Wednesday, December 29, 2010

Ruang Lingkup Islam Dalam Menerima Kepelbagaian Aliran

Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menetapkan keutamaan atas sekalian umat-umat yang ada dan hal ini menunjukkan keteguhan umat dalam setiap keadaan ; selagi mana aliran dan kelompok yang wujud dalam Islam itu tidak menyimpang dari syariat yang jelas dan terang, sehingga Allah Subhanahu wa Ta'ala mempersaksikan bahawa umat yang terbaik ini memerintahkan setiap kebaikan dan mencegah setiap kemungkaran.

Ya, jika ditanya apakah agama anda? Diyakini bahawa seseorang Muslim akan mengaku bahawa dia beragama Islam, tidaklah pula seorang Muslim itu menjawab dan memperkenalkan dirinya dengan aliran dan kelompok yang dipercayai dan diwakilinya. Sememangnya sejak zaman Rasulullah Shallahu‘alaihi Wa Sallam dahulu, baginda tidak pernah membezakan aliran dan kelompok serta labelan tertentu, kerana produk yang dibawa dan dipromosi oleh Rasulullah Shallahu‘alaihi Wa Sallam ialah satu, yakni Islam yang mana penganutnya digelar Muslim.

Akan tetapi Rasulullah Shallahu‘alaihi Wa Sallam dalam sekian banyak hadis memberi amaran dan peringatan tentang kewujudan aliran dan kelompok dalam Islam, ada antaranya yang boleh ditoleransi dan ada pula yang perlu diperhalusi. Tetapi kita juga diingatkan tentang keluasan pengiktirafan dalam Islam selagi mana aliran dan kelompok itu berpegang pada panji dan syahadah yang sama tanpa wujud perbezaan jelas! Oleh itu tidak pula wajar sesuatu kelompok itu disesat-kafirkan hanya kerana perbezaan seputar masalah khilafiyyah (perbezaan pendapat) dalam isu fekah yang furu’ (ranting atau cabang dalam fekah) semata.

Kewujudan pelbagai aliran dan mazhab dalam Islam telah lama dibincangkan oleh para ulamak muktabar. Mereka berusaha keras melalui pelbagai medium untuk mendidik umat Islam tentang kepelbagaian aliran yang wujud serta ruang lingkup pengiktirafan yang Islam berikan. Semua usaha ini dari suatu sudut memastikan agama Islam itu kekal terpelihara seperti mana yang dikehendakiNya dan juga mengajar umat Islam betapa Islam ini merupakan agama yang inklusif dan tidak dalam semua hal bersifat ekslusif. Bukan menjadi tujuan tulisan ini dihasilkan bagi mengajak pluralism dalam beragama, tetapi sekadar merujuk kepada kesatuan dalam kelompok dan aliran dalam ruang lingkup ajaran Islam seperti mana konteks “The Amman Message Jordon” dalam menuntut kesatuan dalam mendefinisikan versi Islam yang wujud pada masa kini. Hal ini adalah kerana Islam yang ingin dipromosikan itu tidaklah sama seperti mempromosi Kristian yang terbahagi kepada Katolik dan Protestan (contohnya berbeza kepercayaan terhadap jumlah Bab dalam jumlah surah New Testaments di antara dua mazhab besar Kristian ini), walhal Islam itu hanya satu, dan jalan kebenaran itu lurus dan juga perlu difahami luas.

Di Malaysia khususnya, masyarakat awam hanya didoktrinkan dengan Islam versi Ahlu Sunnah Wal Jama’ah tetapi tidak pernah dididik ruang lingkup keluasan Islam terhadap aliran dan kelompok lain yang wujud. Justeru Islam yang dianggap benar hanyalah mengikut acuan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing, apakah wajar sekiranya sebarang perbezaan yang wujud akan dianggap terseleweng dan sesat? Hal ini menjadikan Islam versi monopoli yang dipromosikan tidak dapat bersaing secara adil dalam pentas pemikiran bebas. Hasilnya, kekangan terhadap sebarang aliran dan kelompok yang diiktiraf dalam Islam sendiri wajar dipersoalkan, apakah ia disebabkan kekhuatiran tidak dapat bersaing secara sihat atau sememangnya kerana perbezaan akidah yang jelas terseleweng?

Apabila berbicara tentang perbezaan aliran dan kelompok dalam Islam, maka ruang lingkup kadar kepelbagaian itu telahpun diiktiraf oleh Islam, sesuai dengan sempadan yang membezakan aliran dan kelompok itu dengan aliran dan kelompok yang jelas kufur seperti ajaran Ayah Pin dan ‘Rasul’ Kahar yang ajaran mereka menggemparkan umat Islam di bumi Malaysia suatu ketika dahulu. Adapun sebagai contoh, aliran Syiah umpamanya, para ulamak muktabar sendiri tidak pernah membakulkan palitan sesat terhadap Mazhab Syi’ah secara keseluruhannya.

Justeru kaedah yang jelas, telus dan adil perlu dipupuk agar masyarakat awam mampu menilai kepelbagaian aliran yang wujud, melalui didikan dan kesedaran dalam penilaian terhadap lambakan aliran dan kelompok dalam Islam yang wujud. Maka perlulah keadilan yang saksama diaplikasi terhadap semua aliran baik ianya aliran ‘Asya’irah, Maturidiyyah, Salafiyyah, Sufiyyah, Syiah, dan sebagainya (sekadar memberikan beberapa contoh). Sekiranya kita mampu mengiktiraf kewujudan agama lain seperti Christian, Hinduism, Buddhism, dan sebagainya, maka mengapa tidak kita turut sama mengiktiraf kewujudan kepelbagaian aliran yang wujud dari cabang Islam itu sendiri (selagi mana wujudnya atas panji yang bersamaan). Adapun dalam konteks kepelbagaian agama yang disebutkan di atas, tidaklah bermaksud apabila kita mengiktiraf kewujudan kepelbagaian agama, maka kita dianggap turut membenarkan ajaran agama lain tersebut. Manakala dalam konteks aliran dalam Islam, perlu difahami perbezaan antara kelompok dan aliran yang diterima dalam ruang lingkup kepelbagaian itu, serta aliran dan kelompok yang jelas terseleweng daripada ajaran Islam sebenar sebagai contoh apabila melibatkan perbezaan dalam rukun Iman dan rukun Islam.

Hal ini adalah penting kerana mengenal pasti sebelum menghukum adalah suatu perkara yang wajib serta suatu tindakan yang adil yang dituntut dalam Islam, kerana lesen keIslaman seseorang atau sekelompok aliran itu tidaklah dengan mudah dan murah untuk ditarik balik tanpa kaedah yang jelas. Tanpa kaedah yang adil, kesannya wujud kelompok yang merasakan diri mereka paling benar dan menghukum sesat dan kafir golongan,kelompok dan aliran yang berbeza dengan mereka, bukankah impak sebegini lebih membahayakan terhadap masyarakat awam serta menimbulkan kekeliruan yang lebih dahsyat?

Makanya penulis berharap tulisan ini tidak disalah ertikan bahawa penulis cuba mempluralisasikan aliran dan kelompok dalam Islam, seolah-olah melibatkan toleransi yang tiada batasan. Tetapi apa yang cuba diketengahkan dalam tulisan ini ialah kesedaran bahawa sejak zaman berzaman para ulamak muktabar berusaha menyedarkan umat Islam tentang kepentingan hujah dan kepentingan untuk bersifat ilmiah baik dalam menerangkan ajaran Islam yang sebenar dan juga dalam hal ehwal menangani aliran dan kelompok yang terseleweng. Oleh itu, perlu difahami bahawa hanya menggunakan authoriti untuk mengekang sesuatu aliran dan kelompok yang masih dalam ruang lingkup ajaran Islam adalah sesuatu perbuatan yang sia-sia, kerana sekiranya aliran dan kelompok yang lain itu pula yang memegang tampok authoriti, tidak mustahil kekangan ini akan berulang. Kesannya, lebih banyak kekeliruan akan berlaku di peringkat orang awam. Apakah tujuan kekangan itu untuk lebih mengelirukan orang awam, atau untuk mendidik tentang orang awam? Maka soalan yang sama akan terus dipersoalkan apakah kekangan itu disebabkan kekhuatiran tidak dapat bersaing secara sihat dengan kewujudan sedikit perbezaan yang ada atau sememangnya atas sebab aliran atau kelompok lain itu benar-benar terseleweng?

Justeru fenomena tentang kewujudan pelbagai aliran dan kelompok dalam Islam di tanah air ini bukan sahaja perlu tertumpu kepada penggunaan kaedah penguatkuasaan seperti kekangan dan penahanan di samping pembiakkan lebih banyak aliran. Tetapi perlu juga diwujudkan ruang dialog serta diskusi terbuka dalam pentas pemikiran bebas di era globalisasi ini.

Kesimpulannya, adalah sangat penting untuk para pendakwah Islam mewujudkan persekitaran ilmiah melalui dialog dan diskusi secara harmoni di antara aliran-aliran yang wujud dan yang diiktiraf dalam ruang lingkup Islam. Kaedah ini sememangnya dikhuatiri oleh sesetengah pihak disebabkan umat Islam di tanah air ini dirasakan masih belum di tahap yang membolehkan masyarakat awam bersedia menerima kepelbagaian dalam versi Islam yang mereka anuti, tetapi perlu difahami bahawa dalam era teknologi dan globalisasi ini, masyarakat awam turut terdedah dengan lambakan infromasi, hanyalah dengan memupuk pemahaman jelas serta pola fikir yang betul dan sahih, masyarakat awam mampu hidup dalam suasana berwacana secara ilmiah dan terbuka ke arah kematangan dalam beragama.

Ibn Yusof
30 Disember 2010 / 24 Muharram 1432
1:30 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Wednesday, December 8, 2010

Menelusuri Fleksibiliti Fiqh Melalui Neraca Ilmu Usul Fiqh Dan Maqasid Shariah


Kehidupan beragama ini tidak dapat lari daripada lingkaran hukum hakam agama yang bertujuan membantu penganutnya mendekatkan lagi diri kepada Pencipta serta sesuai dengan objektif sesuatu syariat itu diturunkan. Para pejuang Islam yang berusaha menyebarkan Islam sewaktu era perkembangan Islam membuktikan ajaran Islam ini suatu fitrah yang sesuai dengan jiwa manusia. Namun dari suatu sudut masa kini, dapat kita lihat bahawa pengembangan Islam menyebabkan perlunya keluasan dan pemahaman jitu di sebalik sesuatu hukum dan cara perlaksanaannya, hal ini adalah kerana ajaran Islam berpaksikan objektif yang mutlak dalam mencari keadilan sejagat, baik pada diri seorang individu beragama Islam mahupun mereka yang bukan Islam.

Objektif ini dilihat penting kerana tiada gunanya sekiranya kita menuntut dan mendambakan kesatuan hukum (Wahdatul Fiqh) tanpa mengetahui, menghargai, atau mengiktiraf tentang kewujudan keluasannya. Biarlah panji-panji yang kita laungkan itu bersikap tegas dalam akidah, dan bersifat fleksibel dalam hal ehwal muamalah bagi mencapai objektif sebenar di sebalik sesuatu hukum.Justeru pemahaman ini menuntut individu Muslim memahami metodologi, konsep dan kaedah al-Quran dan as-Sunnah yang sama sekaligus membawa kepada natijah kebersamaan dan keluasan dalam kesatuan.

Oleh itu, sesiapa yang luput dari pandangnya terhadap objektif pensyariatan agama ini akan menyebabkan jatuhnya insan itu ke dalam kekaburan dan kegoncangan sehingga menyebabkan kehidupannya dipenuhi dengan hukum hakam yang mengelirukan yang menyimpang dari maksud sebenar syariat. Atas dasar itulah pemberi fatwa seperti mufti wajib mengetahui peri pentingnya ilmu yang boleh mematangkan dan meluruskan ijtihad, ilmu yang melapangkannya dan memungkinkannya mencakupi selok-belok peristiwa dalam kehidupan, ilmu yang digarap oleh ulamak muktabar di zaman silam yang dikenali sebagai ‘Maqasid Shariah’.

Sudut Pandang Maqasid Shariah

Maqasid Shariah bermaksud objektif Shariah, dalam erti kata lain kerasionalan Shariah yang membawa kepada kesempurnaan dalam menganalisa hukum Shariah melibatkan pemahaman tentang Shariah. Imam Al-Shatibi (790 H) dalam kitab al-Muwafaqat menerangkan peri penting memahami Maqasid al-Shariah kerana ia bertujuan untuk melindungi dan memelihara kemaslahatan umum dalam setiap aspek dan segmen kehidupan.

Banyak teks Shariah yang menyatakan secara jelas tentang rasional di sebalik sesuatu hukum Shariah. Menandakan setiap hukum Shariah itu datang bersama tujuan dan hikmah tertentu. Pemahaman mendalam tentang objektif Shariah sangat penting untuk memahami metodologi dan hikmah di sebalik sesuatu hukum. Sesungguhnya, objektif Shariah memberi ruang untuk fleksibiliti serta dinamism dalam polisi sosial. Atas dasar itu pemahaman objektif Shariah melibatkan komitmen setiap individu dan organisasi ke arah mencapai keadilan, semangat persaudaraan dan kebajikan sosial.

Imam al-Ghazali (505H) antara tokoh rujukan dalam membahaskan tentang pembahagian dalam objektif Shariah melalui kitab al-Mustashfa menyatakan bahawa objektif Shariah bertujuan mempromosi keselesaan manusia sejagat, yang mana berdiri pada pemeliharaan agama (din), nyawa (nafs), intelek (‘aql), keturunan (nasl) dan harta (mal), Apa jua usaha memelihara kelima-lima elemen penting ini dianggap membantu kemaslahatan umum dan ia menjadi sesuatu yang digalakkan. Susunan pemeliharaan kelima-lima elemen itu juga dipersetujui oleh Imam Shatibi. Pemeliharaan kelima-lima elemen ini berdasarkan kepada keperluan dalam kehidupan manusia.

Imam Najmuddin Al-Tufi (716 H) pula adalah antara para ulamak yang menambah keperluan (daruriyyat) keenam iaitu pemeliharaan ke atas maruah. Pemeliharaan elemen-elemen penting ini berdasarkan kepada keperluan asas dalam kehidupan manusia. Hal ini ada hubung kaitnya serta melibatkan evolusi objektif Shariah dalam menangani tanggapan yang melibatkan isu-isu masa kini. Antara contohnya ialah bagaimana evolusi kepentingan pemeliharaan keturunan berhubung kait dengan pemeliharaan maruah diri seseorang manusia. Pemeliharaan maruah diri manusia bukanlah suatu skop yang asing dalam elemen penting objektif Shariah.

Keluasan skop dan evolusi objektif Shariah dalam mengambil kira pemeliharaan maruah diri manusia bukan sahaja disokong oleh ulamak silam seperti Ibn Taimiyyah (728H), bahkan pendekatan ini juga diguna pakai oleh ulamak kontemporari seperti Ahmad al-Raysuni dan Yusuf al-Qaradawi. Yusof Qaradawi malah turut menganggap pemeliharaan maruah diri manusia sebagai salah satu elemen terpenting dalam mencapai objektif Shariah.

Kewujudan ilmu dan sudut pandang Maqasid Shariah ini menjadikan seseorang ilmuan agama itu lebih luas pemandangannya dan tidak hanya terkongkong pada hanya satu aspek dan sudut pandang yang sempit. Ilmu Maqasid Shariah menjadikan hukum agama Islam ini lebih fleksibel sesuai dengan keadaan individu, komuniti, dan juga negara. Ilmu ini merupakan produk utama ilmu usul fiqh kerana pemahaman ilmu Maqasid Shariah lahir daripada para usuliyyin (para ulamak usul fiqh).

Mendalami ilmu Usul Fiqh

Umat Islam yang mendalami ilmu agama semestinya akan kagum dan berterima kasih kepada para imam mujtahid yang telah bertungkus lumus memelihara agama Islam dengan kaedah dan formula tertentu. Di samping kepentingan memahami ilmu fiqh, ilmu usul fiqh yang digarap sebagai medium dan alat untuk mencapai kepada pengeluaran hukum sesuai dengan landasan yang sepatutnya. Seseorang mujtahid tidak akan dapat mengetahui sesuatu hukum fiqh kecuali setelah berusaha menilai keseluruhan dalil-dalil yang datang daripada kalam Allah Taala melalui al-Quran dan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam melalui sekian banyak hadis. Hanya setelah itu mereka mendapat kesannya iaitu hukum Fiqh seperti mana yang diikuti oleh orang awam kebanyakannya.

Justeru perlu difahami bahawa ilmu fiqh dan usul fiqh mempunyai kaitan yang amat rapat antara satu sama lain kerana Fiqh adalah natijah dan produk kepada Usul Fiqh. Maka mereka yang hanya memahami hukum fiqh dirasakan tidak akan lengkap jika tidak mempelajari imu usul fiqh. Dengan pemahaman yang menyeluruh tentang kaedah berijtihad dan prinsip-prinsip dalam hukum syarak yang perlu dipatuhi, ilmu usul fiqh memainkan peranan penting dalam menunjukkan bahawa Syariat Islam mampu menyahut kehendak peredaran zaman kerana ia mempunyai jawapan (hukum) bagi perkara-perkara semasa.

Ianya juga merungkai beberapa persoalan umat Islam tentang perananya di sebalik tabir dalam perselisihan pendapat di kalangan ulama mazhab hatta dalil serta kaedah yang digunakan oleh mazhab tertentu. Ilmu usul fiqh yang merupakan mekanisme penting dalam pertahanan Syariat Islam yang suci ini dilihat kurang mendapat tempat di kalangan umat Islam kerana tidak menyedari kepentingannya. Walhal hanya melalui ilmu usul fiqh inilah umat Islam mampu menerokai dalil-dalil naqli dan aqli tentang kehujahan al-Quran dan Sunnah serta sumber-sumber yang lain sekaligus mampu menjawab persoalan-persoalan oleh umat Islam dan bukan Islam, serta tomahan-tomahan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam.

Mengiktiraf Metodologi, Konsep dan Kaedah

Justeru, seorang ilmuan agama wajib sekurang-kurangnya mempunyai asas ilmu Usul Al-Fiqh supaya pemahaman hukum fiqh itu lebih praktikal dan menyeluruh sesuai dengan kaedah asas yang digunakan oleh fuqaha (para ulamak Fiqh). Melalui pemahaman yang menyeluruh antara ilmu Usul Fiqh dan sudut pandang Maqasid Shariah yang jelas juga membolehkan para ilmuan memperkasa ilmu mereka dalam menghadapi isu-isu yang berkaitan pengeluaran hukum serta keadah-kaedahnya. Sekiranya seseorang ilmuan agama itu sekadar memahami ilmu fiqh tanpa mengambil tahu kepentingan ilmu Usul Fiqh, perumpamaannya seperti seorang yang bergelar doktor tetapi tidak mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk melakukan pembedahan.

Oleh sebab itu kita dapat lihat sesetengah ilmuan agama hanya berkemampuan mencedok fatwa atau ijtihad para ulamak lain secara literal atau membuta tuli untuk diimplementasi dalam pemberian fatwa tanpa memahami kepelbagaian kaedah yang para ulamak itu gunakan dalam mengelurkan hukum dan fatwa tertentu, tanpa mengambil kira faktor-faktor lain. Maka tidak hairanlah jika ada yang mungkin mengeluarkan pandangan atau fatwa yang pelik-pelik tanpa sandaran yang kuat. Natijahnya besar dan buruk, serta tidak keterlaluan jika dikatakan menjauhkan golongan bukan Islam daripada memahami ajaran Islam sebenar.

Sebagai mengambil beberapa contoh, ada golongan yang bertegas mengambil pandangan mereka yang bukan Islam tidak boleh memegang al-Quran atas sebab mereka ini najis, mereka juga tidak dibenarkan memasuki masjid atas sebab perumpamaan yang disamakan dengan waniat haid, atau menerima daging kurban dan apatah lagi kelayakan menerima zakat. Contoh-contoh ini dibakulkan dengan interpretasi yang satu iaitu kerana mereka golongan bukan Islam, sekaligus melahirkan sifat inklusif umat Islam dalam beragama tanpa mahu mengiktiraf kepelbagaian pandangan lain yang boleh membawa kepada kesan dakwah yang lebih besar impaknya. Contoh-contoh sedemikian pula hanya dilihat dari sudut fiqh dan pandangan mazhab yang dipegang, tanpa perlunya penilaian kepada Maqasid Shariah, apatah lagi jika turut mengambil kira perbincangan Siyasah Shar’iyyah atau politik kenegaraan Islam.

Kesempitan sebegini merupakan suatu kerugian besar dalam mengenal pasti keluasan dan batasan pemahaman Fiqh Islam. Kerana hanya dengan ilmu Fiqh yang digarap sesuai dengan ilmu Usul Fiqh dan sudut pandang Maqasid Shariah seseorang agamawan itu mampu menerapkan penghayatan terhadap disiplin dalam menghormati kepelbagaian pendapat dan menghadapi perbezaan pendapat. Tanpa sudut pandang Maqasid Shariah yang jelas, golongan agamawan tidak akan mampu mengesan impak dan fleksibiliti sesuatu hukum. Oleh itu, tidaklah cukup sekadar melaungkan slogan berlapang dada dalam aspek hukum Fiqh Islam, perlu juga adanya usaha membumikan budaya ilmu asas yakni mendalami ilmu Usul Fiqh dan sudut pandang menyeluruh berdasarkan Maqasid Shariah.

Wallahu’allam.

Ibn Yusof 6 December 2010/ 30 Zulhijjah 1931
8.20a.m

www.ibnyusof.blogspot.com


Thursday, November 11, 2010

Anda Melabur Atau Menghancurlebur Modal?


Pelaburan ialah perbuatan meletakkan duit dalam sesuatu dengan mengharapkan keuntungan. Dengan lebih spesifik, pelaburan ialah komitmen dengan melaburkan duit atau modal untuk membeli instrumen kewangan atau aset lain untuk memperolehi keuntungan berbentuk pulangan atau kenaikan dalam nilai instrumen.

Tetapi saban hari, jumlah manusia yang tertipu,ditipu dan menipu semakin bertambah atas nama pelaburan. Baik ianya melalui pakej skim cepat kaya, direct-selling, networking ataupun multi-level-marketing (namakan apa sahaja) yang sememangnya jelas berdiri atas sistem sonsang, sehinggakan bentuk pelaburan yang diiktiraf ramai seperti pembelian bon atau sukuk (bon islamik),Forex (tukaran mata wang asing), REITs (Amanah Pelaburan Harta Tanah), ETF(Dana Dagangan Bursa),pembelian emas fizikal atauakaun emas dan sebagainya. Semua bentuk pelaburan yang disebut (dan yang tidak disebut) mempunyai satu sisi buruk yang tidak dapat sesiapapun lari daripadanya, iaitu risiko kerugian!

Para pembaca harus mengetahui bahawa ‘risiko’ ialah elemen yang mustahil untuk dimusnahkan dalam kehidupan, tetapi ia boleh dikawal selia (manage) dan dikurangkan (mitigate). Artikel ini walau bagaimanapun hanyalah suatu usaha perkongsian buah fikir penulis kepada masyarakat awam tentang langkah berhati-hati yang boleh dilaksanakan sebelum menyertai atau melaburkan duit ke arah sesuatu pelaburan. Hal ini dilihat semakin penting apabila dilihat semakin galak umat Islam (baca: bangsa Melayu) berkecimpung dalam aneka pelaburan, tetapi akhirnya melutut kerugian dengan seribu satu penyesalan.

Berikut langkah-langkah mudah yang inshaAllah boleh dipraktikkan oleh sesiapa sahaja sebagai suatu usaha sebelum melaburkan duit simpanan, apatah lagi sekiranya melibatkan duit pinjaman mahupun duit pembiayaan ke arah usaha pelaburan:

Langkah 1 :Bertanya Google (enjin carian)

Bertanya kepada Haji Google! Akses internet membolehkan sesiapa sahaja dengan mudah mendapatkan informasi. Kita namakan langkah ini sebagai siasatan ringkas!

Apa yang menarik tentang enjin carian ialah denagn sekali ‘klik’, anda akan mendapat ribuan informasi yang berkaitan baik dari blog peribadi mahupun laman sesawang rasmi oleh pihak berkuasa (yang mungkin ada mengeluarkan pernyataan rasmi tentang pelaburan yang ‘disiasat’). Tujuan utamanya bukanlah mencari laman sesawang skim pelaburan yang ingin disertai, tetapi mencari sisi buruk skim tersebut sekiranya ada. Contohnya, taip sahaja:

“Cara membeli emas fizikal”;atau

“Bulksms penipu”; atau

“Gelang AC tidak bayar bonus”; atau

“LoginFacebook 100 skim cepat kaya tipu”; atau

“Hukum Forex”; dan lain-lain cara yang anda boleh fikirkan.

Klik sahaja. Maka anda akan didedahkan dengan lambakan informasi hatta pandangan orang di Alaska,Afrika,Kazastan dan setiap ceruk muka bumi tentang pelaburan yang ‘disiasat’, melalui laman sesawang atau blog persendirian yang dapat para pembaca akses. Selepas mendapat informasi yang terlalu banyak itu, gunakanlah otak yang dianugerahkan Tuhan untuk menilai longgokan informasi yang diterima dan dibaca.Cara ini umpama mengelak kita daripada jatuh ke dalam lubang yang sama telah orang lain jatuh, iaitu mengelak kita tertipu, ditipu atau melakukan kesilapan yang telah orang lain lakukan dalam pelaburan yang akan disertai.

Mudah bukan? Masih mahu penulis ajarkan cara menggunakan enjin carian di internet?

Justeru, tiada alasan untuk para pembaca turut sama tertipu dan akhirnya merugikan diri sendiri dan keluarga. Tidak membuat siasatan terperinci terhadap pelaburan yang diceburi adalah suatu tindakan kurang bijak yang berisiko serta menjerat pelabur ke arah risiko yang membahayakan.

Langkah 2 :Jangan terpengaruh dengan pulangan yang dijanjikan,ayat Quran atau hadis, testimoni & gambar

Pulangan lumayan

Manusia memang mudah putih mata (hakikatnya kelabu mata) dengan pulangan yang dijanjikan melalui pelaburan, baik dalam peratusan. Contohnya pulangan pelaburan dalam peratusan yang syarikat pelaburan janjikan barangkali seperti kadar berikut:

Deposit Tetap – 3-4%

Unit Amanah – 5-9%

Saham – 10-20%

Option – 15-30% dan lain-lain jenis pelaburan

Ataupun sekiranya sasaran pasaran adalah untuk menarik perhatian mereka yang kurang reti mengira matematik, pelaburan menjanjikan keuntungan bersifat tetap (contoh melabur RM100 dapat keuntungan tetap RM100ribu dalam masa setahun). Mereka yang terpedaya melalui teknik pulangan tetap ini tergolong dalam golongan orang tamak, maka betullah peribahasa bahawa orang tamak ‘selalu’ rugi, atau ‘tetap’ rugi.

Pelaburan dengan keuntungan tetap selalu berjaya menipu mereka yang tamak. Lebih lama tempoh keuntungan tetap, lebih banyak keuntungan yang dijanjikan. Penulis masih ingat ketika ramai rakan-rakan di universiti memasuki satu skim MLM yang mana melabur RM600 lebih (lebih kurang angka tersebut), selepas 10 tahun akan dapat RM40 lebih ribu, Setelah diajak dan dipujuk,ramai rakan-rakan yang turut serta, yang tidak turut serta dikatakan tolak rezeki dan menempah rugi. Hasilnya, syarikat itu sehingga kini terus menyepi, meninggalkan para pesertanya gigit jari. Para pembaca perlu memahami bahawa tidak ada keuntungan atau pulangan tetap (pasti) di dalam Islam kerana bercanggah dengan ajaran Islam (akan dibincangkan lebih lanjut dalam langkah ke3). Sila rujuk artikel tulisan penulis sebelum ini secara khusus membincangkan hukum Islam tentang pelaburan berkeuntungan tetap.

Potongan ayat Quran dan hadis

Penulis juga berpandangan, sekiranya sesuatu pelaburan (hatta perniagaan) menggunakan potongan ayat Quran dan/atau hadis, maka ianya LEBIH perlu diragui daripada yang lain. Ayat standard yang digunakan ialah potongan ayat al-Quran dan hadis yang menggalakkan amalan tolong menolong dan bekerjasama. Sesiapa menyertainya dianggap telah bersedekah, menolong atau memberi kebaikan kepada orang Islam.

Malah ada pula ayat-ayat yang menyatakan sesiapa yang menyertainya bakal mendapat keuntungan dalam bentuk wang, malah balasan kebaikan daripada Allah. Sesiapa yang tidak mahu menyertai pelaburan atau skim yang ditawarkan itu pula dianggap tidak mahu berjihad ke jalan Allah. Mereka juga didakwa seolah-olah kufur nikmat (tidak bersyukur) dengan rezeki yang dianugerahkan oleh Allah.

Inilah yang kita namakan teknik pemasaran yang berselindung di sebalik ‘suruhan’ agama, dengan memanipulasi citarasa individu dalam berniaga.

Ya, memang kita katakan tidak semuanya begitu, tetapi kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa hampir semuanya menipu!

Testimoni

Ada juga yang senang terpengaruh dengan testimoni-testimoni para peserta atau para pengguna. Tanpa menafikan bahawa ini merupakan salah satu kaedah terbaik dalam pemasaran, ia juga dilihat boleh menjadi salah satu usaha penipuan yang berguna bagi mengalih perhatian orang awam untuk berfikir secara kritis. Tidakkah ianya menjadi sesuatu yang cukup meragukan sekiranya syarikat-syarikat pelaburan besar memerlukan teknik pemasaran menggunakan testimoni oleh para peserta atau para pengguna tanpa bukti dan kajian saintifik oleh badan-badan besar yang diiktiraf? Apakah logika di sebalik alasan krew pemasaran yang mahu mengurangkan kos pemasaran?

Lebih mengejutkan apabila ada juga pelaburan atau skim yang berjaya ditangkap terang-terang (red-handed) menyalin testimoni syarikat lain (luar negara), bukankah ini amat memalukan dan menerangkan secara jelas pelaburan itu suatu penipuan? Apabila kekurangan fakta,maka mereka gunakan ‘auta’.

Gambar

Selain teknik menipu menggunakan teknik pemasaran testimoni, ada juga yang menggunakan teknik gambar, hal ini adalah maklum dalam kaedah pemasaran kerana gambar adalah imej yang jelas dan mampu mempengaruhi minda manusia dengan lebih berkesan. Bak kata emperor China sewaktu dinasti Xia, 张照片胜过千言万语 ('A picture speaks a thousand words').

Maka para pembaca boleh lihat ada yang akan bergambar dengan memegang wang tunai ribuan ringgit, atau berdiri di sebelah kereta idaman ramai. Maka akhirnya, ramailah orang tamak yang terpedaya dan terengaruh serta sanggup mengambil jalan pintas untuk terus melabur tanpa berfikir panjang (tanpa melakukan siasatan dan memahami pelaburan yang disertai).

Oleh itu, berhati-hatilah! Baca langkah seterusnya.

Langkah 3 :Rasionalisasi diri sendiri

Sekiranya para pembaca tidak dapat mengawal sifat tamak yang membuak dalam diri, maka langkah ini barangkali adalah langkah paling penting. Ramai yang akan berjumpa dengan ejen mahupun promoter yang berkata bahawa sekarang ialah masa yang paling sesuai untuk melakukan pelaburan. Walhal, realitinya,(tanpa perlu ambil kira situasi ekonomi semasa) yang menentukan masa yang sesuai ialah persediaan dan kemampuan kewangan semasa anda! Inilah yang membezakan pemahaman seorang ejen ataupun promoter, dengan posisi pekerjaan seorang penasihat kewangan (wealth adviser).

Selain itu, para pembaca juga perlu fahami dan kenali diri sendiri, dalam kaedah pengurusan risiko, sifat para pelabur boleh dikategorikan kepada tiga jenis, secara umumnya:

  1. Pelabur yang berani mengambil risiko (risk seeker/risk taker).
  2. Pelabur yang bersifat neutral terhadap risiko, melihat keadaan dan masa yang sesuai untuk bertindak dan mengambil risiko/peluang (risk neutral)
  3. Pelabur yang tidak berkecenderungan tehadap risiko, yang selalunya tidak bersedia mengambil risiko melainkan diberikan insentif yang pasti (risk averse)

Secara umumnya, manusia berada dalam golongan ke 3 yakni ‘risk averse’. Justeru sekiranya ada mereka yang sanggup meminjam duit dengan alasan untuk melabur, maka mereka ini boleh dikategorikan dalam golongan 1, yakni ‘risk taker’. Secara peribadi, penulis tidak nampak keperluan meminjam dengan alasan untuk melabur. Hanya jika anda berkesanggupan dan telah menilai impak risiko (yang mana langkah ke 5) sekiranya ada kebarangkalian untuk menempuh kerugian atas pelaburan.

Secara ringkas,penulis menasihatkan supaya ikhlaskan diri apabila lakukan pelaburan. Bahasa mudahnya, buat cara tiada duit jika belum sampai masanya.Contoh:

Anda mempunyai gaji bulanan sebanyak RM3000, selepas tolak perbelanjaan rutin RM2500. Dan anda memilih untuk manabung RM200. Maka jumlah pendapatan (jumlah bersih) anda masih ada berbaki RM300 yang kurang anda perlukan (bukan tiada guna tetapi jumlah yang dianggap kurang diperlukan).MAKA itulah wang yang seharusnya anda gunakan untuk pelaburan,tidak lebih daripada itu! Jika ingin beralasan tidak cukup,maka itu bermaksud anda masih belum bersedia dari sudut kemampuan kewangan semasa anda (simpan untuk bulan depan,mungkin sehingga menjadikannya RM400 pada bulan hadapan,walaupun boleh sahaja melabur dengan RM200 jika pandai mencari ruang). Tetapi jika anda telah yakin dengan impak risiko pelaburan serta mendapat kepastian yang tuntas tentang pulangan yang bakal diperolehi, barulah wujud rasionalnya untuk meminjam (tetapi ia tetap terdedah dengan risiko kerugian walaupun 0.001%).

Selain itu, terdapat dua cara untuk merasionalkan pemikiran dan sudut pandang tentang prospek pelaburan yang ada. Iaitu:

  1. Meyakinkan diri dengan kiraan matematik asas

- Perkara ini boleh dilakukan bagi mereka yang tahu mengira sekurang-kurangnya ‘rate of return’ (ROR) atau ‘rate on investment’ (ROI) bagi melihat logika pulangan balik yang diwar-warkan atau yang dijanjikan oleh syarikat pelaburan.


  1. Bertanya pandangan rakan-rakan terdekat yang berilmu (selain promoter)

-Kadang kala kita memerlukan orang lain untuk merasionalkan diri kita. Mereka yang mampu membantu kita melihat ‘luar kotak’. Mungkin juga seseorang yang dapat melihat dan menjelaskan sisi baik dan sisi buruk, terutama jika mereka yang kita rujuk itu berilmu baik dalam bidang pelaburan (untuk mengetahui teknik mengesan pulangan yang baik) mahupun bidang keagamaan (untuk mengetahui halal dan haram sesuatu aspek hukum muamalat tentang pelaburan).

Langkah 4 :Fahami keseluruhan konsep & produk yang digunakan

Tidak ada jalan mudah dalam mendapatkan keuntungan yang halal dan diredhai, baik keuntungan dunia mahupun akhirat. Kerana semuanya menuntut usaha, tiada jalan mudah atau keuntungan atas angin (judi).

Justeru sebagai individu Muslim, menjadi kewajiban sekurang-kurangnya mempelajari halal haram dalam hukum bermuamalat supaya transaksi yang dilakukan sehari-hari menjamin keredhaan ilahi. Peringatan daripada khalifah Islam kedua yakni Saidina Umar al-Khattab. Beliau berkata bahawa: “Jangan kamu berjual beli di pasar kami, kecuali telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya.” (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi).

Konsep dan kontrak Islam yang diguna pakai

Antara konsep dalam Islam yang diguna pakai oleh mana-mana institusi pelaburan di dunia adalah seperti berikut:

  1. Mudharabah - Suatu perjanjian antara pemodal (rabbul mal) yang memberi 100% modal untuk perniagaan dengan usahawan (mudharib) yang menguruskan perniagaan dengan menggunakan kepakarannya. Di bawah kontrak ini, keuntungan yang diperoleh akan dibahagikan antara mereka mengikut nisbah yang dipersetujui sebelumnya, sementara sebarang kerugian akan ditanggung sepenuhnya oleh pemodal.
  2. Musharakah - Suatu kontrak ke arah perkongsian antara dua pihak atau lebih untuk menyumbang modal dalam pelbagai perkadaran. Keuntungan yang dijana oleh perkongsian dibahagikan mengikut terma kontrak musyarakah, manakala kerugian dikongsi mengikut perkadaran bahagian sumbangan masing-masing kepada modal.
  3. Ujrah - Pembayaran untuk sesuatu perkhidmatan. Ujrah juga berhubung kait dengan gaji, upah, bayaran, fi, caj, pendaftaran, honorarium, ganjaran, anugerah dan lain-lain.
  4. Wakalah - Suatu kontrak pelantikan ejen di mana seseorang individu melantik seseorang yang lain untuk bertindak bagi pihak beliau.
  5. Jua’lah - Satu kontrak sehala yang menjanjikan hadiah atas penyempurnaan sesuatu tugas khas.

Terdapat banyak lagi konsep dan kontrak Islam yang diguna pakai. Namun umumnya, pelaburan Islam tidak lari daripada menggunakan salah satu (atau lebih) daripada konsep di atas. Tidak semestinya suatu pelaburan itu harus menggunakan terma Arab untuk menjadikannya Islamik, tetapi sekurang-kurangnya siasatlah dan bertanya supaya konsep yang digunakan itu tidak bertentangan dengan Shariah.

Kewujudan Penasihat Shariah

Setelah sistem kewangan Islam mula mendapat tempat di dalam negara ini, menjadi sebahagian keperluan untuk mempunyai Penasihat Shariah dalam suatu organisasi bagi memantau dan menyelaraskan hal ehwal Shariah tentang operasi keseluruhan yang dijalankan oleh sesebuah organisasi.

Penasihat Shariah ini terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang Shariah, dalam usaha mereka memantau dan memastikan operasi keseluruhan sistem operasi itu tidak menyanggahi Shariah (iaitu memastikan perniagaan yang dijalankan patuh Shariah). Justeru apabila sesuatu syarikat yang menawarkan pelaburan, tanpa pengawasan dan penyeliaan mereka yang pakar dalam bidang Shariah, kecenderungan sesuatu perniagaan atau pelaburan itu untuk bercanggah dengan Shariah adalah tinggi. Oleh itu, kita dapat lihat, sekiranya sesebuah syarikat pelaburan itu menitik beratkan hal ehwal Shariah (baca: halal dan haram), mereka akan mendapatkan mereka yang pakar Shariah untuk dijadikan sebagai Penasihat dalam memastikan struktur dan keseluruhan operasi itu tidak bercanggah dengan Shariah.

Dalam erti kata lain, sekiranya tiada penasihat Shariah, syarikat pelaburan itu perlu disiasat lebih mendalam! (bagi memastikan pelaburan itu tidak bercanggah dengan Shariah).

Pelaburan melalui jualan produk

Pelaburan dalam Islam tidak mungkin lepas daripada beberapa garis panduan am yang mesti difahami oleh semua Muslim. Antara yang penting iaitu kaedah fekah seperti “al-Ghurum bil ghunum” (tiada pulangan tanpa risiko), “al-Kharaj bid Dhaman” (setiap manfaat mestilah diiringi dengan liabiliti), dan al-Iwad (imbalan).

“al-Ghurum bil ghunum” (tiada pulangan tanpa risiko) - membawa erti setiap pulangan yang dikaut hendaklah tidak lari dari kewujudan risiko. Prinsip ini juga antara lainnya membawa maksud seseorang itu berhak ke atas keuntungan hanya jika seseorang itu bertanggunjawab atas kerugian (liabiliti). Mengaut keuntungan hanya sah sekiranya perkongsian risiko (risk sharing) dan terlibat dalam usaha atau aktiviti ekonomi.

“al-Kharaj bid Dhaman” (setiap manfaat mestilah diiringi dengan liabiliti) - pula suatu prinsip yang menekankan kepentingan pendedahan kepada risiko dalam bertransaksi, seseorang hanya layak menuntut keuntungan jika bersedia menanggung risiko. Prinsip ini dalam erti kata lain menyatakan pulangan (al-kharaj) hanya kepada mereka yang menanggung liabiliti (dhaman) ke atas sesuatu, seperti aset. Tanpa liabiliti seseorang tidak dianggap berhak ke atas pulangan dan keuntungan yang diraih.

Imbalan (al-‘iwad) - Suatu konsep yang dipopularkan oleh Ibn Arabi melalui nukilannya yang bermaksud: “Setiap kenaikan (keuntungan), tanpa imbal balik (al-'iwad) atau yang bersamaan dengan nilai ialah riba" (dinukil daripada kitab Ahkamul Quran,dijelaskan pernyataan ini dengan cukup jelas tentang perbezaan jual beli dan riba).Dalam menerangkan ucapan ringkas itu, sekiranya pinjaman berserta faedah dianggap riba, adapun jualan barang dagangan dengan tambahan keuntungan atas harga kos tidak sama seperti riba dan halal kerana ia suatu bentuk jual beli. Bak kata IbnArabi, hal ini adalah kerana jualan mempunyai elemen al-‘iwad:

Tiga elemen penting dalam imbal balik (al-'iwad) ialah :

  1. Risiko; Jualan berserta risiko dalam erti kata penjual barang dagangan terpaksa menghadapi risiko barangan dagangan itu rosak atau musnah sebelum sempat menjual dan mendapat keuntungan daripada hasil jualan. Adapun pemberi pinjaman yang mengenakan riba mungkin hanya mengalami risiko sekiranya peminjam tidak mampu membayar semula.
  2. Usaha; Penjual memerlukan usaha untuk menjual barangan sejak membeli barang dengan harga kos sehinggalah pembeli membeli barang jualan. Adapun pemberi pinjaman tidak dianggap berusaha hanya dengan memberi pinjaman berserta riba dan goyang kaki menunggu hasil pinjaman beserta faedah (riba) yang dikenakan.
  3. Liabiliti; Penjual barang masih menanggung liabiliti barang yang dijual seperti barangan rosak atau tidak berfungsi, bertanggungjawab untuk mengganti barang jualan menjadikannya satu liabiliti atas penjual. Adapun pemberi pinjaman tidak bertanggung jawab atas apa yang berlaku kepada peminjam duit, baik untung ataupun peminjam rugi hasil penggunaan duit tersebut.

Hanya dengan kewujudan ketiga-tiga elemen ini (menyebabkan kewujudan al-'iwad),barulah sesuatu jualan itu dianggap sah di sisi syarak, manakala tanpa salah satu elemen boleh mengakibatkan terjadinya riba dan jualan menjadi tidak sah.

Struktur pelaburan

Menjadi suatu yang sangat penting bagi para pelabur memahami struktur operasi syarikat pelaburan yang disertai (kecuali bagi para pelabur yang tamak justeru malas ambil tahu). Cara mudah untuk memahaminya adalah sama ada mengkaji dan melihat sendiri dari laman sesawang rasmi, atau bertanya pada ejen, broker ataupun wakil syarikat pelaburan. Maka sekiranya berjumpa dengan wakil,ejen ataupun broker, apa yang para pelabur perlu lakukan ialah:

Bertanya,bertanya dan bertanya!

Hanya dengan bertanya para pelabur dapat merungkai persoalan yang dihadapi dan mampu memperoleh keyakinan tentang sifat perniagaan dan pelaburan yang ingin dibuat, serta untuk mengenali produk dengan lebih dekat. Teknik “Devil’s Advocate” juga boleh digunakan bagi memastikan para pelabur bersifat kritis dalam menilai sesuatu pelaburan itu. Ya, ini adalah sesuatu yang mustahil untuk para pelabur lakukan sekiranya telah putih mata dengan janji-janji manis yang ditaburkan. Makanya buatlah keputusan dengan bijak, iaitu dengan mengambil masa berfikir,dan bertanya (sehingga dapat memahami sekurang-kurangnya tentang kehalalan dan pendekatan perniagaan yang digunakan dengan jelas. Ini adalah hak anda sebagai pelabur Muslim!

Langkah 5 :Memahami impak risiko pelaburan

Memahami impak risiko pelaburan melibatkan kebarangkalian untuk menempuh kerugian atas pelaburan.Memang kita menginginkan keuntungan yang dijangka-jangkakan. Tetapi jika terus melompat ke langkah ke-5 tanpa menilai langkah ke-2 iaitu rasionalisasi diri sendiri, dikhuatiri cara sebegini akan menyebabkan para pelabur tidak mengenal kemampuan dan kapasiti diri dalam melakukan pelaburan. Sekiranya pengiraan impak pelaburan menjanjikan keuntungan lumayan, para pelabur akan sanggup bergolok-bergadai.

Perlu difahami impak risiko pelaburan bukan hanya mengira dan menjangkakan keuntungan, tetapi lebih mengkhusus tentang kepentingan menilai kebarangkalian kerugian yang boleh menimpa akibat daripada kerugian atas pelaburan yang disertai. Impak baik daripada segi mental dan fizikal terhadap mereka yang kerugian RM100 tidaklah sama dengan mereka yang kerugian RM100 ribu, atau mungkin RM100 juta. Apatah lagi apabila ianya melibatkan keluarga atau orang sekeliling. Contoh bagi mereka yang tersilap langkah menyertai skim cepat kaya, impak risiko pelaburan juga merujuk kepada maruah diri dan keluarga (akibat mengajak orang lain terjebak sama dalam suatu pelaburan yang akhirnya didapati suatu penipuan/scam).

Mat Jenin watak yang digambarkan mempunyai angan-angan juga berusaha memanjat pokok kelapa, tetapi ada pula para pelabur menempah rugi akibat tamak dan malas berusaha. Mereka ini Mat apa?

Kesemua langkah di atas hanya suatu perkongsian ringkas buat mereka yang mahu berjinak-jinak dalam dunia pelaburan. Dan juga bertujuan mengelak lahirnya masyarakat yang malas dalam melakukan usaha, tetapi ingin cepat kaya. Semuanya disebabkan sikap tamak dan keselesaan memasang angan-angan kosong.

Semoga dengan penat lelah para pelabur mengkaji dan memahami sesuatu pelaburan yang akan disertai, para pelabur mendapat keuntungan yang diinginkan dan ianya diperolehi berserta dengan keberkatan ilahi hendaknya.

Penulis berharap tulisan ini menjadi suatu perkongsian bermanfaat inshaAllah.

Wallahu’allam.

Ibn Yusof

11 November 2010 / 4 Dzulhijjah 1431

10:28 p.m

www.ibnyusof.blogspot.com