Sunday, November 11, 2007

‘Diari’ Semester 1 (07/08)


Alhamdulillah,syukur ke hadrat Allah S.W.T akhirnya saya dapat mengakhiri semester 1 tahun ini dengan berbagai pengalaman suka duka.InsyaAllah tulisan kali ini akan saya kongsikan beberapa kisah untuk pengajaran bersama.Banyak yang berlaku sepanjang semester ini dan saya bukanlah jenis yang menjadikan blog ini seperti diari untuk tatapan umum kerana saya lebih suka memendam kisah hidup kecuali jika kisah tersebut dapat dikongsikan bersama untuk kita jadikan pengajaran.Seperti semester-semester lepas insyaAllah saya akan kongsikan bersama hasil kajian saya dalam beberapa subjek yang diambil sepanjang semester ini.Semester ini antara kajian yang sempat dibuat dalam subjek Intermidiate Macroeconomics 2 iaitu berkenaan artikel "Hopes Floats with Ringgit De-Peg & Islamic Solution with Gold Dinar” yang insyaAllah akan saya kongsikan bersama dalam tulisan seterusnya.

Kebanyakan waktu dalam semester ini saya agak sibuk dengan pengurusan program ‘The Inaugural Malaysian Intervarsity Economics Debating Championship’pada 18 hingga 20 Ogos lepas,program yang bersifat antarabangsa ini begitu mencabar kredibiliti apabila pengurusan tersebut perlu bersifat profesional dari awal hingga ke akhir program.Peluang memegang jawatan sebagai koordinator program memang mencabar dan memberi peluang kepada saya untuk melatih keupayaan memimpin dan menguruskan program.Hampir putus asa dengan kepayahan pengurusan program ini membuatkan saya cuba bersikap positif dengan menyedari bahawa ianya merupakan satu amanah yang perlu saya pikul apabila sahabat karib merangkap pengarah program tersebut melantik saya menjadi koordinator program.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَخُونُواْ اللّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُواْ أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

"Hai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu mengetahui (akibatnya)."

[Al-Anfal 8:27]

Jika sebelum ini sekadar menganjurkan program di dalam kuliyyah sahaja kini saya bersyukur mempunyai pengalaman menguruskan program sebegini.Penat lelah separuh semester berbaloi apabila program ini berjaya dilansungkan dengan lancar dari awal hingga akhir walaupun terjadi beberapa insiden yang mencabar pihak pengurusan dalam melaksanakan tugas masing-masing.Walaubagaimanapun,kenangan yang paling manis ialah apabila mendapat kenalan daripada luar negara dan mendapat sahabat-sahabat baru dari kalangan komiti bertugas.

Program tersebut sedikit sebanyak mengganggu pelajaran saya tetapi alhamdulillah perasaan lega selepas selesai program tersebut menyebabkan saya bersemangat menumpukan sisa-sisa semester yang ada pada pelajaran memandangkan keputusan peperiksaan pertengahan semester tidak begitu memberansangkan.Alhamdulillah apabila markah persembahan dalam semua subjek sedikit sebanyak membantu ‘carry mark’ untuk meneruskan peperiksaan akhir.Antara persembahan yang mendapat markah tertinggi adalah berkenaan"Hopes Floats with Ringgit De-Peg & Islamic Solution with Gold Dinar” dalam subjek Macroeconomics seperti yang saya nyatakan sebelum ini dan persembahan terhadap topik “Sejarah dan Asal Usul Maqasid Syariah” dalam subjek Usul Fiqh 2. Walaupun perasaan awal semester lebih berkobar-kobar untuk membentangkan tajuk “Ayat-ayat yang tidak jelas di dalam Quran” yang mencakupi perbincangan tentang ayat Khafi,Musykil,Mujmal dan Mutasyabih,saya terpaksa memilih tajuk yang lain kerana tajuk tersebut telahpun dipersembahkan oleh sahabat yang lain.Apa-apapun,rakan-rakan sekelas menunjukkan kefahaman yang lebih jelas tentang tajuk tersebut berbanding sesetengah pihak yang tidak mempunyai ilmu berkenaan perkara tersebut tetapi cuba berlagak pandai dengan membincangkan topik ini secara terbuka baik dalam perbualan harian mahupun sebaran email.Teringat saya amaran Allah dalam Al-Quran:-

إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ اللَّهِ عَظِي

"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”
[An-Nur:15]


Semester ini terus berlalu sehingga memasuki bulan penuh rahmat iaitu bulan Ramadhan.Berpeluang solat di masjid UIA sememangnya satu suasana yang menyeronokkan kerana imam-imam yang terpilih dengan gaya bacaan tersendiri membuatkan solat tarawikh di masjid tersebut dipenuhi pelajar dan orang luar.Penghayatan dalam bacaan para imam memberi kesan kepada makmum yang mengikuti mereka.Di hujung 10 malam terkakhir Ramadhan saya dan rakan-rakan juga sempat bersama-sama menghidupkan malam-malam terakhir di masjid.Waktu tidur sewaktu malam-malam terakhir Ramadhan memang tunggang langgang sehingga saya terlepas beberapa kelas pada waktu pagi.Memikirkan yang ajal semakin hampir membuatkan saya tidak mahu terlepas malam lailatul qadar.Wallhua’lam.

Di hujung bulan Ramadhan saya juga sempat menganjurkan program iftar (berbuka puasa) di kuliyyah dan alhamdulillah saya berkesempatan menjemput Ustaz Fadlan seorang pensyarah dari UKM untuk memberi tazkirah selepas solat maghrib berjemaah,akan tetapi saya agak kesal kerana terjadi beberapa insiden hasil dari salah faham sahabat-sahabat yang hadir.Terdengar kritikan-kritikan dari sahabat-sahabat yang hadir mempersoalkan mazhab imam yang dilantik malam itu (Isya’ diimami oleh saya dan solat tarawikh oleh sahabat yang lain) membuatkan saya sedikit terkilan dan cuba bersangka baik terhadap mereka yang barangkali tidak biasa apabila imam mengsirrkan bacaan basmalah dan zikir selepas solat.Salah faham yang terjadi lebih ketara apabila saya memilih untuk tidak adanya selawat di antara solat tarawikh akan tetapi sahabat saya tetap dengan pandangannya untuk berselawat di antara solat tarawikh seolah-olah tidak sah solat tarawikh tanpanya.Apa yang saya terfikir dalam hal ini ialah bak kata Karl Popper:-

"You may be right and I may be wrong but with an effort, together we may get nearer the truth."

Alhamdulillah berkat tolak ansur dari semua pihak menyebakan program tersebut tamat seperti yang dirancang.Perkara ranting seharusnya dielakkan dari menjadi persoalan kerana kadang kala ia mampu menjadi punca pertelingkahan dan salah faham.

Lebih menyedihkan apabila sesudah majlis tamat sahabat-sahabat berkumpul sambil memperkatakan tentang bacaan imam ,mereka mempersoalkan bacaan imam yang mengetuai dalam solat tersebut seolah-olah tidak pernah mengetahui cara menegur imam (walaupun perkara yang dipersoalakan hanyalah berkenaan cara bacaan bukannya kesalahan yang melibatkan rukun solat).Alhamdulillah saya sempat memberi sepatah dua kata selepas tamat program untuk menguraikan salah faham yang berlaku,jika tidak pada semua yang hadir sekurang-kurangnya pada komiti bertugas kerana apa yang berlaku perlu dibetulkan kerana faktor penyebab tumbuh suburnya ghibah, akibat su-uzhan yang mengendap pada jiwa seseorang. Kemudian dengan mudah akan keluar perkataan yang kotor dan keji, saling mengejek, saling membuka aib dan rahsia, sehingga wujud permusuhan, dendam dan sakit hati.Dalam sebuah hadis, Rasulullah Saw. telah menjelaskan tentang ghibah. Beliau bersabda:

"Tahukah kamu apakah ghibah itu?" Hanya Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui, jawab para sahabat. Nabi bersabda: "Yaitu menyebut saudaramu dengan apa-apa yang tidak suka disebutnya." Rasulullah ditanya para sahabat: Bagaimana pendapatmu, ya Rasulullah, kalau itu memang yang sebenarnya ada padanya? "Kalau memang begitu, itulah yang bernama ghibah. Tetapi jikalau menyebut apa-apa yang tidak sebenarnya, berarti kamu telah menuduhnya dengan kebohongan (buhtan: yang lebih besar dosanya)," jawab Nabi Saw.

[HR. Muslim yang bersumber dari Abu Hurairah ra.]

Selepas Eidul Fitri,saya terpaksa bersedia pula mental dan fizikal bukan untuk menduduki peperiksaan akhir semester tetapi untuk menghadapi pemilihan dalam “General Election of Kuliyyah Economics and Management and Science”.Pengalaman bertanding untuk ‘merebut’ jawatan atau kerusi Director of Da’wah and Tarbiyyah sememangnya mencabar kerana saya berhadapan dengan sahabat baik saya sendiri sebagai lawan.Saya cuba untuk berfikiran positif dengan membetulkan niat kerana sebagai seorang muslim kita tidak berhajat pada jawatan kerana ianya pada saya hanyalah satu wasilah untuk meneruskan perjuangan dalam memelihara persekitaran Islamiyyah di dalam kuliyyah ekonomi sendiri.Akhirnya, kegagalan tipis dalam undi untuk memungkinkan saya dalam menjawat jawatan tersebut tidak membuatkan saya rasa sedih.Ia sememangnya satu jawatan yang hangat dipertandingkan dan saya juga tidak merasa bangga jika memenanginya kerana melalui sistem undian atau sistem demokrasi,sesiapa sahaja mungkin menang. Mereka yang hadir untuk mengundi pada malam tersebut kebanyakan mengundi tanpa mengetahui bagaimana saya bekerja,bagaimana saya memikul amanah dan apakah saya layak menjawat jawatan tersebut.

Undian boleh jadi kerana perwatakan seseorang itu,ataupun kecantikan atau ketampanan wajahnya,tetapi tidak memungkinkan kita mengetahui cara bekerja dan pimpinan calon yang diundi melainkan kita pernah bekerja di bawah pimpinan calon atau pernah memimpin calon dalam apa-apa program.Hanya dengan cara ini kita mengetahui latar belakang calon dengan lebih jelas berbanding hadirin yang hadir mengundi tanpa mengenali calon.Maka jelas sesungguhnya sistem syura yang diiktiraf dalam Islam lebih adil dan tepat kerana dalam syura, sebelum seseorang itu dilantik menjadi khalifah, calon khalifah itu sendiri dinilai dalam permesyuaratan ahli-ahli majlis syura. Seterusnya ia dinilai berdasarkan persetujuan seluruh rakyat dan rakyat bebas untuk menerima atau menolak seseorang calon khalifah tersebut. Hak kebebasan rakyat dapat dilihat dengan mengkaji terus ucapan khalifah Abu Bakar as-Siddiq seperti berikut :

"Wahai Manusia, sesungguhnya aku telah dilantik ke atas kamu dan bukanlah aku orang yang paling baik di antara kamu. Kalau aku lemah kamu betulkanlah aku dan kalau aku berbuat baik, kamu tolonglah aku, benar itu amanah dan dusta itu khianat. Yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku, sehingga aku mengambil hak daripadanya insya`Allah ...."

Apa yang tertulis di sini bukanlah hasil perasaan tidak puas hati terhadap kekalahan dalam menjawat jawatan tersebut yang menggunakan system demokrasi tetapi hasil pemikiran dan pemahaman saya secara ilmiah tentang perkara yang terjadi.Kekalahan dalam menjawat jawatan tersebut besar hikmahnya jika difikirkan dari sudut yang positif dan alhamdulillah saya mulai nampak hikmahnya apabila ramai sahabat yang ambil berat tentang perkara tersebut dan malam tersebut menjadi saksi tentang siapa kawan dan siapa lawan apabila saya diberitahu tersebarnya berita bahawa hadirin yang hadir mengundi dimomokkan supaya tidak mengundi saya yang beraliran wahabi dan sesat.Walaupun berita ini dikhabarkan pada saya, saya masih cuba berfikiran positif bahawa mereka yang menyebarkan berita sebegini tidak lain disebabkan ingin sahabat mereka dapat menjawat jawatan tersebut. Menang atau kalah bukanlah perkara utama kerana ukhwah yang terbina adalah lebih penting untuk dijaga.Dan mereka tetap merupakan sahabat-sahabat saya .

Selang beberapa hari dari pemilihan tersebut,ada juga persoalan-persoalan yang timbul hasil kekalahan saya dalam pemilihan tersebut dari sahabat-sahabat yang lain.Presiden baru yang menang sendiri datang pada saya memberitahu beliau ingin menubuhkan secretariat lain dan ingin saya memimpinnya. Pembukaan 4 sekretariat lain membuka peluang kepada mereka yang kalah dalam pemilihan pada tempoh hari untuk mencuba nasib sekali lagi tetapi kali ini bukan dalam bentuk undian,tetapi dalam bentuk temuduga.Saya mendapat sms supaya hadir segera jika berkeinginan terhadap jawatan tersebut tetapi saya menolak kerana mereka yang berbondong-bondong untuk menjawat jawatan tersebut sendiri tidak mengetahui tujuan penubuhan 4 sekretariat baru tersebut dan saya bukanlah jenis yang ingin muka terpampang dalam poster dengan menjawat sesuatu jawatan tanpa mengetahui matlamat memimpin sekretariat tersebut.

Persoalan kepimpinan di dalam Islam bukan sahaja melibatkan perkara kepakaran tetapi juga membabit persoalan keberkatan dan pertolongan Allah yang bakal turun kepada kepimpinan yang beriman dan bertaqwa. Oleh itu dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim baginda Nabi s.a.w. menasihati sahabatnya `Abd ar-Rahman bin Samurah:-

“Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan pemintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa pemintaan maka engkau dibantu”
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim.jilid 15, m.s. 19]

Saya bersyukur dengan apa yang saya kecapi sekarang,walupun tidak memiliki apa-apa jawatan penting,sahabat-sahabat masih datang pada saya untuk bekerjasama menjalankan apa-apa program yang bermanfaat.para pembaca berhak mengkritik tetapi jika para pembaca berada dalam posisi saya persepsi para pembaca mungkin berubah.Hari terus berlau dan cuti semester ini insyaAllah akan saya isikan dengan program-program da’wah yang bermanfaat.Saya berharap ilmu akan bertambah sepanjang cuti semester kali ini dengan program-program yang diikuti.InsyaAllah akan saya coretkan apa-apa yang bermanfaat untuk dikongsi bersama di artikel seterusnya.

Wallhua’lam.

Ibn Yusof
11 November 2007 / 29 Syawal 1428
12:34 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com

No comments: