Sunday, May 22, 2011

Keistimewaan Dalam Turun Naik Bayaran Ansuran Bulanan Di Perbankan Islam



Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan badan kawal selia yang mempunyai kuasa untuk mengawal turun naik Kadar Dasar Semalaman (OPR), OPR sebagai penanda aras penetapan kadar pinjaman asas (BLR) oleh perbankan konvensional ataupun kadar pembiayaan asas (BFR) oleh perbankan Islam. Kadar Dasar Semalaman (OPR) merupakan satu-satunya penunjuk pendirian dasar monetari yang diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan selepas setiap mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari. Dalamm erti kata lain, BNM menggunakan OPR sebagai peralatan untuk mengawal inflasi, tekanan inflasi hanya dapat dibendung dengan menaikkan OPR.

Turun naik OPR ini tidaklah dibuat sewenang-wenangnya, akan tetapi ianya diputuskan selepas BNM mengambil kira kedudukan ekonomi semasa serta memastikan sebarang perubahan ke atas OPR itu tidak memberi impak ataupun mengehadkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekaligus menyokong kerancakan kegiatan ekonomi. Dalam bahasa mudahnya, OPR ini ialah kadar pinjaman atau faedah di antara bank-bank. Sebagai contoh, Bank A memerlukan pinjaman (akibat kekurangan kecairan) makanya Bank A akan meminjam dengan Bank B, justeeru kadar faedah yang dikenakan oleh Bank B kepada Bank A ialah mengikut kadar faedah yang telah ditetapkan oleh BNM yang dinamakan sebagai Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate. Adapun BLR ialah kadar faedah yang dikenakan oleh perbankan komersial ke atas para pelanggan (publik) yang membuat pinjaman daripada mereka. Oleh itu OPR adalah lebih rendah daripada BLR. BLR dan BFR dikira menggunakan formula yang sama, cuma sahaja sekiranya pihak perbankan konvensional menggunakan terma pinjaman,(lending) adapun perbankan Islam menggunakan terma pembiayaan (financing) dalam formula yang diguna pakai. Oleh itu kita akan lihat perubahan atas BLR adalah sama dan seiring dengan perubahan BFR. Kadar BLR ataupun BFR hanyalah kadar asas dalam menentukan kadar yang pihak bank ingin kenakan ke atas pihak pelanggan.

Justeru sebarang perubahan (umumnya merujuk kepada kenaikan) atas OPR akan menyebabkan susulan kepada kenaikan kadar faedah di perbankan tempatan. Semua teori yang dijelaskan ini barangkali tidak dapat menarik minat orang awam untuk menelusuri dengan lebih dalam. Namun mereka yang mempunyai hubungan dengan bank sebagai pemberi pinjam (borrower) dan peminjam (lender) dalam kes perbankan konvensional ataupun selaku penjual (seller) dan pembeli (buyer) dalam kes perbankan Islam semestinya berminat untuk mengetahui impak atas bayaran ansuran bulanan mereka kepada pihak Bank disebabkan perubahan OPR serta BLR dan BFR ini. Kenaikan kadar OPR yang signifikan menyebabkan pihak bank tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan juga kadar BLR dan BFR mereka.

Perubahan Bayaran Ansuran Bulanan

Perubahan atas BLR ataupun BFR oleh pihak bank mengakibatkan perubahan dalam ansuran bulanan bagi memastikan akaun hutang pihak pelanggan kepada pihak bank selesai berdasarkan tempoh pembiayaan. Disebabkan kenaikan kadar yang signifikan, maka jumlah bayaran ansuran bulanan pelanggan sedia ada mungkin tidak cukup untuk memastikan pinjaman atau pembiayaan dijelaskan dalam tempoh yang dipersetujui.

Justeru, perlu difahami bahawa ada dua pilihan yang akan diberikan kepada pihak pelanggan, sama ada mengikut perubahan bayaran ansuran yang baru mengikut kadar semasa (Contoh: Pindaan ansuran bulanan dari RM500 kepada RM700) ATAU bayaran ansuran bulanan dikekalkan (contoh kekal RM500 sebulan) dan memanjangkan tempoh bayaran (contoh selama 2 tahun).

Jika dalam perbankan Islam, harga jualan oleh pihak bank tetap tidak berubah (cth:di awal kontrak bank bersetuju untuk menjual rumah itu pada harga RM100,000 dengan bayaran ansuran RM500 sebulan selama 200 bulan). Perubahan bayaran ansuran tidak mengubah harga yang telah dipersetujui. ADAPUN di perbankan konvensional, perubahan kadar pinjaman asas (BLR) akan menyebabkan perubahan ansuran, tetapi akibat tiada harga jualan (selling price) di awal kontrak dan perjanjian bergantung kepada kadar pinjaman asas (BLR) semasa, makanya pelanggan terpaksa membayar ansuran mengikut turun naik BLR, akibatnya pelanggan HANYA akan mengetahui jumlah sebenar pembayaran yang dibuat kepada bank selepas selesai tempoh pembayaran (di akhir tempoh pembayaran, dikira semula jumlah yang dibayar kepada pihak bank, maka itulah harga jualan bank kepada pelanggan).

Hubungan Bayaran Ansuran Bulanan Dan Harga Jualan

Kesimpulan penting yang dapat kita fahami dalam contoh di atas ialah, sekiranya anda membuat pinjaman dengan perbankn konvensional, perubahan kadar BLR akan menyebabkan kadar faedah yang lebih tinggi dikenakan dan juga tempoh pembayaran mungkin dilanjutkan. Manakala jika pembiayaan dibuat menggunakan skim yang ditawarkan oleh perbankan Islam, jumlah keuntungan yang dikenakan tidak akan berubah, hanya sahaja tempoh pembiayaan yang berkemungkinan dilanjutkan. Semua ini disebabkan perbankan Islam meletakkan harga jualan yang jelas di awal kontrak (adapun harga jualan yang diletakkan di awal kontrak oleh perbankan konvensional hanyalah berdasarkan kadar pinjaman asas (BLR) semasa). Atas sebab ini dapat kita lihat bahawa ramai yang mudah tertarik dengan promosi perbankan konvensional yang menjanjikan kadar faedah yang rendah (kadar faedah semasa) sekaligus menjadikan harga jualan (anggaran) mereka lebih murah jika dibandingkan dengan tawaran harga jualan (tetap dan pasti) oleh perbankan Islam.

Namun, perlu difahami bahawa tidak semua produk dalam perbankan Islam yang terkesan dengan kenaikan BFR, hanya produk yang menggunakan pembiayaan kadar boleh ubah (Variable Rate Financing) sahaja yang akan terkesan. Namun harga jualan (selling price) antara pihak bank dan pihak pelangan di awal kontrak tidak terjejas (atau berubah). Jika ditanya mengapa perbankan Islam menetapkan kadar peratusan yang tetap, selain tuntutan kontrak bagi mendapatkan harga jualan yang jelas, perlu difahami bahawasanya dalam melakukan transaaksi, harga merupakan elemen penting dan merupakan salah satu daripada rukun akad.

Mekanisme Kadar Boleh Ubah di Perbankan Islam

Atas sebab itulah perbankan Islam wajib meletakkan harga jualan di dalam kontrak (akad) jual belinya. Harga hendaklah ditetapkan ketika akad dibuat dan bukannya setelah selesai melakukan jual beli. Hal ini dapat mengelak mana-mana pihak berkontrak mengubah ketetapan harga pada saat-saat akhir sehingga boleh menyebabkan pertelingkahan dalam jual beli. Sila rujuk rajah ringkas di bawah bagi memahami bagaimana mekanisme Kadar Boleh Ubah secara Islam dalam produk pembiayaan oleh perbankan Islam:

(i) Kadar bayaran ansuran bulanan yang tetap sepanjang tempoh pembiayaan berdasarkkan Kadar Keuntungan Efektif (Effective Profit Rate; EPR) seperti mana dipraktikkan oleh perbankan konvensional.

(ii) Harga jualan ditentukan oleh Kadar Keuntungan Siling (Contracted Profit Rate;CPR).

(iii) Ibra’ / diskaun akan diberikan oleh bank kepada pelanggan sekiranya pembayaran dilangsaikan lebih awal dibuat berbanding tempoh kontrak, lebihan dalam pembayaran dan perbezaan antara EPR dan CPR.

(iv) Kadar EPR yang paling tinggi tidak dapat melebihi (is capped) pada harga jualan (CPR) seperti mana yang dipersetujui oleh pihak Bank dan pelanggan di awal kontrak.

(v) Pelanggan memperoleh kelebihan kerana dapat mengurangkan keuntungan yang dicaj oleh pihak bank (perbezaan antara EPR dan CPR akan diberi rebat, dan juga tatkala EPR melebihi CPR akan hanya dicaj di CPR).

Tatkala Kadar Keuntungan Efektif (Effective Profit Rate; EPR) melebihi Kadar Keuntungan Siling (Contracted Profit Rate;CPR) seperti dalam gambar rajah di atas, caj yang dikenakan sebagai EPR adalah bersamaan dengan CPR. Maka di sini jelas bahawa CPR berperanan sebagai caj kadar keuntungan maksimum yang boleh dikenakan oleh bank kepada pelanggan.Caj bayaran ansuran bulanan pelanggan sekiranya tidak dinaikkan,tempoh pembiayaan boleh dilanjutkan tanpa akad baru (rescheduling) dengan memasukkan klausa tersebut dalam tatacara perjanjian antara pelanggan dan pihak bank.

Kesimpulan

Menggunakan mekanisma ini, pelanggan boleh menikmati kadar rebat atau diskaun (ibra’) dalam pembayarannya. Aspek-aspek penting ini menjadikan produk perbankan Islam jauh lebih baik dan selamat daripada produk perbankan konvensional.

Oleh itu, para ulamak tidak sahaja mengharamkan pinjaman di perbankan konvensional tidaklah hanya disebabkan oleh unsur riba (faedah atau bunga) yang dikenakan, namun contoh di atas membuktikan wujudnya unsur gharar (ketidak jelasan) dari sudut harga jualan yang dicaj kepada pihak pelanggan sehingga mengakibatkan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar kepada bank konvensional tidak akan dapat diketahui hanya sehingga tempoh pinjaman itu tamat.

Maka fakta yang perlu kita ambil peduli ialah, pada saat negara mengalami inflasi atau bahasa mudahnya krisis ekonomi, maka pembayaran yang dibuat boleh para pelanggan bank konvensional hakikatnya adalah lebih tinggi dan mahal berbanding para pelanggan perbankan Islam, itulah akibatnya apabila wujud ketidak jelasan harga aset dalam produk pinjaman perbankan konvensional.

Semoga perkongsian ini bermanfaat, buat mereka yang mengambil berat.

Ibn Yusof
23 May 2011 / 10 Jumada al-Thani 1432

12:56 a.m

www.ibnyusof.blogpsot.com


2 comments:

stage nalyum said...

Salam..
Boleh saya tahu apa perbezaan antara blr dan bfr?

Ibn Yusof said...

Salam,

stage nalyum: BLR dan BFR adalah sama dari sudut turun naiknya akibat formulanya adalah sama.

Atas sebab itu apabila BLR naik, BFR juga akan naik dengan kadar yang sama. BFR hanya terminologi yang diguna pakai oleh perbankan Islam - Based Financing Rate sebab perbankan Islam tidak menawarkan loan maka tidak cocok mengguna Based 'Lending' Rate.