Sunday, June 6, 2010

Kewajiban Memenuhi Jemputan Walimah


Bulan ini mungkin boleh dikatakan sebagai musim majlis walimah diadakan (majlis perkahwinan). Hampir setiap minggu ada sahaja jemputan untuk menghadiri majlis walimah. Terdapat beberapa persoalan yang diajukan kepada penulis berkenaan kewajiban memenuhi jemputan walimah. Maka dalam kesempatan yang ada ini kita akan menelusuri kewajiban yang dimaksudkan dan bagaimana hukum tersebut boleh berubah berdasarkan beberapa situasi.


Orang yang diundang ke majlis walimah sememangnya wajib memenuhi undangan tersebut berdasarkan beberapa perintah dari Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam sendiri.


Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam bersabda:


“Bebaskanlah tawanan,penuhilah undangan, dan jenguklah orang yang sakit” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari]


“Apabila diajak seseorang daripada antum ke kenduri kahwin, maka hendaklah dia menjghadirinya, dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dari Ibn Umar, no. 5177]


Pandangan kesepakatan tentang kewajiban ini disebut oleh para ulamak antaranya Ibnu ‘Abdil Barr, Imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Imam Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan lain-lain.


Hukum kewajiban ini dikuatkan lagi apabila mereka yang sedang berpuasa juga diwajibkan memenuhi undangan majlis walimah walaupun dalam keadaan berpuasa (berdasarkan pandangan beberapa ulamak yang membincangkan topik ini). Para ulamak berbincang dengan berhujahkan sabda Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam:


“Apabila salah seorang daripada kalian diundang untuk menghadiri jamuan makan, hendaklah ia memenuhi undangan tersebut. Jika tidak sedang berpuasa, hendaklah dia ikut makan, dan jika dia sedang berpuasa hendaklah dia turut serta mendoakan” [Hadis Riwayat Imam Muslim]


Berikut diringkaskan bagaimana hukum asalnya (kewajiban memenuhi jemputan walimah) yang wajib berdasarkan beberapa perintah Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam boleh berubah berdasarkan beberapa keadaan yang perlu kita fahami.


1. Apabila terdapat kemaksiatan di dalam majlis tersebut terdapat beberapa bentuk kemaksiatan.


Para ulamak berpandangan bahawa tidak boleh menghadiri undangan acara yang mengandungi maksiat. Tetapi jika kehadiran kita itu untuk mencegah atau menghilangkan maksiat tersebut, maka ianya dibolehkan, tetapi sekiranya kita tidak mampu, maka kita harus segera pulang. Antara hadis yang digunakan untuk berhujah dalam perkara ini adalah seperti berikut:


“Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”

Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, menjawab:“Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.”[Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah, no. 3359]


Unsur-unsur maksiat yang dimaksudkan di dalam poin ini termasuk juga seperti wujudnya ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita) di dalam majlis, terdapat unsur-unsur yang diharamkan di dalam majlis walimah seperti tashabbuh (meniru ritual kaum lain) seperti adanya majlis bersanding dan merenjis air mawar, tari-menari, tabarruj (kaum wanita bersolek dengan berlebihan), sesi nanyian-nyanyian, muzik serta acara kugiran dan lain-lain.


2. Apabila undangan dalam majlis walimah itu membezakan antara yang kaya dan yang miskin seperti mengundang mereka yang kaya dan tidak mengundang mereka yang miskin.


Hal ini ditegah oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam sabda baginda yang bermaksud:


“Seburuk-buruk makanan adalah hidangan walimah, yang mana orang-orang kaya diundang menghadirinya tetapi orang-orang miskin tidak diundang. Barangsiapa yang tidak memenuhi undangan walimah, bererti dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no. 5177]


Imam Ibn Hajar al-Asqolani menjelaskan hadis ini bahawa jika majlis walimah itu melibatkan orang umum yakni orang-orang kaya dan juga orang-orang miskin, sudah pasti hidangan itu tidak dikatakan sebagai seburuk-buruk makanan.


3. Apabila terdapat keuzuran yang tidak dapat dielakkan.


Hal ini merangkumi beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan untuk memenuhi jemputan atau undangan.Semua contoh yang diberikan di bawah boleh mengubah status hukum asal kewajiban menghadiri undangan dan jemputann:

(i) Jarak yang terlalu jauh

- Melibatkan kos dan masa perjalanan yang sangat jauh, seperti menetap di Johor dan mendapat undangan bagi majlis walimah di Perlis.


(ii) Keadaan negara yang tidak mengizinkan

- Keadaan Negara yang mungkin sedang dalam peperangan, darurat dan sebagainya.


(iii) Ketika jemputan dibuat secara umum

- Jemputan umum mungkin mewakili suatu kumpulan atau keluarga yang hanya memerlukan wakil untuk hadir dan tidaklah semestinya semua ahli kumpulan atau keluarga wajib hadir.


(iv) Tidak mendapat jemputan

- Apabila tidak mendapat jemputan, maka semestinya tidak menjadi wajib kehadiran terhadap majlis walimah itu. (Jika berkeinginan juga untuk hadir sesuatu majlis yang mana kita tidak mendapat jemputan darinya, seelok-eloknya mendapatkan jemputan terlebih dahulu supaya kehadiran kita itu tidak mengganggu perjalanan majlis dari segi kos dan perancangan pihak yang menjemput) .


(v) Telah mendapat beberapa jemputan lain

- Tidak menjadi kesalahan sekiranya wujud pertembungan antara dua atau lebih majlis walimah, maka boleh memilih salah satu daripada sekian banyak undangan majlis (sekiranya tidak dapat menghadirkan diri terhadap semuanya majlis), baik ianya berdasarkan kaedah siapa yang menjemput dahulu, atau jemputan manakah yang paling hampir. Bagi majlis walimah yang lain, boleh tolak secara baik dan mendoakan mereka jika tidak dapat hadir dan berikan hadiah sekiranya bertemu pada waktu lain.Memberi hadiah ketika menghadiri walimah juga adalah satu perbuatan sunnah.


(vi) Keadaan-keadaan lain

- Darurat seperti terpaksa mendahulukan perkara yang lebih priority seperti terlibat dalam program atau aktiviti yang telah lebih awal dirancang yang mana melibatkan kos dan pihak lain, prioriti juga melibatkan janji atau perkara yang terpaksa dilalui oleh seseorang menyebabkan beliau mendahulukan apa yang menurut pandangannya adalah lebih utama dan penting.


- Keadaan yang membantutkan seseorang memenuhi jemputan seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama. [Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu Katsir]


Semoga susunan ringkas di dalam aritkel ini membantu kita memahami lebih dekat berkenaan status hukum menghadiri majlis walimah yang hokum asalnya adalah wajib, namun ianya boleh berubah mengikut keadaan dan beberapa situasi seperti yang diringkas di atas. Semestinya perkara utama yang perlu kita fahami ialah dengan menghadirkan diri ke majlis walimah itu dituntut sehingga wajib hukum asalnya bagi merapatkan lagi hubungan siratul rahim yang telah terjalin sebelum ini. Menjadi suatu perkara yang menggembirakan bagi pasangan pengantin sekiranya jemputan itu dipenuhi oleh orang ramai.



Semoga kita semua diberi kesempatan dan kemampuan untuk memenuhi undangan majlis walimah yang dianjurkan oleh pihak pengantin kerana ianya merupakan suatu usaha mempelai menghidupkan sunnah yang disyariatkan.


Jangan pula lupa mendoakan pihak pengantin seperti yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, doa yang biasa Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam ucapkan kepada seorang mempelai ialah:


بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

"Baarakallahu laka wa baarakaa 'alaiyka wa jama'a baiynakumaa fii khoir"

“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” [Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2130. Hadis ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi]


Wallahu’allam.


Ibn Yusof

7 Jun 2010 / 24 Jumada al-Thani 1431

2:22 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com



Rujukan lanjut (cadangan untuk koleksi para pembaca):

- Syaikh Muhammad Nashiruddin di dalam Adabuz Zifaf (Adab-adab Pernikahan Cara Nabi).

- Syaikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz dan Syaikh Muhammad Bin Shalih al-Utsaimin dalam Min Munkaraat Al-Arfaah Wal A'raas

- Syaikh Musthafa al-'Adawi dalam Ahkamun Nikah wa az-Zifaf (Tanya Jawab Masalah Nikah Dari A Sampai Z)
- Syaikh Abu Hafsh Usamah bin Kamal bin ‘Abdir Razzaq dalam Panduan Lengkap Nikah
-
Syaikh Amru Abdullah Mun’im Salim dalam Indahnya Menikah Ala Sunnah Nabi

3 comments:

Unknown said...

salam,
bagaimana dgn lokasi undangan yg jauh? contohnya di negeri² lain? adakah masih mjadi suatu kewajipan utk menghadirinya?

Ibn Yusof said...

Salam makcik.shima,

Telah saya catatkan perkara tersebut di dalam poin ke 3 dalam kategori 'Jarak yang jauh'.

zubaidah said...

salam,
bagaimana dengan trend sekarang,jemputan dibuat melalui fb sedangkan bole mintak alamat di fb utk menghantar kad? wajib hadir atau tidak?
thanks.