Al-gharar menurut bahasa diertikan sebagai kekurangan, bahaya, kecenderungan yang mengarah kepada ketidakjelasan. Manakala dari sudut istilah pula al-gharar adalah sesuatu yang telah ditutup akibatnya atau tidak diketahui. Ada juga para ulamak fekah yang mendefinisikan dari sudut istilah sebagai sesuatu yang tidak diketahui hasilnya.
Penipuan atau ketidakjelasan (al-gharar) ini boleh berlaku dalam pelbagai permasalahan. Antara bukti pengharaman ketidakjelasan (al-gharar) ini daripada hadis yang bermaksud:
“Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam melarang daripada berjual beli dengan kewujudan ketidakjelasan (al-gharar)” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim,kitab al-buyu’ bab terbatalnya transaksi al-Hashah dan seluruh jual-beli yang mengandungi unsur gharar, no. 1513)
Jenis-jenis ketidakjelasan (al-gharar)
Ketidakjelasan (al-gharar) boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:
Ketidakjelasan yang kecil atau ringan (al-gharar yasir)
Diberi keringanan untuk ketidakjelasan yang kecil atau ringan (al-gharar yasir) yang sememangnya sukar untuk dielakkan dalam beberapa situasi. Contohnya:
Membeli buah yang tertutup seperti durian, delima, pala, buah badam dan semisalnya.
Membeli rumah bersama dengan perabotnya.
Membeli radio yang berada di dalam kotak dan sebagainya.
Ketidakjelasan yang besar (al-gharar fahish)
Jika ketidakjelasan yang besar (al-gharar fahish) berlaku di dalam sesuatu akad atau transaksi jual beli maka ianya akan menjadi akad atau transaksi yang bermasalah daripada sudut syarak. Hikmah hukum ini adalah bertujuan untuk menjaga keredhaan kedua-dua belah pihak yang berkontrak. Ketidakjelasan yang besar (al-gharar fahish) ini boleh berlaku dalam beberapa faktor antaranya apabila ketidakjelasana berlaku dalam:
1.Bentuk, kuantiti, berat dan jumlah
2. Masa penghantaran
3. Nilai harga dan metod bayaran
4.Kesamaran dalam pemilikan dan kapasiti pemilikan aset
Ketidakjelasan (al-gharar) masa kini
Beberapa jenis ketidakjelasan besar (al-gharar fahish) banyak berlaku dalam kes jual-beli. Ini dibincangkan secara meluas ahli fekah, bahkan Imam al-Bukhari meletakkan bab khusus di dalam Sahihnya dengan tajuk seperti transaksi Habl al-Habalah (jual beli janin yang masih di dalam kandungan haiwan), di bawah topik ini beliau mendatangkan beberapa hadis seperti topik “Mulamasah” (jual beli secara sentuhan), “Munamadhah” (bertukaran barangan tanpa pemeriksaan). Walaubagaimanapun, apa yang ingin penulis ketengahkan ialah kewujudan gharar ini dalam keadaan semasa. Antaranya yang melibatkan beberapa hal yang selalu kita lalui tanpa sedar ketika bertransaksi :
Restoran (Kedai Makan)
Apabila sesetengah restoran tidak memiliki menu dan tanda harga. Jika ada menu sekalipun ianya tidak disertakan dengan tanda harga, hanya gambar makanan atau minuman sahaja yang ditunjukkan. Pelanggan akan dipesan terlebih dahulu sebelum mengetahui harga makanan atau minuman. Kesannya, ada pelangan yang terkejut dengan harga yang dikenakan dan terpaksa membayar juga harga tersebut kerana telahpun selesai menikmati hidangan. Hal ini terjadi disebabkan berlakunya ketidakjelasan (al-gharar) apabila pihak restoran tidak menyertakan harga sebenar sehingga menyebabkan keadaan ini melibatkan jahalah dan ketidakjelasan besar (al-gharar fahish).
Jika pihak restoran menganggap orang ramai sedia maklum dengan harga tersebut ianya masih tidak dapat menghilangkan elemen jahalah tersebut. Pelanggan juga pada awalnya berhak untuk mengajukan soalan kepada pihak restoran sebelum meneruskan akad atau transaksi untuk mengelak daripada berlakunya kedua-dua perkara iaitu elemn jahalah dan ketidakjelasan besar (al-gharar fahish). Tetapi itulah kebiasaan amalan kedua-dua belah pihak yang berakad.
Justeru untuk mengelakkan daripada perkara ini berlaku antara perkara yang boleh dilakukan ialah:
Pihak restoran menyatakan harga jualan sebelum rungdingan bermula, jika pihak restoran tidak memberitahu maka pelanggan berhak untuk bertanyakan soalan tentang harga jualan pihak restoran.
Setiap menu yang ingin dipesan terlebih dahulu diketahui oleh kedua-dua belah pihak untuk mengelakkan ketidak puasan hati atau salah faham berlaku antara kedua-dua belah pihak yang terlibat di dalam akad dan transaksi. Ini dapat menyedarkan pelanggan tentang hak mereka iaitu hak untuk mengetahui dan hak memilih.
Pertandingan
Dalam masa kini banyak dipromosikan pertandingan menggunakan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) melalui radio, televisyen mahupun internet. Telah banyak fatwa dikeluarkan berkenaan fatwa pengharaman terlibat dalam sistem pesanan ringkas yang melibatkan unsur ketidakjelasan (gharar) dan judi (maysir). Perkara ini jarang difahami oleh peserta kerana ianya tidak melibatkan duit, tetapi secara tidak langsung ianya melibatkan duit apabila kredit di dalam telefon bimbit pastinya akan berkurangan dengan setiap kali penghantara SMS tersebut. Justeru ia melibatkan duit hasil daripada kredit yang berada di dalam telefon bimbit tersebut.Secara umumnya unsur ketidakjelasan (gharar) dan judi (maysir) ini berlaku apabila:
a) Peserta yang memasuki pertandingan itu tidak membayar wang ringgit tetapi ianya ditolak daripada jumlah kredit yang berada di dalam telefon bimbitnya (tetap melibatkan wang ringgit). Dan peserta mempertaruhkan nasibnya untuk memenangi pertandingan itu. Apatah lagi harga SMS yang dikenakan kepada para peserta melebihi kadar harga biasa sehingga dua, tiga atau berkali-kali ganda.
b) Hadiah pertandingan itu disediakan daripada hasil yuran penyertaan yang dikenakan oleh penganjur pertandingan kepada peserta yang memasuki pertandingan tersebut. Ianya tetap sama jika para penganjur membeli hadiah itu terlebih dahulu kemudian baru mengambil wang daripada jumlah yuran penyertaan untuk mengganti balik wang yang telah didahulukannya untuk membeli hadiah pertandingan.
c) Hal ini bukan sahaja berlaku kepada pengguna telefon bimbit tetapi juga kepada mereka yang menggunkan telefon biasa. Apabila pangilan dibuat, contohnya melalui telefon rumah, mereka yang membuat panggilan tidak mengetahui kadar harga yang dikenakan kepada mereka sehingglah bil telefon diserahkan kepada mereka pada hujung bulan. Kadar harga yang dikenakan kepada para peserta dalam pertandingan jenis ini selalunya berbeza-beza.
Oleh itu pertandingan yang menawarkan hadiah ini mestilah dikenal pasti latar belakangnya untuk mengelak kita daripada terjerumus dalam elemen ketidakjelasan (gharar) dan juga judi (maysir) yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sesuatu pertandingan hendaklah jelas matlamat dan tujuannya, tidak melibatkan perkara-perkara yang haram dan melalaikan para peserta sehingga meninggalkan perkara-perkara wajib dan juga dilaksanakan bersesuaian dengan kaedah syarak. Berkenaan hadiah pertandingan yang dibolehkan akan diterangkan lebih terperinci di dalam topik hadiah undian.
Perundingan
Ketidakjelasan (gharar) juga boleh berlaku pada apa-apa perundingan yang melibatkan ketidakjelasan (gharar) dalam harga atau kos yang dikenakan apabila seseorang itu membuat perundingan atas sebab-sebab tertentu. Kos perundingan atau consultation fee ini selalunya dikenakan oleh doktor, perunding motivasi, peguam, kaunselor, pakar psikatrik, perancang kewangan dan sebagainya atas sebab rundingan yang dibuat.
Sebagai contoh jika berjumpa untuk tujuan rundingan, harga atau kos rundingan itu selalunya diberitahu selepas selesai membuat rundingan, mereka yang memilih untuk berunding kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan tentang kadar harga sebenar. Ini boleh menyebabkan pelanggan rasa tertipu jika harganya adalah di luar jangkaan pelanggan tersebut kerana tidak dimaklumi pada peringkat awal. Baik ianya melibatkan kos rundingan mahupun kos ubat-ubatan, sewajarnya pelanggan diberitahu lebih awal supaya pelanggan mempunyai pilihan untuk meneruskan transaksi atau kontrak berunding atau membatalkan hasrat mereka lebih awal.
Maka semestinya adalah lebih baik dari sudut syarak jika mereka yang terlibat dalam apa-apa rundingan meletakkan harga atau kosnya terlebih dadulu dari segi minit,jam dan sebagainya untuk mengelak elemen ketidakjelasan (gharar).
Di atas hanyalah beberapa contoh umum yang diambil walhal contoh dalam transaksi masa kini banyak. Justeru, ketidak pekaan masyarakat kini dalam ilmu muamalah menyebabkan ramai di antara kita terlepas pandang amaran dan garis panduan yang telah Islam letakkan dalam bermuamalah atau bertransaksi. Maka perlulah para pembaca meningati bahawasanya terlibat dalam transaksi gharar adalah satu dosa yang perlu dielakkan. Tidaklah larangan itu dijadikan sebagai garis panduan melainkan untuk menjaga kemaslahatan semua pihak yang ingin bersama dalam mengikat janji mereka di dalam transaksi.
Wallahu’allam.
Ibn Yusof
30 December 2009 / 12 Muharram 1431
9.14 a.m