Tuesday, August 10, 2010

(Siri ‘Back to Basic’ Versi Ramadhan) Doa Berbuka Puasa


Saat berbuka puasa adalah saat yang paling bahagia buat mereka yang berpuasa sepanjang hari. Manusia yang berpuasa menahan diri daripada makan,minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa demi Allah dan dengan itu dijanjikan ganjaran dan kebahagiaan yang tidak ternilai! Ini dibuktikan melalui sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


“Setiap amal manusia adalah untuk dirinya, satu perbuatan baik akan dibalas dengan sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwatnya, makanannya, minumannya untuk Aku. Orang yang berpuasa memiliki dua kebahagian, iaitu kebahagian saat berbuka puasa dan kebahagiaan saat berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada harumnya minyak wangi kasturi.”[1]


Tatkala saat ingin berbuka puasa, kita akan menghadap makanan (baca:rezeki) yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan saat itu juga merupakan antara sekian banyaknya saat untuk termakbulnya doa yang dipohon. Ini berdasarkan hadis dari Anas bin Malik Radhiyallahu 'anhu bahawa dia berkata bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:


"Tiga doa yang tidak ditolak ; doa orang tua terhadap anaknya ; doa orang yang sedang berpuasa dan doa seorang musafir"[2]


Hadis di atas berbentuk umum tentang penerimaan atau dimakbulkan doa orang yang sedang berpuasa, walau bagaimanapun dikhususkan pula waktu mustajab itu yakni tatkala saat berbuka puasa melalui hadis dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash Radhiyallahu 'anhu bahwa dia mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.


"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa pada saat berbuka ada doa yang tidak ditolak"[3]


Justeru tatkala waktu berbuka puasa, adalah suatu peluang yang terbuka luas untuk kita memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala apa jua permohonan kerana waktu tersebut ialah waktu yang mustajab. Dimaklumi berdasarkan pandangan jumhur ulamak bahawa doa ketika sebelum berbuka puasa merupakan doa di luar solat dan tidak menjadi kewajiban untuk disebut di dalam bahasa Arab, Cuma sahaja adalah afdhal (digalakkan) untuk membaca doa di dalam bahasa Arab kerana ia masih dalam ruang lingkup ibadat. Telah berkata Shaikhul Islam Ibn Taimiyyah bahawa:


Doa dibolehkan dalam bahasa Arab dan tidak dalam bahasa Arab. Allah mengetahui apa yang tersirat di dalam doa permintaan (hambanya-pen). Terserah bahasa apa yang diucapkan (hambanya-pen), kerana sesungguhnya Dia mendengar semua suara dari pelbagai bahasa, memohon berbagai jenis hajat...”[4]


Adapun praktik kebanyakan masyarakat umum di Malaysia khususnya sebelum berbuka puasa hanya akan membaca doa berbuka puasa. Menjadi tujuan artikel ini ditulis untuk berkongsi tentang penelitian terhadap doa berbuka puasa yang mahsyur diamalkan oleh masyarakat umum di Malaysia khususnya.


al-Fadhil al-Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat dari Indonesia[5] telah menulis[6] beberapa penelitian terhadap hadis doa berbuka puasa yang penulis rasa penting untuk kita ambil manfaat daripadanya (Semoga Allah Subhanallahu Ta’ala merahmatinya dan memberikannya ganjaran melalui usahanya ini). Berikut diringkaskan penelitian hadis-hadis berkenaan doa berbuka puasa dengan susunan dan sedikit tambahan daripada penulis menggunakan beberapa sumber lain juga:


Doa berbuka puasa yang mahsyur:


Doa daripada Hadis 1-

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْ ت بسم الله

Bismillah, Allahumma Laka Shumtu Wa Alla Rizqika Aftartu

(Dengan nama Allah, Ya Allah, Ya Tuhan kami, kerana-Mu kami berpuasa, dan atas rezeki-Mu kami berbuka)[7].


Atau doa yang lebih kurang bunyinya;

Doa daripada Hadis 2-

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْ ت

Allahumma Laka Shumtu Wa Alla Rizqika Aftartu

(Ya Allah, Ya Tuhan kami, kerana-Mu kami berpuasa, dan atas rezeki-Mu kami berbuka)[8]


Ada juga doa versi lain yang berbunyi;

Doa daripada Hadis 3-

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا فَتَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Allahumma Laka Shumna wa ala Rizqika Aftharna, Fataqabbal Minna Innaka Antas Samiul 'Alim

(Ya Allah ! untuk-Mu aku berpuasa dan atas rizkqi dari-Mu kami berbuka. Ya Allah ! Terimalah amal-amal kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar, Maha Mengetahui).

[Hadis riwayat Imam Daruqutni di kitab Sunannya, Ibnu Sunni di kitabnya 'Amal Yaum wa-Lailah No. 473. Thabrani di kitabnya Mu'jamul Kabir]


Penjelasan dan penelitian ke atas doa & hadis di atas


Status Hadis 1-

Status hadis: Sanad hadis ini dianggap lemah (dho’if)

Sebab: Ada perawi hadis yang bernama Ismail bin Amr Al-Bajaly dan Dawud bin Az-Zibriqaan.

Komentar para ulamak hadis terhadap Ismail bin Amr Al-Bajaly:

Dia seorang perawi yang lemah

1. Imam Dzahabi mengatakan di kitabnya Ad-Dhu'afa : Bukan hanya seorang sahaja yang telah melemahkannya (maksudnya ramai para ulamak hadis melemahkannya-pen).

2. Kata Imam Ibnu 'Adi : Dia menceritakan hadis-hadis yang tidak boleh diikut.

3. Kata Imam Abu Hatim dan Daruquthni : Dia seorang perawi yang lemah,

Komentar para ulamak hadis Dawud bin Az-Zibriqaan:

1. Kata Imam Abu Dawud, Abu Zur'ah dan Ibn Hajar : Dia ini Matruk (orang yang ditinggalkan riwayatnya).

2. Kata Imam Ibn 'Adi : Umumnya apa yang ia riwayatkan tidak boleh diikuti[9]


Status Hadis 2-

Status hadis: Hadis ini diangap sebagai hadis mursal.Hadis mursal mengikut para ulamak hadis adalah hadis yang lemah dan tidak boleh dijadikan hujah.

Sebab:

1. Hadis ini diriwayatkan oleh seorang perawi bernama Mu'az bin Zuhrah. Beliau bukanlah di peringkat sahabah sebaliknya beliau adalah tabi'in (generasi selepas sahabah). Tetapi beliau telah meriwayatkan hadis ini secara langsung dari Nabi. Bermaksud diriwayatkan dari Nabi sedangkan dia tidak pernah bertemu dengan Nabi (tanpa perantaraan sahabah-pen).

2. Perawi Mu'az bin Zuhrah adalah seorang lelaki yang tidak diketahui namanya, tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali Hushain bin Abdurrahman. Sedang Ibn Abi Hatim di kitabnya Jarh wat Ta'dil tidak menerangkan tentang celaan dan pujian baginya (tiada dalam perekodan para Imam hadis, tidak dikenali perawi ini-pen).


Status Hadis 3-

Status hadis: Sanad hadis tersebut dianggap lemah (dho’if)

Sebab: Ada seorang perawi hadis yang bernama Abdul Malik bin Harun bin 'Antarah dan bapanya Harun bin 'Antarah.

Komentar para ulamak terhadap Abdul Malik bin Harun bin 'Antarah :

Dia ini rawi yang sangat lemah.

1. Kata Imam Ahmad bin Hambal : Abdul Malik Dho'if

2. Kata Imam Yahya : Kazzab (pendusta)

3. Kata Imam Ibnu Hibban : Dia seorang pemalsu hadis

4. Kata Imam Dzahabi : Dia dituduh seorang pemalsu hadis

5. Kata Imam Abu Hatim : Dia seorang yang Matruk (orang yang ditinggalkan riwayatnya)

6. Kata Imam Sa'di : Dia seorang Dajjal (bermaksud pendusta).

Komentar para ulamak terhadap Harun bin 'Antarah:

Dia ini rawi yang diperselisihkan(statusnya sebagai perawi-pen) oleh para ulama ahli hadis

1. Kata Imam Daruquthni: Dia seorang yang Dho'if

2. Kata Imam Ibn Hibban: Munkarul hadits (orang yang diingkari haditsnya), sama sekali tidak boleh berhujjah dengannya.

Justeru hadis ini telah dilemahkan oleh Imam Ibnu Qayyim, Ibn Hajar, Imam Al-Haithami dan lain-lain[10].


Doa berbuka puasa yang diajarkan oleh Nabi


Jika dirujuk pada buku Hisnul Muslim ; Himpunan doa zikir dari al-Quran dan as-Sunnah yang telah disusun oleh Shaikh Sa’id Ali bin Wahf al-Qathani. Terdapat beberapa doa[11] ketika berbuka bagi orang yang berpuasa daripada hadis-hadis hasan yang tsabit dillakukan oleh Nabi Sallallahu 'alaihi Wa Sallam.


Perkara ini juga disebutkan oleh Shaikh Salim bin 'Ied Al-Hilaaly dan Shaikh Ali Hasan Ali Abdul Hamid dalam kitab tulisan mereka iaitu Kitab Sifat Shaum Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam Fii Ramadhan bahawa doa berikut sebagai doa yang paling afdhal adalah doa ma'tsur daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, bahawa beliau jika berbuka mengucapkan doa berikut:


Doa 1-

Daripada Ibn Umar, Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wa Sallam, apabila berbuka (puasa) beliau mengucapkan :

ذَھَبَ الظَّمَأُ

وَابْتَلَّتِ الْعُرُوْقُ وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ

Dzahabazh Zhaama-U Wabtallatil 'Uruqu Wa Tsabatal Ajru Insya Allah

(Telah hilanglah dahaga, telah basah urat saraf, dan telah tetaplah ganjaran, inshaAllah).

[Hisnul Muslim, hlm. 218][12]

Antara doa berbuka puasa lain ialah:

Doa 2-

اَللَّھُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِيْ وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ لِيْ تَغْفِرَ

Allahumma Inna As-aluka birahmatikallati Wa si’at Kulla Syai’in An-Taghfiroli

“Ya Allah!, Sesungguhnya aku me-mohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu, supaya memberi ampunan atasku.”

[Hisnul Muslim, hlm. 218][13]


Adalah lebih afdal kita mengambil doa alternatif di atas yang lebih baik isnadnya (sanad-sanad hadis) yang dapat kita manfaatkan dalam amalan sunat membaca doa ketika berbuka puasa.


Doa berbuka puasa daripada hadis lemah?


Barangkali selepas penjelasan semua doa-doa berbuka puasa yang mahsyur dianggap lemah dan diperkenalkan pula dengan doa-doa alternatif di atas daripada hadis-hadis bertaraf hasan (yang lebih baik), mungkin ada para pembaca yang menganggap ia sekadar doa sahaja,perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan dan masih tetap ingin mengamalkannya atas sebab dan alasan berikut:


1. Itu sahaja doa yang dihafal! (Malas meluangkan waktu menghafal doa lain,cukup sekadar apa yang pernah disuruh hafal ketika usia kecil)

2. Walaupun doa itu daripada hadis lemah, tetapi tidak salah untuk diamalkan kerana maksudnya baik!


Ya, tiada salahnya dengan sebab-sebab di atas, dan juga sekiranya sebab-sebab ini ingin dipanjangkan lagi senarainya. Tetapi dengan syarat selagi mana doa-doa daripada hadis-hadis yang lemah ini tidak disandarkan kepada Nabi kerana perbuatan itu adalah bersalahan dengan syarat-syarat untuk beramal dengan hadis lemah yang telah ditetapkan oleh para ulamak hadis. Sebaliknya, jika dianggap sebagai doa yang umum, maka tidak mengapa (tidak menjadi kesalahan) untuk beramal dengannya, justeru tiadalah diharap timbul isu tuduh menuduh bahawa mereka yang mengamalkan doa daripada hadis 1,2 dan 3 di atas sebagai bersalah.


Tetapi..


Dalam pada kita dibenarkan berdoa dengan apa jua doa-doa yang membawa erti kebaikan di dalamnya, alangkah baiknya jika kita dapat mencontohi doa yang diajar dan diamalkan sendiri oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wa Sallam sendiri, kerana baginda Nabi Sallallahu 'alaihi Wa Sallam tidak mungkin melafazkan sesuatu melainkan pasti padanya wujud kebaikan dan manfaat yang besar.


“Dia tidaklah berbicara dari hawa nafsu melainkan dengan wahyu yang diwahyukan padanya” [Surah An-Najm : 3-4]


Malah, bukankah baginda Nabi Sallallahu 'alaihi Wa Sallam adalah Uswah Hasanah (suri tauladan yang baik) dan Qudwah Solihah (suri tauladan yang soleh),hal ini dibuktikan melalui firman Allah Ta’ala:


“Telah ada suri tauladan yang baik bagi kalian pada diri Rasulullah bagi orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari akhir dan dia banyak menyebut Allah.” [Surah Al-Ahzab : 21]


Maka tidaklah pelik apabila telah berkata Shaikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam menjelaskan bahawa:

"Manusia hendaklah berdoa dengan doa-doa yang dibenarkan dalam syariat iaitu yang datang daripada Al-Quran dan Sunnah.Kerana sesungguhnya didalamnya tidak ada keraguan mengenai fadilat dan kebaikannya, dan sesungguhnya ia adalah jalan yang lurus. Ulama Islam dan para Imam agama telah menyatakan doa-doa ini yang ada didalam syariat, dan berpaling dari doa-doa yang direka-reka, maka hendaklah kita mengikuti mereka didalam perkara itu."[14]


Kesimpulannya, bukanlah dan jauh sekali menjadi tujuan artikel ini untuk menyalahkan amal orang lain selagi mana ia dalam ruang lingkup mubah, tetapi sekadar pendedahan ringkas dan juga sekadar berhasrat untuk mengajak para pembaca mengamalkan sesuatu doa yang ma'tsur daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam.


Semoga perkongsian ringkas dan padat ini bermanfaat, buat mereka yang mengambil berat.


Ibn Yusof

11 Ogos 2010 / 1 Ramadhan 1431

2:50p.m

www.ibnyusof.blogspot.com


[1] Hadis Muttafaqun ‘alaih

[2] Hadis riwayat Imam Baihaqi dalam Sunan Baihaqi, kitab Solat Istisqa dalam bab Istihbab Siyam Lil Istisqa', jld. 3 hlm.345.

[3] Hadis riwayat Imam Ibn Majah dalam Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da'watuhu jld.1 hlm.321 hadis no. 1775. Imam Hakim juga meriwayatkan dalam kitab al-Mustadrak jld.1 hlm.422.

[4] Ibn Taimiyyah dalam Majmu' al-Fataawa, jld.22 hlm.488-489

[5] Penulis sempat mengambil manfaat berkenaan ilmu Muamalat daripada al-Fadhil Ustaz ketika rehlah penulis ke Yogyakarta.

[6] Dalam Kitab Al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama)- Jilid 1, Cetakan ke III Th 1423/2002M,Terbitan Darul Qolam;Jakarta.

[7] Hadis riwayat Imam Thabrani di kitabnya Mu'jam as-Shogir hlm 189 dan dalam Mu'jam Auwshath

[8] Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, hadis no.2358

[9] Lihat Mizanul I'tidal jld.2 hlm.7, menurut al-Fadhil Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat lagi.Dia inilah juga yang meriwayatkan hadis lemah bahawa imam tidak boleh azan , rujuk Mizanul I'tidal jld.1 hlm.239.

[10] Mizanul I'tidal 2/666 , Majmau Zawaid 3/156 oleh Imam Haitsami , Zaadul Ma'ad di kitab Shiam/Puasa oleh Imam Ibnul Qoyyim

[11] Sepanjang pembelajaran,pembacaan dan kajian ringkas penulis yang cetek dalam ilmu hadis ini, terdapat perbezaan pandangan (khilaf) yang agak besar pada status hadis kedua-dua hadis di dalam Hisnul Muslim ini. Namun di sebalik status hasan atau dhoif kedua-dua hadis ini, terdapat ulamak hadis yang menganggapnya bertaraf hasan manakala doa-doa lain (yang dibincangkan lebih awal- doa daripada hadis 1,2 dan 3) lebih ramai ulamak hadis persetujui dan sedia maklum tentang kelemahan hadis tersebut berbanding dua hadis yang termuat dalam Hisnul Muslim ini.Wallahu'allam.

[12] Doa ini diambil daripada sebuah hadis yang diriwayat oleh Hadis ini ialah hadis hasan yang diriwayatkan Imam Abu Daud dalam Sunan Abu Daud hadis no. 2357, Imam Nasa'i dalam 'Amalul Yaum hlm. 296, Imam al-Hakim jld.1 hlm.422, Imam Baihaqi jld.4 hlm. no.239, Imam Ibn Hajar dalam al-Talhis al-Habiir jld.2 hlm.202, dan imam-imam hadis yang lain., Imam Daruquthni berkata : "Sanadnya hasan". Shaikh Salim bin 'Ied Al-Hilaaly dan Shaikh Ali Hasan Ali Abdul Hamid katakan : "Memang seperti ucapannya".[ Berdasarkan nota kaki Kitab Sifat Shaum Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam Fii Ramadhan]. Termuat juga dalam Sahih al-Jami’ jld.4 hlm.209 [ Berdasarkan nota kaki Hisnul Muslim]. Menurut al-Fadhil al-Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat dalam tulisannya beliau menyatakan Shaikh al-Albani bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Imam ad-Daruquthni (bahawa hadis ini bertaraf Hasan). Beliau menambah lagi, semua perawi dalam sanad hadis ini semuanya dipercayai (tsiqah), kecuali Husain bin Waaqid seorang rawi yang tsiqah tapi padanya ada sedikit kelemahan (Rujukan lanjut di dalam Tahdzibut-Tahdzib jld.2 hlm.373), maka tepatlah kalau dikatakan hadis ini hadis hasan. Namun bagi mengelakkan perbahasan panjang lebar, penulis tidak menafikan ada ulamak hadis lain yang beranggapan hadis ini bertaraf lemah (dhoif) atas hujah masing-masing seperti pemhaman istilah ‘hasan’ di sisi ulamak hadis silam (mutaqaddimin) dan kontemporari (mutaakhirin).

[13] Hadis ini ialah hadis hasan yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah jld 1 hlm.557, al-Hafiz Ibn Hajar dalam takhrij Al-Adzkar,kitab Syarah al-Adzkar jld.4 hlm.342, dan imam-imam hadis yang lain. Namun bagi mengelakkan perbahasan panjang lebar, penulis tidak menafikan ada ulamak hadis lain yang beranggapan hadis ini bertaraf lemah (dhoif) atas hujah masing-masing terutamanya jika dilihat perbezaan pandangan berdasarkan hujah ulamak hadis silam (mutaqaddimin) dan kontemporari (mutaakhirin).

[14] Ibn Taiimiyyah, Majmu' al-Fataawa, jld.1 hlm.346,348.