Semakin hari semakin ramai penulis-penulis picisan yang disangkakan berwawasan dalam menyampaikan berita, baik blogers yang meluah rasa mahupun wartawan yang mencipta berita. Artikel dan berita dihidangkan dengan aneka perhiasan menghiasi blog-blog, akhbar-akhbar tabloid mingguan serta akhbar nasional, daripada gambar-gambar sensasi sehinggakan gambar scan kitab-kitab ulama’ muktabar sebagai tambahan perisa untuk hidangan para pembaca.
Masing-masing memiliki moto yang gah lagi mengerunkan tetapi hakikatnya hanya menjurus kepada kemerosotan fikrah ummat Islam. Pada hemat penulis kemerosotan fikrah ummat Islam ini sebahagiannya memang dirancang. Sebahagian lagi timbul akibat suasana budaya keilmuan yang semakin merosot. Perancangan ini dilakukan secara berencana untuk memasung fikrah ummat Islam agar terus bengap. Otak dan fikrah yang bengap pasti tidak akan berupaya untuk menilai dan membuat perhitungan tentang apa yang sedang berlaku disekeliling mereka. Si pemilik otak yang bengap amat senang untuk dicucuk dan ditarik hidung mereka.
Kegelapan fikrah ummat Islam yang jelek ini penulis rasakan seolah-olah akan berterusan. Penulis masih belum nampak akan munculnya pencerahan yang akan menggilap fikrah ummat Islam, selagi mana ummat Islam tidak kembali kepada fikrah Islamiyyah yang sebenar maka selagi itulah ummat Islam akan tenggelam dalam kedustaan fakta. Penulis merasakan sudah terlalu lama ummat Islam di Malaysia tenggelam dalam dunia dusta, terutamnya apabila rutin harian kita dihidangkan dengan berita-berita tahyul mahupun khurafat dan sebagainya, lihat sahaja berita-berita seperti Hantu Jenglot hinggalah ke iklan Raja Bomoh Sedunia.
Tanpa adanya acuan yang benar dalam mambentuk fikrah maka tidak mustahil berita-berita yang dusta akan terus menjadi pegangan hidup si pemilik otak yang akhirnya hanya akan mengakibatkan kebinasaan ummat. Sebagai seorang Muslim kita seharusnya mempunyai pola fikir yang jelas dalam menapis setiap berita yang dicerna. Antara yang dapat penulis coretkan untuk renungan bersama ialah:-
· Sikap Mencurigai Kebenaran
· Mengelak Prasangka Perbahasan dan Membuat Kesimpulan Melulu
· Mencari Sumber dan Mengesahkannya
· Mencari Kemungkinan Kesalahan dalam Kesimpulan
· Mengelak Taksub dalam Pemahaman
· Bersedia Menukar Pandangan
Sikap Mencurigai Kebenaran
Pastinya pembaca merasa hairan dengan ayat sedemikian,mencurigai kebenaran? Ini adalah kerana sesuatu kebenaran itu tidak akan dianggap benar sehingga ianya terbukti benar. Sikap mencurigai kebenaran adalah suatu sikap yang perlu ada dalam diri setiap muslim kerana aqidah ummat Islam adalah suatu pegangan yang memerlukan keyakinan dan kepercayaan yang utuh. Keyakinan dan kepercayaan ini dapat dilahirkan dengan mempersoalkan kewujudan diri sendiri dan siapakah pencipta kepada alam cakerawala ini. Sebagai contoh persoalan seperti mampukah makhluk menguruskan sistem cakerawala? Siapakah yang mampu mencipta manusia? Bolehkah manusia terjadi dengan sendirinya?
Sesungguhnya agama Islam satu-satunya agama yang mempunyai jawapan kepada soalan-soalan kosmologikal yang akhirnya akan membawa pemahaman tentang keesaan Allah Subhanallahu Ta’ala. Mempersoalkan kebenaran bukan bermaksud kita tidak mempercayai kebenaran tetapi ianya sedikit sebanyak dapat menambahkan keyakinan dan kepercayaan kita terhadap sumber kebenaran tersebut.
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِـي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن قَالَ بَلَى وَلَـكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةً مِّنَ الطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ اجْعَلْ عَلَى كُلِّ جَبَلٍ مِّنْهُنَّ جُزْءًا ثُمَّ ادْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ سَعْيًا وَاعْلَمْ أَنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan (Ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati." Allah berfirman: "Belum yakinkah kamu ?" Ibrahim menjawab: "Aku Telah meyakinkannya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman: "(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman): "Lalu letakkan diatas tiap-tiap satu bukit satu bagian dari bagian-bagian itu, Kemudian panggillah mereka, niscaya mereka datang kepadamu dengan segera." dan Ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. [Al-Baqarah 2:260]
Kisah Nabi Ibrahim a.s di atas dapat kita jadikan tauladan, pertanyaan Nabi Ibrahim a.s kepada Allah Subhanallahu Ta’ala bukanlah bermakna beliau tidak beriman terhadap kekuasaan Allah Subhanallahu Ta’ala, tetapi ianya bertujuan supaya keimanan Nabi Ibrahim a.s semakin bertambah dan mantap.
Begitu juga apabila kita menemui sesuatu yang dipercayai kebenarannya maka kita memerlukan bukti yang kukuh untuk menyokong fakta kebenaran tersebut, baik ianya bukti daripada Al-Quran dan As-Sunnah mahupun sudut saintifik dan sebagainya. Sebagai contoh ringkas bagi ummat Islam yang berpegang teguh pada Al-Quran dan As-Sunnah, kita mempercayai As-Sunnah yang difahami daripada hadith-hadith sahih sebagai sumber rujukan utama di dalam Islam. Para Imam hadith bertungkus-lumus dalam mengumpul hadith-hadith sehingga sanggup berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Mereka (para Imam Hadith) menilai seorang demi seorang perawi yang menuturkan hadith-hadith demi memelihara ketulenan hadith yang dibawa. Sayangnya sikap ini hampir pupus dalam masyarakat Islam, kita amat mudah mempercayai cakap orang lain lalu menyebarkannya sehingga wujud pula cerita yang sama tetapi dalam versi yang berbeza-beza. Oleh itu adalah wajar untuk kita mencontohi sikap para Imam Hadith ini yang begitu teliti dalam menyemak dan mengesahkan maklumat yang diperolehi.
Mencari Sumber dan Mengesahkannya
Mencari sumber kebenaran adalah merupakan faktor utama dalam menilai berita yang diterima, berapa ramai masyarakat kini yang malas mencari sumber dan mengesahkannya kerana sifat malas yang menyelubungi mereka, akhirnya mereka ini dengan mudah terjerumus golongan yang menyebarkan dalam fitnah. Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:-
نمام لا يدخل الجنة
“Tidak masuk Syurga orang yang suka menabur fitnah.”[Sahih Muslim,Kitab Iman (Bab Terlalu Berat Hukuman Haram Bagi Orang Yang Menabur Fitnah) no. 151]
Disiplin-displin dalam menerima khabar berita ini semakin pupus dalam hidup masyarakat Islam di serata dunia. Dalam era globalisasi kini berita-berita dapat disebarkan dengan pantas menggunakan alat-alat teknologi yang sedia ada baik internet mahupun menggunakan telefon bimbit. Khabar berita yang disebarkan kadang-kala bukan sahaja berbaur fitnah tetapi ianya melibatkan juga persoalan aqidah. Lihat sahaja contoh penyebaran sms kemurtadan Azhar Mansur yang mengemparkan negara tidak lama dahulu, ia bukan sahaja boleh melibatkan kekecohan dalam negara malah perpecahan antara sesama ummat Islam. Selagimana penyebaran berita-berita palsu dan dusta ini berleluasa selagi itulah kemunduran fikrah ummat Islam berterusan.
Allah S.W.T berfirman:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.[Al-Hujurat 49:6]
Mereka yang beriman akan terlebih dahulu memeriksa berita yang diperolehi kerana jika ianya berlawanan dengan kebenaran dikhuatiri kita akan berlaku zalim terhadap sesuatu kaum atau golongan yang difitnah. Realiti masyarakat hari ini yang kebanyakan berpendidikan tinggi tetapi menjadi buta tuli dalam mempercayai berita dusta yang disebarkan. Hak Allah untuk menentukan seseorang itu fasik atau tidak tetapi ia tidak bermaksud kita tidak perlu berhati-hati dengan penyebar berita dusta yang boleh jadi mereka itu fasik tetapi bertopengkan wajah Muslim. Amaran di atas jelas dan menyeru kita berhati-hati dalam mencerna berita agar kita tidak menyesal dengan perbuatan kita.
Mengelak Prasangka Perbahasan dan Membuat Kesimpulan Melulu
Prasangka yang dimaksudkan penulis adalah tidak sama dengan hujah awal yakni mencurigai kebenaran. Kerana perasaan syak, waham dan prasangka (zhon) adalah tiga tingkatan yang perlu dibezakan dengan jelas, dan prasangka (zhon) yang dimaksudkan ialah prasangka buruk sepertimana firman Allah S.W.T:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (buruk) Karena sebagian dari prasangka itu dosa. dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.[Al-Hujurat 49:12]
Dapat kita fahami dengan jelas melalui firman Allah di atas bahawa prasangka buruk atau ’zhon’ adalah dilarang dalam Islam. Ini adalah kerana ia seolah-olah memakan daging saudara kita yang telah mati. Begitulah jijiknya perumpamaan yang diberikan kepada mereka yang suka berprasangka buruk terhadap sesuatu.Sikap stereotaip ini amat membinasakan sakhsiyyah diri seorang yang bergelar muslim.
Perasaan prasangka buruk ini mampu menjurus kepada kesimpulan yang melulu, akibat percaya kepada berita dusta yang disebarkan maka membugar perasaan prasangka buruk dan akhirnya membuatkan si pemilik otak dengan pantas membuat kesimpulan. Akibatnya tidak mustahil wujud tulisan-tulisan yang menyebarkan aib orang lain dan tidak kurang juga berita-berita yang sanggup mengkafirkan sesama muslim atau lebih teruk mengkafirkan para ulama’. Inilah rata-rata masalah yang berlaku dalam masyarakat.
Mencari Kemungkinan Kesalahan dalam Kesimpulan
Keghairahan menyebarkan berita dan maklumat yang diperolehi kadang-kala menyebabkan kecuaian dalam penyelidikan sumber. Ini antara masalah utama yang akan dihadapi para pembaca sebagai contoh apabila mereka dihidangkan dengan berita separa benar.Berita separa benar? Contoh mudah ialah tidak lama selepas peristiwa banggunan WTC itu runtuh maka terpampang gambar Osama Bin Laden dalam berita CNN menyatakan beliau sebagai orang yang bertanggungjawab dalam peristiwa terbabit. Tetapi hakikatnya sehingga kini tiada lagi bukti yang konkrit mensabitkan Osama Bin Laden terlibat secara jelas di dalam peristiwa 9/11.
Ada antara kita yang bersuara lantang menyalahkan berita CNN yang terlalu mudah membuat kesimpulan berdasarkan fakta yang diperolehi, tetapi apabila sampai giliran kita dalam menyebarkan berita sungguh mudah kita membuat kesimpulan. Maka apakah bezanya berita yang kita sampaikan dengan berita CNN tersebut?
Lihat sahaja dunia siber kini, berita-berita dusta tidak putus-putus disebarkan, baik melalui e-mail mahupun sms sehingga ada antaranya yang tidak masuk akal. “Malam ini adalah malam LailatulQadar dan kita digalakkan memperbanyakkan ibadah di malam ini kerana ia lebih baik daripada seribu bulan..-sumber Mufti XXX. Sebarkan.” Inilah antara sms yang sahabat penulis terima pada bulan Ramadhan lepas.
Apakah kesimpulan yang dapat kita lakukan daripada penerimaan sms seperti ini? Terus menyebarkanya pada sahabat-sahabat yang lain atau menilai terlebih dahulu dengan akal yang rasional? Tidak kurang juga e-mail atau sms yang diakhiri dengan amaran jika sekiranya tidak disebarkan, kita akan dianggap seolah-olah tidak mencintai Islam atau yang lebih teruk kita akan ditimpa malang. Perkara ini hanya akan merosakkan aqidah dan ternyata berita basi yang akan berterusan disebarkan sehingga ianya sampai kembali kepada orang yang mula-mula menyebarkannya.
Suka sekiranya penulis berkongsi tentang kebaikan yang boleh diambil daripada istilah devil’s advocate. Maknanya apabila seseorang mengambil posisi untuk menentang atau mencari kelemahan sesuatu perkara bagi menguji kualiti dan mengenal pasti kelemahan struktur perkara yang dibincangkan. Ia memerlukan pemikiran yang kreatif dan kritis. Dengan adanya pemikiran kreatif dan kritis ini kita mampu melihat sesuatu perkara dari sudut yang berbeza bagi mengukuh dan memastikan perkara yang ingin disampaikan kepada orang ramai.
Maka perkara yang sama perlu diserapkan dalam minda kita semua, berfikiran kreatif dan kritis dalam mencerna berita yang diterima apatah lagi berita yang ingin disampaikan. Dengan kaedah ini kita dapat menilai berita dari sudut yang lebih fleksibel dan memastikan tiada kelompongan dalam berita tersebut.
Mengelak Taksub dalam Pemahaman
Taksub merupakan salah satu penyakit hati yang meruncing dalam masyarakat. Seorang muslim seharusnya bersikap adil dalam menerima dan menyampaikan sesuatu berita, tetapi apabila penyakit taksub ini menular dalam jiwa seorang muslim maka berita yang diterima akan ditapis sesuai mengikut seleranya sahaja. Baik taksub kepada mazhab, jamaah, parti-parti politik sehinggalah kepada bangsa-bangsa tertentu dan lain-lain.
Masalah taksub ini menjadi duri dalam daging, kita terlalu mementingkan label. Siapa kita dan siapa dia? Jemaah apa kita dan jemaah apa dia? Parti apa kita dan parti apa dia? Tetapi sayangnya kita terlupa bahawa kita juga Islam dan kita bersaudara. Taksub kita pada labelan tertentu membutakan mata hati pada kebenaran hujah dan rasa kasih sayang sesama Muslim. Di sinilah kesilapan kebanyakan kita. Apabila wujud penyakit taksub, maka timbullah slogan seperti “Aku betul,Kau salah“ bersarang dalam diri.
Ketika Abdullah bin Abbas radhiyallahu ‘anhuma melihat sebahagian kaum muslimin lebih mengutamakan pendapat Abu Bakar dan Umar radhiyallahu ‘anhuma daripada ketetapan Rasulullah saw, beliau pun marah dan berkata: “Aku melihat mereka akan binasa, aku berkata: “Bersabda Nabi saw, mereka mengatakan: berkata Abu Bakar berkata Umar.” [Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Abdil Bar]
Contoh di atas berlaku sehingga kini cuma dalam suasana yang berbeza, malah pada hemat penulis lebih parah apabila hujah Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih disertakan maka bersuara pula sesetengah orang “Tapi Ustaz aku kata...“atau“Tapi Tok Guru aku kata“ .Inilah bahayanya penyakit ini jika apa jua berita tidak kita timbang melalui neraca Al-Quran dan As-Sunnah, maka neraca timbangan kita senget diberatkan dengan virus ketaksuban.
Jangan kerana terlalu teruja dengan sesuatu fahaman atau aliran, kita yang berdarah panas ini melenting tidak tentu pasal tanpa menilai hujah berita yang tersiar. Adalah lebih wajar kita bersikap matang dan bersikap terbuka menerima berita yang dicerna, kemudian menilainya secara keseluruhan. Jika pola fikir yang betul diguna pakai semasa menerima sesuatu berita maka begitulah juga sikap kita dalam menyebar berita. Sebagai contoh:-
·Menyebar sesuatu tanpa berat sebelah walaupun ianya tidak memihak kepada kehendak kita.
·Membalas atau respon kepada berita yang diterima secara ilmiah bukannya emosi.
·Membaca atau mencerna berita sehinga habis dan berlaku adil terhadap berita yang disampaikan sebelum menyebar.
Maka kita wajib mengetahui penyakit taksub menyebabkan kita terlindung daripada penilaian secara ilmiah dan tidak berhati-hati dalam menghukum.Yang kita lihat dari sesuatu berita itu hanyalah keburukan dan kesilapan semata. Inilah sikap yang perlu kita diubah agar dapat menilai sesuatu berita itu secara adil dan saksama.
Bersedia Menukar Pandangan
Apabila kita mengetahui berita yang disampaikan adalah dusta walaupun sekelumit, kita mesti mempunyai sikap bersedia menukar pandangan. Inilah ubat kepada penyakit taksub sepertimana yang dijelaskan sebelum ini. Sebagai contoh kita boleh mencontohi para Imam dalam mazhab dengan sifat tawaduk, mereka yang bersedia menukar pandangan apabila menemui kebenaran. Ini adalah kerana mereka memahami tidak ada perkara yang lebih penting daripada kebenaran yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih. Sebagai bukti kata-kata Imam As-Syafie yakni:-
“Apabila kamu mendapatkan di dalam kitabku apa yang bertentangan dengan Sunnah Rasulullah saw.,maka berkatalah dengan Sunnah Rasulullah saw. Dan tinggalkanlah apa yang aku katakan.” [ Al-Majmu’, Dzammu’ Kalam,3/47 ]
“Setiap apa yang aku katakan,sedangkan Nabi saw. Terdapat hadith sahih yang bertentangan dengan perkataaanku,maka hadith nabi itu adalah lebih utama.Oleh kerana itu,janganlah kamu mengikuti aku.” [Ibn Asakir 15/9/2]
Bersedia menukar pandangan demi mencari kebenaran adalah penting agar kita tidak terus berpegang kepada berita yang tidak mempunyai kepastian yang sahih. Maka ini dapat menyelamatkan kita dari menyebarkan perkara sebelum ini yang diragui sumber kesahihannya. Dengan mengetahui kebenaran kita juga dapat menghalang diri kita dari terjerumus sama dalam menyebarkan berita-berita dusta.
Kesimpulan
Akhir kata, kesemua perkara di atas bukanlah dilakukan berasingan atau mengikut fasa-fasa tertentu, tetapi haruslah dilakukan kesemuanya secara serentak. Solusi yang diutarakan diatas mungkin ada betulnya dan tidak mustahil ada salahnya. Ia sekadar cadangan dan renungan buat para pembaca untuk bersedia dalam menghadapi apa-apa berita, maka persediaan dan pola fikir yang betul diperlukan untuk mengelak diri kita daripada terjerumus ke dalam kegelapan fikrah ummat Islam yang semakin meruncing. Sesungguhnya kebenaran semata-mata datang dari Allah melalui keutamaan-Nya, dan seandainya penulis salah, maka kesalahan ini datang dari diri penulis sendiri dan dari syaitan yang berusaha menyesatkan umat manusia.
Wallhua’lam.
Ibn Yusof
21 December 2007 / 11 Zulhijjah 1428
6:25 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com
p/s:-Penulis membentangkan isi artikel yang sama melalui tajuk Fikrah Islamiyyah sewaktu Enrichment Class di Islamic Information Servise (IIS) tahun lepas.