Tuesday, January 25, 2011

Soal Jawab Produk Perbankan Islam & Takaful (Siri 1)

PERBEZAAN DI ANTARA PERBANKAN ISLAM & KONVENSIONAL?

Soalan:

Saya ada bertanya kepada pegawai bank yang menguruskan loan saya, apakah perbezaan Islamic loan dengan yang tidak Islamik? Pegawai bank itu menjawab bahawa kedua-duanya (antara konvensional dan Islamic) tiada beza, hanya pada nama sahaja. Malah pegawai bank itu menambah atas sebab itu panel-panel dari luar negara mengkritik sistem kewangan Islam dan tidak pernah mengiktirafnya. Bukankah ini menjadikan sistem itu gharar (ketidak jelasan) kerana meniaga tetapi tidak diketahui apa yang ‘diniagakan’?

Jawapan:

1) Perbankan Islam tidak pernah (setakat ini) menawarkan loan (pinjaman). Adapun yang ditawarkan oleh perbankan Islam ialah financing (pembiayaan) yang beridiri atas konsep al-bay' atau jual beli. Ini antara perbezaan total antara dua sistem perbankan seperti yang termaktub dalam akta pendefinisian perbankan konvensional dalam BAFIA 1989 dan perbankan Islam dalam IBA 1983.

2) Sememangnya antara cabaran utama perbankan Islam ialah mereka yang menjaga kaunter hadapan (frontier) perlu mempunyai ilmu yang cukup untuk menjelaskan dengan baik dan tepat. Tetapi sekiranya mereka salah dalam memberi informasi, ia tidak akan memberi kesan kepada akad/kontrak secara keseluruhan.Maka tidak timbul isu gharar dalam akad.

3) Sekiranya akad dibuat, dalam dokumentasi dan terma dan syarat-syarat telahpun menjelaskan secara terperinci modus operandi AITAB dan tanggungjawab kedua-dua belah pihak. Maka menjadi kesalahan kepada pihak bank jika tidak menjelaskan dengan cara terbaik dan menjadi kesalahan pelanggan juga jika tidak bertanya sebaik mungkin untuk dapatkan informasi yang tepat sebelum bersetuju mengambil pembiayaan yang dipersetujui.

4) Pelanggan selalu menyalahkan pihak bank atas informasi yang tidak lengkap, walhal semuanya telah termaktub secara jelas di bahagian terma dan syarat dalam dokumentasi, maka pihak pelanggan juga perlu faham apa yang tanggungjawab yang mereka persetujui sebelum menurunkan tandatangan.Wallahu'allam.

5)Ya, memang kebiasaan untuk orang yang tidak tahu bertanya. Barangkali dalam kes di atas anda tersalah tanya kepada orang yang tidak tahu/jahil. Bertanya di kaunter pertanyaan itu satu perkara, tetapi itu fasa pertama, fasa kedua selepas mengambil keputusan untuk ambil pembiayaan di bank tersebut, barulah kita berjumpa dengan 'officer in charge' untuk sebarang urusan dokumentasi, makanya 'officer in charge' lebih faham dan berilmu kerana pembiayaan kereta adalah apa yang diuruskan sehari-hari.

Maka saya nasihatkan terus berjumpa dan bertanya 'officer in charge' berbanding bertanya di kaunter hadapan. Justeru ada baiknya 'dibuat laporan' mengenai officer in charge tersebut JIKA benar dia memberi informasi yang salah dan menyeleweng. Al-Maklum, tidak semua pekerja di perbankan Islam ini berkerja dalam rangka memahami ianya suatu bentuk ibadah dengan menyelamatkan umat Islam yang lainnya daripada dosa riba, apa yang mereka tahu ialah mereka makan gaji sahaja. Majoriti pekerja di perbankan Islam rata-ratanya sudah bertahun lamanya berpengalaman berkerja di perbankan konvensional. Maka pola fikir mereka mengambil masa yang lama untuk 'dibentuk'.Atas sebab itu mereka ini kadang kala menjadi 'fitnah' kepada sistem yang dianggap Islamik ini.

Justeru pemantauan yang berkala sememangnya ada dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyiasat dan menyelidik tahap kefahaman tentang sejauh mana kefahaman para pekerja yang menjual produk perbankan Islam. Hal ini dilakukan bagi memastikan penawaran dan informasi yang diberikan kepada pelanggan adalah tepat sesuai dengan produk yang ditawarkan oleh pihak bank. Daripada penyelidikan dan pemantauan yang dibuat, pihak bank akan diberikan keputusan tahap kesedaran dan pemahaman para pegawai mereka dan diarahkan memberikan pemahaman yang mendalam dari semasa ke semasa.

KAD KREDIT ISLAMIK?

Soalan:

Sejauh manakah kemampuan kad kredit Islamik untuk menggantikan kad kredit ribawi (konvensional) dari sudut global? Kerana hampir semua transaksi terutamanya yang melibatkan internet mengguna pakai kad kredit.

Jawapan:

Ada benarnya kerana sewaktu perbankan Islam masih belum wujud, perbankan konvensional telah terlebih dahulu menawarkan kad kredit berserta kaedah caj faedah yang dikenakan daripada jumlah had yang diguna pakai oleh pemegang kad. Pada waktu itu sememangnya ada pandangan sesetengah para ulamak mengatakan dibolehkan menggunakan selagi mana berjaya menjelaskan kesemua jumlah 'pinjaman' hasil penggunaan kad itu tanpa dikenakan sebarang caj faedah (riba).

Tetapi mungkin halnya lain apabila sudah wujud perbankan Islam berserta kad kredit Islamik menggunakan konsep sama ada Bay al-Inah, Tawarruq, Ujrah (upah), Wakalah (perwakilan), dan Hiwalah (pemindahan hutang). Justeru menggunakan kad kredit konvensional boleh dipersoakan seperti mana soalan seterusnya.

Soalan:

Adakah boleh seorang Muslim menggunakan kad kredit konvensional dan membayar tepat pada waktunya (sekaligus membuatkan pemegang kad mengelak caj riba yang dikenakan)?

Jawapan:

Ianya bergantung pada situasi, dalam perbincangan di atas, mungkin ada yang menggunakan hujah darurat.Wallahu'alam. Tetapi dalam menjawab, elok kita pergi kepada hukum asal (menggunakan kad kredit perbankan konvensional ketika adanya perbankan Islam selaku medium alternatif). Maka antara hujah yang diketengahkan ialah keharusannya berubah-ubah bergantung kepada individu. Jika ada yang berkata boleh menggunakannya dengan syarat bayar 'on time' supaya tidak dikenakan caj riba, tetapi itu tidak tertakluk kepada semua individu (sebab ada yang berkemampuan bayar pada waktunya dan ada yang tidak).

Tetapi jika dilihat fatwa-fatwa para ulamak (juga Shaikh Bin Baz dan Shaikh Utsaimin) serta ulamak kontemporari kewangan Islam, mereka mengeluarkan fatwa bahawa tidak boleh terlibat secara lansung (melakukan apa jua bentuk transaksi) dengan perbankan konvensional yang berdiri atas sistem riba. Fatwa-fatwa ini dilihat konsisten dari sudut Maqasid Syariah atas sebab tiada apa-apa kebaikan mendokong dan menolong produk perbankan konvensional pada ketika telah wujudnya perbankan Islam sebagai alternatif (di sebalik ketidak sempurnaannya yang masih boelh ditoleransikan hatta menggunakan kad kredit berkonsep Bay al-Inah, jika dibandingkan dengan kad kredit konvensional yang jelas keharamannya).

PEMBIAYAAN KERETA YANG DITAWARKAN DI PERBANKAN ISLAM

Soalan:

Dalam konsep/kaedah sewa beli kenderaan ni, perbank konvensional juga turut menawarkan produk untuk membeli kereta. Jadi di mana titik perbezaan di antara keduanya?Atau kedua-duanya boleh diterima?

Jawapan:

Majoriti perbankan dalam menawarkan pembiayaan kereta menggunakan konsep AITAB (Al-Ijarah Thumma Al-Bay), dalam bahasa mudahnya sewa kemudian beli. Maka secara teori mudahnya bank beli terlebih dahulu kemudian sewakan kepada kita sehingga tempoh akhir pembiayaan, dijual kepada kita pada kadar atau nilai nominal kereta pada akhir tempoh pembiayaan. Maka ada dua kontrak,

(i) Kontrak Ijarah (sewaan); dan

(ii) Kontrak Al-Bay (Belian).

Secara teori apa yang difahami perbezaan jelas antara Sewa Beli konvensional dan pembiayaan AITAB ialah dari sudut kontrak/akad. Jika dalam Sewa Beli konvensional maka hanya satu dokumen mewakili sewa beli. Walhal ...dalam perbankan Islam yang gunakan konsep AITAB (Kontrak Ijarah dan kontrak al-Bay) maka tidak boleh disatukan, kerana sekiranya disatukan dalam satu kontrak akan termasuk dalam larangan 'dua akad dalam satu akad' yang dilarang di dalam hadis.

BEZA 1: KONTRAK

Makanya perbezaannya wujud dua kontrak:

Fasa 1: Kontrak Sewa (Ijarah)- menunjukkan pelanggan menyewa kereta itu daripada pihak bank

Fasa 2: Kontrak Jual Beli (Al-Bay) - di hujung tempoh pembiayaan, pihak bank akan menjual kepada pihak pelanggan dengan harga/nilai nominal (adapun perbincangan pre-signing/tanda tangan terlebih dahulu kemudian hanya menggunakan panggilan sebagai syarat menjual yang dipraktik di sesetengah bank, perbincangan panjang).

Adapun perbankan konvensional, bank akan berikan satu dokumen yang merujuk kepada akad sewa dan beli di bawah Hire Purchase Act 1967.Secara ringkas, kontrak perbankan konvensional dua dalam satu akad, sewa beli. Adapun dalam perbankan Islam dua kontrak diasingkan, kontrak sewaan terlebih dahulu sebelum kontrak belian kereta daripada pihak bank di akhir / hujung tempoh pembiayaan.

BEZA 2:ASET SEWAAN

Aset yang disewakan dalam kontrak ijarah mestilah aset yang dibenarkan oleh Shariah. Ia tidak boleh melibatkan aset yang mempunyai elemen-elemen haram seperti barangan alkohol dan sebagainya. Dalam konvensional, tiada termaktub klausa sebegini.

BEZA 3: PEMINDAHAN HAK MILIK

Dengan adanya kontrak ke-2 iaitu kontrak al-Bay,pihak bank memindahkan hak milik kereta kepada pihak pelanggan.Dalam konvensional, hak milik dipindahkan sejurus selepas pembayaran sewaan yang terakhir.

BEZA 4: Penalti / Ganti Rugi (Ta’widh)

Buat masa ini, dalam perbankan Islam, caj ta'widh,ganti rugi sekiranya bayaran bulanan tertungggak ialah 1% (perbincangan panjang di kalangan ulamak, adapun mulai 2011 akan ada perubahan kepada lebih Islamik). Tetapi dalam konvensional, faedah atas bayaran yang tertunggak sebanyak 8% per tahun (Akta Sewa Beli 1967).

Ini sekadar yang saya dapat rumuskan.

Soalan:

Dalam perjanjian sewa beli melalui perbankan Islam, apabila kenderaan yang dibeli (sedang disewa) mengalami kerosakan, kehilangan atau yang seumpamanya, adakah ia akan ditanggung oleh pemberi sewa (bank) atau pengguna / penyewa (pembeli)?

Jawapan:

Sekadar menukilkan fatwa Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia:

"Selaras dengan prinsip ijarah, institusi kewangan Islam sebagai pemilik aset harus menanggung risiko berkaitan yang munasabah" (MPS pada mesyu...arat pertama bertarikh 8 Julai 1997 dan mesyuarat ke-36 bertarikh 26 Jun 2003)


Produk AITAB di Malaysia dianggap sebagai ‘financial lease’ berbanding ‘operating lease’. Perbezaan risiko dalam dua kategori ini adalah seperti berikut:

(i) Sewaan / Pajakan Operasi (Operating lease) -Risiko akibat kerosakan asas yang tidak disebabkan kecuaian penyewa, ditanggung sepenuhnya atas pemilik, bukan ditanggung penyewa. Atas sebab itu, pemilik akan mengambil polisi Takaful ke atas aset yang disewa

(ii) Sewaan / Pajakan Kewangan (Financial lease) - Semua risiko yang berlaku ke atas aset yang telah disewakan kepada penyewa (baik atas sebab kecuaian ataupun tidak) adalah ditanggung sepenuhnya ke atas penyewa.

Ya! Sewaan / Pajakan Kewangan tidak dianggap mematuhi Shariah jika berbanding Sewaan / Pajakan Operasi yang diterima global. Memang boleh untuk praktikkan operating lease, dalam produk AITAB, tetapi sekiranya bayaran pengambilan polisi Takaful, cukai jalan dan lain-lain kos ke atas aset yang disewakan ditanggung oleh pihak bank, ini akan mengakibatkan bayaran sewaan yang akan ditanggung oleh pihak penyewa akan menjadi lebih tinggi.

Justeru di Malaysia, kebanyakan perbankan Islam melalui Majlis Penasihat Shariah mereka dan MPS Bank Negara memilih untuk meneruskan konsep ‘financial lease' selagi mana risiko tersebut Justify Fulldipersetujui oleh pihak penyewa untuk menanggung penyeliaan asas tersebut.

TAKAFUL (INSURAN ISLAMIK)

Soalan:

Adakah takaful untuk kenderaan mematuhi syarak / patuh Shariah? Apakah bezanya Takaful dengan Insuran dalam urusan kenderaan ni?

Jawapan:

Ya, konsep takaful adalaah mematuhi Shariah. Sila rujuk artikel berikut dan fahami perbezaan antara kedua konsep yang diguna pakai.

Takaful:Pilihan atau Kewajiban?

Mendalami Sebab Di Sebalik Pengharaman Insuran Konvensional

Takaful memang sama dengan insurans dari sudut cara pengurusan risiko. Cuma sahaja konsep yang digunakan sahaja berbeza.Konsep itu yang menghalalkan atau mengharamkan. Natijah memang sama. Contoh 2 sup ayam, 1 ayam yang disembelih manakala lagi satu tidak. Natijahnya dua-dua adalah sup ayam, tetapi konsep penyembelihan Islam yang wujud dalam salah satu daripada dua sup ayam menjadikannya halal manakala yang tidak disembelih ikut syarak itu haram.

Takaful motor mahupun takaful keluargaa menggunakan konsep pengurusan risiko yang sama. Cuma sahaja takaful motor/kenderaan diambil sumbangan (contribution) secara lump sum di peringkat awal. Berbeza dengan takaful keluarga yang diberi pilihan bayara secara bulanan atau bayar secara tahunan.

Soalan:

Dalam kes takaful kenderaan, kita membayar secara sekaligus setiap tahun dan seolah-olah seperti rugi sebab duit yang dibayar itu ‘burn’ dan tidak diperolehi semula (jika tidak berlaku apa-apa), duit hanya diperolehi sekiranya terjadi sesuatu (kemalangan,musibah dll.). Bagaimana kiraan pengeluaran pampasan dibuat sekiranya terjadi sesuatu, dan apakah nilai yang digunakan?

Jawapan:

Atas sebab itu perlu difahami konsep yang diguna pakai oleh Takaful terlebih dahulu. Apa yag dimaksudkan dengann konsep Tabarru'at dan mengapa caruman itu digelar sebagai sumbangan (dan bukannya . Lebih kurang seperti sedekah, setiap kali kita bersedekah, apakah duit itu dianggap 'burn'?. apabila Takaful mengguna pakai kosep Tabarru', maka himpunan duit itu akan diguna untuk menolong mereka yang ditimpa musibah. Sekiranya kita tidak ditimpa sebarang musibah atau kecelakaan dalamm bentuk kemalangan dan sebagainya, bukankah kita sepatutnya bersyukur? Tidak timbul fikir duit itu 'burn'. Adapun dari sudut pengurusan risiko, syarikat takaful akan menggunakan duit tersebut untuk tujuan pelaburan bagi menampung risiko pencarum.

Pembayaran pada awal tahun adalah untuk tempoh setahun. Ana rasakan perbezaan ketara antara takaful keluarga dan takaful motor ialah berpunca daripada pengurusan risiko yang berbeza antara manusia dan kenderaan yang terdedah kepada susut nilai dan juga kemalangan sesuai dengan nilai kenderaan. Adapun jika dibandingkan dengan takaful untuk keluarga, semestinya berbeza dengan cara pengurusan risiko kenderaan, secara umumnya polisi Takaful kenderaan meliputi adanya:

1. Kecederaan atau kematian pihak ketiga,

2. Kerosakan atau kehilangan kenderaan atau harta pihak ketiga,

3. Kerosakan atau kehilangan kenderaan sendiri disebabkan kebakaran, kecurian atau kemalangan

Antara liputan (coverage) bagi Takaful motor yang diberi pilihan kepada pencarum ialah:

1. Cermin kenderaan

2. Liabiliti penumpang

3.Kerosakan akibat banjir dan tanah runtuh

4. Tambahan nama pemandu

5. Semua pemandu bagi kenderaan atas pemilikan syarikat

Adapun jika tidak mengalami apa-apa kemalangan atau kecelakaan pada tahun itu, umumnya akan mendapat No-Claim-Discount (NCD). Maka apabila ingin renew polisi pada tahun berikutnya, akan perolehi diskaun. Diskaun juga boleh dipindah sekiranya kita berpindah kepada satu syarikaat takaful kepada syarikat takaful yang lain bergantung kepada polisi syarikat-syarikat Takaful masing-masing.

Jika ingin membuat tuntutan kepada pihak syarikat Takaful, perlu rujuk laman web dan hubungi mereka, barangkali setiap syaraikat Takaful adalah berbeza. Teetapi rata-rata prosedurnya adalah sama. Sekiranya terlibat dalam kemalangan:

1. Buat laporan polis terlebih dahulu

2. Hubungi syarikat Takaful dan lebih spesifik terus kepada pihak tuntutan

3. Isi dengan lengkap dan hantar Borang Tuntutan Pampasan berserta dengan dokumen sokongan (seperti laporan polis dll.).

Soalan:

Pengeluaran wang/sumbangan takaful perlu berpandukan nilai wang terkumpul. Tetapi ada sebahagian takaful yang membolehkan pengeluaran berdasarkan peratusan jumlah yang kita simpan dan berdasarkan kepada tempoh berapa lama kita menyimpan. Selain itu, ada juga perjanjian yang membenarkan pengeluaran duit yang dicarum kepada takaful dengan jumlah yang lebih besar apabila telah dicarum dalam jumlah masa/tempoh tertentu, hal ini berlaku dalam takaful keluarga, apakah boleh dibuat sebegitu?

Jawapan:

Untuk Takaful Keluarga, operasinya sama ada menggunakan konsep Mudharabah,Wakalah atau Hibrid (Wakalah & Mudharabah).Takaful Keluarga berbeza modus operandinya daripada suatu syarikat ke suatu syarikat Takaful.Tetapi rata-rata membahagikan caruman/sumbangan bulanan kepada dua bahagian, satu bahagian akan masuk ke dalam Akaun Peserta dan bahagian yang lain Akaun Risiko (Tabarru').Akaun Peserta adalah milih peserta, adapun akaun tabarru' adalah milik kelompok (bersama). Justeru apa yang dibenarkan dibawa keluar ialah berpunca daripada Akaun Peserta yang mana setiap sumbangan bulanan atau tahunan yang dibuat oleh peserta akan dimasukkan mengikut peratusan yang dipersetujui dan ditetapkan oleh syarikat Takaful.

Semoga soal jawab di atas memberi sedikit sebanyak maklumat kepada para pembaca.

Wallahu'allam.

Ibn Yusof
25 January 2011 / 20 Safar 1432
10.06 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com