Sunday, August 28, 2011

Menziarahi Kenalan Dan Kuburan : Antara Adat Dan Ibadat


‘Eidulfitri, Aidilfitri, Hari Raya, Hari Lebaran, atau apa jua nama yang semakna dengannya merupakan suatu sinonim yang merujuk kepada hari perayaan umat Islam di seluruh dunia. Kegembiraan dan kemeriahan dalam meraikan hari ini selalunya akan dirasai menjelang penghujungnya bulan Ramadhan. Maka umat Islam di Malaysia khusunya akan disibukkan dengan persiapan menyambut hari perayaan itu.

Hari ‘Eidulfitri merupakan ketetapan dan pilihan Allah Ta’ala kepada umat Muhammad sebagai hari untuk dirayakan dan bergembira, hal ini antaranya berpunca daripada tertegaknya salah satu rukun Islam yang mewajibkan umat Islam berpuasa pada bulan Ramadhan. Justeru Islam tidak melarang umatnya untuk bergembira pada hari perayaan, malah membolehkan umatnya untuk mengungkapkan perasaan bahagia dan bersenang-senang pada hari tersebut. Malahan kebahagian yang diungkap dan diterjemah dalam bentuk perbuatan itu, selagi mana penghayatan meraikan hari itu dalam aturan syariat, maka keraian itu akan dianggap sebagai satu ibadah yang menjana pahala dari Allah.

Shaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah pernah berkata:-

“Tidak mengapa menampakkan kegembiraan dan kebahagiaan pada hari-hari ‘Ied seperti Eidul Fitri atau Eidul Adha selama dalam batas-batas syar’i. Di antaranya seseorang makan dan minum atau yang semisalnya” (Majmu’ Fatawa Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, juz 16 bab Shalatul ‘Iedain)

Hal ini telah dibuktikan sendiri oleh baginda Nabi Muhammad Salallahu’alahi Wa Sallam bahawa baginda membenarkan anak kecil yang bernyanyi dan bersyair sebagai tanda kegembiraan menyambut perayaan (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Justeru, menampakkan kegembiraan pada dua hari raya merupakan syiar (slogan) agama ini.

Menziarahi Kenalan pada ‘Eidulfitri

Telah menjadi adat di Malaysia khusunya untuk kunjung mengunjung, ziarah menziarah pada hari perayaan, saling ziarah-menziarahi dapat merapatkan tali persaudaraan. Malah, kehadiran orang yang berziarah (bertamu) itu membawa rahmat kepada tuan rumah. Adat yang baik ini memberi kesempatan untuk kita berkunjung ke rumah kaum keluarga, sahabat, jiran ataupun sesiapa saja yang kita kenali, budaya ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan, mendapat peluang bertanya khabar. Sekiranya ada di kalangan kenalan kita yang diketahui ditimpa musibah dan sebagainya, kita berpeluang memberi sokongan moral dengan kehadiran kita. Oleh itu, sikap ziarah menziarahi ini boleh menyebabkan kita diberkati oleh Allah atas jalinan yang kita sambungkan.

"Barang siapa yang mahu diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim." (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Amalan menziarahi sangat ditekankan di dalam Islam, sekiranya niat menziarahi itu berdasarkan niat dan tujuan yang benar, Allah menjanjikan ganjaran yang besar. Hubungan yang terbina kerana Allah Ta’ala adalah setinggi-tinggi dan semulia-mulia hubungan yang dibina.

“Daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu. katanya: bahawa Rasulullah Salallahu’alahi Wa Sallam bersabda: Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Ta’ala, maka terdengarlah suara yang memanggil "Engkau melakukan kebaikan dan baik pulalah perjalananmu, serta engkau dapat menduduki tempat dalam syurga." (Hadis Hasan Riwayat Imam Tirmidzi)

Dan Rasulullah Salallahu’alahi Wa Sallam juga menggalakkan dieratkan hubungan silaturahim supaya wujudnya kasih dan sayang sesama saudara segama dalam sabdanya lain yang bermaksud:

"Orang-orang yang suka berkasih sayang sesama mereka akan mendapat kasih sayang Allah. Berbelaskasihlah kamu dengan penduduk bumi nescaya Allah yang berada di langit mengasihimu." (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi)

Namun, amalan berkunjungan ini jika tidak dibetulkan niatnya, secara tidak lansung boleh menjadi aspek negatif kepada tetamu yang berkunjung mahupun tuan rumah sekiranya menyebabkan mereka terjerumus dengan niat-niat yang terpesong.

Para tetamu yang berkunjung dengan niat mahukan duit raya atau bertanya khabar ala kadar sambil menunjuk-nunjuk kereta yang baru dibelinya sempena hari lebaran. Atau tuan rumah pula mungkin terlibat dalam pembaziran akibat anggapan bahawasanya hiasan dalaman rumah itu bakal menjadi satu cara menunjuk-nunjuk, bongkak dan riak. Hal ini berlaku kerana rumahnya itu bakal dikunjung oleh para tetamu yang terdiri daripada sanak saudara, rakan dan taulan, maka semestinya persediaan itu melibatkan kos yang tidak kurang banyaknya apabila ingin memberi imej yang mengagumkan kepada para tetamu yang datang berkunjung dari satu isi rumah kepada isi rumah yang lain.

Hanya kerana niat yang terpesong itu, sesuatu amalan yang bakal menempah syurga menjahanamkan si pelakunya ke jurang neraka. Nauzubillah. Semoga hati para tetamu dan tuan rumah dilindungi daripada perasaan-perasaan yang membinasakan.

Menziarahi Kuburan pada ‘Eidulfitri

Telah menjadi suatu budaya juga pada 1 Syawwal itu untuk umat Islam di Malaysia menziarahi tanah perkuburan. Sememangnya perkara ini dapat dilihat pada pagi 1 Syawwal bahawa orang ramai akan bertandang di tanah-tanah perkuburan. Jika dilihat dari aspek psikologikal, antara sebab mengapa orang ramai mengunjungi kubur mereka yang telah pergi meninggalkan yang hidup ialah disebabkan rakyat Malaysia telah biasa menyambut hari perayaan bersama ibu bapa, saudara mara yang mereka cintai, justeru apabila orang yang telah mereka cintai itu meninggal dunia, maka mereka yang masih hidup akan bertandang ke kubur-kubur orang-orang yang mereka cintai itu.

Selain itu, antara sebab mengapa orang ramai berkunjung ke tanah perkuburan pada hari perayaan ialah kerana kebanyakan orang kota yang sibuk ada yang hanya akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari perayaan, maka peluang yang ada digunakan untuk menziarahi kuburan yang telah lama tidak mereka kunjungi.

Maka, pada pagi 1 Syawwal itu, para peniaga mengambil peluang berniaga di tapak-tapak perkuburan, menjual buku Yassin, bunga rampai, air wangian, hatta botol yang disi air paip juga dijual pada mereka yang datang berlenggang. Hal sebegini menggalakkan lagi beberapa upacara untuk dilakukan di sekitar kuburan. Ada juga yang sempat mengadakan ‘mesyuarat’ sampingan bersama ahli keluarga untuk membaikpulih atau membangunkan tanah kuburan yang mereka kunjungi itu.

Ironinya, sekadar pembacaan yang terhad, tidak terdapat mana-mana dalil yang kuat dan sahih tentang amalan menziarahi orang yang telah meninggal dunia pada 1 Syawwal, atau pada hari eid. Malah jika difikirkan secara logik akal, ia juga agak bertentangan dengan roh ‘Eidulfitri itu sendiri yang menggalakkan umat Muhammad untuk bergembira, kuburan itu pula selalu disinonimkan dengan perasaan kesedihan. Menjadi lumrah mereka yang menziarahi kuburan akan menangisi pemergian pemilik kubur.

Amalan menziarahi kuburan pada hari perayaan ini juga umpama meniru amalan dan ritual agama Buddha pada hari perayaan QinMing, hari khusus bagi kaum Cina untuk menziarahi kubur bersama ‘peralatan-peralatan’ yang ingin ‘disampaikan’ kepada mereka yang telah meninggal dunia. Disebabkan asal usul menziarah kuburan pada hari perayaan ini tidak wujud dalam sejarah Islam, apakah ini bermaksud mereka yang mengamalkannya meniru amalan dan ritual penganut agama Buddha? Maka akhirnya kita kembali kepada persoalan adat vs. ibadat.

Akibat ritual-ritual sebegini saban tahun, kunjungan ke kuburan ini telah menjadi budaya di kalangan umat Islam di Malaysia, maka wujud pula beberapa ritual seperti tahlil, bacaan Yassin di kuburan bagi mengisi tentatif kedatangan ahli keluarga di kuburan walaupun tiada sebarang petunjuk wahyu yang jelas berkenaan ritual-ritual ini.

Walhal,apa yang perlu ditekankan berkenaan tujuan menziarahi kubur ialah supaya ia memberi manfaat kepada penziarah dan bukan orang yang telah meninggal dunia itu. Hal ini telahpun dijelaskan oleh Nabi Shallallahu'alaihi Wa Sallam yang bersabda:

"Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. "(Hadis Hasan Riwayat Imam al-Hakim)

Bak kata Shaikh Wahid Abdussalam Bali, “Bukan merupakan petunjuk Nabi s.a.w atau salah seorang sahabatnya mengkhususkan Hari Raya untuk berziarah kubur. Hari Raya adalah hari kegembiraan dan kesenangan, bukan hari kesedihan dan tangisan.Hari Raya adalah hari saling berkunjung orang yang masih hidup, dan bukan untuk mengunjungi orang yang sudah mati.” (474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, ms. 429).

Menjadi suatu kepentingan untuk dijelaskan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh para pengunjung kuburan:

(i) Membaca Qur’an (seperti surah Yasin) di kuburan

Nabi Shallallahu'alaihi Wasallam melarang membaca Quran di kubur seperti mana hadisnya yang bermaksud. “Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga bersabda:

“Laksanakanlah dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian jadikannya kuburan”.(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Pemahaman ringkas daripada hadis-hadis tersebut ialah bahawasanya perkuburan itu bukanlah tempat dibacanya al-Qur’an ataupun tempat didirikan solat, kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadikan perkuburan sebagai perumpamaan rumah yang tidak dibacakan al-Qur’an di dalamnya.

Sekiranya ahli keluarga ingin menghadiahkan bacaan al-Qur’an kepada ahli keluarganya yang telah meninggal dunia, dia boleh melakukannya di mana jua dan tidak semestinya perlu duduk di sebelah perkuburannya.

(ii) Bersandar di kubur-kubur

‘Amr bin Hazm al-Anshari radhiallahu ‘anh menceritakan: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat aku bersandar kepada sebuah kubur lalu baginda berkata: “Jangan menyakiti ahli kubur ini” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Perkara ini berpotensi berlaku akibat para tetamu yang menghadirkan diri di kuburan menjalankan ritual-ritual seperti membaca al-Quran di kuburan, maka ada yang bersandar di kubur-kubur akibat keletihan.

(iii) Membangunkan kuburan dengan hiasan

Menjadi kelaziman dan ikut-ikutan masyarakat Islam untuk membangunkan kuburan mereka yang telah meninggal dunia dengan batu simen, marmar yang ratusan dan ribuan harganya. Akibat tiada keselarasan, sesetengah tapak perkuburan akan berwarna warni, malah menjadi tempat kebanggaan ahli keluarga yang dapat membangunkan kubur keluarga mereka dengan pelbagai hiasan yang unik-unik.

Walhal perkara ini telah diharamkan oleh syarak sebarang perbuatan menghias, membuat batas, meninggikan tanah di atas kubur, memayungkan, mendirikan kubbah, bangunan, menulis apa pun tulisan dan mengecat kubur berdasarkan hujjah syarak dan fatwa Imam as-Syafie rahimahullah serta disokong pula oleh para ulamak di kalangan Syafiiyyah seperti Imam Ibn Hajar dan Imam Nawawi berdasarkan hadis-hadis yang jelas.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melarang dari mengkapur kubur, menulis di atasnya, membuat binaan di atasnya dan memijaknya. (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi)

Pengharaman ini juga boleh dilihat dari pelbagai sudut, tanah perkuburan kebanyakannya merupakan tanah wakaf yang telah diwartakan, justeru pengharaman mendirikan apa-apa binaan adalah berasas. Setiap binaan di atas tanah wakaf tanpa izin adalah dilarang di dalam Islam.

Yang dibenarkan hanyalah perbuatan meletakkan batu sebagai penanda untuk mengenali kubur umpama susunan batu berdasarkan tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang meletak batu di sebelah kubur ‘Utsman bin Mazh’un radhiallahu ‘anh (Hadis Hasan Riwayat Imam Abu Daud)

Kesimpulan

Ada baiknya untuk kita sama-sama menilai semula amalan ziarah menziarahi yang telah menjadi budaya oleh masyarakat Malaysia sekian lamanya, sama ada adat itu boleh dianggap ibadat, atau hanya adat yang merugikan si pelakunya. Hendaklah kita semua merenung kembali budaya dan ikutan selama ini, kerana dikhuatiri kita tergolong dalam golongan yang mengkhususkan kunjungan ke kuburan pada tempoh atau hari perayaan dalam Islam walhal ianya bertentangan dengan roh ‘Eid yang menuntut umatnya bergembira.

Oleh yang demikian, perbuatan ziarah-menziarahi sempena ‘Eidulfitri ini boleh menjadi rangkaian ibadah, pada masa yang sama boleh juga menempah dosa akibat daripada perbuatan dan budaya yang tidak berpaksikan kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Kunjungilah mereka yang masih hidup, dengan harapan mengeratkan ukhwah dan tautan cinta kerana Allah. Dan kunjungilah mereka yang telah pergi pada bila-bila masa, dengan harapan kita menyusul dengan berkat dan keredhaan Allah.

“Semoga Allah menerima (amal) dari kami dan dari kamu.”

Ibn Yusof
28 Ogos 2011 / 28 Ramadhan 1432

6:13p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Thursday, August 25, 2011

Lambaian Ramadhan Menyambut Syawwal


Ramadhan, bulan yang mulia ini akan berbaki.

Tatkala itu suasana Hari Raya akan terasa. Radio, televisyen pun sudah asyik dengan lagu-lagu raya.

Apakah agaknya kenangan dan amal yang kita tinggalkan dalam hari-hari yang berbaki ini selain puasa sehari-hari?

Tatkala orang-orang biasa sudah bergembira di ambang raya. Para ulamak dan orang-orang yang beriman sangat khuatir di hujung-hujung Ramadhan. Mereka khuatir tidak mendapat ampuan Allah, khuatir termasuk dalam doa yang diaminkan oleh orang yang dimakbulkan doanya,doa Rasulullah Sallallahu’alaihi Wa Sallam dalam hadis yang bermaksud.

Telah datang Malaikat Jibril dan ia berkata, "Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku (Rasulullah) berkata : ‘Amin’. [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari]

Masihkah adakah amal yang boleh kita lakukan dalam hari-hari Ramadhan yang berbaki ini?

Ya!

Mentransformasi RM7 dalam bentuk ibadah?

RM7 sangat besar nilainya di sisi Islam. Ianya dipilih sebagai kadar kepada Zakat fitrah di negeri Wilayah Persekutuan mahupun Selangor pada tahun ini. Dengan RM7 ini, seorang individu Islam dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dalam bentuk penyucian dan juga individu lain sebagai sumbangan.

Ibn Abbas Radhiyallahu 'anhuma berkata: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wa Sallam mewajibkan zakat fitri, penyucian bagi orang yang puasa dari perbuatan sia-sia, yang buruk dan (memberi) makanan bagi orang miskin" [Hadits Riwayat Imam Abu Daud dan Imam An-Nasa'i]

Zaman serba moden ini semakin memudahkan. Tidak memerlukan kita beratur menunggu giliran menunaikan zakat., tunaikan sahaja secara sms mahupun online, dengan hanya satu klik! Anda telah menunaikan satu ibadah daripada rukun Islam!

Beribadah seribu bulan bersamaan 83.4 tahun?

10 malam terakhir ialah klimaks di bulan Ramadhan. Bukan klimaks mengira hari berbaki untuk raya, bukan juga klimaks menguli tepung untuk kuih raya, tetapi klimaks dalam beribadah. Nabi beri’tikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadhan sehingga Allah mengambil nyawanya! Selepas baginda wafat, isteri-isterinya turut beriktikaf.

Namun, bak kata Imam Az-Zuhri:

“Aneh benar keadaan orang Islam, mereka meninggalkan i'tikaf padahal Rasulullah tidak pernah meninggalkannya sejak baginda datang ke Madinah sehingga baginda wafat" [al-I'tikaf Nazrah Taribawiyyah oleh Dr 'Abd al-Latif Balto]

Apa itu iktikaf? I’tikaf bermaksud duduk di masjid dalam rangka ibadah yang dilakukan oleh orang yang tertentu, dengan sifat atau cara yang tertentu dan pada waktu yang tertentu (Fathul Bari jld 4, hlm.344)

Hadirlah ke masjid, dan duduklah sebentar dalam rangka ibadah dan mengabdikan diri, hatta selama 1 jam maka dengan izin Allah ianya dianggap I’tikaf. Imam Nawawi menyebut : “Adapun tentang minima tempoh I’tikaf, pendapat yang benar yang diputuskan oleh majoriti ulamak ialah disyaratkan berada di dalam masjid, dan dibenarkan melakukannya dalam tempoh yang panjang mahupun pendek, hatta walau satu jam mahupun seketika” (al-Majmu’, jld.6, hlm.514)

Beribadahlah pada 10 malam terakhir untuk mencari satu malam yang misteri tarikh dan harinya, namun dinyatakan malam itu lebih baik dari seribu bulan, itulah malam al-Qadr atau Lailatul Qadr, malam diturunkan al-Quran.

Pilihan di tangan kita, mahu melambai pemergian Ramadhan dengan tangisan kegembiraan mendapat ampunan Allah, atau tangisan kerugian akibat gagal dan leka.

Wallahu'allam.

Ibn Yusof
20 August 2011 / 20 Ramadhan 1432
8.24 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Thursday, August 4, 2011

6 Cara Salah Mempromosi Puasa Kepada Non-Muslim


Malaysia dilahirkan sebagai sebuah masyarakat majmuk; berbilang bangsa, berbilang bahasa, berbilang agama dan berbilang budaya. Kepelbagaian kaum dan etnik ini mewujudkan pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Antara tiga kaum utama di Malaysia ialah Melayu, Cina, dan India. Hidup dalam masyarakat majmuk ini memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk berdakwah kepada bukan Islam tentang ajaran Islam dalam hal ehwal spritual yang fundemental dan kepercayaan sehinggakan kepada aspek ritual seperti tuntutan solat, puasa, haji, zakat dan lain-lain.

Tuntutan serta ritual dalam ajaran Islam itu menggambarkan imej ajaran Islam secara lansung dan implementasinya oleh umat Islam khususnya di Malaysia akan menjadi perhatian golongan mad'u (orang yang ingin didakwahi). Sekiranya ritual serta tuntutan ajaran yang dilakukan itu dibuat secara sonsang, maka sonsanglah pemahaman golongan mad'u terhadap makna sebenar ajaran atau ritual tertentu.

Dalam sekian banyak ibadah ritual yang dipraktikkan oleh umat Islam seluruh dunia, ibadah puasa pada bulan Ramadhan berpotensi dijadikan sarana dakwah, namun tidak mustahil ia juga boleh menjadi salah satu dari sekian banyak salah faham terhadap ajaran Islam atas sebab-sebab yang dilakukan oleh umat Islam sendiri. Berikut disenaraikan beberapa perkara yang perlu ditelusuri oleh umat Islam sebagai pembawa mesej Islam dalam diri masing-masing.

1) Menjadikan ibadah puasa sebagai alasan membingitkan suasana suhur
Al-Sahar bermaksud lewat malam. Manakala al-Suhur bermaksud makanan yang dimakan ketika bersahur. Al-Suhur pula bererti perbuatan dan akta terbitan dalam memakan makanan itu.Menjadi suatu sunnah yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa untuk bangun di awal pagi dan bersuhur, walaupun dengan seteguk air kerana dengan bersuhur, kita dapat membezakan ibadah puasa pada hari itu dengan puasa ajaran agama lain. Dari 'Amru bin Al-'As, sesungguhnya Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam bersabda:-

"Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah makan sahur".( Hadith Riwayat Imam Muslim no.1096)

Dalam memastikan orang ramai yang ingin berpuasa bangun untuk bersuhur, maka segala macam inisiatif dibuat oleh sesetengah pihak. Ada beberapa masjid atau surau yang memasang bacaan Quran, ada pula yang membuat pengumuman menggunakan pembesar suara masjid, ada juga yang sanggup mengetuk pintu-pintu rumah, memasang selawat dan lagu-lagu nasyid, tidak kurang pula yang menjerit-jerit "Sahur! Sahur!".

Semua contoh di atas dibuat dengan tujuan yang satu, membangunkan orang ramai dari tidur supaya bersuhur. Apakah wajar cara-cara yang disebutkan di atas dari sudut pandang Islam? Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi pernah mengingatkan dengan berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar” (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Dinukilkan daripada artikel asal Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bertajuk “Bacaan Selain Azan Di Pembesar Suara Patut Dihentikan”).

Sekiranya perkara-perkara yang disebutkan di atas ittu ditegah, semestinya para pembaca tertanya-tanya bagaimana seharusnya suasana bersuhur itu yang sewajarnya dari kaca mata Islam? Apakah ianya diajarkan oleh Nabi? Apa yang ditunjukkan pada zaman Nabi untuk kita teladani, yang dilakukan oleh Nabi adalah dengan melaksanakan dua kali azan. Azan pertama untuk menunjukkan masih dibolehkannya makan dan minum. Adzan kedua untuk menunjukkan diharamkannya makan dan minum. Hal ini dapat dibuktikan melalui hadis Nabi yang bermaksud:

“Janganlah menahan kamu dari makan dan minum oleh azannya Bilal, tetapi terus makan dan minumlah kamu sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azannya”( Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.).

2) Menjadikan ibadah puasa sebagai alasan datang lewat dan balik awal di tempat kerja/belajar




Menjadi kebiasaan sesetengah pihak untuk tidur selepas suhur dan solat subuh, maka kekenyangan sewaktu suhur menjadikan badan dan perut yang penuh itu lena. Akibatnya, ada yang terlewat ke tempat kerja atau kuliah belajar.

Perkara ini akan lebih jelek dan merosakkan imej Islam sekiranya kekerapan lewat itu berulang saban hari dengan alasan yang sama. Namun apabila tiba waktu pulang, pekerja atau pelajar inilah yang ingin pulang awal, alasan yang sama akan diguna pakai yakni perlu pulang awal untuk membeli atau menyiapkan juadah untuk berbuka puasa.

Ada juga sesetengah pejabat yang hanya memberi kelonggaran kepada golongan pekerja Muslim, maka semestinya golongan bukan Islam akan tidak berpuas hati dengan pekerja Muslim sekiranya ada yang datang lewat dan pulang awal. Bagi pekerja atau pelajar yang mempunyai pegawai atasan atau pensyarah yang bukan beragama Islam, hal sebegini boleh memberi suatu persepsi yang negatif bahawa bulan berpuasa bakal menjadikan individu Muslim itu semakin tidak berdisiplin dari menepati masa.

3) Menjadikan ibadah puasa sebagai punca tidak produktif dan malas


Sebut sahaja orang Islam, maka akan terbayang dalam otak sesetengah mereka yang bukan Islam, seorang Melayu, pemalas, tidak maju dan berdaya saing, hanya mengharap subsidi kerjaan dan macam-macam lagi benda yang negatif. Itulah persepsi sesetengah mereka yang bukan Islam terhadap orang Islam (Melayu) di negara ini. Inilah realiti yang perlu umat Islam di Malaysia khusunya hadam walaupun pahit. Pada bulan ini pula, ada sesetengah individu Muslim suka menjadikan ibadah puasa sebagai alasan untuk membenarkan persepsi di atas.

Seseorang individu yang berpuasa semestinya akan merasa lapar dan dahaga, apabila kurang darah disalurkan kepada kawasan yang mana sistem penghadaman berfungsi, maka menjadi lumrah seseorang itu berasa lemah.Namun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk seorang Muslim itu untuk tidak produktif dalam perkerjaan sehariannya. Mereka yang tidak produktif seperti tidur pada waktu berkerja atau bermalas-malas dalam kerja seharian, ada juga yang curi tulang dengan bersolat Zohor dan Asar dengan waktu yang lama supaya campur tolak waktu kerjanya menjadi berkurangan. Apakah perkiraan individu Muslim yang tidak amanah sebegini dapat mencapai objektif ibadah puasa dalam melahirkan insan yang bertaqwa?

Sewajarnya individu Muslim sebegini berasa malu dengan fakta-fakta sejarah (sirah) Islam ketika Ramadhan yang mana hampir kebanyakan peperangan yg pernah berlaku ketika dahulu dalam usaha menyebarkan atau mempertahankan Islam berlaku pada bulan yang mulia ini.

Tatkala tentera Islam dahulunya menggali parit yang sangat dalam di sekeliling kota Madinah sepanjang Ramadhan untuk menghalang tentera musuh dari menceroboh dan menyerang Madinah pada Perang Khandak (parit) yang berlaku pada tahun ke 5 Hijrah, apakah wajar untuk golongan Muslim zaman ini bermalas-malas dan bersikap tidak produktif, malah melukis peta kemenangan di bantal.? Sebaliknya, jika umat Islam zaman ini dapat meneladani semangat dan ketekunan Nabi dan para Sahabat yang terlibat dalam beberapa peperangan dan menggali parit yang dalam itu pada bulan mulia ini dan menterjemahkannya ke dalam kerja harian, semestinya perkara ini dapat dijadikan contoh yang baik kepada rakan sejawat/sekuliah atau orang atasan yang bukan Islam.

4) Menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan pesta makanan


Masyarakat bandar yang secara umumnya berkerja dan tidak berkesempatan menyediakan juadah berbuka puasa menjadi penyebab utama mengapa bazar Ramadhan tumbuh bagai cendawan selepas hujan terutamanya di kawasan bandar.

Tidaklah menjadi kesalahan para pembeli mahupun para penjual yang berniaga pada bulan Ramadhan. Namun lambakan gerai-gerai penjualan makanan serta minuman ini menjadi antara sekian banyak sebab persoalan tarbiyah serta roh Ramadhan itu sendiri. Hasilnya, golongan agamawan terpaksa menjadikan tajuk pembaziran sebagai salah satu topik hangat dalam tazkirah dan ceramah mereka. Pesta makanan sebegini secara tidak lansung memberi manfaat kepada golongan bukan Islam termasuk para pelancong untuk mencari dan menikmati segala macam jenis hidangan di bumi Malaysia, maka terbentuklah di minda pemikiran mereka bahawa bulan Ramadhan ialah bulan pesta makanan yang ditunggu-tunggu.

Di peringkat umum, topik apa yang dimakan ketika suhur, apa yang dimakan ketika berbuka menjadi topik perbualan utama sehari-hari. Dalam erti kata lain, topik mengenai makananlah yang paling banyak dibincangkan apabila tiba bulan puasa. Sudah tiba masanya kita membetulkan mentaliti kita berkenaan puasa itu sendiri, tentang apakah ibadah puasa itu mengajar kita bagaimana caranya mengawal nafsu dan menambahkan amalan, atau sebaliknya? Bak kata sesetengah orang, bazar Ramadhan atau bazir Ramadhan! Sama-sama kita renungkan.

5) Menganggu keselesaan mereka disebabkan bazar Ramadhan dan aktiviti solat Tarawih


Apabila tiba waktu Ramadhan, maka keadaan trafik akan menjadi sesak di sebelah petang akibat orang ramai berpusu pergi ke bazar Ramadhan, manakala malamnya pula masjid dan surau akan diserbu oleh orang ramai untuk menunaikan solat fardhu dan solat sunat tarawih. Perkara ini tidak hanya menjadi bual bicara orang bukan Islam, malahan golongan Muslim sendiri ada yang merungut dengan keadaan yang sesak ini disebabkan lambakan bazaar dan ketika ke masjid atau surau untuk solat, terutama di pusat-pusat bandar.

Perkara ini dilihat ketara apabila para pembeli yang singgah di bazar Ramadhan meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sewenangnya kerana inginkan kemudahan supaya hampir dengan bazar, ada juga yang hanya sekadar mengikut perlakuan pemilik kenderaan lain. Tatkala malam hari pula, perkara yang sama berlaku apabila orang ramai yang menghadiri masjid dan surau, justeru lambakan kenderaan berlaku di masjid atau surau yang kecil. Maka akan ada pula yang meletakkan kenderaan di bahu jalan, ada juga yang meletakkan kenderaan di hadapan pintu rumah penduduk setempat dengan sangkaan sekiranya rumah itu dihuni oleh orang bukan Islam, mereka tidak akan keluar rumah untuk ke mana-mana. Mentaliti sebegini menyebabkan hak-hak orang bukan Islam itu dinafikan sedemikian rupa sehingga mampu melahirkan persepsi bahawa orang Islam yang pergi menunaikan solat di masjid atau surau hanya tahu ‘menyusahkan orang lain’. Tidakkah memalukan sekiranya pihak masjid atau surau terpaksa membuat pengumuman supaya kenderaan yang diletakkan dapat dialihkan akibat menghalang orang bukan Islam untuk keluar dari rumah yang mereka diami?

Hak-hak jalan ini tidak hanya merujuk pada waktu bazar Ramadhan sahaja, namun pada bulan-bulan lain serta situasi-situasi lain juga. Dalam Islam, jalan-jalan ini memiliki hak-haknya yang perlu ditunaikan.

Imam Nawawi rahimahullah pernah menjelaskan tentang hak-hak jalan ketika member komentar tentang sepotong hadis tentang hak-hak jalan berkata: “Turut termasuk perbuatan menyakiti orang lain adalah bila menyempitkan jalan orang-orang yang ingin melintas, atau menghalang para wanita, atau selainnya yang ingin keluar menyelesaikan keperluan mereka disebabkan ada orang-orang yang duduk di jalanan.” (Imam Nawawi, Sharah Shahih Muslim, jld. 14 hlm.120). Dalam Islam, jiran tetangga mempunyai hak untuk dihormati dan tidak boleh disakiti walaupun mereka bukan Islam.

6) Menuntut mereka juga 'berpuasa'

Pandangan sinis dan tajam akan diberikan kepada mereka yang bukan Islam sekiranya mereka makan atau minum di hadapan orang Islam yang sedang berpuasa. Suasana berpuasa itu menuntut golongan bukan Islam yang ‘curi-curi’ makan di pejabat, dewan kuliah hatta cafeteria dipandang sinis.

Sudah ramai orang bukan Islam yang faham tentang ibadah puasa yang dilakukan oleh orang Islam, umumnya faham bahawa orang Islam tidak akan makan dan minum di siang hari. Dengan kefahaman sedemikian, ada juga yang minta izin pada orang Islam untuk makan dan minum pada waktu siang ketika terserempak dengan rakan-rakan mereka yang Islam.

Kadang kala orang Islam tidak berlaku adil pada orang bukan Islam hanya kerana keinginan kita mewujudkan suasana berpuasa. Justeru janganlah pula kewajiban berpuasa itu ditaklifkan atas mereka yang bukan Islam sedangkan makan dan minum di siang hari itu ‘harus’ atas mereka.

Dakwah melalui puasa?

Puasa itu tidak hanya disyariatkan kepada umat Islam, sejarah peradaban manusia membuktikan bahawa amalan berpuasa ini juga telah dipraktik oleh golongan terdahulu seperti di zaman Mesir kuno, Yunani Greek, bangsa Romawi dan China kuno, malahan amalan berpuasa juga wujud dalam agama-agama lain seperti Yahudi, Kristian, Buddhism dan Hinduism.

Fakta tersebut membolehkan umat Islam menjadikan amalan berpuasa itu sebagai satu bahan dakwah dengan menunjukkan puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi. Namun sekiranya amalan berpuasa itu menjadi punca orang bukan Islam semakin menyalah fahami imej dan ajaran Islam, maka rugilah umat Islam dalam menjadikan ibadah puasa ini sebagai peluang dakwah.

Oleh itu tidak sukar untuk memahami ‘kegagalan usaha dakwah’ di Malaysia ini. Bukan kerana kita tidak berkongsi cerita tentang apa itu Islam kepada orang non-Muslim. Tetapi 'kegagalan sebenar' ialah kita sebagai umat Islam gagal menjadi contoh yang baik kepada orang non-Muslim. Justeru, sekurang-kurangnya, umat Islam di Negara majmuk seperti Malaysia ini wajar memanfaatkan ruang dan peluang dengan menterjemahkan ibadah puasa ini sebagai amalan yang menjadikan manusia itu insan yang lebih baik dari bulan-bulan sebelumnya agar mereka dapat melihat potensi dalam ajaran yang dituntut dalam agama Islam.

Ibn Yusof
4 Ogos 2011 / 4 Ramadhan 2011
4.30 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com