Sunday, June 27, 2010

Akaun Deposit Bank Konvensional: Hukum dan Implikasi

Zaman menyimpan duit di bawah bantal atau katil telah lama berlalu, rata-rata semua kita tidak mengira peringkat umur pasti mempunyai akaun di mana-mana bank, baik ianya akaun simpanan mahupun akaun pelaburan. Setiap kita yang membuka akaun di mana-mana bank pasti mempunyai sebab yang tersendiri, dan antaranya adalah sebab faktor-faktor keselamatan. Tetapi daripada perspektif sistem perbankan pula, mereka berlumba-lumba meningkatkan jumlah akaun simpanan dan pelaburan kerana dari situlah datangnya dana yang bakal digunakan oleh perbankan untuk menawarkan perkhidmatan mereka kepada individu dan organisasi yang memerlukan modal.

Duit yang diletakkan di bawah jagaan sistem perbankan dikenali umum sebagai wang deposit. Deposit inilah yang menjadi dana untuk bank terus beroperasi dan berkembang. Kemampuan bank untuk menarik para pendeposit daripada individu dan organisasi perniagaan adalah kayu ukur penting dalam meraih kepercayaan awam.

Sistem operasi bank konvensional meletakkan harga awal ke atas deposit yang diterima yang mana pelanggan mengetahui jumlah dividen yang akan diterima oleh mereka ke dalam akaun mereka.

Suatu ketika dahulu, tatkala perbankan Islam masih belum berkembang, umat Islam tidak mempunyai pilihan lain melainkan untuk berurusan dengan perbankan konvensional terutama dengan membuka akaun simpanan di perbankan konvensional, pada saat ‘darurat’ sedemikian, para ulamak mengeluarkan ijtihad mereka dengan membenarkan tindakan sedemikian demi maslahah (kebaikan) umum dengan syarat hanya wang simpanan sahaja yang boleh diambil manakala dividen yang diberikan oleh perbankan konvensional disedekahkan dan tidak diambil.

Dari satu sisi lain, dunia pernah dikejutkan dengan fatwa atau pandangan beberapa ulamak seperti Ma’ruf al-Dawalibi yang pernah membentangkan kertas kerja di Perancis paada tahun 1951 dengan menyatakan membayar bunga atau faedah atas deposit yang diberikan untuk tujuan pelaburan adalah dibenarkan atas hujah darurah dan maslahah umum. Kemudian pada tahun 1989 industri digemparkan sekali lagi dengan fatwa Sheikh Dr Muhammad Sayyid al-Tantawi yang cuba memberikan hujah Shariah ke atas penggunaan deposit pelangganbagi tujuan perniagaan yang dibenarkan dan memberikan pelanggan pulangan tetap. Dalam artikel beliau dalam al-Ahram beliau menyatakan bahawa pengharaman riba (bunga atau faedah) tidak melibatkan deposit dengan bank, justeru ianya bukan riba yang diharamkan. Beliau sekali lagi menjelaskan fatwa yang sama pada tahun 2002 dengan menghalalkan faedah yang diberikan oleh bank dengan menganggap ianya adalah mudharabah (perkongsian secara senyap) dan penentuan keuntungan di awal kontrak adalah sekadar ijtihad memandangkan tiada dalil jelas yang mewajibkan menetapkan nisbah keuntungan di awal kontrak. Selain beliau, Abdul Wahhab Khallaf dan Muhammad Abduh juga berpandangan sedemikian (Bouheraoua, 2010 p.4).

Walau bagaimanapun, ini merupakan pandangan minoriti, pandangan sedemikian dikecam oleh majority ulamak dan majlis fatwa kerana dianggap bertentangan dengan dalil jelas Quran, Sunnah serta ijmak para ulamak tentang hal ini. Faedah yang diberikan oleh bank konvensional sememangnya menjadi topik hangat selepas fatwa yang dikeluarkan oleh Shaikh al-Tantawi itu, tetapi topik itu tidak bertahan lama memandangkan pemahaman Muslim tentang dividen yang diberikan oleh bank konvensional difahami hukumnya secara jelas. Berikut dikupaskan dari sudut operasi bagaimana hukum dividen yang diberikan oleh bank konvensional dianggap sebagai riba.


Isu dividen yang diberikan oleh perbankan konvensional dari perspektif Islam

Apa jua nama baik ianya digelarkan sebagai dividen, faedah, bunga mahupun caj perkhidmatan, para pelanggan perlu mengetahui konsep yang diguna pakai bagi melihat apakah ianya halal atau sebaliknya. Dalam konteks akaun simpanan biasa oleh perbankan konvensional, akaun simpanan ini berkait rapat dengan beberapa isu riba yang mana dividen yang diperoleh itu tidak boleh digunakan atau dimanfaatkan oleh para pelanggan kerana ianya adalah daripada hasil riba. Riba yang melibatkan diri para pendeposit di dalam akaun simpanan bank konvensional berlaku dalam kes berikut:


1. Ah Meng menyimpankan RM10,000 di dalam akaun simpanan. Pendeposit dianggap sebagai pemberi pinjaman dalam situasi ini, manakala bank sebagai peminjam, yang diperolehi daripada wang simpanan itu.


2. Mendapat dividen daripada simpanan tersebut daripada pihak bank seperti yang termaktub dalam kontrak akaun simpanan. Berdasarkan kiraan dividen di dalam contoh sebelum ini, RM38.22 pada kadar faedah 4.5% dan deposit disimpan (dipinjamkan) selama sebulan.


Pelanggan dianggap seolah-olah telah menawarkan pulangan tetap atas pinjaman (simpanan) yang diberikan oleh pelanggan kepada pihak bank. Bank dikehendaki membuat pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar yang telah di tetapkan (dividen) walau dalam keadaan apa jua sekalipun.Lebihan atas pinjaman pihak bank ke atas wang deposit itu dianggap riba.


Wang deposit dalam akaun simpanan yang ‘dipinjam’ oleh pihak bank itu akan digunakan pula oleh pihak bank konvensional untuk tujuan pinjaman dan juga pelaburan. Sistem perbankan konvensional melakukan pinjaman kepada para pelanggannya berasaskan sistem riba yang mana pinjaman yang diberikan akan dikenakan kadar faedah ke atas jumlah pinjaman itu, manakala dalam pelaburan pula, pihak bank konvensional akan melaburkan wang deposit dalam akaun simpanan para pelanggannya kepada pelaburan-pelaburan yang tidak patuh Shari’ah (yang mungkin terlibat dalam kegiatan haram seperti judi, alkohol, dan sebagainya). Maka para pelanggan dikira terlibat sama dalam kegiatan sedemikian kerana daripada wang simpanan para pelangganlah pihak bank konvensional mendapatkan dana untuk mengenakan faedah atas pinjaman dan juga melabur di dalam aktiviti yang tidak patuh Shari’ah.


Kesimpulan


Kesimpulannya, para pelanggan yang mempunyai akaun simpanan di dalam perbankan konvensional akan terlibat dalam dosa-dosa seperti berikut:


1. Beri pinjaman kepada pihak bank untuk buat pinjaman dengan mengenakan riba ke atas bank melalui sistem dividen, ianya adalah jaminan keuntungan berbentuk tetap.


2. Memberi peluang kepada bank menggunakan deposit untuk tujuan pinjaman yang dikenakan riba (kadar faedah)


3. Memberi peluang kepada pihak bank untuk membuat pelaburan kepada industri atau sektor yang melibatkan aktiviti yang haram dan tidak patuh Shari'ah.


Muslim dan akaun perbankan konvensional


Justeru, menjadi saranan untuk seorang muslim yang mempunyai akaun di perbankan konvensional untuk menutup akaun mereka bagi menngelakkan dari terlibat dalam dosa riba. Wang simpanan di dalam akaun konvensional itu hendaklah dikeluarkan dan hanya boleh diambil wang asal pemilik akaun, manakala sebarang tambahan hasil dividen itu tidak boleh dimanfaatkan oleh pemilik akaun. Apa yang boleh dilakukan dengan wang pemberian dividen oleh bank konvensional ialah disedekahkan. Pemilik akaun konvensional yang muslim dicadangkan membuka akaun simpanan atau akaun pelaburan di perbankan Islam untuk mengelak dari terlibat dalam dosa riba.


Beralihkan ke akaun simpanan dan pelaburan perbankan Islam sebelum terlambat. Dijelaskan dengan lebih terperinci di web-web perbankan Islam konsep yang digunakan melalui akaun simpanan Wadiah (jagaan) dan akaun pelaburan Mudharabah (profit sharing).

Kepada mereka yang mengambil berat ,semoga perkongsian ini dapat dimanfaat oleh para pembaca.

Wallahu’allam.
Ibn Yusof
27 June 2010 / 15 Rejab 1431
4.50pm
www.ibnyusof.blogspot.com

Rujukan

Bouheraoua, Said. (2010) The Shariah Ruling on Dealing with Conventional Banks. ISRA Bulletin 4, p.4


No comments: