Monday, August 27, 2012

9 Kemusykilan Anda Tentang Solat Dijawab



Penulis yakin para pembaca pernah meluangkan masa untuk solat di mana-mana surau atau masjid secara berjemaah. Tatkala itu para pembaca akan dapat melihat pelbagai ragam tatacara dan insiden sebelum, semasa dan sesudah solat berjemaah. Tulisan ringkas ini penulis karang, himpun dan sediakan dengan tujuan untuk disampaikan di surau atau/dan masjid yang dikunjungi bagi merungkai beberapa kemusykilan yang wujud oleh masyarakat setempat. Soalan-soalan yang dirungkaikan ini diharap dapat mendidik masyarakat Islam di Malaysia agar menggapai kesempurnaan dalam solat yang didirikan sesuai dengan Sunnah Nabi Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam inshaAllah.

9 perkara berdasarkan pengalaman dan pengamatan penulis ini dikumpulkan dalam bentuk soalan-soalan, mari kita lihat apakah ada antara 9 soalan-soalan yang dikupaskan ini sama dengan persoalan yang bermain dalam fikiran anda?   

1. Apakah merapatkan dan meluruskan saf solat itu hanya pada rakaat pertama solat?[1]

Merupakan suatu sunnah bahawa para imam akan memberikan peringatan kepada para makmum supaya merapatkan saf ketika solat. Atau lebih tepat memeriksa bagi memastikan hal ini dilakukan oleh para makmum dan bukan sekadar penyedap bicara.

Inilah perlaksanaan yang ideal kearah kesempurnaan solat sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihi wa Sallam dalam sabdanya:

“Luruskan saf-mu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat”. (Hadis Riwayat Muslim)

“Sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian dari mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 722. Muslim)

“Sesungguhnya menegakkan saf (meratakan saf), adalah sebahagian dari kebaikan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Perkara penting yang perlu diambil kira dalam memahami makna merapatkan saf ialah:
  • Tidaklah maksud merapatkan saf itu hanya pada saf yang pertama
  • Tidaklah maksud merapatkan saf itu apabila sekadar kulit atau jari kelengking bersentuh dengan jari kelengking antara makmum
Saf itu dianggap sempurna apabila buku lali dan bahu para makmum itu bersentuhan dengan erti kata rapat antara satu sama lain seperti mana yang diriwayatkan bahawa daripada Anas bin Malik daripada Nabi Sallallahu’alaihi wa Sallam yang bersabda:

(Pada waktu solat) setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki saudaranya. (Hadis Riwayat Bukhari).

Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Rapatkanlah saf, dekatkan (jarak) antara saf-saf itu dan ratakan bahu-bahu.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan an-Nasai, disahihkan oleh Ibnu Hibban)

Para imam dituntut memeriksa saf agar rapat dengan tidak membiarkan ruang kosong di kiri dan kanan yang membolehkan syaitan mencelah diantara makmum serta memeriksa barisan tumit kaki.

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Hadis Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Ahmad)

Tambahan, di sebalik perbezaan pandangan para ulamak tentang ’wajib’ atau hanya ’sunat muakkad (digalakkan)’, berdasarkan pemahaman hadis-hadis tentang merapatkan saf di dalam solat ini, kita tetap akan dapat lihat bagaimana kesepakatan para ulamak yang bersetuju bahawa kesempurnaan solat itu berkait rapat dengan meluruskan , menyeragamkan dan membetulkan saf tatkala solat berjemaah.

2. Benarkah Solat Fardhu Tidak Boleh Berimamkan Imam Yang Sedang Bersolat Sunat ?

Mungkin para pembaca pernah menghadapi situasi yang mana kita ingin bersolat (masbuk) akan tetapi tidak mengetahui apakah solat orang yang ingin dijadikan imam itu sedang solat fardhu atau solat sunat? Maka ramailah pula yang kerugian apabila membatalkan niat untuk berjemaah dan hanya solat sendirian.

Jawabnya, seseorang yang bersolat fardhu boleh mengikuti imam yang sedang menunaikan solat sunat dengan syarat, sama gerak perlakuan kedua-dua jenis solat tersebut. Kecuali  jika solat itu berbeza tatacaranya, sebagai contoh seperti seseorang yang solat fardhu tidak boleh berimamkan seorang yang sedang solat jenazah, solat sunat gerhana dan solat sunat hari raya.

Dalilnya adalah: Jabir bin Abdullah r.a telah meriwayatkan hadis:

"Bahawa Muaz bersolat Isya' bersama-sama Nabi, kemudian telah bergegas kepada kaumnya lalu bersolat dengan mereka, baginya adalah sunat dan bagi kaumnya adalah solat wajib" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada hadis di atas jelas bahawasanya sahabat bernama Mu’az ini bersolat fardhu Isya’ bersama dengan Rasulullah Sallallahu’alahi wa Sallam kemudian solat yang keduanya hanyalah solat sunat rawatib (selepas solat fardhu), tetapi beliau menjadi imam di kalangan kaumnya yang mengerjakan solat fardhu Isya’.

Hal ini telahpun difatwakan seperti berikut:
"Tidak memudharatkan perbezaan niat makmum dengan niat Imam menurut pandangan yang benar dikalangan ulamak” [al-Lajnah al-Daa'imah jld 7, ms.402]

Hal lain juga pernah berlaku apabila seorang sahabat datang lewat ke masjid sehingga ketibaannya itu setelah selesai para jemaah di masjid bersolat fardhu.

Seorang lelaki datang ke masjid untuk solat.Sesampai dia ke masjid Nabi dan para sahabat r.a telah selesai sembahyang fardhu. Maka Rasulullah s.a.w bersabda:" Siapa yang hendak bersedekah kepada orang ini (dengan solat berjemaah dengannya)?" Maka bangun seorang lelaki solat berjemaah dengannya." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sahabat yang bangun itu melakukan solat sunat diikuti oleh sahabat yang datang lambat ke masjid itu dengan solat fardhunya. Justeru tidak menjadi ‘rosak’ solat seseorang itu yang solat fardhu namun berimamkan mereka yang sedang mengerjakan solat sunat.

Begitu juga halnya dengan persoalan sama ada apakah dibenarkan mereka yang menetap atau bermukim (solat fardhu penuh) namun mengikut/ berimamkan Imam yang melaksanakan solat Qasar. Harus hukumnya bagi makmum yang solat penuh (tamam) mengikut imam yang solat qasar.

Namun, adalah digalakkan para imam memberitahu para makmum sebelum solat bahawa dia (imam) akan mendirikan solat qasar, maka tatkala imam memberi salam, para makmum bolehlah bangun dan menghabiskan sisa rakaat yang berbaki.

3. Bolehkah Jemaah Lain Membaca Al-Quran, Doa Atau Zikir Secara Kuat Ketika Orang Lain Sedang Bersolat (Terhadap Makmum Yang Masbuk Atau Solat Sunat Sendirian)?

Bersolat di surau atau masjid menyebabkan orang ramai perlu mematuhi beberapa peraturan dan garis panduan seperti yang telahpun ditetapkan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Apa yang berlaku pada zaman dahulu tidak jauh bezanya dengan zaman ini, justeru beberapa kejadian yang berlaku di dalam surau atau masjid pada zaman dahulu boleh dijadikan rujukan untuk kes-kes yang dilihat berlaku pada zaman ini.

Sebagai contoh apabila wujud kejadian seperti seorang jemaah yang berada di kawasan solat, membaca al-Quran, berdoa atau berzikir secara kuat (jahr) sedangkan wujud jemaah atau orang lain yang sedang bersolat, barangkali jemaah itu sedang solat sunat sendirian, atau sebenarnya seorang jemaah yang terlewat mengikut solat jemaah (masbuk) yang mana imam dan jemaah lain telahpun selesai menunaikan solat mereka.

Apakah boleh sesuatu ibadah lain dilakukan sehingga dianggap mengganggu orang lain yang sedang solat dengan ibadah-ibadah sunat yang lain?

Dalam hadis Abu Sa’id al-Khudri:
“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Bahkan, dalam I'aanah At Taalibin adalah karya As Sayyid Al Bakri Ad Dimyaatiyy yang merupakan huraian kepada karya Fathul Mu'iin dalam fiqh mazhab Shafi'ie
berkata: Dan dimakruhkan meninggikan suara di dalam masjid jika tidak mengganggu orang-orang yang solat. Namun jika mengganggu orang yang solat maka haram hukumnya. (Rujuk kitab I'aanah At Taalibiin, jld. 1, m/s 226)

Diringkaskan, ibadah-ibadah sunat seperti pembacaan al-Quran, berdoa atau berzikir secara kuat (jahr) tidak menjadi lesen untuk seseorang mengganggu seorang jemaah lain yang sedang bersolat. Perlukan kita menghormati dan menjaga hak orang yang sedang bersolat supaya orang yang sedang solat itu khusyuk.

4. Bolehkah Berjalan (Bagi Yang Telah Selesai Solat) Atau Membiarkan Orang Lain Berjalan (Bagi Yang Sedang Solat) Di Hadapan Mereka Yang Solat Sendirian / Masbuk?

Telah menjadi suatu kebiasaan kita melihat di surau dan masjid serta kawasan-kawasan solat untuk orang ramai berjalan di hadapan orang yang sedang solat. Walhal telah wujud suatu larangan keras daripada hadis-hadis berkenaan tegahan seseorang daripada berjalan di hadapan orang yang sedang solat dan galakan meletakkan sesuatu penghadang di hadapan tempat solat agar memberi perhatian kepada orang ramai bahawa terdapat orang yang sedang bersolat di kawasan tersebut.

Dari Ibnu 'Umar radhiyallahu 'anhuma-, dia berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bersabda:
"Janganlah kalian solat, kecuali mengadap sutrah dan janganlah kalian membiarkan seorangpun lalu di hadapanmu, jika dia menolak (berkeras untuk lalu di hadapan) hendaklah kamu membunuhnya, kerana sesungguhnya ada syaitan yang bersamanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Jika seseorang itu solat tanpa mengadakan/menghadap sutrah/penghadang sehingga dilintasi oleh orang lain, maka kesalahan tercatat juga di bahu orang yang bersolat. Ini adalah kerana orang yang bersolat itu telah mengabaikan sunnah ketika bersolat dengan mengadakan penghadang di hadapannya ketika solat sendirian.

Adapun bagi orang yang masbuk, tidak perlu penghadang kerana solat asal itu bergantung kepada sutrah yang digunakan oleh imam. Dalam erti kata lain, sutrah imam adalah sutrah para makmum, jika imam telah menggunakan sutrah, maka para makmum tidak memerlukan sutrah. Imam Bukhari juga meletakkan hadis-hadis khusu dalam bab yang bermaksud ”Sutrah Imam adalah Sutrah makmum dibelakangnya” yang menunjukkan makmum tidak memerlukan sutrah lain kerana sutrah imam adalah sutrah mereka juga.

Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin juga berpandangan:
”Walaupun setelah imam mengucapkan salam, makmum masbuk berubah status menjadi orang yang solat sendirian, tidaklah menjadi kewajiban mahupun dituntut untuk makmum mencari sutrah, apa yang perlu dilakukan hanyalah menghabiskan sisa rakaat solatnya yang berbaki” (Liqa’ al Bab al Maftuh-kaset no 155 pertanyaan no 16 diterjemah oleh Ustaz Aris Munandar dengan judul Cari Sutrah Bagi Makmum Masbuk).

Namun, sesiapa yang melintas di antara orang yang sedang menunaikan solat dan penghadang/sutrah yang diletakkan dihadapannya, maka kesalahan tercatat di bahu orang yang melintas. Azab yang besar dicatatkan atas bahu orang yang melintas seperti mana amaran dalam sabda Rasul:

”Seandainya orang yang berjalan di hadapan orang yang sedang solat itu mengetahui apa yang akan menimpanya, nescaya dia lebih memilih (berdiri) diam selama 40 (tahun) itu lebih baik baginya daripada dia berjalan di hadapan orang tadi (yang sedang solat).” (Hadis Riwayat Bukhari no. 510 dan Muslim no. 507).

5. Antara Doa Berjemaah Dan Zikir Selepas Solat, Manakah Lebih Penting?

Fakta yang perlu difahami ialah ”solat itu mengandungi doa-doa”. Rasullullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam sendiri menurut banyak hadis-hadis mengamalkan zikir-zikir tertentu selepas Baginda menunaikan solatnya. Sebilangan zikir-zikir itu pula diceritakan oleh Baginda akan kelebihan-kelebihannya.

Jika begitu kedudukannya, mengapa agaknya kita tidak merebut peluang untuk mengikuti sunnah baginda Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam untuk duduk seketika selepas menunaikan solat, dan membaca beberapa kalimah zikir dan berdoa di samping meraih fadhilat atau kelebihan daripada mengamalkan zikir-zikir itu (tidak dinafikan tentang kebolehan untuk hatta beredar selepas solat tanpa berdoa mahupun berzikir atas urusan mendesak).

Abdullah bin Mas'ud, Abu Majlaz,Abu Ubadah, atau Tawus pernah direkodkan bangun sejurus selepas selesai solat sehingga ada yang digambarkan seperti sebagaimana orang yang bangun dari bahang panas periuk selepas solat. Malahan perbuatan ini juga pernah dilakukan oleh Nabi Sallahu'alaihi Wa Sallam sendiri yakni beredar sejurus selepas selesai solat. Justeru, sekiranya melihat ada yang bergegas bangun tanpa duduk berzikir ataupun berdoa terlebih dahulu selepas solat fardhu, bukanlah bermaksud orang itu malas atau tidak beradab, malahan sangka buruk atas dasar kekurangan ilmu kita yang terhad tentang perbuatan Nabi dan para sahabat itu tidak sewajarnya membuatkan kita melihat perbuatan orang lain itu sebagai satu bentuk kesalahan.

Imam Syafie dalam kitab al-Umm juga berpandangan: Imam yang bertujuan untuk mengajarkan Makmum zikir-zikir selepas solat sahaja dibolehkan membaca zikir tersebut dengan suara yang jelas/kuat  (jahar).” (Rujuk kitab al-Umm al-Imam al-Syafi'i, (Kitab Induk), jld. 1, ms. 295-297)

Namun ironinya, hari ini kita melihat ramai para Imam lebih mengutamakan doa secara berjemaah daripada zikir-zikir yang diajarkan Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam untuk diamalkan selepas solat. Amalan ini merebak menjadikan masyarakat Islam di Nusantara lebih mementingkan doa secara berjemaah selepas selesai solat berbanding berzikir.

Walhal berzikir selepas solat secara sendirian itu diiktiraf (tidak menjadi khilaf) di kalangan para ulamak fekah jika hendak dibandingkan dengan berdoa secara lantang (jahar). Persoalan ini bukan bertujuan membandingkan kesahihan amalan-amalan selepas solat, namun hanya bertujuan mengetengahkan prioriti dalam beramal. 

6.  Bolehkah Mematikan Telefon Bimbit Yang Berbunyi Dari Menganggu Jemaah Lain Ketika Sedang Bersolat?

Sekiranya telefon bimbit berbunyi ketika sedang solat, ramai yang beranggapan bahawa pergerakan yang diambil untuk menghentikan bunyi itu akan menyebabkan solatnya berkemungkinan batal akibat gerakan yang melebihi dari yang sepatutnya, maka diambil keputusan untuk tidak mematikannya, justeru telefon bimbit itu akan berbunyi dan menganggu jemaah lain.

Perbuatan sebegini menyebabkan orang tersebut termasuk dibawah kategori manusia yang dimaksudkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam sebagai orang yang layak menerima laknat daripada Allah Subhanallahu Ta’ala. Hadis dalam poin 4 tentang membunuh orang yang melalui di hadapan orang yang sedang solat itu perlu ditafsirkan dengan betul. Menuntut ‘dibunuh’ mereka yang berkeras melintasi orang yang sedang solat atau dalam erti kata lain mengganggu orang yang sedang solat.

‘Bunuh’ yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah kelayakan menerima laknat dari Allah ekoran kedegilannya melalui didepan orang yang sedang menunaikan solat (Rujuk Nailu Al-Authar: jld.3, m/s.7)

Perlu difahami bahawasanya gerakan yang mendesak itu merupakan keperluan (hajat) seperti mematikan telefon bimbit yang sedang berbunyi itu menjadi kewajiban apabila menggangu orang lain yang sedang solat. Sebarang bentuk gangguan kepada mereka yang sedang solat hukumnya haram, justeru apa jua cara perlu dibuat agar gangguan itu dapat dihindarkan daripada mengganggu orang lain. Hal ini dapat dilihat dalam beberapa contoh dan saranan Rasulullah Sallallahu ‘alahi Wasallam sendiri yang melakukan gerakan tatkala situasi  yang dianggap darurat:

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu (berkata): “Sesungguhnya Rasulullah  Sallallahu ‘alaihi Wasallam memerintahkan untuk membunuh dua binatang hitam ketika solat, (iaitu) kala jengking dan ular.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Dari Aisyah radhiyallahu ‘anha dia berkata: “Saya meluruskan kaki saya di arah kiblatnya Rasulullah  Sallallahu ‘alaihi Wasallam ketika solat. Maka ketika beliau sujud, beliau mengalihkannya. Dan apabila beliau berdiri, saya meluruskannya.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis-hadis di atas memberi gambaran jelas berkenaan gerakan ketika solat yang dibenarkan sehingga ke tahap mesti dilakukan saat darurat bagi mengelak gangguan yang lebih besar sehingga boleh menggangu fokus (kekhusyukan) solat kita mahupun orang lain.

7. Perlukah Menepuk Bahu Imam Apabila Masbuk Dalam Solat Berjemaah Berdua?

Kedudukan seorang Imam serta seorang makmum umumnya dilihat melalui praktis masyarakat Nusantara adalah di sebelah kanan dengan kedudukan yang lebih jauh ke belakang Imam. Makanya adegan tepuk menepuk bahu ini berlaku untuk masbuk jika kedudukan seorang makmum itu berada di belakang (sebelah kanan) imam yang sedang solat.

Walhal untuk menjadi makmum kepada orang yang sedang bersolat sendirian, hanya berdiri disebelahnya (kanan) dalam satu saf yang sama dan bertakbiratul ihram. Ini berdasarkan kepada hadis popular tentang solat malam Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersama Ibn Abbas, baginda mengalihkan Ibn Abbas daripada kirinya ke sebelah kanannya dalam saf yang sama.

Dari Ibnu Abbas, ia berkata ; "Aku pernah solat bersama Nabi shallallahu'alaihi wa sallam pada suatu malam. Lalu aku berdiri di sebelah kiri beliau, kemudian Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam memegang kepalaku dari belakangku, lalu ditempatkan aku di sebelah kanannya”(Shahih Riwayat Bukhari)

Dari Ibnu Abbas, dia berkata ; "Aku pernah solat di sisi Nabi Shallallahu 'alaihi Wasallam dan Aisyah solat bersama kami dibelakang kami, sedang aku (berada) di sisi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, aku solat bersamanya (berjemaah) (Hadis Sahih Riwayat Ahmad dan Nasa'i)

Dalam hadis yang lainnya,

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah al-Anshaari: “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam berdiri untuk menunaikan solat, lalu akupun datang dan berdiri di samping kiri beliau. Rasulullah meraih tanganku lalu memindahkanku ke sebelah kanan beliau. Kemudian datang pula Jabbar bin Shakr r.a., ia berwudhu’ lalu mengikuti solat kami, ia berdiri di samping/sebelah kiri Rasulullah. Beliaupun meraih tangan kami berdua lalu memindahkan kami ke belakang beliau...” (Hadis Riwayat Muslim)

Daripada hadis-hadis di atas, pemahaman sesetengah para sahabat juga sama seperti yang diajarkan oleh Nabi seperti berikut:
Diriwayatkan bahawa Ibnu Juraij pernah bertanya kepada Atha' (seorang tabi'in),"Seorang menjadi makmum bagi seorang, dimanakah dia (makmum itu) harus berdiri? Jawab Atha', "Di tepinya". Ibnu Juraij bertanya lagi,"Apakah si Makmum itu harus dekat dengan Imam sehingga ia satu saf dengannya, iaitu tidak ada jarak antara keduanya (makmum dan imam) ?"Jawab Atha'; "Ya!" Ibnu Juraij bertanya lagi, "Apakah si makmum tidak berdiri jauh sehingga tidak ada ruang antara mereka (makmum dan imam)?Jawab Atha' : "Ya".(Rujuk Subulus Salam jilid 2 hal.31).

Hal ini difahami dengan makna yang sama juga oleh Imam Bukhari apabila meletakkan tajuk Bab dalam Sahih Bukhari yang bermaksud “Bab Apabila Mereka (jemaah) Terdiri Daripada Dua Orang, Maka Makmum Berdiri Di Sebelah Kanan Imam Sebaris Dengannya, Dalam Kedudukan Sama.”

Dalam hadis yang lain pula, melibatkan seorang imam dan seorang makmum yang kemudiannya didatangi makmum yang lainnya menjadikan makmum pertama tadi berpindah ke belakang bagi membuat suatu saf baru di belakang imam.

Dari Jabir bin Abdullah, dia berkata ; "Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam pernah berdiri solat, kemudian aku datang, lalu aku berdiri di sebelah kirinya, maka beliau memegang tanganku, lantas baginda memusingkan aku sehingga dia mendirikan aku di sebelah kanannya. Kemudian datang Jabbar bin Shakr danlangsung dia berdiri di sebelah kiri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Lalu baginda memegang tangan kami dan beliau mendorong kami sehingga beliau mendirikan kami dibelakangnya (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Dawud)

Maka kedudukan untuk dua makmum menurut majoriti ulamak fekah ialah kedua-dua makmum membuat saf di belakang imam.

8. Apakah Kriteria Dan Sandaran Dalam Pemilihan Imam, Mestikah Berkopiah Dan Berjubah?

Di kawasan solat yang tidak mempunyai imam tetap yang dipilih jawatankuasa surau, kita akan dapat melihat adegan ‘tolak-menolak’ atau pelawa-mempelawa yang didasari dengan sikap tolak ansur untuk seseorang itu diangkat menjadi imam dalam sesuatu solat fardhu. Selalunya jika seseorang itu berkopiah atau berjubah, pastinya dia dianggap alim dan soleh, makanya orang sebegini akan terlebih dahulu dipelawa untuk menjadi imam.

Maka penulis mengira soalan ini penting untuk menjawa soalan apakah benar kopiah dan jubah menjadi salah satu kriteria dalam pemilihan seorang imam untuk diikuti dalam solat? Ya, amatlah tidak adil sekiranya penulis melakukan generalisasi dengan mengambil kira isu pemakaian kopiah dan jubah sedemikian rupa, namun soalan ini hanya sekadar ingin membuka mata para pembaca tentang apakah garis panduan yang Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam ajarkan dalam memilih calon imam.

Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam memberi garis panduan seperti berikut dengan bersabda:
”Jika bertiga maka hendaklah mereka dijadikan Imam salah seorang dari mereka, dan yang lebih berhak diantara mereka untuk menjadi Imam adalah orang yang lebih fasih bacaannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

”Jika mereka sama bacaannya maka pilihlah yang lebih tua dan jika umurnya sama mereka pilihlah diantara mereka yang lebih tampan (ganteng) wajahnya.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

"Yang lebih berhak menjadi imam bagi suatu kaum adalah yang terpandai dalam membaca Kitabullah. Jika dalam hal membaca  ini sama, maka yang terpandai tentang sunnah Nabi dan jika dalam hal inipun sama, maka yang lebih dahulu berhijrah, dan kalau dalam hijrahpun sama maka yang paling tua usianya. Dan janganlah seseorang menjadi imam di lingkungan kekuasaan orang lain dan jangan pula duduk di hamparannya (tempat duduk khusus) kecuali diizinkannya." ( Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad).

Daripada sekian banyak hadis-hadis tentang kriteria memilih para imam sesuai dengan panduan yang diajarkan Nabi, kita dapat simpulkan berdasarkan prioriti-prioriti berikut[2]:

Kriteria Calon 1 – Orang yang fasih bacaan serta hafalan al-Quran
Kriteria Calon 2 –  Orang yang paling faham sunnah Nabi dalam solat
Kriteria Calon 3 –  Orang yang lebih dahulu berhijrah atau memeluk agama Islam
Kriteria Calon 4 –  Orang yang lebih banyak usianya
Kriteria Calon 5 –  Orang yang lebih berkuasa di kawasan tersebut

Inilah kriteria-kriteria orang yang berhak menjadi imam dalam solat.Ada perbincangan mendalam tentang kriteria-kriteria yang disebutkan di atas, umpamanya difahami oleh sesetengah para ulamak fekah bahawa banyak usianya merujuk kepada dalam erti kata lebih tinggi usia seseorang itu memeluk Islam. Dan juga bagaimana pemimpin lebih diutamakn jika dibandingkan dengan imam dilantik dan tuan rumah. Adalah juga menjadi sunnah untuk tuan rumah mengsyorkan  orang yang lebih baik daripadanya untuk menjadi imam di dalam rumahnya. Justeru kriteria itu boleh mengikut kriteria satu per satu atau asalkan salah satu antaranya mengikut kesesuaian keadaan.

9. Benarkah Wajib Bertelekung Bagi Kaum Wanita Yang Ingin Bersolat?

Di surau dan masjid serta kawasan solat lainnya, terutamanya di Nusantara, terdapat banyak telekung-telekung yang diwakafkan untuk diguna-pakai oleh kaum wanita sekiranya mereka ingin bersolat.

Tiada siapa dapat menafikan saranan para ulamak Nusantara.dalam kegunaan telekung dari aspek kesempurnaan ibadat, telekung itu dianggap sesuai untuk semua peringkat umur dan bentuk badan. Namun perlu juga disebutkan kesan negatif kepada wanita Islam masa kini yang aktif dalam kehidupan seharian sehingga telekung dijadikan lebih dari sekadar suatu budaya. Ada yang mengabaikan solat akibat tidak membawa telekung apabila keluar membeli belah atau ke tempat kerja. Ini belum lagi diambil kira alasan yang mana telekung di surau dan masjid yang kotor dan berbau.

Solat tetap perlu dilakukan pada masanya atas apa jua alasan. Dr. Wahbah Zuhaily menyimpulkan pandangan para ulamak mazhab dalam isu syarat minima pakaian solat seperti berikut:
Menurut pendapat para ulamak Mazhab Maliki, seseorang yang tidak mempunyai pakaian penutup aurat hendaklah dia tetap bersolat sekalipun bertelanjang kerana menutup aurat adalah dituntut ketika terdaya maka gugurlah tuntutan jika tidak terdaya.

Menurut pendapat Mazhab Hanbali, dalam keadaan tidak ada penutup aurat hendaklah dilakukan solat secara duduk dan melakukannya secara isyarat.

Menurut pendapat para ulamak Mazhab Shafie dan Hanafi, wajib dilakukan solat sekalipun dengan melumuri tanah pada tubuh badan sebagai penutup aurat dan berkekalan dalam keadaan sedemikian sehingga selepas solat, atau dengan melumuri air yang keruh pada tubuh badan sebagai penutup aurat.

Menurut pendapat para ulamak Mazhab Hanafi dan Maliki memadai dengan kegelapan sebagai penutup aurat kerana darurat, sementara menurut pendapat yang sah di kalangan para ulamak Mazhab Shafie, hendaklah menutup kemaluan dengan tangan, begitu juga menurut pendapat para ulamak Mazhab Hanbali kerana dengan itu tercapai tujuan menutup aurat sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Dalam keadaan tersebut menurut pendapat para ulamak Mazhab Shafie, hendaklah dilakukan solat secara berdiri bagi menyempurnakan rukun solat dan menurut pendapat yang madhab di kalangan mereka, solat tersebut tidak wajib diulangi selagi sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Sementara itu menurut pendapat para ulamak Mazhab Hanafi, hendaklah dilakukan solat secara duduk dan membuat isyarat ketika rukuk dan sujud sebagaimana juga pendapat para ulamak Mazhab Hanbali. Itulah yang lebih utama daripada solat secara berdiri dan membuat isyarat ketika rukuk dan sujud kerana menutup aurat adalah lebih penting daripada menunaikan rukun. (Fiqh dan Perundangan Islam, jld. 1 ms.601)

Inilah bukti jelas yang dibincangkan oleh para ulamak Mazhab, sekiranya gagal menepati syarat pakaian solat yang diwajibkan setelah berusaha sedaya mampu, solat itu masih tetap wajib didirikan dengan sekadar apa yang ada, apatah lagi jika berlasan sekadar tiada telekung?

Ada juga yang cuba simbolikkan telekung itu dengan kain kafan supaya para wanita lebih khusyuk dalam mengingati kematian. Sekiranya logik yang sama ingin diguna pakai, apakah kaum lelaki juga perlu memakai telekung untuk tujuan khusyuk dan memperingati kematian?

Justeru apakah pakaian yang diperlukan oleh para wanita untuk solat? Antara hadis-hadis yang difahami dalam kitab fekah ialah seperti berikut:

Dari A'isyah radiallahu-anha bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda: Tidak diterima solat seorang wanita yang telah baligh kecuali dengan memakai kain tudung. (Hadis riwayat Imam Tirmizi dalam Sunan Tirmizi)

Ummu Salamah Radiallahu Anha berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Bolehkah wanita mengerjakan solat dengan memakai pakaian panjang dan tutup kepala tanpa memakai kain sarung (Izar) ? Beliau bersabda: Boleh, apabila pakaian panjangnya itu (Dar'u) dapat menutupi kedua telapak kakinya.(Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan Abu Daud)

Maka , berdasarkan dua hadis di atas yang banyak diguna pakai oleh para ahli fekah dalam membahaskan syarat pakaian solat yang diwajibkan bagi seorang wanita ialah[3]:

(i) kain tudung yang menutupi dari kepala sehingga ke bawah kawasan dada dan pakaian yang dapat menutupi sehingga ke kedua tapak kakinya.
(ii) pakaiannya hendaklah longgar dan tidak menampakkan bentuk badan atau bayangannya dan tidak nipis sehingga melihatkan warna kulit di sebaliknya.

Apabila difahami bahawa pemakaian telekung bukanlah syarat sah solat seseorang wanita, seorang wanita yang keluar dari rumah dengan menutup aurat secara sempurna,dan pakaian tersebut bebas dari sebarang najis (jika kotor, ia tidak bermaksud bernajis), maka itu sudah dianggap mencukup dan memadai dalam menepati syarat-syarat sah pemakaian untuk solat tanpa memerlukan telekung Maka persoalan mudah, sekiranya para wanita telah menutup aurat dengan sempurna, untuk apa perlunya lagi telekung? Tidakah ia umpama tidak percaya bahawa aurat itu telahpun ditutup sempurna?Renung-renungkan.

            Berikutlah 9 perkara yang mungkin menjadi kemusykilan. Jika tidak sebab perbuatan kita menjadikan orang lain musykil, barangkali kita yang melihatnya dilakukan oleh jemaah surau dan masjid. Semua perlakuan di surau dan masjid (kawasan solat) adalah tempat seorang hamba Allah mendekatkan diri dan rohaninya kepada penciptanya. Segala perkara pelik dan yang mendatangkan kemusykilan hendaklah ditimbang dengan neraca ilmu supaya perkara-perkara yang dilakukan tidak dianggap sebagai menyimpang sehingga mempengaruhi orang lain daripada menirunya. Cuma persoalannya, apakah kita mahu ilmu kita tentang hal ehwal solat kekal seperti telefon bimbit lama walhal orang lain telah lama gunakan telefon bimbit pintar, ya walaupun telefon bimbit lama itu masih berfungsi, ia telah ketinggalan dari sudut kepelbagaian aplikasi. Begitulah juga halnya dengan isu-isu perihal solat, apakah ilmu kita tentangnya masih statik seperti apa yang telah kita pelajari sewaktu di sekolah rendah sehingga menimbulkan begitu banyak kemusykilan demi kemusykilan? Renung-renungkan.

 Wallahu'allam.
Ibn Yusof
27 August 2012 / 9 Syawwal 1433
10.47 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com


[1] Shahih Fiqih Sunnah, Jilid 2, Oleh Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim.
Ensiklopedia Shalat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, Jilid 2, oleh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani
[2] Kriteria Imam Dalam Shalat Sesuai Al-Qur’an Dan As-Sunnah, karya Dr. Said bin Ali bin Wahf Al-Qahthani, Pustaka At-Tazkia.
[3] Hafiz Firdaus Abdullah, Panduan Ibadah Musafir Penerbangan, terbitan Jaharbersa.