Tatkala kita sedang sibuk melaksanakan tugas harian, kadang kala kita lupa membuat penilaian atas sumber-sumber perolehan pendapatan. Persoalan tentang dari mana? untuk apa? Berapa? Dan pelbagai macam jenis persoalan yang melibatkan sumber pendapatan kita kadang kala kita ambil enteng. Hendaklah diketahui bawasanya di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah munculnya riba secara maharajalela di dalam masyarakat dan ketidakpedulian mereka terhadap makanan yang haram. Dari Ibnu Mas'ud radhiyallahu anhu dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam, beliau bersabda.
Maka berlaku kemungkinan tanpa kita sedari bahawa dalam sumber pemilikan harta itu terdapat sisa-sisa atau daripada sumber yang haram. Justeru sesuatu perlu dilakukan oleh pemilik harta untuk memastikan kehidupannya diberkati oleh Allah.
Ini kerana harta daripada sumber perolehan yang haram tidak boleh dimanfaatkan oleh pemiliknya walau apa jua tujuannya. Jika berbelanjakan harta dari sumber perolehan yang haram, maka perbelanjaan itu tidak akan mendapat apa-apa kebaikan atau keberkatan daripada Allah. Rasulullah memberi amaran dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mengumpulkan wang haram dan kemudian bersedekah dengannya (membuat kebajikan), maka tiadalah sebarang ganjaran kebaikan untuknya.” (Hadith diriwayatkan oleh Imam al-Hakim)
Harta atau wang yang haram itu bermaksud sesuatu yang diperolehi dengan cara yang tidak diiktiraf oleh syarak. Contohnya mendapatkan wang daripada hasil riba, rasuah, wang hasil pecah amanah, pelaburan ke atas perniagaan haram, hasil penjualan barangan haram, jualan barangan curi dan sebagainya. Justeru kesemua cara memperoleh pendapatan yang tidak diiktiraf syarak ini perlu dilupuskan bagi membersihkan keseluruhan harta yang dimiliki. Dalam bermacam cara pelupusan yang dianjurkan oleh Islam antaranya ialah:
(i) Memulangkan harta haram tersebut
Harta haram yang diperolehi dengan cara yang tidak bertepatan dengan syarak tidak boleh dimanfaatkan atau digunakan oleh pemilik harta tersebut. Jika dia memperoleh harta itu dengan mencuri, maka hukumnya ialah dia terpaksa memulangkan semula barangan yang telah dicuri itu kepada tuannya. Jika gagal memulangkan kepada pemilik asal harta tersebut, serahkan kepada warisnya, tetapi jika gagal juga menemukan warisnya, maka dibolehkan menyeedekahkan harta haram itu.
Barangan atau wang haram juga boleh melibatkan hak sekumpulan orang, dan tidak dapat dipulangkan semula secara adil kepada semua yang terlibat seperti di dalam sebuah organisasi yang besar dan melibatkan ramai orang di dalamnya. Maka apa yang boleh dilakukan ialah dengan membayar secara tunai barangan yang telah diambil atau manfaat yang digunakan, bayaran tunai boleh dimasukkan ke dalam akaun organisasi dan secara tidak lansung merupakan bentuk pemulangan semula kepada tuan empunya organisasi.
“Barangsiapa yang menzalimi kehormatan atau apa jua (harta) saudaranya hendaklah ia meminta halal daripadanya pada hari ini sehingga jangan tinggal satu dinar atau dirham jua. (Jika tidak di hari kiamat) sekiranya ia mempunyai amal soleh, maka akan diambil amal solehnya dengan kadar kezaliman yang dilakukan, dan kiranya ia tiada lagi kebaikan, maka akan dipertanggungkan kejahatan orang (yang dizaliminya itu) pula.” (Hadith diriwayatkan oleh Imam Bukhari)
Pemulangan barang atau manfaat yang digunakan secara haram ini disebutkan di dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Kewajiban atas tangan (yang mencuri) apa-apa yang diambilnya, sehinggalah ia memulangkannya.” (Hadith diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Tirmidzi)
(ii) Menyedekahkan harta haram tersebut untuk tujuan kebaikan
Bersedekah ini bertujuan untuk memenuhi salah satu perintah atau salah satu syarat bertaubat, bukannya bertujuan untuk mendapat pahala. Hal ini dibolehkan walaupun ianya datang daripada sumber yang haram kerana dengan bersedekah manfaat itu berbalik kepada tujuan umum dan kebaikan ramai. Ada pandangan ulamak yang berpendapat bahawa sedekah wang haram ini hanya dibolehkan kepada golongan fakir dan miskin sahaja manakala ada juga ulamak fekah yang tidak mengehadkannya.
(iii) Membina masjid atau surau
Untuk melupuskan wang haram dengan menyerahkannya bagi tujuan pembinaan masjid atau surau atas tujuan untuk kebaikan awam. Ini tidak ubah seperti perbincangan untuk menyedekahkannya, tetapi apa yang difokuskan dalam hal ini ialah dengan menyerahkan wang tersebut kepada Baitul Mal, maka badan kebajikan yang dipercayai ini akan menggunakan wang tersebut untuk membina masjid atau surau. Hal ini dibolehkan jika mengikut pandangan para ulamak Hanafi dan mazhab Syafie.
Justeru para ulamak fekah ada juga yang berpandangan cara melupuskan wang haram dengan cara ini adalah tidak bersesuaian kerana rumah Allah tidak seharusnya didirikan dengan harta yang diperoleh daripada cara haram. Hal ini seperti mana yang pernah berlaku pada zaman pembinaan Kaabah yang dikawal supaya tidak mengandungi harta haram, maka halnya juga sama bagi pembinaan masjid atau surau.
(iv) Dan apa jua cara lain yang dibenarkan oleh syarak
Apabila telah sepakat kesemua empat mazhab yang muktabar bahawa tidak boleh pemilik harta yang haram memandaatkannya, maka harta haram tersebut wajib dilupuskan. Apa yang boleh diambil hanyalah wang pokok atau modal yang digunakan oleh pemilik harta tersebut. Melupuskan harta haram adalah suatu usaha bertaubat. Caranya tidak terhad kepada menyedekahkannya kepada fakir atau miskin, malah apa jua cara yang dibenarkan oleh syarak adalah dibolehkan.
Kesimpulannya, bermula dengan taubat yang bersungguh, kemudian memulangkan atau menyedekahkannya, kemudiannya hendaklah berhenti daripada memperolehi harta dengan cara yang haram.
Rujukan lanjut:
-Asyratus Sa'ah Fasal (Tanda-Tanda Kiamat Kecil) oleh Yusuf bin Abdullah bin Yusuf Al-Wabil MA Edisi Indonesia Tanda-Tanda Hari Kiamat hal. 108. terbitan Pustaka Mantiq. Penerjemah Drs As'ad Yasin dan Drs Zaini Munir Fadholi.
Ibn Yusof
18 March 2010/2 Rabi' Thani 1431
11.39 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com
No comments:
Post a Comment