Thursday, November 11, 2010

Anda Melabur Atau Menghancurlebur Modal?


Pelaburan ialah perbuatan meletakkan duit dalam sesuatu dengan mengharapkan keuntungan. Dengan lebih spesifik, pelaburan ialah komitmen dengan melaburkan duit atau modal untuk membeli instrumen kewangan atau aset lain untuk memperolehi keuntungan berbentuk pulangan atau kenaikan dalam nilai instrumen.

Tetapi saban hari, jumlah manusia yang tertipu,ditipu dan menipu semakin bertambah atas nama pelaburan. Baik ianya melalui pakej skim cepat kaya, direct-selling, networking ataupun multi-level-marketing (namakan apa sahaja) yang sememangnya jelas berdiri atas sistem sonsang, sehinggakan bentuk pelaburan yang diiktiraf ramai seperti pembelian bon atau sukuk (bon islamik),Forex (tukaran mata wang asing), REITs (Amanah Pelaburan Harta Tanah), ETF(Dana Dagangan Bursa),pembelian emas fizikal atauakaun emas dan sebagainya. Semua bentuk pelaburan yang disebut (dan yang tidak disebut) mempunyai satu sisi buruk yang tidak dapat sesiapapun lari daripadanya, iaitu risiko kerugian!

Para pembaca harus mengetahui bahawa ‘risiko’ ialah elemen yang mustahil untuk dimusnahkan dalam kehidupan, tetapi ia boleh dikawal selia (manage) dan dikurangkan (mitigate). Artikel ini walau bagaimanapun hanyalah suatu usaha perkongsian buah fikir penulis kepada masyarakat awam tentang langkah berhati-hati yang boleh dilaksanakan sebelum menyertai atau melaburkan duit ke arah sesuatu pelaburan. Hal ini dilihat semakin penting apabila dilihat semakin galak umat Islam (baca: bangsa Melayu) berkecimpung dalam aneka pelaburan, tetapi akhirnya melutut kerugian dengan seribu satu penyesalan.

Berikut langkah-langkah mudah yang inshaAllah boleh dipraktikkan oleh sesiapa sahaja sebagai suatu usaha sebelum melaburkan duit simpanan, apatah lagi sekiranya melibatkan duit pinjaman mahupun duit pembiayaan ke arah usaha pelaburan:

Langkah 1 :Bertanya Google (enjin carian)

Bertanya kepada Haji Google! Akses internet membolehkan sesiapa sahaja dengan mudah mendapatkan informasi. Kita namakan langkah ini sebagai siasatan ringkas!

Apa yang menarik tentang enjin carian ialah denagn sekali ‘klik’, anda akan mendapat ribuan informasi yang berkaitan baik dari blog peribadi mahupun laman sesawang rasmi oleh pihak berkuasa (yang mungkin ada mengeluarkan pernyataan rasmi tentang pelaburan yang ‘disiasat’). Tujuan utamanya bukanlah mencari laman sesawang skim pelaburan yang ingin disertai, tetapi mencari sisi buruk skim tersebut sekiranya ada. Contohnya, taip sahaja:

“Cara membeli emas fizikal”;atau

“Bulksms penipu”; atau

“Gelang AC tidak bayar bonus”; atau

“LoginFacebook 100 skim cepat kaya tipu”; atau

“Hukum Forex”; dan lain-lain cara yang anda boleh fikirkan.

Klik sahaja. Maka anda akan didedahkan dengan lambakan informasi hatta pandangan orang di Alaska,Afrika,Kazastan dan setiap ceruk muka bumi tentang pelaburan yang ‘disiasat’, melalui laman sesawang atau blog persendirian yang dapat para pembaca akses. Selepas mendapat informasi yang terlalu banyak itu, gunakanlah otak yang dianugerahkan Tuhan untuk menilai longgokan informasi yang diterima dan dibaca.Cara ini umpama mengelak kita daripada jatuh ke dalam lubang yang sama telah orang lain jatuh, iaitu mengelak kita tertipu, ditipu atau melakukan kesilapan yang telah orang lain lakukan dalam pelaburan yang akan disertai.

Mudah bukan? Masih mahu penulis ajarkan cara menggunakan enjin carian di internet?

Justeru, tiada alasan untuk para pembaca turut sama tertipu dan akhirnya merugikan diri sendiri dan keluarga. Tidak membuat siasatan terperinci terhadap pelaburan yang diceburi adalah suatu tindakan kurang bijak yang berisiko serta menjerat pelabur ke arah risiko yang membahayakan.

Langkah 2 :Jangan terpengaruh dengan pulangan yang dijanjikan,ayat Quran atau hadis, testimoni & gambar

Pulangan lumayan

Manusia memang mudah putih mata (hakikatnya kelabu mata) dengan pulangan yang dijanjikan melalui pelaburan, baik dalam peratusan. Contohnya pulangan pelaburan dalam peratusan yang syarikat pelaburan janjikan barangkali seperti kadar berikut:

Deposit Tetap – 3-4%

Unit Amanah – 5-9%

Saham – 10-20%

Option – 15-30% dan lain-lain jenis pelaburan

Ataupun sekiranya sasaran pasaran adalah untuk menarik perhatian mereka yang kurang reti mengira matematik, pelaburan menjanjikan keuntungan bersifat tetap (contoh melabur RM100 dapat keuntungan tetap RM100ribu dalam masa setahun). Mereka yang terpedaya melalui teknik pulangan tetap ini tergolong dalam golongan orang tamak, maka betullah peribahasa bahawa orang tamak ‘selalu’ rugi, atau ‘tetap’ rugi.

Pelaburan dengan keuntungan tetap selalu berjaya menipu mereka yang tamak. Lebih lama tempoh keuntungan tetap, lebih banyak keuntungan yang dijanjikan. Penulis masih ingat ketika ramai rakan-rakan di universiti memasuki satu skim MLM yang mana melabur RM600 lebih (lebih kurang angka tersebut), selepas 10 tahun akan dapat RM40 lebih ribu, Setelah diajak dan dipujuk,ramai rakan-rakan yang turut serta, yang tidak turut serta dikatakan tolak rezeki dan menempah rugi. Hasilnya, syarikat itu sehingga kini terus menyepi, meninggalkan para pesertanya gigit jari. Para pembaca perlu memahami bahawa tidak ada keuntungan atau pulangan tetap (pasti) di dalam Islam kerana bercanggah dengan ajaran Islam (akan dibincangkan lebih lanjut dalam langkah ke3). Sila rujuk artikel tulisan penulis sebelum ini secara khusus membincangkan hukum Islam tentang pelaburan berkeuntungan tetap.

Potongan ayat Quran dan hadis

Penulis juga berpandangan, sekiranya sesuatu pelaburan (hatta perniagaan) menggunakan potongan ayat Quran dan/atau hadis, maka ianya LEBIH perlu diragui daripada yang lain. Ayat standard yang digunakan ialah potongan ayat al-Quran dan hadis yang menggalakkan amalan tolong menolong dan bekerjasama. Sesiapa menyertainya dianggap telah bersedekah, menolong atau memberi kebaikan kepada orang Islam.

Malah ada pula ayat-ayat yang menyatakan sesiapa yang menyertainya bakal mendapat keuntungan dalam bentuk wang, malah balasan kebaikan daripada Allah. Sesiapa yang tidak mahu menyertai pelaburan atau skim yang ditawarkan itu pula dianggap tidak mahu berjihad ke jalan Allah. Mereka juga didakwa seolah-olah kufur nikmat (tidak bersyukur) dengan rezeki yang dianugerahkan oleh Allah.

Inilah yang kita namakan teknik pemasaran yang berselindung di sebalik ‘suruhan’ agama, dengan memanipulasi citarasa individu dalam berniaga.

Ya, memang kita katakan tidak semuanya begitu, tetapi kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa hampir semuanya menipu!

Testimoni

Ada juga yang senang terpengaruh dengan testimoni-testimoni para peserta atau para pengguna. Tanpa menafikan bahawa ini merupakan salah satu kaedah terbaik dalam pemasaran, ia juga dilihat boleh menjadi salah satu usaha penipuan yang berguna bagi mengalih perhatian orang awam untuk berfikir secara kritis. Tidakkah ianya menjadi sesuatu yang cukup meragukan sekiranya syarikat-syarikat pelaburan besar memerlukan teknik pemasaran menggunakan testimoni oleh para peserta atau para pengguna tanpa bukti dan kajian saintifik oleh badan-badan besar yang diiktiraf? Apakah logika di sebalik alasan krew pemasaran yang mahu mengurangkan kos pemasaran?

Lebih mengejutkan apabila ada juga pelaburan atau skim yang berjaya ditangkap terang-terang (red-handed) menyalin testimoni syarikat lain (luar negara), bukankah ini amat memalukan dan menerangkan secara jelas pelaburan itu suatu penipuan? Apabila kekurangan fakta,maka mereka gunakan ‘auta’.

Gambar

Selain teknik menipu menggunakan teknik pemasaran testimoni, ada juga yang menggunakan teknik gambar, hal ini adalah maklum dalam kaedah pemasaran kerana gambar adalah imej yang jelas dan mampu mempengaruhi minda manusia dengan lebih berkesan. Bak kata emperor China sewaktu dinasti Xia, 张照片胜过千言万语 ('A picture speaks a thousand words').

Maka para pembaca boleh lihat ada yang akan bergambar dengan memegang wang tunai ribuan ringgit, atau berdiri di sebelah kereta idaman ramai. Maka akhirnya, ramailah orang tamak yang terpedaya dan terengaruh serta sanggup mengambil jalan pintas untuk terus melabur tanpa berfikir panjang (tanpa melakukan siasatan dan memahami pelaburan yang disertai).

Oleh itu, berhati-hatilah! Baca langkah seterusnya.

Langkah 3 :Rasionalisasi diri sendiri

Sekiranya para pembaca tidak dapat mengawal sifat tamak yang membuak dalam diri, maka langkah ini barangkali adalah langkah paling penting. Ramai yang akan berjumpa dengan ejen mahupun promoter yang berkata bahawa sekarang ialah masa yang paling sesuai untuk melakukan pelaburan. Walhal, realitinya,(tanpa perlu ambil kira situasi ekonomi semasa) yang menentukan masa yang sesuai ialah persediaan dan kemampuan kewangan semasa anda! Inilah yang membezakan pemahaman seorang ejen ataupun promoter, dengan posisi pekerjaan seorang penasihat kewangan (wealth adviser).

Selain itu, para pembaca juga perlu fahami dan kenali diri sendiri, dalam kaedah pengurusan risiko, sifat para pelabur boleh dikategorikan kepada tiga jenis, secara umumnya:

  1. Pelabur yang berani mengambil risiko (risk seeker/risk taker).
  2. Pelabur yang bersifat neutral terhadap risiko, melihat keadaan dan masa yang sesuai untuk bertindak dan mengambil risiko/peluang (risk neutral)
  3. Pelabur yang tidak berkecenderungan tehadap risiko, yang selalunya tidak bersedia mengambil risiko melainkan diberikan insentif yang pasti (risk averse)

Secara umumnya, manusia berada dalam golongan ke 3 yakni ‘risk averse’. Justeru sekiranya ada mereka yang sanggup meminjam duit dengan alasan untuk melabur, maka mereka ini boleh dikategorikan dalam golongan 1, yakni ‘risk taker’. Secara peribadi, penulis tidak nampak keperluan meminjam dengan alasan untuk melabur. Hanya jika anda berkesanggupan dan telah menilai impak risiko (yang mana langkah ke 5) sekiranya ada kebarangkalian untuk menempuh kerugian atas pelaburan.

Secara ringkas,penulis menasihatkan supaya ikhlaskan diri apabila lakukan pelaburan. Bahasa mudahnya, buat cara tiada duit jika belum sampai masanya.Contoh:

Anda mempunyai gaji bulanan sebanyak RM3000, selepas tolak perbelanjaan rutin RM2500. Dan anda memilih untuk manabung RM200. Maka jumlah pendapatan (jumlah bersih) anda masih ada berbaki RM300 yang kurang anda perlukan (bukan tiada guna tetapi jumlah yang dianggap kurang diperlukan).MAKA itulah wang yang seharusnya anda gunakan untuk pelaburan,tidak lebih daripada itu! Jika ingin beralasan tidak cukup,maka itu bermaksud anda masih belum bersedia dari sudut kemampuan kewangan semasa anda (simpan untuk bulan depan,mungkin sehingga menjadikannya RM400 pada bulan hadapan,walaupun boleh sahaja melabur dengan RM200 jika pandai mencari ruang). Tetapi jika anda telah yakin dengan impak risiko pelaburan serta mendapat kepastian yang tuntas tentang pulangan yang bakal diperolehi, barulah wujud rasionalnya untuk meminjam (tetapi ia tetap terdedah dengan risiko kerugian walaupun 0.001%).

Selain itu, terdapat dua cara untuk merasionalkan pemikiran dan sudut pandang tentang prospek pelaburan yang ada. Iaitu:

  1. Meyakinkan diri dengan kiraan matematik asas

- Perkara ini boleh dilakukan bagi mereka yang tahu mengira sekurang-kurangnya ‘rate of return’ (ROR) atau ‘rate on investment’ (ROI) bagi melihat logika pulangan balik yang diwar-warkan atau yang dijanjikan oleh syarikat pelaburan.


  1. Bertanya pandangan rakan-rakan terdekat yang berilmu (selain promoter)

-Kadang kala kita memerlukan orang lain untuk merasionalkan diri kita. Mereka yang mampu membantu kita melihat ‘luar kotak’. Mungkin juga seseorang yang dapat melihat dan menjelaskan sisi baik dan sisi buruk, terutama jika mereka yang kita rujuk itu berilmu baik dalam bidang pelaburan (untuk mengetahui teknik mengesan pulangan yang baik) mahupun bidang keagamaan (untuk mengetahui halal dan haram sesuatu aspek hukum muamalat tentang pelaburan).

Langkah 4 :Fahami keseluruhan konsep & produk yang digunakan

Tidak ada jalan mudah dalam mendapatkan keuntungan yang halal dan diredhai, baik keuntungan dunia mahupun akhirat. Kerana semuanya menuntut usaha, tiada jalan mudah atau keuntungan atas angin (judi).

Justeru sebagai individu Muslim, menjadi kewajiban sekurang-kurangnya mempelajari halal haram dalam hukum bermuamalat supaya transaksi yang dilakukan sehari-hari menjamin keredhaan ilahi. Peringatan daripada khalifah Islam kedua yakni Saidina Umar al-Khattab. Beliau berkata bahawa: “Jangan kamu berjual beli di pasar kami, kecuali telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya.” (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi).

Konsep dan kontrak Islam yang diguna pakai

Antara konsep dalam Islam yang diguna pakai oleh mana-mana institusi pelaburan di dunia adalah seperti berikut:

  1. Mudharabah - Suatu perjanjian antara pemodal (rabbul mal) yang memberi 100% modal untuk perniagaan dengan usahawan (mudharib) yang menguruskan perniagaan dengan menggunakan kepakarannya. Di bawah kontrak ini, keuntungan yang diperoleh akan dibahagikan antara mereka mengikut nisbah yang dipersetujui sebelumnya, sementara sebarang kerugian akan ditanggung sepenuhnya oleh pemodal.
  2. Musharakah - Suatu kontrak ke arah perkongsian antara dua pihak atau lebih untuk menyumbang modal dalam pelbagai perkadaran. Keuntungan yang dijana oleh perkongsian dibahagikan mengikut terma kontrak musyarakah, manakala kerugian dikongsi mengikut perkadaran bahagian sumbangan masing-masing kepada modal.
  3. Ujrah - Pembayaran untuk sesuatu perkhidmatan. Ujrah juga berhubung kait dengan gaji, upah, bayaran, fi, caj, pendaftaran, honorarium, ganjaran, anugerah dan lain-lain.
  4. Wakalah - Suatu kontrak pelantikan ejen di mana seseorang individu melantik seseorang yang lain untuk bertindak bagi pihak beliau.
  5. Jua’lah - Satu kontrak sehala yang menjanjikan hadiah atas penyempurnaan sesuatu tugas khas.

Terdapat banyak lagi konsep dan kontrak Islam yang diguna pakai. Namun umumnya, pelaburan Islam tidak lari daripada menggunakan salah satu (atau lebih) daripada konsep di atas. Tidak semestinya suatu pelaburan itu harus menggunakan terma Arab untuk menjadikannya Islamik, tetapi sekurang-kurangnya siasatlah dan bertanya supaya konsep yang digunakan itu tidak bertentangan dengan Shariah.

Kewujudan Penasihat Shariah

Setelah sistem kewangan Islam mula mendapat tempat di dalam negara ini, menjadi sebahagian keperluan untuk mempunyai Penasihat Shariah dalam suatu organisasi bagi memantau dan menyelaraskan hal ehwal Shariah tentang operasi keseluruhan yang dijalankan oleh sesebuah organisasi.

Penasihat Shariah ini terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang Shariah, dalam usaha mereka memantau dan memastikan operasi keseluruhan sistem operasi itu tidak menyanggahi Shariah (iaitu memastikan perniagaan yang dijalankan patuh Shariah). Justeru apabila sesuatu syarikat yang menawarkan pelaburan, tanpa pengawasan dan penyeliaan mereka yang pakar dalam bidang Shariah, kecenderungan sesuatu perniagaan atau pelaburan itu untuk bercanggah dengan Shariah adalah tinggi. Oleh itu, kita dapat lihat, sekiranya sesebuah syarikat pelaburan itu menitik beratkan hal ehwal Shariah (baca: halal dan haram), mereka akan mendapatkan mereka yang pakar Shariah untuk dijadikan sebagai Penasihat dalam memastikan struktur dan keseluruhan operasi itu tidak bercanggah dengan Shariah.

Dalam erti kata lain, sekiranya tiada penasihat Shariah, syarikat pelaburan itu perlu disiasat lebih mendalam! (bagi memastikan pelaburan itu tidak bercanggah dengan Shariah).

Pelaburan melalui jualan produk

Pelaburan dalam Islam tidak mungkin lepas daripada beberapa garis panduan am yang mesti difahami oleh semua Muslim. Antara yang penting iaitu kaedah fekah seperti “al-Ghurum bil ghunum” (tiada pulangan tanpa risiko), “al-Kharaj bid Dhaman” (setiap manfaat mestilah diiringi dengan liabiliti), dan al-Iwad (imbalan).

“al-Ghurum bil ghunum” (tiada pulangan tanpa risiko) - membawa erti setiap pulangan yang dikaut hendaklah tidak lari dari kewujudan risiko. Prinsip ini juga antara lainnya membawa maksud seseorang itu berhak ke atas keuntungan hanya jika seseorang itu bertanggunjawab atas kerugian (liabiliti). Mengaut keuntungan hanya sah sekiranya perkongsian risiko (risk sharing) dan terlibat dalam usaha atau aktiviti ekonomi.

“al-Kharaj bid Dhaman” (setiap manfaat mestilah diiringi dengan liabiliti) - pula suatu prinsip yang menekankan kepentingan pendedahan kepada risiko dalam bertransaksi, seseorang hanya layak menuntut keuntungan jika bersedia menanggung risiko. Prinsip ini dalam erti kata lain menyatakan pulangan (al-kharaj) hanya kepada mereka yang menanggung liabiliti (dhaman) ke atas sesuatu, seperti aset. Tanpa liabiliti seseorang tidak dianggap berhak ke atas pulangan dan keuntungan yang diraih.

Imbalan (al-‘iwad) - Suatu konsep yang dipopularkan oleh Ibn Arabi melalui nukilannya yang bermaksud: “Setiap kenaikan (keuntungan), tanpa imbal balik (al-'iwad) atau yang bersamaan dengan nilai ialah riba" (dinukil daripada kitab Ahkamul Quran,dijelaskan pernyataan ini dengan cukup jelas tentang perbezaan jual beli dan riba).Dalam menerangkan ucapan ringkas itu, sekiranya pinjaman berserta faedah dianggap riba, adapun jualan barang dagangan dengan tambahan keuntungan atas harga kos tidak sama seperti riba dan halal kerana ia suatu bentuk jual beli. Bak kata IbnArabi, hal ini adalah kerana jualan mempunyai elemen al-‘iwad:

Tiga elemen penting dalam imbal balik (al-'iwad) ialah :

  1. Risiko; Jualan berserta risiko dalam erti kata penjual barang dagangan terpaksa menghadapi risiko barangan dagangan itu rosak atau musnah sebelum sempat menjual dan mendapat keuntungan daripada hasil jualan. Adapun pemberi pinjaman yang mengenakan riba mungkin hanya mengalami risiko sekiranya peminjam tidak mampu membayar semula.
  2. Usaha; Penjual memerlukan usaha untuk menjual barangan sejak membeli barang dengan harga kos sehinggalah pembeli membeli barang jualan. Adapun pemberi pinjaman tidak dianggap berusaha hanya dengan memberi pinjaman berserta riba dan goyang kaki menunggu hasil pinjaman beserta faedah (riba) yang dikenakan.
  3. Liabiliti; Penjual barang masih menanggung liabiliti barang yang dijual seperti barangan rosak atau tidak berfungsi, bertanggungjawab untuk mengganti barang jualan menjadikannya satu liabiliti atas penjual. Adapun pemberi pinjaman tidak bertanggung jawab atas apa yang berlaku kepada peminjam duit, baik untung ataupun peminjam rugi hasil penggunaan duit tersebut.

Hanya dengan kewujudan ketiga-tiga elemen ini (menyebabkan kewujudan al-'iwad),barulah sesuatu jualan itu dianggap sah di sisi syarak, manakala tanpa salah satu elemen boleh mengakibatkan terjadinya riba dan jualan menjadi tidak sah.

Struktur pelaburan

Menjadi suatu yang sangat penting bagi para pelabur memahami struktur operasi syarikat pelaburan yang disertai (kecuali bagi para pelabur yang tamak justeru malas ambil tahu). Cara mudah untuk memahaminya adalah sama ada mengkaji dan melihat sendiri dari laman sesawang rasmi, atau bertanya pada ejen, broker ataupun wakil syarikat pelaburan. Maka sekiranya berjumpa dengan wakil,ejen ataupun broker, apa yang para pelabur perlu lakukan ialah:

Bertanya,bertanya dan bertanya!

Hanya dengan bertanya para pelabur dapat merungkai persoalan yang dihadapi dan mampu memperoleh keyakinan tentang sifat perniagaan dan pelaburan yang ingin dibuat, serta untuk mengenali produk dengan lebih dekat. Teknik “Devil’s Advocate” juga boleh digunakan bagi memastikan para pelabur bersifat kritis dalam menilai sesuatu pelaburan itu. Ya, ini adalah sesuatu yang mustahil untuk para pelabur lakukan sekiranya telah putih mata dengan janji-janji manis yang ditaburkan. Makanya buatlah keputusan dengan bijak, iaitu dengan mengambil masa berfikir,dan bertanya (sehingga dapat memahami sekurang-kurangnya tentang kehalalan dan pendekatan perniagaan yang digunakan dengan jelas. Ini adalah hak anda sebagai pelabur Muslim!

Langkah 5 :Memahami impak risiko pelaburan

Memahami impak risiko pelaburan melibatkan kebarangkalian untuk menempuh kerugian atas pelaburan.Memang kita menginginkan keuntungan yang dijangka-jangkakan. Tetapi jika terus melompat ke langkah ke-5 tanpa menilai langkah ke-2 iaitu rasionalisasi diri sendiri, dikhuatiri cara sebegini akan menyebabkan para pelabur tidak mengenal kemampuan dan kapasiti diri dalam melakukan pelaburan. Sekiranya pengiraan impak pelaburan menjanjikan keuntungan lumayan, para pelabur akan sanggup bergolok-bergadai.

Perlu difahami impak risiko pelaburan bukan hanya mengira dan menjangkakan keuntungan, tetapi lebih mengkhusus tentang kepentingan menilai kebarangkalian kerugian yang boleh menimpa akibat daripada kerugian atas pelaburan yang disertai. Impak baik daripada segi mental dan fizikal terhadap mereka yang kerugian RM100 tidaklah sama dengan mereka yang kerugian RM100 ribu, atau mungkin RM100 juta. Apatah lagi apabila ianya melibatkan keluarga atau orang sekeliling. Contoh bagi mereka yang tersilap langkah menyertai skim cepat kaya, impak risiko pelaburan juga merujuk kepada maruah diri dan keluarga (akibat mengajak orang lain terjebak sama dalam suatu pelaburan yang akhirnya didapati suatu penipuan/scam).

Mat Jenin watak yang digambarkan mempunyai angan-angan juga berusaha memanjat pokok kelapa, tetapi ada pula para pelabur menempah rugi akibat tamak dan malas berusaha. Mereka ini Mat apa?

Kesemua langkah di atas hanya suatu perkongsian ringkas buat mereka yang mahu berjinak-jinak dalam dunia pelaburan. Dan juga bertujuan mengelak lahirnya masyarakat yang malas dalam melakukan usaha, tetapi ingin cepat kaya. Semuanya disebabkan sikap tamak dan keselesaan memasang angan-angan kosong.

Semoga dengan penat lelah para pelabur mengkaji dan memahami sesuatu pelaburan yang akan disertai, para pelabur mendapat keuntungan yang diinginkan dan ianya diperolehi berserta dengan keberkatan ilahi hendaknya.

Penulis berharap tulisan ini menjadi suatu perkongsian bermanfaat inshaAllah.

Wallahu’allam.

Ibn Yusof

11 November 2010 / 4 Dzulhijjah 1431

10:28 p.m

www.ibnyusof.blogspot.com


Saturday, October 9, 2010

Penilaian semula ke atas artikel bertajuk “Wang Judi Dalam Akal Budi Melayu Dan Agama”



Setelah selesai membaca tulisan Abu Amru Mohd Radzi Bin Othman yang bertajuk “Wang Judi Dalam Akal Budi Melayu Dan Agama”, saya berasa terpanggil untuk memberi sedikit komentar atas beberapa kemusykilan yang dibangkitkan, berserta tuduhan yang tidak berasas dan ilmiah. Apatah lagi apabila artikel yang dipamerkan di laman web Pemuda UMNO[1] bertarikh 1 Oktober 2010 itu mengguna pakai jawatan penulis selaku Timbalan Setiausaha, Sekretariat Ilmuwan Muda UMNO (iLMU). Ilmu yang menyebabkan jeleknya adab, kemarahan, kekerasan dan biadap ialah ilmu yang tidak mampu menerangi jiwa pembawanya. Ilmu itu memerlukan adab yang menyertainya dan sopan santun yang menjaganya, perilaku baik yang mengangkat darjatnya.

Sebelum memulakan kalam, artikel yang ditulis menggunakan perkataan ‘Melayu’ dan ‘Agama’ itu ternyata menggunakan pendekatan yang tidak langsung menggambarkan perkataan yang digunakan. Justeru, tulisan ini akan cuba merungkai beberapa pernyataan yang dikeluarkan oleh penulis. Perlu difahami isu sebenar yang diutarakan penulis adalah berpaksikan kes; Wang sumbangan hasil judi Pulau Pinang yang diserahkan kepada fakir miskin oleh kerajaan Pulau Pinang’.

Catatan dan ulasan terhadap tulisan tersebut akan dilakukan dengan pemahaman untuk menutup sebelah mata bahawasanya kerajaan Pulau Pinang kini yang merupakan seteru kerajaan Persekutuan, dalam erti kata lain ia bukanlah ulasan dalam bentuk politik kerana ia bukan bidang saya. Tetapi hanya akan berkisar dari sudut pandang hal ehwal muamalat kerana penulis artikel tersebut dilihat menghadapi kekeliruan dalam membezakan kaedah syarak dalam muamalat.

Penulis artikel tersebut menyatakan:

“Dalam akal budi Melayu; wang haram itu tidak layak untuk sebuah penghidupan bermaruah dan tidak sesuai untuk manusia bangsawan. Tambah, sebuah rasuah itu adalah ditegah dan berdosa. Begitu juga bahawa judi itu telah terang haramnya.

Telah menjadi kesepakatan semua yang beriman dengan ajaran Islam tentang pengharaman judi. Justeru tatkala isu ini dibangkitkan oleh pihak media, tiada satupun berita yang mengatakan aktiviti judi itu dibenarkan, walhal ia hanyalah berkisar tentang perbahasan sensitiviti tentang pemberian dan penerimaan wang hasil judi itu yang diagihkan. Maka isu melalui pernyataan yang dikeluarkan oleh penulis (dan juga pihak media massa) hanya dilihat dari sudut bangsa dan bukanlah sudut pandang agama Islam. Personaliti beridentiti Melayu yang diperjuangkan penulis seharusnya juga selari dengan sudut pandang ajaran Islam. Penulis seharusnya memahami bahawa telah banyak dibincangkan dalam kitab para ulamak silam dan kontemporari tentang cara menguruskan wang haram, yang mana salah salah satu daripada cara menguruskannya adalah dengan menyedekahkannya.

Bersedekah ini bertujuan untuk memenuhi salah satu perintah atau salah satu syarat bertaubat, bukannya bertujuan untuk mendapat pahala. Hal ini dibolehkan walaupun ianya datang daripada sumber yang haram kerana dengan bersedekah manfaat itu berbalik kepada tujuan umum dan kebaikan ramai. Ada pandangan ulamak yang berpendapat bahawa sedekah wang haram ini hanya dibolehkan kepada golongan fakir dan miskin sahaja manakala ada juga ulamak fekah yang tidak mengehadkannya[2]. Maka hukum asalnya tetap harus (mubah)!

Jika benar konteks pernyataan di atas merujuk kepada penerimaan wang haram oleh fakir miskin yang diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan penulis menganggap isu si penerima wang haram sebagai mengakibatkan kehidupan si penerima menjadi tidak bermaruah, secara tidak lansung penulis telah menuduh bahawa ajaran Rasullullah Sallahu’alaihi Wa Sallam dan pandangan para ulamak yang menyatakan bahawa antara cara menguruskan wang haram adalah dengan menyedekahkannya sebagai menjatuhkan maruah si penerima, dan menjadikannya tidak releven dengan akal budi bangsa Melayu yang rata-ratanya beragama Islam?!

Penulis kemudiannya menuduh:

“Seorang tokoh agama yang telah termakan “rasuah” pembangkang membela Ketua Menteri Pulau Pinang. Beliau dirasuah bukan dengan emas sebahara tetapi dengan ideaologi Khawarij yang menggunakan kalimat “adil” dan “hukum Allah” sebagai sogokan. Kita mengetahui beliau bukanlah Khawarij tetapi pemikiran neo-Khawarij itu melekat dalam dirinya pada permasalahan imamah dan kenegaraan.

Saya secara peribadi mengetahui tokoh agama yang dimaksudkan, dan penulis dilihat cuba mentohmah seorang tokoh agama apabila tokoh agama itu mengeluarkan pandangan dan pendapat yang berlawanan dengan kecenderungannya. Penulis perlu memahami bahawa golongan Khawarij yang penulis maksudkan itu sendiri mempunyai satu sifat yang mana mereka menganggap golongan yang berlawanan dengan kecenderungannya sebagai sesat, dan menghukum atas mereka sebagai orang-orang yang sudah keluar dari keadilan dan kebenaran. Pernyataan penulis perlu dibaca secara menyeluruh sehingga dia kemudiannya menulis:

“Sedangkan sebelum ini, dalam isu Kartika yang dijatuhkan hukum sebat akibat meminum arak di khalayak, beliau berkata semacam ini: Sedangkan isu yang lebih utama adalah masalah kedai arak dan kelab malam yang bertaburan. Sepatutnya kerajaan berusaha untuk menutup kedai arak dan kelab malam ini agar tiada lagi orang meminum arak. Kita menyediakan masyarakat dengan arak namun ketika masyarakat meminumnya maka kita menghukum mereka. Namum ketika Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan wang haram untuk penghidupan kaum Muslimin, beliau – tokoh agama ini – hanya menghuraikan bab hukum menggunakan wang haram untuk bersedekah. Beliau tidak menggunakan metod yang sama seperti yang telah beliau gunakan terhadap isu Kartika.”

Saya menganggap penulis gagal melihat sesuatu isu secara objektif berdasarkan cubaannya mengaitkan dua isu yang berbeza dan dibakulkan secara kolektif. Hal ini mengakibatkan penulis bersangka buruk terhadap sesuatu pernyataan balas yang dikeluarkan terhadap isu yang dihadapi. Mari kita lihat isu yang dibangkitkan;

Isu 1: Menutup kedai arak dan kelab malam

Isu 2; Mengagihkan wang haram kepada fakir miskin

Kedua-dua isu di atas adalah dua isu yang sedang dibincangkan secara berbeza konteks dan hukumnya. Jika dilihat secara terperinci, tidak berlaku sebarang inconsistency hujah sekiranya menyuruh kerajaan berusaha menutup kedai arak dan kelab malam yang semakin meningkat jumlahnya di negara ini dengan menghuraikan kebolehan menyedekahkan wang haram. Hanya sahaja sudut pandang penulis dalam cubaan mengaitkan dua isu ini dalam satu perbincangan atas alasan tidak menggunakan metod yang sama (hanya berdasarkan pembacaan serta ulasan media dan politikus) adalah kesalahan fatal penulis yang melihatkan cubaannya mencari sisi buruk orang lain (fault finding) terutama tokoh agama yang tidak sefahaman dengan kecenderungan penulis.

Sekiranya penulis membuka sebarang kitab yang membincangkan topik berkaitan cara menguruskan wang haram, apakah penulis juga akan menuduh dan menyalahkan para ulamak silam akibat tidak membincangkan isu pengharaman arak dan judi dalam topik yang sama? Maka perlunya penulis memahami apa itu topik,isu dan respon yang diberi berdasarkan konteks yang dihadapi.

Penulis kemudian mengulang lagi;

“Begitu juga Ketua Menteri harus sedar bahawa akal budi Melayu itu tidak setuju wang dari sumber judi diberikan kepada mereka untuk penghidupaan mereka. Bukan kerana wang itu haram tetapi fitrah mereka. Ibarat mereka tidak akan menjamah dhab walau binatang tersebut halal dimakan.

Pernyataan di atas sama sahaja dengan pandangan para idealis yang beranggapan semua wang mesti dan wajib diasingkan seolah-oleh duit itu adalah najis dan penyakit yang boleh merebak dari tangan pemberi asal kepada tangan penerima.Jika penulis gagal memahami kaedah syarak dalam muamalat ini, maka penulis tiada bezanya dengan mereka yang memulangkan semula wang pemberian itu akibat kekeliruan yang disogokkan media dan politikus kepada mereka.

Selain itu, kita juga dengan mudah tertipu dengan media dan politikus yang menuduh pantas wang yang diagihkan itu 'wang haram' yang barangkali ia hanya bercampur antara wang halal dan haram.Berkenaan bukti bahawa duit yang diagihkan itu KESEMUANYA jelas dan sahih wang haram?Kekal misteri…

Daripada pernyataan di atas penulis menulis ‘bukan kerana wang itu haram tetapi kerana fitrah mereka’ seolah penulis memahami bahawa sebenarnya wang haram itu apabila diagihkan tidak lagi menjadi wang haram, dan ia menjadi halal kepada si penerima. Hal ini sama sahaja seperti mana jabatan agama negeri yang turut menerima wang tidak patuh syariah ataupun wang haram sebagai salah satu cara membersihkan dan menyucikan harta (Boleh rujuk contoh poster Majlis Agama Islam Selangor[3]). Hatta jika fakir miskin yang memulangkan wang itu kemudian membuat permohonan kepada BaitulMal dan Jabatan Agama Negeri, apakah penulis dan politikus merasakan Jabatan agama negeri mempunyai akaun berbeza dalam membezakan wang haram dan wang halal apabila semuanya telah dimasukkan ke dalam satu kategori yakni kumpulan wang BaitulMal[4]?

Adapun artikel ini secara tidak lansung lebih menjurus kepada menyatakan sensitivity bangsa Melayu apabila memperoleh wang yang menurut mereka adalah haram. Sekiranya berbicara tentang sensitiviti, maka saya bersetuju penuh dengan penulis, tetapi alangkah ruginya sekiranya seorang ilmuan muda yang sewajarnya menjernihkan kemusykilan dengan fakta ilmiah berbanding berbicara tentang sensitiviti yang lebih bersifat abstrak.

Penulis kemudian dengan pastinya menulis;

“Menjadi amalan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan UMNO sejak dari dahulu lagi memisahkan wang dari sumber haram ke dalam akaun berasingan….. wang dari sumber haram ini hanya digunakan untuk pembangunan prasarana negara…. Kerajaan Persekutuan memang mengasingkan wang dari sumber haram. Bermakna bahawa wang kakitangan kerajaan datangnya dari sumber yang halal.

Penulis dengan yakin menyatakan Kerajaan Persekutuan mengasingkan antara wang halal dan wang haram, dalam erti kata lain cukai daripada urus niaga halal dan haram yang dibayar oleh individu dan organisasi seluruh negara. Kajian ringkas yang saya sempat lakukan dengan merujuk kepada laporan tahunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak menemui pula sebarang tindakan membezakan wang halal atau wang haram (hasil cukai aktiviti halal dengan aktiviti haram) apabila gaji, elaun dan bonus diiktiraf sebagai perbelanjaan di dalam Penyata Pendapatan dalam tahun berdasarkan perkhidmatan diberikan oleh kakitangan[5].

Justeru adalah tidak mustahil untuk Kerajaan Persekutuan mempunyai hasil pendapatan yang bercampur antara yang halal dan yang haram dalam menjalani kehidupan yang multi-racial dan multi-religion seperti di Malaysia ini. Oleh itu, hatta percampuran di antara wang halal dan haram tidak menjadi masalah kerana apa yang haram adalah cara perolehannya dan bukan fizikalnya menyebabkan kelak yang dipertanggungjawabkan hanyalah ke atas bahu individu yang melakukan perkara haram itu dan tidaklah berjangkit kepada kakitangan awam selagi mana pekerjaan yang mereka lakukan halal.

Alangkah baik sekiranya penulis mampu memberikan bukti kukuh yang mana Kerajaan Persekutuan mengasingkan wang halal dan wang haram dan malah HANYA menggunakan wang haram untuk prasarana pembanggunan, jika tidak ternyata ia hanyalah omong kosong demi menghijab kecenderungan partisannya.

Kesimpulan

Suka sekiranya saya mengingatkan penulis dengan amaran Allah yang menjadi sandaran penulis sendiri:

“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [al-Maidah 5:08]

Berlaku adillah wahai ilmuan muda!

Wallahu’allam.

IbnYusof

9 Oktober 2010/1 Dzulkaedah 1431

3:37p.m

www.ibnyusof.blogspot.com


[2] Rujuk tulisan saya bertajuk Cara Mengurus Pendapatan/Harta Haram Dari Perspektif Fiqh Muamalah di http://ibnyusof.blogspot.com/2010/03/cara-mengurus-pendapatanharta-haram.html

[4] Rujuk Penyata Pendapatan MAIS Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 DISEMBER 2008, hlm. 17.

[5] Laporan Tahunan LHDN 2008 di http://www.hasil.org.my/pdf/pdfam/LT2008_1.pdf hlm.86