Wednesday, December 8, 2010

Menelusuri Fleksibiliti Fiqh Melalui Neraca Ilmu Usul Fiqh Dan Maqasid Shariah


Kehidupan beragama ini tidak dapat lari daripada lingkaran hukum hakam agama yang bertujuan membantu penganutnya mendekatkan lagi diri kepada Pencipta serta sesuai dengan objektif sesuatu syariat itu diturunkan. Para pejuang Islam yang berusaha menyebarkan Islam sewaktu era perkembangan Islam membuktikan ajaran Islam ini suatu fitrah yang sesuai dengan jiwa manusia. Namun dari suatu sudut masa kini, dapat kita lihat bahawa pengembangan Islam menyebabkan perlunya keluasan dan pemahaman jitu di sebalik sesuatu hukum dan cara perlaksanaannya, hal ini adalah kerana ajaran Islam berpaksikan objektif yang mutlak dalam mencari keadilan sejagat, baik pada diri seorang individu beragama Islam mahupun mereka yang bukan Islam.

Objektif ini dilihat penting kerana tiada gunanya sekiranya kita menuntut dan mendambakan kesatuan hukum (Wahdatul Fiqh) tanpa mengetahui, menghargai, atau mengiktiraf tentang kewujudan keluasannya. Biarlah panji-panji yang kita laungkan itu bersikap tegas dalam akidah, dan bersifat fleksibel dalam hal ehwal muamalah bagi mencapai objektif sebenar di sebalik sesuatu hukum.Justeru pemahaman ini menuntut individu Muslim memahami metodologi, konsep dan kaedah al-Quran dan as-Sunnah yang sama sekaligus membawa kepada natijah kebersamaan dan keluasan dalam kesatuan.

Oleh itu, sesiapa yang luput dari pandangnya terhadap objektif pensyariatan agama ini akan menyebabkan jatuhnya insan itu ke dalam kekaburan dan kegoncangan sehingga menyebabkan kehidupannya dipenuhi dengan hukum hakam yang mengelirukan yang menyimpang dari maksud sebenar syariat. Atas dasar itulah pemberi fatwa seperti mufti wajib mengetahui peri pentingnya ilmu yang boleh mematangkan dan meluruskan ijtihad, ilmu yang melapangkannya dan memungkinkannya mencakupi selok-belok peristiwa dalam kehidupan, ilmu yang digarap oleh ulamak muktabar di zaman silam yang dikenali sebagai ‘Maqasid Shariah’.

Sudut Pandang Maqasid Shariah

Maqasid Shariah bermaksud objektif Shariah, dalam erti kata lain kerasionalan Shariah yang membawa kepada kesempurnaan dalam menganalisa hukum Shariah melibatkan pemahaman tentang Shariah. Imam Al-Shatibi (790 H) dalam kitab al-Muwafaqat menerangkan peri penting memahami Maqasid al-Shariah kerana ia bertujuan untuk melindungi dan memelihara kemaslahatan umum dalam setiap aspek dan segmen kehidupan.

Banyak teks Shariah yang menyatakan secara jelas tentang rasional di sebalik sesuatu hukum Shariah. Menandakan setiap hukum Shariah itu datang bersama tujuan dan hikmah tertentu. Pemahaman mendalam tentang objektif Shariah sangat penting untuk memahami metodologi dan hikmah di sebalik sesuatu hukum. Sesungguhnya, objektif Shariah memberi ruang untuk fleksibiliti serta dinamism dalam polisi sosial. Atas dasar itu pemahaman objektif Shariah melibatkan komitmen setiap individu dan organisasi ke arah mencapai keadilan, semangat persaudaraan dan kebajikan sosial.

Imam al-Ghazali (505H) antara tokoh rujukan dalam membahaskan tentang pembahagian dalam objektif Shariah melalui kitab al-Mustashfa menyatakan bahawa objektif Shariah bertujuan mempromosi keselesaan manusia sejagat, yang mana berdiri pada pemeliharaan agama (din), nyawa (nafs), intelek (‘aql), keturunan (nasl) dan harta (mal), Apa jua usaha memelihara kelima-lima elemen penting ini dianggap membantu kemaslahatan umum dan ia menjadi sesuatu yang digalakkan. Susunan pemeliharaan kelima-lima elemen itu juga dipersetujui oleh Imam Shatibi. Pemeliharaan kelima-lima elemen ini berdasarkan kepada keperluan dalam kehidupan manusia.

Imam Najmuddin Al-Tufi (716 H) pula adalah antara para ulamak yang menambah keperluan (daruriyyat) keenam iaitu pemeliharaan ke atas maruah. Pemeliharaan elemen-elemen penting ini berdasarkan kepada keperluan asas dalam kehidupan manusia. Hal ini ada hubung kaitnya serta melibatkan evolusi objektif Shariah dalam menangani tanggapan yang melibatkan isu-isu masa kini. Antara contohnya ialah bagaimana evolusi kepentingan pemeliharaan keturunan berhubung kait dengan pemeliharaan maruah diri seseorang manusia. Pemeliharaan maruah diri manusia bukanlah suatu skop yang asing dalam elemen penting objektif Shariah.

Keluasan skop dan evolusi objektif Shariah dalam mengambil kira pemeliharaan maruah diri manusia bukan sahaja disokong oleh ulamak silam seperti Ibn Taimiyyah (728H), bahkan pendekatan ini juga diguna pakai oleh ulamak kontemporari seperti Ahmad al-Raysuni dan Yusuf al-Qaradawi. Yusof Qaradawi malah turut menganggap pemeliharaan maruah diri manusia sebagai salah satu elemen terpenting dalam mencapai objektif Shariah.

Kewujudan ilmu dan sudut pandang Maqasid Shariah ini menjadikan seseorang ilmuan agama itu lebih luas pemandangannya dan tidak hanya terkongkong pada hanya satu aspek dan sudut pandang yang sempit. Ilmu Maqasid Shariah menjadikan hukum agama Islam ini lebih fleksibel sesuai dengan keadaan individu, komuniti, dan juga negara. Ilmu ini merupakan produk utama ilmu usul fiqh kerana pemahaman ilmu Maqasid Shariah lahir daripada para usuliyyin (para ulamak usul fiqh).

Mendalami ilmu Usul Fiqh

Umat Islam yang mendalami ilmu agama semestinya akan kagum dan berterima kasih kepada para imam mujtahid yang telah bertungkus lumus memelihara agama Islam dengan kaedah dan formula tertentu. Di samping kepentingan memahami ilmu fiqh, ilmu usul fiqh yang digarap sebagai medium dan alat untuk mencapai kepada pengeluaran hukum sesuai dengan landasan yang sepatutnya. Seseorang mujtahid tidak akan dapat mengetahui sesuatu hukum fiqh kecuali setelah berusaha menilai keseluruhan dalil-dalil yang datang daripada kalam Allah Taala melalui al-Quran dan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam melalui sekian banyak hadis. Hanya setelah itu mereka mendapat kesannya iaitu hukum Fiqh seperti mana yang diikuti oleh orang awam kebanyakannya.

Justeru perlu difahami bahawa ilmu fiqh dan usul fiqh mempunyai kaitan yang amat rapat antara satu sama lain kerana Fiqh adalah natijah dan produk kepada Usul Fiqh. Maka mereka yang hanya memahami hukum fiqh dirasakan tidak akan lengkap jika tidak mempelajari imu usul fiqh. Dengan pemahaman yang menyeluruh tentang kaedah berijtihad dan prinsip-prinsip dalam hukum syarak yang perlu dipatuhi, ilmu usul fiqh memainkan peranan penting dalam menunjukkan bahawa Syariat Islam mampu menyahut kehendak peredaran zaman kerana ia mempunyai jawapan (hukum) bagi perkara-perkara semasa.

Ianya juga merungkai beberapa persoalan umat Islam tentang perananya di sebalik tabir dalam perselisihan pendapat di kalangan ulama mazhab hatta dalil serta kaedah yang digunakan oleh mazhab tertentu. Ilmu usul fiqh yang merupakan mekanisme penting dalam pertahanan Syariat Islam yang suci ini dilihat kurang mendapat tempat di kalangan umat Islam kerana tidak menyedari kepentingannya. Walhal hanya melalui ilmu usul fiqh inilah umat Islam mampu menerokai dalil-dalil naqli dan aqli tentang kehujahan al-Quran dan Sunnah serta sumber-sumber yang lain sekaligus mampu menjawab persoalan-persoalan oleh umat Islam dan bukan Islam, serta tomahan-tomahan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam.

Mengiktiraf Metodologi, Konsep dan Kaedah

Justeru, seorang ilmuan agama wajib sekurang-kurangnya mempunyai asas ilmu Usul Al-Fiqh supaya pemahaman hukum fiqh itu lebih praktikal dan menyeluruh sesuai dengan kaedah asas yang digunakan oleh fuqaha (para ulamak Fiqh). Melalui pemahaman yang menyeluruh antara ilmu Usul Fiqh dan sudut pandang Maqasid Shariah yang jelas juga membolehkan para ilmuan memperkasa ilmu mereka dalam menghadapi isu-isu yang berkaitan pengeluaran hukum serta keadah-kaedahnya. Sekiranya seseorang ilmuan agama itu sekadar memahami ilmu fiqh tanpa mengambil tahu kepentingan ilmu Usul Fiqh, perumpamaannya seperti seorang yang bergelar doktor tetapi tidak mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk melakukan pembedahan.

Oleh sebab itu kita dapat lihat sesetengah ilmuan agama hanya berkemampuan mencedok fatwa atau ijtihad para ulamak lain secara literal atau membuta tuli untuk diimplementasi dalam pemberian fatwa tanpa memahami kepelbagaian kaedah yang para ulamak itu gunakan dalam mengelurkan hukum dan fatwa tertentu, tanpa mengambil kira faktor-faktor lain. Maka tidak hairanlah jika ada yang mungkin mengeluarkan pandangan atau fatwa yang pelik-pelik tanpa sandaran yang kuat. Natijahnya besar dan buruk, serta tidak keterlaluan jika dikatakan menjauhkan golongan bukan Islam daripada memahami ajaran Islam sebenar.

Sebagai mengambil beberapa contoh, ada golongan yang bertegas mengambil pandangan mereka yang bukan Islam tidak boleh memegang al-Quran atas sebab mereka ini najis, mereka juga tidak dibenarkan memasuki masjid atas sebab perumpamaan yang disamakan dengan waniat haid, atau menerima daging kurban dan apatah lagi kelayakan menerima zakat. Contoh-contoh ini dibakulkan dengan interpretasi yang satu iaitu kerana mereka golongan bukan Islam, sekaligus melahirkan sifat inklusif umat Islam dalam beragama tanpa mahu mengiktiraf kepelbagaian pandangan lain yang boleh membawa kepada kesan dakwah yang lebih besar impaknya. Contoh-contoh sedemikian pula hanya dilihat dari sudut fiqh dan pandangan mazhab yang dipegang, tanpa perlunya penilaian kepada Maqasid Shariah, apatah lagi jika turut mengambil kira perbincangan Siyasah Shar’iyyah atau politik kenegaraan Islam.

Kesempitan sebegini merupakan suatu kerugian besar dalam mengenal pasti keluasan dan batasan pemahaman Fiqh Islam. Kerana hanya dengan ilmu Fiqh yang digarap sesuai dengan ilmu Usul Fiqh dan sudut pandang Maqasid Shariah seseorang agamawan itu mampu menerapkan penghayatan terhadap disiplin dalam menghormati kepelbagaian pendapat dan menghadapi perbezaan pendapat. Tanpa sudut pandang Maqasid Shariah yang jelas, golongan agamawan tidak akan mampu mengesan impak dan fleksibiliti sesuatu hukum. Oleh itu, tidaklah cukup sekadar melaungkan slogan berlapang dada dalam aspek hukum Fiqh Islam, perlu juga adanya usaha membumikan budaya ilmu asas yakni mendalami ilmu Usul Fiqh dan sudut pandang menyeluruh berdasarkan Maqasid Shariah.

Wallahu’allam.

Ibn Yusof 6 December 2010/ 30 Zulhijjah 1931
8.20a.m

www.ibnyusof.blogspot.com


No comments: