan separuh umur mengambil Mahmud daripada pelukanku dan berkejaran sambil menjerit mohon pertolongan, manakala seorang anak muda menolongku untuk keluar daripada serpihan konkrit bangunan dua tingkat itu. Aku menangis melihat keadaan sekeliling, tidak tahu berapa lama sudah aku terperangkap di dalam runtuhan itu.


Anak muda yang menolongku itu bersuara,“Nama saya Ihsan, kamu tidak apa-apa?”

“Apa yang terjadi? Saya tidak tahu apa-apa.” luahanku yang tidak tahu bagaimana rumah konkrit yang utuh itu boleh mencium bumi dalam sekelip mata.

“Syukur pada Allah, anda masih selamat! Kita kena berlindung segera!” ucap Ihsan dalam keadaan matanya yang bergenang melihatku yang masih mampu berdiri. Beliau kemudiannya menyambung, “Tentera Zionis Yahudi telah mula melancarkan serangan darat! Ini semua hasil serangan udara mereka! Cepat! Kita kena berlindung.” dia menarik tangan kiriku supaya mengikutnya.

“Tentera Zionis?” aku seperti mengingau. Sebentar tadi aku sedang asyik bermain dengan Mahmud di ruang tamu dan Puan Fatimah pula sedang sibuk memasak makan malam untuk kami. Duniaku berubah dalam sekelip mata. "Oh ya! Puan Fatimah?!" terpacul nama ibu Mahmud dari mulutku.

“Perempuan yang memakai jubah hitam dan bertudung putih itu? Apakah dia ibumu?” soal Ihsan serius memandang tepat ke arah mataku.

Aku melihat matanya yang bergenang itu dan membalas,“Tidak, dia ibu Mahmud, anak kecil yang berada dalam pelukan saya tadi."

“Kita kesuntukan masa, bila-bila sahaja tentera Zionis Yahudi boleh sampai ke kawasan ini. Terutama apabila askar Israel sudah mula memasuki kawasan bandar utama.” Ihsan bercakap sambil menarik tanganku yang berlumuran darah.


“Tidak! aku tidak akan mengikutimu selagi Puan Fatimah tidak diselamatkan!” aku menyuarakan keenggananku untuk mengikutnya.

Ihsan yang tadi rancak menarik tanganku supaya mengikutnya terhenti. Beliau tunduk sambil melihat debu tanah yang berterbangan itu dan tidak lama selepas itu dia bersuara, “Dia telah meninggal, mayatnya telah kami jumpai pagi tadi dihempap oleh konkrit sebelum kami menjumpai kamu dan Mahmud.”

Aku tergamam mendengar pernyataan itu. “Ya Allah! Tidak! Tidak mungkin!” aku terduduk dan teresak-esak mengenangkan nasib Mahmud. Gambaran Puan Fatimah yang sedang sibuk menyiapkan makan malam tadi menerjah kotak pemikiranku. Ihsan memegang kedua bahuku.”Apa yang hendak aku beritahu Mahmud nanti!” kataku teresak-esak.

“Katakan sahaja ibunya telah menghadap Allah, sepertimana ibuku.” balas Ihsan sambil memelukku. Kami tidak dapat menahan air mata kami dari bercucuran membasahi bumi Gaza.

Kami kemudian tersentak mendengar suara ledakan bom di kawasan berhampiran. Bom forforus yang digunakan oleh askar Israel itu sama dengan bom yang askar Amerika gunakan semasa di Iraq. Kilauan umpama bunga api di angkasa itu kemudiannya menghujani bumi Gaza ini dan ianya mampu meratakan semua bangunan dan perumahan rakyat Palestin. Bertempiaran lari rakyat-rakyat Palestin mencari sisa-sisa hidup termasuk aku dan Ihsan.
Beliau membawaku ke kaki bukit. Di situ kelihatan sebuah rumah kecil yang telah separa runtuh, di situ aku lihat insan separuh umur tadi sedang mendukung Mahmud, aku segera mendapatkannya,"Mahmud! Kenapa tidak dibawanya ke hospital! Jika dia dibiarkan begini, dia akan mati!" aku meluahkan kemarahanku kepada insan yang menyelamatkan aku tadi.

Dengan wajah yang tenang dia menjawab, “Wahai anak muda, hospital Beit Lahiya yang berhampiran terletak lima kilometer dari sini. Rumah-rumah berhampiran telah hancur musnah. Kebanyakn kenderaan juga turut musnah. Jika kita pergi ke hospital, mereka belum tentu mempunyai ubat-ubatan yang mencukupi kerana sempadan Karm Abu Selm kini dibawah penguasaan penuh tentera Israel. Bekalan elektrik juga akan terputus bila-bila masa.” Aku hanya mendengar dan selepas beliau menarik nafasnya dalam-dalam beliau kemudiannya menyambung, “Semua kawasan dalam keadaan bahaya sekarang, hatta masjid dan sekolah yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga tidak terlepas daripada bedilan bom rejim Yahudi.”
Aku terdiam mendengar luahannya, perasaan bersalah menyelimuti diriku.

“Ibu..Ibu,”suara anak kecil itu mengejutkanku.

“Mahmud!” aku merangkul Mahmud dari pelukan lelaki itu. Dia kemudiannya menangis tanpa henti. Aku tidak tahu bagaimana mahu memberitahunya bahawa dia kini bergelar anak yatim piatu.

Pak cik separuh umur itu memegang bahu Ihsan dan berkata, “Ihsan, boleh kamu ambilkan kain dan air, tangan anak muda ini luka teruk.”

Ihsan pun membalas,“Baik ayah.”

Aku melihat Ihsan yang berlalu pergi,“Ayah?”bisik hatiku. Baru aku mengetahui bahawa pak cik separuh umur yang menyelamatkan aku dan Mahmud itu adalah bapa Ihsan.

“Maafkan saya,” aku melihatnya serba salah. Bapa Ihsan hanya tersenyum.

Ihsan menyerahkan kain dan secawan air kepada bapanya, bapanya kemudian bersuara, “Mari anak muda, luka kamu itu perlu dirawat segera.”

Aku menyerahkan Mahmud kepada Ihsan, dia masih lagi tidak berhenti merengek.“Terima kasih atas bantuan yang pak cik hulurkan kepada kami, jika tidak..”

“Syukur pada Allah, Syukur pada Allah,” bapa Ihsan mengulang-ngulang kalimah tersebut.

Bapa Ihsan merenjis sedikit air ke arah tanganku. Ianya membuatkan aku mengerang kesakitan. Tetapi fokusku itu kemudiannya teralih pada bau di sekitar itu, “Bau apakah ini?” soalku sambil melihat kawasan sekeliling kaki bukit itu. Berhampiran tempat kami berkumpul kelihatan beberapa mayat bergelimpangan, antaranya mayat kanak-kanak dan wanita hamil.

“Ya Allah..” air mataku bercucuran. Bapa Ihsan senyap, dia meneruskan rawatannya dengan membalut tanganku dengan kain yang beliau gunakan untuk membersihkan lukaku.

Aku kebingungan, nada suaraku meninggi, “Kenapa semua ini terjadi?” soalku serius. Ihsan dan bapanya berkerut dengan soalanku.

“Apakah kamu tidak tahu kita sedang dalam peperangan?” jawab bapa Ihsan lembut. “Peperangan antara siapa?” aku semakin bingung.

Bapa Ihsan melihat mataku yang tidak henti-henti bercucuran air mata ketakutan itu dan menjawab, “Antara tentera rejim Yahudi dan pejuang Hamas.”

“Tetapi apa salah mereka yang tidak berdosa ini! Mereka bukan pejuang Hamas. Mereka kanak-kanak dan wanita hamil?” luahanku pilu sambil mengesat air mataku.

“Rejim Zionis tidak mengira itu semua, pada mereka semua anak-anak kecil ini dan juga yang berada dalam kandungan itu kelak akan menjadi pejuang Hamas. Atas dasar itu mereka tidak rasa bersalah dalam membunuh kesemuanya, kerana semuanya adalah ancaman kepada Israel.” jawapan ringkas itu disertai dengan alirkan air mata.

Tubuh aku menggigil mendengar jawapan itu, “Apakah dunia membiarkan kekejaman sebegini berlaku? Di manakah keadilan dan kedamaian yang diperjuangkan selama ini?!” bentakku keras.

Bapa Ihsan duduk dan menarik aku supaya duduk bersamanya. Mahmud yang tadinya merengek telah lelap dalam dukungan Ihsan. Bapa Ihsan pun berkata, “Semua umat Islam perlu bersatu untuk menangani semua musuh-musuh Islam. Jika semua membisu dan tidak bersatu, tidak mustahil perkara sebegini akan berlaku di negara umat Islam yang lain. Atas sebab itu kredibiliti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga dipersoalkan dalam mencapai objektif penubuhannya." Aku yang mendengar hanya mengangguk tanda setuju.



“Bangun anjing! Di sini kamu menyorok.”tiba-tiba suara itu mengejutkan kami yang sedang duduk berkumpul.

Mataku terbeliak, seorang pemuda dengan pakaian askar berserta senjata lengkap mengacukan senjatanya itu ke arah kami.

Aku serta merta menggigil ketakutan,“Tidak! Matilah!” bisik hatiku.

Ihsan dan bapanya kemudian berdiri, bapa Ihsan kemudian bersuara lantang, “Siapa yang kamu gelar anjing? Kamulah rejim Yahudi yang layak mendapat gelaran anjing! Anjing yang diberikan tanah untuk menetap, tetapi merampas kediaman tuannya!”

Askar itu tersentak dengan pernyataan bapa Ihsan, “Biadap!” dia menyumpah dan menghentak kepala bapa Ihsan menggunakan belakang senjatanya itu. Bapa Ihsan tersungkur jatuh, aku segera mendapatkan bapa Ihsan yang tersungkur itu. Ihsan masih tegak berdiri. Perbuatan askar rejim Yahudi itu membangunkan Mahmud, dia menangis serta merta.

“Bangun dan berlagak seperti seorang lelaki!” bentak askar rejim Yahudi itu dengan mengacukan senapangnya ke arah bapa Ihsan. Askar itu kemudian meludah ke arahnya.

Bapa Ihsan bingkas bangun, gayanya seperti seorang pejuang dan terus menuju ke arah askar tersebut dalam keadaan kepalanya yang berlumuran darah. "Allah Maha Besar," jerit beliau.

Takbir itu menyebabkan tentera Yahudi itu tergamam dengan tindakan bapa Ihsan yang pantas menghampirinya. Tanpa sedar bapa Ihsan menghayunkan tangannya yang bersenjatakan pisau belati itu dari bahagian belakang tepat ke arah dada askar tersebut. Aku tergamam melihat aksi sedemikian dan apa yang aku tahu selepas itu darah membuak-buak keluar dari pakaian askar itu, askar itu kemudiannya rebah bersama-sama senjatanya yang gah.

"Aku Mohamed, pejuang Hamas yang kaummu gentar selama ini!" kata bapa Ihsan berdiri tegak sambil membalikkan tubuh askar rejim Yahudi yang telah terdampar itu dengan kakinya. Askar Yahudi itu yang tidak lagi bergerak.

Ihsan cuba mententeramkan Mahmud yang berada di dalam pelukannya, dia kelihatan tenang melihat itu semua. Manakala aku berasa kaku, diam seribu bahasa.

"Di sini! Di sini!" tiba-tiba satu suara yang kuat kedengaran dari arah belakangku yang sedang melihat mayat askar yang telah mati ditikam itu. Sejurus aku menoleh, aku melihat seorang lagi pemuda berpakaian askar rejim Yahudi itu telah pun mengacukan senapangnya ke arah kami.

Satu das tembakan berbunyi. Kami semua masih berdiri utuh di tempat masing-masing. Aku melihat kedua-dua insan di sebelahku.

“Ya Allah! Tidak!”jeritanku disambut oleh Ihsan yang sedang mendukung Mahmud. Tubuh insan kecil itu terkulai kaku. Ihsan terduduk dan tersandar di serpihan dinding konkrit. Aku merangkul tubuh kecil itu dan aku peluk sekuat-kuatnya. Air mataku berderai. Mahmud menjadi sasaran peluru askar rejim Yahudi itu tepat mengenai matanya menyebabkan darah tidak berhenti-henti mengalir membasahi pipiku yang menciumnya. Askar itu masih tergamam.Seolah-olah rasa bersalah atas situasi yang berlaku. Sesaat kemudian satu lagi das tembakan berbunyi. Aku melihat Pak Cik Mohamed sedang memegang senapang mangsanya.

"Allah Maha Besar!" sebut Pak Cik Mohamed sejurus melepaskan tembakan itu. Askar yang berada beberapa ratus meter dari kami itu rebah mencium bumi Gaza milik rakyat Palestin.

Mahmud tidak lagi bernyawa.“Allah..Allah!” teresak-esak aku melihat tubuh kecil Mahmud yang tidak berdosa itu.

“Mahmud, jangan tinggalkan abang.Mahmud..Mahmud.” beberapa kali aku menyebut namanya.



“Bangun,Azlan..bangun,”suara itu menjengah gengendang telingaku. Terasa tubuhku seperti digerak-gerakkan.

Aku berasa mamai dan menggosok mataku yang pisat-pisat. “Mahmud..Mahmud,jangan tinggalkan abang,”bisikku lembut.

Kelihatan satu susuk tubuh yang aku kenali tercegat di tepiku, Ummiku, dia bersuara,“Nama siapa yang kamu panggil?”

Aku terjaga, tersentak dengan soalan Ummi, “Nama siapa?”bisik hatiku.

Aku melihat Ummi bersama telekungnya. Aku memeluk Ummiku dan air mataku tidak berhenti mengalir. “Mimpi apa yang telah kamu alami?” soal Ummi lembut sambil memegang kedua bahuku.

“Gaza berdarah.” jawabku ringkas. Ummi hanya mengangguk mengiakannya seraya berkata, “Sudahlah, azan Asar telah pun berkumandang. Mari kita solat dan sampaikan doa Qunut Nazilah kita buat mereka.”

Aku melihat tepat ke arah mata Ummi yang bersinar itu dan berkata, “Ummi,jangan tinggalkan Azlan.” Ummi tersenyum mendengar pernyataanku itu, beliau mengesat air mata yang bercucuran di pipiku dan aku bingkas bangun untuk mengambil wuduk.
Ibn Yusof
16 Februari 2009 / 19 Muharaam 1430
11.49 a.m

4 comments:

hanimyusra said...

bersyukurlah..
kita masih dapat hidup aman di Malaysia ini..
sentiasalah mohon perlindungan Allah dan berdoalah agar Allah membantu hambanya di palestin..

Unknown said...

May ALLAH bless them and all muslims outhere...
Amin...

Unknown said...

May ALLAH S.W.T bless them and all muslims outhere..
Amin...

AsNiza said...

Bismillah..

Sebuah perkongsian yang sangat menarik, cara penulisan yang mantap dan kemas, seolah2 benar2 berada di situasi genting itu..subhanallah.

Doakan saudara kita di Gaza dapat meneruskan kehidupan, bangkit dari kesengsaraan, berdiri semula, insyaAllah.