Doa merupakan senjata seorang mukmin, kita dibenarkan berdoa dengan apa jua doa-doa yang membawa erti kebaikan di dalamnya, namun alangkah baiknya jika kita dapat mencontohi doa yang diajar dan diamalkan sendiri oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wa Sallam sendiri, kerana baginda Nabi Sallallahu 'alaihi Wa Sallam tidak mungkin melafazkan sesuatu melainkan pasti padanya wujud kebaikan dan manfaat yang besar seperti firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
“Dia (Muhammad) tidaklah berbicara dari hawa nafsu melainkan dengan wahyu yang diwahyukan padanya” [Surah An-Najm : 3-4]
Malah, baginda Nabi Sallallahu 'alaihi Wa Sallam adalah Uswah Hasanah (suri tauladan yang baik) dan Qudwah Solihah (suri tauladan yang soleh),hal ini dibuktikan melalui firman Allah Ta’ala:
“Telah ada suri tauladan yang baik bagi kalian pada diri Rasulullah bagi orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari akhir dan dia banyak menyebut Allah.” [Surah Al-Ahzab : 21]
Telah berkata Shaikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam menjelaskan bahawa: “Manusia hendaklah berdoa dengan doa-doa yang dibenarkan dalam syariat iaitu yang datang daripada Al-Quran dan Sunnah. Kerana sesungguhnya didalamnya tidak ada keraguan mengenai fadilat dan kebaikannya, dan sesungguhnya ia adalah jalan yang lurus. Ulama Islam dan para Imam agama telah menyatakan doa-doa ini yang ada didalam syariat, dan berpaling dari doa-doa yang direka-reka, maka hendaklah kita mengikuti mereka didalam perkara itu.” (Rujuk Majmu' al-Fataawa, jld.1 hlm.346,348)
Hal ini amat penting agar doa kita itu dianggap sebagai ibadah dan diterima oleh Allah Ta’ala apabila memenuhi syarat-syarat ibadah yang disepakati oleh para ulamak muktabar iaitu (1) Niat yang ikhlas serta (2) Ittiba’ (mengikut petunjuk Nabi). Ibn Katsir dalam tafsirnya (jld. 1 hal.231) telah berkata, “Sesungguhnya amal yang diterima harus memenuhi dua syarat. Pertama, ikhlas kerana Allah. Kedua, benar dan sesuai (dengan) syari’at. Jika dilakukan dengan ikhlas, tetapi tidak benar, maka tidak akan diterima (amal ibadah yang dilakukan itu)”. Pernyataan itu dikuatkan dan dijelaskan oleh Ibn Ajlan apabila beliau juga berkata, “Amal tidak dikatakan baik kecuali dengan tiga kriteria : 1- Takwa kepada Allah, niat baik; dan 2- Tepat (sesuai dengan sunnah atau Ittiba')” (Rujuk Jami Al-Ulum wal Hikam hal.10)
Selain itu, adalah afdhal (digalakkan) untuk membaca doa di dalam bahasa Arab kerana ia masih dalam ruang lingkup ibadat. Telah berkata Shaikhul Islam Ibn Taimiyyah bahawa:
“Doa dibolehkan dalam bahasa Arab dan bukan dalam bahasa Arab. Allah mengetahui apa yang tersirat di dalam doa permintaan (hambanya-pen). Terserah bahasa apa yang diucapkan (hambanya-pen), kerana sesungguhnya Dia mendengar semua suara dari pelbagai bahasa, memohon berbagai jenis hajat...” (Ibn Taimiyyah dalam Majmu' al-Fataawa, jld.22 hlm.488-489)
Semoga kita mampu menghafal dan berdoa dengan doa-doa yang ma'tsur daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam sekaligus mampu membawa kita merasai kemanisan iman dalam beramal sesuai dengan Sunnah Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam.
28 February 2011 / 28 RabiulAwwal 1432
5.20 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com