Monday, October 19, 2009

Perjalanan Bertemu Dua Tokoh

Pada 17 Oktober 2009 lepas, saya berpeluang menghadiri Daurah anjuran IQ dan GMT di Institut al-Qayyim,Bukit Mertajam,Penang. Jika sebelum ini saya selalunya menjadi peserta daurah, kini sahabat-sahabat di USM menjemput saya sebagai pembentang dalam salah satu slot daurah tersebut. Topik pembentangan yang diamanahkan kepada saya bertajuk “Pengenalan Kepada Asas Muamalat & Aplikasinya Dalam Sistem Perbankan Islam”.

Ternyata topik hasil perbincangan dengan pihak penganjur itu sedikit sebanyak mampu mengetengahkan para peserta tentang kepentingan muamalat dalam kehidupan mereka seharian.Masa sedikit terhad kerana saya banyak menumpukan kepada fasa pertama pembentangan yakni asas-asas muamalat walaupun hanya membentangkan perihal akad dan riba. Dua perkara ini menyebabkan perbincangan meleret agak lama kerana perlunya penekanan dalam hal ini terutama apabila para peserta didedahkan dengan hukuman-hukuman jika terlibat dalam transaksi riba sekaligus memupuk minat mereka untuk mendengar alternatif yang perbankan Islam tawarkan,

Adapun fasa kedua pembentangan yang melibatkan aplikasi atau konsep muamalat dalam sistem perbankan Islam hanyalah bergantung kepada baki masa setengah jam menyebabkan konsentrasi saya ketika membentang sedikit terganggu akibat masa yang terhad. Pemilihan 4 produk utama dalam sistem kewangan ini dipilih khusus kerana dipercayai lebih dekat dengan diri para perserta menyebabkan mereka kelihatan lebih berminat berbanding fasa pembentangan berkenaan asas-asas muamalat. Hal ini sudah saya jangkakan lebih awal kerana aplikasi muamalat dilihat lebih jelas apabila ianya berkait dengan kehidupan diri para peserta sendiri apabila kita membincangkan tentang produk akaun simpanan,pembiayaan perumahan,pembiayaan kereta dan takaful.

Mereka yang berminat boleh memuat turun slides pembentangan saya di link berikut. Semoga perkongisan ini sedikit sebanyak bermanfaat walaupun slides tersebut dibuat dalam masa yang singkat dan ada antaranya adalah copy&paste daripada beberapa slides pensyarah saya.

Saya dan rakan-rakan kemudiannya ke Perlis bersama teman-teman untuk menghadiri muhadharah bersama Fadhilatu al-Syeikh al-Muhaddith Ali bin Hasan al-Halabi serta al-Syeikh Abu Ubaidah Masyhur Hassan Salman, murid kepada al-Syeikh al-Imam al-Albani rahimahullahu di Masjid Putra,Kangar pada ahad (18 Oktober 2009). Saya pada awalnya tidak pernah merancang untuk naik ke Perlis kerana mengikut perancangan asal selepas pembentangan Daurah di Penang, saya ingin pulang segera kerana kesibukan tugasan yang menghimpit. Tetapi akibat merasakan ada ilmu yang boleh digapai di Perlis bersama dua orang tokoh terkenal tersebut maka saya tidak mahu melepaskan peluang tersebut bersama dengan rakan-rakan yang lain.

Ketika mendengar mereka akan bertandang ke Malaysia, dan waktunya tepat dengan daurah adalah suatu kebetulan dan semestinya bersyukur ke hadrat Allah Azza Wa Jalla atas peluang yang diberikan. Tersenyum sendirian ketika terbaca kata-kata Syaikh Muhammad Abdul Wahab Marzuq Al-Bana dalam menggambarkan kedua hubungan guru-anak murid ini, “Syaikh Al-Albani adalah Ibn Taimiyah zaman ini, dan muridnya Syaikh Ali Hasan, Ibn Qayyim zaman ini”.

Kedua masyaikh ini adalah tokoh yang tidak asing lagi dalam dakwah sunnah di serata dunia.J ika pada beberapa tahun lepas berpeluang berjumpa dengan rakan seperjuangan berliau yakni Syaikh Salim ibn Ied al-Hilali, kini beliau bersama Syeikh Masyhur Hassan Salman bertandang ke Malaysia untuk berkongsi ilmu mereka dengan para daié di Malaysia. Syeikh Abu Ubaidah Masyhur Hassan Salman juga tidak kurang hebatnya, yang juga berguru dengan Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah dan juga Syaikh Musthofa az-Zarqa rahimahullah, seorang ulamak terkenal di Syam. Saya selalu merujuk kepada kitab beliau yang masyur ketika menjawab persoalan-persoalan solat di dalam forum, kitab beliau tidak lain tidak bukan yakni Al-Qaul Al-Mubin fi Akhthaa Al-Mushalin. Kini berpeluang juga bertemu penulis kitab tersebut.

Antara perkara yang kelihatan baik daripada guru mahupun anak murid ini ialah persamaan mereka dalam bab ilmu, terserlah daripada penjelasan mereka seumpama hidup dengan tidak mengenal sesuatupun kecuali ilmu, ilmu senantiasa memenuhi waktunya, malam, siang, saat di rumah mahupun bepergian, dipenuhinya dengan ilmu. Sentiasa mereka menitik beratkan soal ilmu.

Walaupun muhadharah itu berlaku dalam masa yang agak singkat tetapi penuh juga beberapa helai muka surat sempat saya coretkan ilmu-ilmu yang para masyaikh curahkan. Tetapi apa yang saya rasakan lebih penting untuk dikongsikan bersama para pembaca ialah antara nasihat yang mereka sempat utarakn kepada para daíe di dalam sesi tertutup selepas muhadharah itu berlangsung ialah seperti berikut:

Nasihat Syeikh Ali bin Hasan al-Halabi:



1) Fokus dengan ilmu (yakni perngajian atau kuliah-kuliah ilmu) dan jauhi perkara-perkara perkara-perkara yang lagha (sia-sia).

2) Gunakan pendekatan yang lembut (uslub dakwah). Beliau juga memetik kata-kata Syaikh al-Albani "Kebenaran itu adalah perkara yang berat,bagaimana sesuatu yang berat bisa disampaikan dengan metodologi yang berat''

3) Elakkan atau dalam erti kata lain jangan berjidal (debat) dengan golongan atau hizbiyyah yang lain hanya kerana wujud beberapa perbezaan pendapat, perlulah difahami dakwah dan islah adalah lebih utama.

Nasihat Syeikh Abu Ubaidah Masyhur Hassan Salman:


Dakwah perlu dimulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu.antara aspek yang perlu diambil kira ialah

1)Perlulah ikhlas dalam membawa dan menyampaikan manhaj (tanpa ikhlas maka semuanya adalah sia-sia)

2)Gunakan masa sebaik mungkin (untuk pelajari ilmu,untuk mendalami ilmu dan elakkan dari menyibukkan diri dengan pertelingkahan antara mashaikh kerana perkara ini telah lama berlaku dan tidak ada penghujungnya)

3)Hendaklah para daié menjaga lisan mereka (tathabbut/periksa segala sumber berita sebelum menyampaikannya dan mengakibatkannya tersebar)

Sekian,semoga perkongsian yang bermanfaat insyaAllah.

''Muhasabah itu perkara yang munasabah''


Ibn Yusof

19 Oktober 2009 / 1 Dzulkaedah 1430

9.36 p.m

www.ibnyusof.blogspot.com

No comments: