Saturday, November 21, 2009

Polemik Bermazhabkan Hadis Sahih: Parameter Syafi’iyyah Dalam Berinteraksi Dengannya

1.0 Pendahuluan

Sama ada suka atau tidak, sedar atau leka, umat Islam sejak zaman selepas kewafatan Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam sedang berhadapan dengan virus-virus yang bertujuan memandulkan fikrah dan manhaj golongan Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Hal ini dapat dibuktikan melalui kemunculan hadis-hadis palsu oleh golongan pelampau agama yang ternyata merupakan musuh dalam selimut, keselesaan golongan ini untuk menggaulkan cita rasa logika dalam kehidupan beragama melahirkan bibit-bibit pennyelewengan walaupun kadang kala ianya berlaku tanpa sedar, berlaku atas dasar ‘cinta’ pada agama.

Kemunculan golongan-golongan yang mengajak masyarakat beramal dengan hadis yang ternyata sangat lemah (dho’if jiddan) dan palsu tanpa usul periksa atas dasar ‘cinta’ pada agama juga secara tidak lansung menghindarkan manhaj talaqqi yang tidak lagi dititik beratkan dalam soal beragama. Fakta amalan majoriti dijadikan kayu ukur zaman berzaman di merata tempat tanpa keinginan menelusuri kesahihannya, sama ada ianya fakta atau ‘auta’ semata.

Lebih mengejutkan lagi, wujud pula satu golongan merangkumi individu-individu yang bermati-matian menghalang orang awam dari membaca dan berpegang pada hadis sahih, atas dasar ‘cinta’ pada mazhab. Hal ini sangat mengecewakan kerana jika dilihat pada tafsiran golongan ini maka kesannya terlalu ramai umat pada waktu kini dilihat ‘murtad’ dari berpegang pada mazhab yang satu, maka keluh kesah mereka ini cuba ditunjukkan dengan menjumudkan pula sistem pendidikan agama kepada pandangan bahawasanya hanya layaklah orang awam itu berpegang kepada qaul atau pernyataan serta fatwa ulamak Nusantara, dan demi menghormati para Imam mazhab yang diikutinya dan nenek moyangnya sejak zaman berzaman, atas dasar ‘cinta’ pada mazhab.

Penyakit ini dilihat semakin barah apabila mereka ini cuba memahami agama secara textual tetapi tidak kontekstual. Kemudian cuba memaniskan bibir dengan kalimah ‘berlapang dada’, dan kalimah ini hanya diguna pakai apabila ianya melibatkan pandangan mereka, tidak pihak yang berlawanan. Antara contoh yang akan dibawakan dalam artikel ini ialah beberapa pandangan dan panduan yang ditetapkan oleh para ulamak dalam berinteraksi dengan hadis sahih sebagai sumber hukum utama selepas Al-Quran.

2.0 Hadis: Sumber hukum dalam kehidupan beragama

Sudah dimaklumi bahawa kerangka arus perdana di Malaysia khususnya tertumpu pada kerangka fikir Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Manakala apabila berbicara perihal rujukan utama perlulah difahami bahawa rujukan bagi setiap umat yang beriman itu ialah al-Qur'an dan al-Hadis yang sahih. Segala hukum-hakam adalah dirumus daripada kedua-dua sumber hukum ini. Tanpa merujuk kepada dua sumber utama ini, maka tiadalah hukum yang boleh dinisbahkan kepada agama Islam.

Al-Quran dengan ilmu dan kefahaman, rujukan serta tafsiran para ulamak tafsir dapat difahami dan ditelusuri makna dan hukumnya. Adapun al-Hadis menjadi perbahasan para ulamak hadis sejak zaman berzaman, dalam menentukan status sanad dan kandungannya demi menjaga agama dari parasit yang mampu menghakis ketulenannya. Akan tetapi para ulamak silam telah lebih awal mennasihatkan orang awam dalam berinteraksi dengan hadis, sebagai contoh kalam popular yang dituturkan oleh Ibn `Uyaynah seorang tokoh hadis berkata: “Hadis adalah tempat yang menyesatkan melainkan bagi fuqaha (orang-orang yang memahami secara mendalam)”. Hal yang ssama juga disentuh oleh Abu Muhammad `Abdullah bin Wahab (salah seorang murid Imam Malik) dan Imam Layth bin Sa`ad: "Hadis adalah tempat yang menyesatkan melainkan bagi ulama (orang-orang berilmu). (Qadi `Iyad, Tartib al-Madarik, juz 1, hlm 96, 1989, Maktabah al-Hayah).

Maksud pernyataan Ibn Uyainah itu menurut al-Qayrawani bermaksud: orang lain daripada mereka barangkali memahami maknanya secara zahir sedangkan ia mempunyai takwilan daripada hadis lain atau dalil yang tersembunyi atau hadis tersebut ditinggalkan kerana ia dituntut untuk ditinggalkan oleh bukan satu perkara sahaja, yang mana ia semua tidak dapat dilakukan melainkan oleh seorang yang meluas pengetahuannya dan faqih (memahami secara mendalam. (Ibn Abi Zayd al-Qayrawani, al-Jami`, sunt Muhammad Abu al-Ajfan, hlm. 118, 1402, t.tmp )

Maka menjadi kerisauan juga bagi umat akhir zaman yang hanya sejengkal ilmunya, tiba-tiba dengan mudah berkata pandangan tokoh fuqaha ini bercanggah dengan hadis. Hal ini adalah kerana salah faham dalam memahami dan menggunakan sumber utama agama yakni al-Quran dan terutamanya al-Hadis (dalam konteks perbincangan ini).

Maka tidaklah juga mengejutkan apabila ada golongan agamawan yang khuatir dengan sikap orang awam dalam cubaan mendalami dan memahami ilmu hadis. Maka akan disogok orang awam bahawa ilmu hadis ini adalah ilmu yang mampu menyesatkan (melalui kata-kata Ibn `Uyaynah atau Abu Muhammad `Abdullah bin Wahab), terutama jika dipelajari bukan dengan ahlinya. Maka hiduplah orang awam itu hanya bertangguk pada hujah golongan agamawan, hatta jika hadis yang didengarinya itu dalam ceramah atau ucapan diketahui ianya lemah atau palsu, ditanamkan dalam diri mereka supaya raguilah diri mereka, bukan hujah golongan agamawan itu.

Adapun kalam Imam Syafie rahimahullah yang mayhur bahawa beliau berkata:
“Apabila hadith itu sahih maka itulah mazhabku”

Imam Nawawi menghuraikan ungkapan Imam Syafie di atas dengan katanya: "Ia tidak bermaksud bahawa setiap orang yang melihat satu hadis sahih lalu berkata: "ini adalah mazhab Syafie" dan beramal dengan zahirnya. Tetapi ini adalah bagi orang yang mempunyai martabat ijtihad dalam mazhab. Syaratnya ialah berat sangkaannya bahawa Imam Syafie tidak menemui hadis ini atau tidak mengetahui kesahihannya. Ini hanya dapat diketahui setelah mengkaji tulisan-tulisan Syafie keseluruhannya dan seumpamanya juga tulisan-tulisan Ashab Syafie yang mengambil daripadanya dan seumpamanya. Syarat ini sangat sukar lagi sedikit yang bersifat dengannya.Syarat ini kami syaratkan kerana Imam Syafie meninggalkan beramal dengan zahir hadis-hadis yang banyak yang beliau telah lihat dan mengetahuinya tetapi tertegak dalil baginya tertang pertikaian terhadap hadis atau nasakhnya (pembatalannya) atau pengkhususannya atau takwilannya atau seumpamanya " (al-Majmu`, jilid 1, hlm. 104).

Golongan agamawan maka dengan itu dengan tegas menjelaskan bahawa ianya perlu difahami mengikut konteksnya, dengan erti kata lain tidaklah boleh mengambil hadis sahih sewenang-wenangnya hatta dalam Kitab Sahih Bukhari mahupun Sahih Muslim dan menyatakan ianya sebahagian daripada mazhab Syafie kerana kalam mulia Imam Syafie itu ditujukan kepada para mujtahid dan bukannya orang awam. Dan diulangilah pula penjelasan formula yang sama bahawa hadis itu boleh menyesatkan orang awam jika ditelusuri mereka. Cuma sahaja masih belum lagi hingga kini Kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim itu dimansuhkan dari muka bumi ini atas alasan formula yang sama.

2.1 Mazhab Syafie berinteraksi dengan hadis sahih : Sudut pandang kedua
Penerangan di atas adalah satu sisi perbahasan yang telah lama diguna pakai kepada orang awam dalam menasihati mereka supaya berhati-hati dengan hadis, bukan sahaja hadis yang lemah dan palsu statusnya, hatta hadis sahih perlu juga ditelusuri sebelum mengikutinya. Maka jelas bahawa syarat-syarat yang perlu diperhatikan sebelum seseorang itu mengubah mazhab imam yang diikutinya (dalam konteks perbahasan ini; Mazhab Syafie).

Adapun atas tujuan selain itu, seseorang individu apakah diperbolehkan mereka berpegang dan beramal dengan hadis sahih yang ditemuinya sekalipun dia belum mencapai darjat seorang mujtahid dilihat tidaklah menjadi satu pandangan dominan untuk diketengahkan perbahasannya. Oleh itu penulis melihat ada baiknya dibawa kedua-dua sisi pandangan ini supaya lebih adil di samping mengetengahkan kepentingan berpegang kepada hadis sahih di dalam era membuaknya hadis terlalu lemah dan palsu dan golongan yang menyanjungnya.Maka perlulah difahami bahawa tulisan ini merujuk kepada hadis yang telah jelas sahih dan bukannya yang diperselisihi statusnya.

Sebelum pergi kepada penjelasan lebih mendalam, kita perlu memahami bahawa Imam As-Syafie rahimahullah sangat menghormati kalam Nabi Sallallahu’alai Wa Sallam dan ini boleh difahami daripada pelbagai wasiatnya. Berkata Imam As-Syafie rahimahullah:

Setiap hadis yang sah daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam adalah juga merupakan ajaran aku walaupun engkau tidak pernah mendengarnya daripada aku sebelum ini (Riwayat Ibn Abi Hatim di dalam al-Adab, ms. 93-94.)

Pernyataan di atas hanyalah satu kalam dari sekian banyaknya wasiat Imam As-Syafie rahimahullah yang menggambarkan (rendah dirinya (tawadhu’) beliau dalam berinteraksi dengan hadis sahih yakni sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Daripada kefahaman dan kemuliaan kalam Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam sebagai sumber dalam beragama yang difahami oleh Imam As-Syafie rahimahullah, Ibn Sholah, seorang ulamak Syafi’iyyah yang tersohor dalam bidang hadis, dinukilkan kata-kata beliau oleh seorang ulamak Syafi’iyyah lain yang juga terkenal dalam bidang usul fiqh yakni Imam Az-Zarkasyi:

“Sesiapa yang (pada mulanya) bertaqlid kepada sebahagian imam (mazhab) lalu kemudian darjatnya naik sedikit sehingga mampu memahami dan mengkaji dalil-dalil syari‘at , maka apabila dia menemui sebuah hadis yang dapat digunakan sebagai hujah dan hadis itu pula digunakan oleh sebahagian orang namun berselisihan dengan pendapat imam mazhabnya, maka adakah dibolehkan dia berijtihad (dengan mengamalkan hadis tersebut dan meninggalkan pendapat imam mazhabnya) ?

Berkata Abu ‘Amr (Ibn al-Sholah): Dalam hal ini kami berpendapat, jika seseorang itu memiliki sarana untuk berijtihad secara mutlak atau (sekurang-kurangnya berijtihad) dalam sesebuah bab atau masalah tertentu, maka dibolehkan bagi dia beramal dengan hadis tersebut. (Juga dibolehkan) sekalipun jika dia tidak memiliki saranan untuk berijtihad secara sempurna dan wujud di hatinya keraguan terhadap hadis tersebut asalkan dia tidak mendapati hadis lain yang bertentangan dengan hadis yang ingin diamalkan itu. Jika terdapat seorang imam di luar mazhabnya yang beramal dengan hadis tersebut, maka dia boleh bermazhab kepadanya. Demikian merupakan alasan yang membolehkan dia meninggalkan pendapat imam mazhabnya (yang asal).”(al-Bahr al-Muhith ,Dar al-Kitabiy : Beirut, jilid 8, hlm. 343-344)

Maka jelas bahawa kata-kata Imam Ibn Solah diatas ini adalah sedikit berbeza dengan pandangan Imam an-Nawawi rahimahullah yang meletakkan syarat yang ketat sebelum seseorang itu dapat mengubah mazhab seorang imam sesama-mata berdasarkan hadis sahih yang ditemuinya. Apa yang Imam Az-Zarkasyi nukilkan daripada kalam Imam Ibn Solah ini membolehkan orang perseorangan mengamalkan hadis sahih yang ditemuinya hatta bertentangan dengan pandangan Imam mazhab yang diikutinya selama ini selagi mana ada mazhab lain atau pandangan lain yang dirasakannya lebih kuat. Justeru bagi menjelaskan individu perseorangan yang dimaksudkan dalam pernyataan di atas ialah:

- Sesiapa yang (pada mulanya) bertaqlid kepada sebahagian imam (mazhab) lalu kemudian darjatnya naik sedikit sehingga mampu memahami dan mengkaji dalil-dalil syari‘at

- Sesiapa yang memiliki sarana untuk berijtihad secara mutlak atau (sekurang-kurangnya berijtihad) dalam sesebuah bab atau masalah tertentu

- Sesiapa yang tidak memiliki saranan untuk berijtihad secara sempurna.

Maka dengan itu dapat difahami bahawa orang awam yang mengikut pendapat yang dikuatkannya berdasarkan penelitiannya terhadap nas-nas yang menjadi dalil ke atasnya hendaklah dipastikan bahawa pendapatnya itu selari dengan pendapat sekurang-kurangnya salah seorang imam Ahl sunnah Wal Jamaah yang muktabar sekalipun ia berbeza dengan pendapat imam mazhab yang menjadi ikutannya berserta dengan nas-nas tersebut selamat daripada sebarang pertentangan dengan nas yang lain untuk diamalkan. Maka jelas bahawa orang awam itu berhak beramal dengan pendapat yang dirasakannya kuat selagimana dia mempunyai ilmu dan pemahaman ke atas perkara yang diyakininya itu.

Maka golongan agamawan dalam era globalisasi ini seharusnya menjadi pendidik berkualiti, bukannya penghalang dengan cubaan mengongkong minda orang awam mengikut telunjuk mereka, tetapi hendaklah mengikut telunjuk nas dan dalil. Tunjuk ajar golongan agamawan yakni para ulamak kontemporari sangat releven bagi menjadi penunjuk arah kepada orang awam supaya mereka mampu berinteraksi dengan dalil dengan kesesuaian kapasiti dan ilmu pengetahuan mereka dalam beragama tanpa sebarang cubaan serta kongkongan supaya berpegang pada mazhab yang satu, baik dalam ibadah apatah lagi dalam hal ehwal muamalah. Walhal Imam As-Syafi’e rahimahullah sendiri tidak menuntut pengikutnya berpegang pada pandangannya sekiranya terdapat sudut pandang lain yang dirasakan lebih hampir dengan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam, kata beliau :

“Dalam setiap isu, apabila seseorang ahli hadis itu menjumpai sebuah riwayat yang sahih daripada Nabi Shallallahu‘alaihi Wasallam dan riwayat itu pula bertentangan dengan ajaran aku maka aku menarik kembali ajaran aku yang asal tadi sama ada pada ketika aku masih hidup atau apabila aku sudah meninggal dunia nanti.” (Riwayat Ibn al-Qayyim di dalam I’lamul Muwaqqi‘in, jilid 2, hlm. 363.).

3.0 Kesimpulan

Ilmu hadis merupakan suatu ilmu yang penting dalam kedupan beragama, akan tetapi kepentingannya dilihat semakin kabur di sisi masyarakat, hatta golongan agamawan. Maka perlulah difahami juga bahawa para ulamak silam dalam berinteraksi dengan hadis tidaklah semudah yang disangkakan, maka ianya terbuka kepada pentafsiran dan pemahaman yang berbeza. Hukum hakam membuktikan dua orang Imam besar memahami dan mengeluarkan hukum yang berbeza hatta daripada sebutir hadis yang sama. Justeru seseorang individu itu tidaklah boleh menghukum imam mazhab sebagai silap semata-mata kerana hadis sahih yang baru ditemuinya. Metodologi Imam As-Syafi’e rahimahullah dalam berinteraksi dengan hadis -hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam tidak semestinya sama dengan metodologi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik ataupunImam Ahmad.

Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah, seorang tokoh besar dalam bidang hadis dan fiqh merumuskan dengan kemas perbahasan ini dengan berkata:

"Daripada keterangan-keterangan para imam mazhab ini (berkenaan mengikut sunnah atau hadis sahih –pen), adalah menjadi kewajipan apabila seseorang itu menemui suatu perintah daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada sekian umat, menasihatkan mereka dengan penuh keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk mengikutinya walaupun jika ia bertentangan dengan pendapat para imam mazhab atau seseorang lain yang terkemuka. Sikap yang lebih utama ialah mengamalkan hadis-hadis yang baru diketahui kesahihannya sepeninggalan mazhab kerana imam mazhab itu sendiri berpesan sedemikian.

Ini adalah kerana kedudukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati, melebihi dan mengatasi mana-mana pendapat orang atau tokoh lain yang mungkin atas sebab-sebab yang tidak disengajai telah bertentangan dengan perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Kerana inilah kita dapati para sahabat dan generasi selepas mereka membantah sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah yang sahih. Dan adakalanya bantahan ini mereka lakukan dengan amat keras, bukan disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu sememangnya amat menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi pesuruh Allah itu lebih mereka sayangi dan perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding perintah mana-mana makhluk lain.

Justeru itu apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia, ajaran Nabi-lah yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah bermaksud sebagai menghina kedudukan imam ikutan seseorang itu kerana secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan silapnya, bahkan si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu diketepikan apabila didapati bertentangan dengan ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam. (Dikemukakan oleh Salih al-Fulani dalam kitabnya Iqaz al-Himan, hlm. 93).

Maka hendaklah kita berbalik kepada kitaran kehidupan beragama ini yang kembali kepada persoalan sikap seseorang individu itu dalam berkompromi serta bertoleransi dengan perbezaan pendapat dan pandangan yang difahami oleh individu lain selagi mana ianya dalam ruang lingkup syarak. Tidaklah slogan berlapang dada itu dikhususkan pada pihak-pihak tertentu, tetapi ianya buat keseluruhan ummah dalam memahami perbezaan pentafsiran yang bertujuan meninggikan kalam Allah dan Rasul-Nya.

Selari juga dengan keinginanan dan harapan kempat-empat para Imam mazhab supaya mengikut telunjuk Al-quran dan As-Sunnah. Cabaran ummah kini yang perlulah kita semua tangani dengan hikmah dan adab. Semoga tulisan ini memberi kita sudut pandang kedua dalam menilai perbezaan pendapat dalam Syafi’iyyah untuk berinteraksi dengan hadis sahih yang selama ini hanya disogokkan dengan satu pendapat dengan formula betapa bahayanya hadis sahih ini. Walhal perlulah diluaskan skop pandangnya sesuai dengan saranan Syafi’iyyah yang semestinya lebih luas penjiwaan mereka dalam hal ehwal ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam.

Ibn Yusof
22 November 2009 / 4 Zulhijjah 1430
2.23 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

p/s: Ucapan terima kasih diucapkan kepada Ustaz Abdul Razak atas perkongsian idea, scan kitab dan tambahan dalil dalam artikel ini.

No comments: