Thursday, August 4, 2011

6 Cara Salah Mempromosi Puasa Kepada Non-Muslim


Malaysia dilahirkan sebagai sebuah masyarakat majmuk; berbilang bangsa, berbilang bahasa, berbilang agama dan berbilang budaya. Kepelbagaian kaum dan etnik ini mewujudkan pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Antara tiga kaum utama di Malaysia ialah Melayu, Cina, dan India. Hidup dalam masyarakat majmuk ini memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk berdakwah kepada bukan Islam tentang ajaran Islam dalam hal ehwal spritual yang fundemental dan kepercayaan sehinggakan kepada aspek ritual seperti tuntutan solat, puasa, haji, zakat dan lain-lain.

Tuntutan serta ritual dalam ajaran Islam itu menggambarkan imej ajaran Islam secara lansung dan implementasinya oleh umat Islam khususnya di Malaysia akan menjadi perhatian golongan mad'u (orang yang ingin didakwahi). Sekiranya ritual serta tuntutan ajaran yang dilakukan itu dibuat secara sonsang, maka sonsanglah pemahaman golongan mad'u terhadap makna sebenar ajaran atau ritual tertentu.

Dalam sekian banyak ibadah ritual yang dipraktikkan oleh umat Islam seluruh dunia, ibadah puasa pada bulan Ramadhan berpotensi dijadikan sarana dakwah, namun tidak mustahil ia juga boleh menjadi salah satu dari sekian banyak salah faham terhadap ajaran Islam atas sebab-sebab yang dilakukan oleh umat Islam sendiri. Berikut disenaraikan beberapa perkara yang perlu ditelusuri oleh umat Islam sebagai pembawa mesej Islam dalam diri masing-masing.

1) Menjadikan ibadah puasa sebagai alasan membingitkan suasana suhur
Al-Sahar bermaksud lewat malam. Manakala al-Suhur bermaksud makanan yang dimakan ketika bersahur. Al-Suhur pula bererti perbuatan dan akta terbitan dalam memakan makanan itu.Menjadi suatu sunnah yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa untuk bangun di awal pagi dan bersuhur, walaupun dengan seteguk air kerana dengan bersuhur, kita dapat membezakan ibadah puasa pada hari itu dengan puasa ajaran agama lain. Dari 'Amru bin Al-'As, sesungguhnya Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam bersabda:-

"Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah makan sahur".( Hadith Riwayat Imam Muslim no.1096)

Dalam memastikan orang ramai yang ingin berpuasa bangun untuk bersuhur, maka segala macam inisiatif dibuat oleh sesetengah pihak. Ada beberapa masjid atau surau yang memasang bacaan Quran, ada pula yang membuat pengumuman menggunakan pembesar suara masjid, ada juga yang sanggup mengetuk pintu-pintu rumah, memasang selawat dan lagu-lagu nasyid, tidak kurang pula yang menjerit-jerit "Sahur! Sahur!".

Semua contoh di atas dibuat dengan tujuan yang satu, membangunkan orang ramai dari tidur supaya bersuhur. Apakah wajar cara-cara yang disebutkan di atas dari sudut pandang Islam? Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi pernah mengingatkan dengan berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar” (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Dinukilkan daripada artikel asal Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bertajuk “Bacaan Selain Azan Di Pembesar Suara Patut Dihentikan”).

Sekiranya perkara-perkara yang disebutkan di atas ittu ditegah, semestinya para pembaca tertanya-tanya bagaimana seharusnya suasana bersuhur itu yang sewajarnya dari kaca mata Islam? Apakah ianya diajarkan oleh Nabi? Apa yang ditunjukkan pada zaman Nabi untuk kita teladani, yang dilakukan oleh Nabi adalah dengan melaksanakan dua kali azan. Azan pertama untuk menunjukkan masih dibolehkannya makan dan minum. Adzan kedua untuk menunjukkan diharamkannya makan dan minum. Hal ini dapat dibuktikan melalui hadis Nabi yang bermaksud:

“Janganlah menahan kamu dari makan dan minum oleh azannya Bilal, tetapi terus makan dan minumlah kamu sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azannya”( Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.).

2) Menjadikan ibadah puasa sebagai alasan datang lewat dan balik awal di tempat kerja/belajar




Menjadi kebiasaan sesetengah pihak untuk tidur selepas suhur dan solat subuh, maka kekenyangan sewaktu suhur menjadikan badan dan perut yang penuh itu lena. Akibatnya, ada yang terlewat ke tempat kerja atau kuliah belajar.

Perkara ini akan lebih jelek dan merosakkan imej Islam sekiranya kekerapan lewat itu berulang saban hari dengan alasan yang sama. Namun apabila tiba waktu pulang, pekerja atau pelajar inilah yang ingin pulang awal, alasan yang sama akan diguna pakai yakni perlu pulang awal untuk membeli atau menyiapkan juadah untuk berbuka puasa.

Ada juga sesetengah pejabat yang hanya memberi kelonggaran kepada golongan pekerja Muslim, maka semestinya golongan bukan Islam akan tidak berpuas hati dengan pekerja Muslim sekiranya ada yang datang lewat dan pulang awal. Bagi pekerja atau pelajar yang mempunyai pegawai atasan atau pensyarah yang bukan beragama Islam, hal sebegini boleh memberi suatu persepsi yang negatif bahawa bulan berpuasa bakal menjadikan individu Muslim itu semakin tidak berdisiplin dari menepati masa.

3) Menjadikan ibadah puasa sebagai punca tidak produktif dan malas


Sebut sahaja orang Islam, maka akan terbayang dalam otak sesetengah mereka yang bukan Islam, seorang Melayu, pemalas, tidak maju dan berdaya saing, hanya mengharap subsidi kerjaan dan macam-macam lagi benda yang negatif. Itulah persepsi sesetengah mereka yang bukan Islam terhadap orang Islam (Melayu) di negara ini. Inilah realiti yang perlu umat Islam di Malaysia khusunya hadam walaupun pahit. Pada bulan ini pula, ada sesetengah individu Muslim suka menjadikan ibadah puasa sebagai alasan untuk membenarkan persepsi di atas.

Seseorang individu yang berpuasa semestinya akan merasa lapar dan dahaga, apabila kurang darah disalurkan kepada kawasan yang mana sistem penghadaman berfungsi, maka menjadi lumrah seseorang itu berasa lemah.Namun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk seorang Muslim itu untuk tidak produktif dalam perkerjaan sehariannya. Mereka yang tidak produktif seperti tidur pada waktu berkerja atau bermalas-malas dalam kerja seharian, ada juga yang curi tulang dengan bersolat Zohor dan Asar dengan waktu yang lama supaya campur tolak waktu kerjanya menjadi berkurangan. Apakah perkiraan individu Muslim yang tidak amanah sebegini dapat mencapai objektif ibadah puasa dalam melahirkan insan yang bertaqwa?

Sewajarnya individu Muslim sebegini berasa malu dengan fakta-fakta sejarah (sirah) Islam ketika Ramadhan yang mana hampir kebanyakan peperangan yg pernah berlaku ketika dahulu dalam usaha menyebarkan atau mempertahankan Islam berlaku pada bulan yang mulia ini.

Tatkala tentera Islam dahulunya menggali parit yang sangat dalam di sekeliling kota Madinah sepanjang Ramadhan untuk menghalang tentera musuh dari menceroboh dan menyerang Madinah pada Perang Khandak (parit) yang berlaku pada tahun ke 5 Hijrah, apakah wajar untuk golongan Muslim zaman ini bermalas-malas dan bersikap tidak produktif, malah melukis peta kemenangan di bantal.? Sebaliknya, jika umat Islam zaman ini dapat meneladani semangat dan ketekunan Nabi dan para Sahabat yang terlibat dalam beberapa peperangan dan menggali parit yang dalam itu pada bulan mulia ini dan menterjemahkannya ke dalam kerja harian, semestinya perkara ini dapat dijadikan contoh yang baik kepada rakan sejawat/sekuliah atau orang atasan yang bukan Islam.

4) Menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan pesta makanan


Masyarakat bandar yang secara umumnya berkerja dan tidak berkesempatan menyediakan juadah berbuka puasa menjadi penyebab utama mengapa bazar Ramadhan tumbuh bagai cendawan selepas hujan terutamanya di kawasan bandar.

Tidaklah menjadi kesalahan para pembeli mahupun para penjual yang berniaga pada bulan Ramadhan. Namun lambakan gerai-gerai penjualan makanan serta minuman ini menjadi antara sekian banyak sebab persoalan tarbiyah serta roh Ramadhan itu sendiri. Hasilnya, golongan agamawan terpaksa menjadikan tajuk pembaziran sebagai salah satu topik hangat dalam tazkirah dan ceramah mereka. Pesta makanan sebegini secara tidak lansung memberi manfaat kepada golongan bukan Islam termasuk para pelancong untuk mencari dan menikmati segala macam jenis hidangan di bumi Malaysia, maka terbentuklah di minda pemikiran mereka bahawa bulan Ramadhan ialah bulan pesta makanan yang ditunggu-tunggu.

Di peringkat umum, topik apa yang dimakan ketika suhur, apa yang dimakan ketika berbuka menjadi topik perbualan utama sehari-hari. Dalam erti kata lain, topik mengenai makananlah yang paling banyak dibincangkan apabila tiba bulan puasa. Sudah tiba masanya kita membetulkan mentaliti kita berkenaan puasa itu sendiri, tentang apakah ibadah puasa itu mengajar kita bagaimana caranya mengawal nafsu dan menambahkan amalan, atau sebaliknya? Bak kata sesetengah orang, bazar Ramadhan atau bazir Ramadhan! Sama-sama kita renungkan.

5) Menganggu keselesaan mereka disebabkan bazar Ramadhan dan aktiviti solat Tarawih


Apabila tiba waktu Ramadhan, maka keadaan trafik akan menjadi sesak di sebelah petang akibat orang ramai berpusu pergi ke bazar Ramadhan, manakala malamnya pula masjid dan surau akan diserbu oleh orang ramai untuk menunaikan solat fardhu dan solat sunat tarawih. Perkara ini tidak hanya menjadi bual bicara orang bukan Islam, malahan golongan Muslim sendiri ada yang merungut dengan keadaan yang sesak ini disebabkan lambakan bazaar dan ketika ke masjid atau surau untuk solat, terutama di pusat-pusat bandar.

Perkara ini dilihat ketara apabila para pembeli yang singgah di bazar Ramadhan meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sewenangnya kerana inginkan kemudahan supaya hampir dengan bazar, ada juga yang hanya sekadar mengikut perlakuan pemilik kenderaan lain. Tatkala malam hari pula, perkara yang sama berlaku apabila orang ramai yang menghadiri masjid dan surau, justeru lambakan kenderaan berlaku di masjid atau surau yang kecil. Maka akan ada pula yang meletakkan kenderaan di bahu jalan, ada juga yang meletakkan kenderaan di hadapan pintu rumah penduduk setempat dengan sangkaan sekiranya rumah itu dihuni oleh orang bukan Islam, mereka tidak akan keluar rumah untuk ke mana-mana. Mentaliti sebegini menyebabkan hak-hak orang bukan Islam itu dinafikan sedemikian rupa sehingga mampu melahirkan persepsi bahawa orang Islam yang pergi menunaikan solat di masjid atau surau hanya tahu ‘menyusahkan orang lain’. Tidakkah memalukan sekiranya pihak masjid atau surau terpaksa membuat pengumuman supaya kenderaan yang diletakkan dapat dialihkan akibat menghalang orang bukan Islam untuk keluar dari rumah yang mereka diami?

Hak-hak jalan ini tidak hanya merujuk pada waktu bazar Ramadhan sahaja, namun pada bulan-bulan lain serta situasi-situasi lain juga. Dalam Islam, jalan-jalan ini memiliki hak-haknya yang perlu ditunaikan.

Imam Nawawi rahimahullah pernah menjelaskan tentang hak-hak jalan ketika member komentar tentang sepotong hadis tentang hak-hak jalan berkata: “Turut termasuk perbuatan menyakiti orang lain adalah bila menyempitkan jalan orang-orang yang ingin melintas, atau menghalang para wanita, atau selainnya yang ingin keluar menyelesaikan keperluan mereka disebabkan ada orang-orang yang duduk di jalanan.” (Imam Nawawi, Sharah Shahih Muslim, jld. 14 hlm.120). Dalam Islam, jiran tetangga mempunyai hak untuk dihormati dan tidak boleh disakiti walaupun mereka bukan Islam.

6) Menuntut mereka juga 'berpuasa'

Pandangan sinis dan tajam akan diberikan kepada mereka yang bukan Islam sekiranya mereka makan atau minum di hadapan orang Islam yang sedang berpuasa. Suasana berpuasa itu menuntut golongan bukan Islam yang ‘curi-curi’ makan di pejabat, dewan kuliah hatta cafeteria dipandang sinis.

Sudah ramai orang bukan Islam yang faham tentang ibadah puasa yang dilakukan oleh orang Islam, umumnya faham bahawa orang Islam tidak akan makan dan minum di siang hari. Dengan kefahaman sedemikian, ada juga yang minta izin pada orang Islam untuk makan dan minum pada waktu siang ketika terserempak dengan rakan-rakan mereka yang Islam.

Kadang kala orang Islam tidak berlaku adil pada orang bukan Islam hanya kerana keinginan kita mewujudkan suasana berpuasa. Justeru janganlah pula kewajiban berpuasa itu ditaklifkan atas mereka yang bukan Islam sedangkan makan dan minum di siang hari itu ‘harus’ atas mereka.

Dakwah melalui puasa?

Puasa itu tidak hanya disyariatkan kepada umat Islam, sejarah peradaban manusia membuktikan bahawa amalan berpuasa ini juga telah dipraktik oleh golongan terdahulu seperti di zaman Mesir kuno, Yunani Greek, bangsa Romawi dan China kuno, malahan amalan berpuasa juga wujud dalam agama-agama lain seperti Yahudi, Kristian, Buddhism dan Hinduism.

Fakta tersebut membolehkan umat Islam menjadikan amalan berpuasa itu sebagai satu bahan dakwah dengan menunjukkan puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi. Namun sekiranya amalan berpuasa itu menjadi punca orang bukan Islam semakin menyalah fahami imej dan ajaran Islam, maka rugilah umat Islam dalam menjadikan ibadah puasa ini sebagai peluang dakwah.

Oleh itu tidak sukar untuk memahami ‘kegagalan usaha dakwah’ di Malaysia ini. Bukan kerana kita tidak berkongsi cerita tentang apa itu Islam kepada orang non-Muslim. Tetapi 'kegagalan sebenar' ialah kita sebagai umat Islam gagal menjadi contoh yang baik kepada orang non-Muslim. Justeru, sekurang-kurangnya, umat Islam di Negara majmuk seperti Malaysia ini wajar memanfaatkan ruang dan peluang dengan menterjemahkan ibadah puasa ini sebagai amalan yang menjadikan manusia itu insan yang lebih baik dari bulan-bulan sebelumnya agar mereka dapat melihat potensi dalam ajaran yang dituntut dalam agama Islam.

Ibn Yusof
4 Ogos 2011 / 4 Ramadhan 2011
4.30 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Tuesday, June 21, 2011

Dilema Pengurusan Sumber Manusia Dalam Sistem Kewangan Islam




Kepesatan pembanggunan dalam sistem kewangan Islam telah menjadi suatu fenomena, dan salah satu prasyarat utama dalam menyokong pembangunan kewangan Islam yang progresif adalah dengan membina kumpulan tenaga kerja mahir. Dalam rangka menyokong serta memartabatkan sistem kewangan Islam di Malaysia, beberapa institusi pendidikan telah menawarkan program-program dalam kewangan Islam di peringkat diploma sehinggalah ke peringkat ijazah kedoktoran bagi menampung keperluan industri. Namun hingga kini masih kedengaran masalah dan rungutan terhadap ketandusan pemacuan kewangan Islam oleh mereka yang benar-benar mempunyai pengkhususan dalam bidang kewangan Islam.

Nasib Generasi Y

Dalam keindahan dunia realiti, para graduan dalam kewangan Islam dijangka menerima imbuhan yang tinggi dalam gaji permulaan disebabkan teknikaliti industri kewangan Islam itu sendiri. Generasi Y ini berminat dengan kewangan Islam bukan sahaja untuk mendapatkan pendapatan sehingga mencecah lima angka, mereka juga mempunyai kesedaran terhadap persekitaran, lanskap politik serta sumbangan secara tidak lansung terhadap pembanggunan dan keinginan mereka mengetuai dan menjadi sebahagian kepada 'kesan pelaburan'. Generasi Y ini melihat institusi kewangan Islam merupakan pemangkin dan penggerak kepada suatu peluang perubahan terhadap sosio kewangan.[1]

Tetapi usaha melahirkan kumpulan profesional dan pakar yang diperlukan di bidang kewangan Islam daripada generasi Y bagi pasaran domestik dan global ini kelihatan masih terhalang dalam perjalanan mereka menjejakkan kaki ke dalam industri kewangan Islam yang didominasi atas dasar senioriti.

Sejak tertubuhnya perbankan Islam di Malaysia pada tahun 1983, kita tidak dapat menafikan bahawa sistem perbankan Islam telah banyak merangkul manfaat daripada para pengurus bank yang dahulunya berkhidmat di perbankan konvensional sebelum berhijrah ke perbankan Islam, para pengurus bank ini berhijrah dengan pola fikir dan pengaplikasian konsep islamisasi terhadap pembentukan sebuah sistem yang didasarkan atas konsep patuh Shariah. Ini merupakan salah satu faktor utama dalam mengukur kepesatan pembanggunan sistem kewangan Islam. Walau bagaimanapun, secara tidak langsung boleh juga menjadi penyebab kepada penghalang hala tuju generasi seterusnya dalam pemacuan sistem apabila konsep imitasi dan islamisasi terhadap praktis perbankan konvensional yang diguna pakai secara meluas, hasilnya produk dan perkhidmatan perbankan Islam inilah yang diwarisi oleh generasi seterusnya.

Justeru warisan itu pula telah dibekukan dalam bentuk polisi, sehinggakan sebuah perubahan kearah penambah baikan itu memakan masa. Ironinya dari perspektif korporat semestinya melibatkan kos tambahan apabila perlu mengupah para graduan baru yang mempunyai pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu. Dilema sama ada tetap ingin di takuk lama atau terus maju sesuai dengan hala tuju institusi kewangan Islam menyebabkan pengurusan sumber manusia menutup sebelah mata terhadap para graduan baru yang bertauliah serta terbukti mempunyai pengkhususan dalam bidang yang digaji.

Walhal para graduan baru di peringkat generasi Y ini mempunyai pengkhususan dan pengetahuan dalam bidang Shariah, pengurusan institusi kewangan Islam, pasaran modal Islam, pengurusan risiko, kewangan korporat, Takaful serta penilaian aktuari dan sebagainya ini telah dilatih dengan pola fikir dan rangka pembentukan ekonomi Islam yang menyeluruh.

Pemikiran cara lama yang dibentuk dalam polisi pengurusan sumber manusia di perbankan Islam bahawa seseorang Muslim itu semestinya mampu menggalas apa jua tugas dalam membangunkan kewangan Islam perlu diubah[2]. Hal ini adalah kerana walaupun sistem kewangan Islam itu ditegakkan atas dasar ajaran agama Islam yang murni, hala tuju sebuah sistem yang bersifat global ini hanya boleh dimartabatkan apabila dipacu oleh mereka yang mempunyai pengetahuan dan pengkhususan yang jelas.

Para graduan di peringkat generasi Y ini sewajarnya dibayar premium atas tauliah yang telah mereka usahakan, tetapi menyedihkan apabila masih wujud para graduan sarjana atau sijil tauliah professional seperti Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CIFP) dari Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Dalam Kewangan Islam (INCEIF) atau mereka yang memperoleh Sarjana Sains (MSc) dalam kewangan Islam dari dalam dan luar negara, tetapi digaji dengan kadar graduan baru di peringkat sarjana muda. Hal ini dilihat seumpama menafikan pengiktirafan pengetahuan dan pengkhususan yang telah diusahakan oleh industry pendidikan dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang ini.

Sumber manusia di bawah sistem perbankan dual

Berkembang pada kadar purata 20 peratus setahun, kewangan Islam menjadi segmen terpantas berkembang dalam industri kewangan di samping wujudnya pensijilan dan pengiktirafan dalam kewangan Islam di peringkat dalam dan luar negara. Kepesatan ini namun tidak selari dengan saluran bagi pembanggunan karier yang masih jauh ketinggalan terutama di peringkat institusi-institusi kewangan Islam di Malaysia sendiri.

Sistem perbankan dual yang diterajui oleh kebanyakan perbankan di Malaysia ini menjadi penghalang untuk bersaing bagi mendapatkan tenaga kerja terbaik. Hal ini adalah kerana kebanyakan perbankan Islam yang berdiri atas sistem perbankan dual mahupun selaku entiti berbeza masih terikat dan berkongsi jabatan sumber manusia di bawah satu bumbung yang sama. Akibatnya, para graduan yang mempunyai pengkhususan dalam perbankan Islam akan digoda menjadi sebahagian tenaga kerja perbankan konvensional, dengan alasan tiada kekosongan jawatan di perbankan Islam atau jawatan-jawatan itu telahpun diterajui oleh para pengurus bank senior yang sebelum ini telahpun berhijrah ke perbankan Islam.

Pengurusan polisi sumber manusia secara umumnya ditentukan oleh pengurus senior syarikat, dengan mengambil kira rujukan serta konteks nasional terhadap operasi organisasi.[3] Apakah hala tuju pengurusan polisi sumber manusia di peringkat perbankan Islam ini layak dibentuk oleh mereka yang berfikir dengan pola fikir konvensional?

Non-Muslim di Arena Perbankan Islam

Di sisi yang lain, sesetengah pihak di Jabatan pengurusan sumber manusia pula mempunyai salah tanggapan terhadap sistem universal yang bersifat inklusif ini melalui gambaran yang lebih tepat. Dalam pada wujudnya salah faham bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perbankan Islam hanya layak dilanggan oleh Muslim, hal yang sama berlaku dalam isu mengupah bukan Islam (Non-Muslim) untuk gerak kerja di perbankan Islam. Sistem global ini seharusnya tidak mewujudkan apa-apa ruang untuk diskriminasi bangsa dan agama.

Walaupun dasar perbankan Islam itu berdiri atas landasan ajaran Islam, namun pekerjaan yang melibatkan kerja-kerja yang lebih bersifat teknikal seharusnya diserahkan hanya kepada mereka yang layak. Al-Hakim dalam kitab Shahihnya meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Sesiapa yang dilantik menguruskan mana-mana urusan orang-orang Islam, lalu dia melantik pula seorang lelaki, sedangkan dia boleh melantik orang lain yang lebih layak untuk kepentingan umat Islam berbanding lelaki berkenaan, maka dia telah mengkhianati Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman.(Hadits riwayat al-Hakim)

Pemilihan tugas itu dilihat kepada tahap pengetahuan dan kemampuan yang telahpun disimpulkan dalam Quran melalui dua sifat umum yakni sifat amanah (jujur) dan kuat (kemampuan). Di dalam al-Quran telahpun menyebut kisah Nabi Syuaib yang memilih Nabi Musa ‘alaihissalam atas sebab dua kriteria penting berikut:

Salah seorang di antara dua perempuan itu berkata: “Wahai ayahku, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang kuat lagi amanah (Surah al-Qashash: 26)

Ayat ini menggambarkan bahawa antara kriteria asas dalam pemilihan pekerja itu ialah kuat dan amanah. syariat Islam memerintahkan agar pemilihan setiap suatu perkara atau pekerjaan itu hendaklah berdasarkan sejauh mana kekuatan dan keamanahan yang diperlukan. Umur atau senioriti seseorang bukanlah satu syarat ‘wajib’ seseorang itu dinaikkan atau diberikan sesuatu jawatan.

Jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Abu Bakar radhiallahu’anhu boleh mengupah seorang lelaki dari Bani Dil dari sekutu keluarga ‘As Bin Wa’il as-Sahmi yang masih beragama Quraisy untuk tujuan sebagai pemandu perjalanannya dalam peristiwa sepenting peristiwa hijrah[4], mengapakah pula perlu wujud diskriminasi bangsa dan agama dalam pemilihan gerak kerja membangunkan sistem kewangan Islam?

Akhirnya kita akan tetap kembali kepada persoalan kelayakkan daripada sebarang sentimen bangsa dan agama yang dilarang dalam ajaran Islam. Justeru janganlah hal ini disamakan dengan isu pemilihan hakim atau pemimpin dalam Islam, kerana perbahasan ini merujuk kepada kriteria asas pemilihan seorang pekerja yang berkelayakan, tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Kesimpulan

Pemilihan dan sistem rekrut di perbankan Islam seharusnya lebih menyeluruh dengan tidak mengguna pakai polisi sistem perbankan konvensional. Graduan kewangan Islam tidak sewajarnya dilayan seperti pekerja kelas kedua dalam mengisi kelompongan pekerjaan di perbankan konvensional.

Tatkala industri kewangan Islam sangat mendambakan sumber manusia dari kumpulan tenaga kerja mahir dan terlatih, punca permasalahan ini dilihat berakar umbi daripada kriteria pemilihan para pekerja oleh jabatan sumber manusia.Justeru ketandusan pasaran sumber manusia kini yang dialami oleh sistem kewangan Islam telah menjadi isu besar yang perlu ditangani dengan penuh hemat bermula dengan polisi rekrut yang diamalkan oleh jabatan sumber manusia di institusi kewangan Islam masing-masing.

Jabatan sumber manusia di institusi-institusi kewangan Islam perlu mula berdiri dengan sendiri daripada kebergantungan dengan polisi perbankan konvensional melalui suatu siasah baru untuk kemudahan pihak perbankan Islam membuat pemilihan dan pengambilan para pegawainya. Faktor-faktor yang disebutkan di atas hendaklah betul-betul diambil kira, iaitu faktor-faktor kebolehan, kelayakan dan keamanahan di dalam maknanya yang luas.


Ibn Yusof

22 June 2011 / 21 Rejab 1432

12.04 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com



[1] Rushdi Siddiqi. (2011). Gen Y and Islamic finance. Di http://www.btimes.com.my/Current_News/BTIMES/articles/lamik/Article/

[2] Mohammed Khnifer. The Human Remains of Islamic finance. Islamic Business & Finance. p.36-39.

[3] Tayeb, M.H. (1996), The Management of a Multicultural Workforce, Wiley, Chichester.

[4] Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 552- 554.