Tuesday, February 3, 2009

Boikot Biar Bijak

Jadual yang agak padat semester ini ditambah pula dengan tugasan yang bertimbun menyebabkan saya kekurangan masa untuk menulis. Walaubagaimanapun, tugasan subjek yang diambil semester ini lebih banyak membuatkan saya menghabiskan masa lapang membaca kertas kerja dan menghadiri beberapa talk dan conference bagi menambah ilmu. Sangat banyak perkara yang ingin dikongsi bersama para pembaca tentang pengalaman dan ilmu yang saya perolehi kebelakangan ini, antaranya talk Datuk Supperamaniam selaku bekas ambassador Malaysia dalam World Trade Organization (WTO). Di bawah saya sertakan beberapa coretan yang masih terpalit dalam ingatan yang wajar dikongsikan bersama.

Kepentingan mempunyai suatu badan yang mampu mengawal perdangangan antarabangsa selepas majoriti negara terkesan akibat Perang Dunia ke-2 membawa kepada penubuhan General Agreement on Tariffs and Trade (GATT) pada tahun 1947. Selepas mengulas panjang lebar berkenaan sejarah penubuhan GATT, beliau seterusnya membincangkan tentang penubuhan WTO selepas GATT ditamatkan hayatnya pada tahun 1994. Pendedahan kepincangan yang berlaku di dalam WTO sendiri dijelaskan beliau bahawa WTO sebenarnya adalah badan yang lebih menekankan kepada keistimewaan negara maju seperti US dan Eropah. Hal ini adalah kerana statistik jelas menunjukkan negara maju lebih banyak memperoleh keistimewaan berbanding negara membangun.

Pertanian yang merupakan harapan kebanyakan negara membangun tidak dikemas kini walaupun wujud Council of Agriculture di dalam WTO. Kepentingan berkenaan wujudnya Dispute Settlement Mechanism dalam WTO juga dianggap sebagai seusatu yang perlu untuk melindungi hak dan nasib negara-negara membangun daripada dimanipulasi oleh negara-negara maju. Tetapi beliau menyangkal logika salah satu klause di dalam Dispute Settlement Mechanism yang menyatakan negara membangun boleh melakukan sanction (hukuman terhadap pelanggar ) terhadap negara maju.
Secara umumnya cabaran yang dihadapi negara membangun dan negara yang kurang berkembang ialah tiadanya integrasi dalam perdagangan antara mereka dengan negara maju. Rules of International Trade yang ditetapkan sebenarnya lebih memihak kepada negara maju berbanding negara ahli keseluruhanya. Persoalan yang cuba disuntik oleh mereka (negara maju) bukan berkisar tentang hal ehwal perdagangan semata akan tetapi turut mengambil kira isu-isu persekitaran, social, para pekerja, hak asasi manusia dan sebagainya untuk dibawa masuk dan dijadikan standard.

Secara logiknya WTO yang dikuasai negara maju ini kelihatan prihatin dengan cuba membawa isu-isu selain hal ehwal perdagangan ke dalam standard agar dipatuhi semua ahli. Akan tetapi jika difikirkan secara kritis mereka mempunyai tujuan-tujuan tertentu agar perkara-perkara itu diambil kira dan dijadikan standard agar semua ahli patuh pada apa yang telah ditetapkan. Antara sebabnya ialah untuk tujuan komersial, menghalang persaingan dari negara membangun dan pembangunan negara lain.

Sebagai contoh, isu pekerja buruh jika dimasukkan ke dalam Rules of International Trade sebagai salah satu standard yang mesti dipatuhi dengan beberapa ketetapan seperti umur, gaji dan sebagainya. Negara membangun yang mampu memperoleh pekerja buruh dengan mudah terpaksa pula mematuhi standard yang ditetapkan dan hasilnya kos produksi akan meningkat dan barangan daripada negara membangun akan menghadapi kesan kenaikan harga sekaligus memberi keuntungan kepada barangan yang dikeluarkan oleh negara maju apabila jurang persaingan dapat dikurangkan. Inilah beberapa sikap cilik mereka (negara maju) dalam memanipulasi perjanjian dan standard bagi merugikan negara membangun patah lagi negara yang kurang berkembang.Bicara soal isu boikot pula, Datuk Supperamaniam mengambil pandangan bahawa memboikot adalah suatu isu yang lebih melibatkan emosi, ianya tidak ditangangi dengan hikmah oleh rakyat Malaysia apabila hakikatnya kita mempunyai hubungan simbiosis dengan US (tidak disentuh isu memboikot produk Yahudi). Beliau melihat dari sudut ekonomi yang mana Malaysia fakta perdangan Malaysia-US menunjukkan, “Malaysia is the United States’ largest trading partner in South East Asia and the10th largest trading partner in the world. The U.S. had more than $44 billion in two-way trade with Malaysia in 2005, 60 percent more than our trade with India and about a quarter of our trade with Japan. Malaysia is an upper middle income economy of 27 million people, with a GDP of almost $250 billion in 2005. Malaysia’s economy has grown an average of 5 percent a year for the past ten years” (sumber: www.ustr.gov).

Fakta sedemikian digunakan juga oleh Bernama apabila menyatakan, “In 2006, Malaysia was the 10th largest trading partner of the U.S. with a trade balance of RM158.1 billion which represents 16 percent of Malaysia’s trade activity, with exports to the U.S. of RM102.3 billion or 18.8 percent of Malaysia’s total trade. According to government statistics, the U.S. was the fourth largest foreign investor in 2006, with RM8.5 billion in FDI (Foreign Direct Investment) approvals, and is the largest foreign investor on a cumulative basis, with over RM105.4 billion of capital invested in the Malaysian economy. The biggest contributor to the growth in trade between Malaysian and the U.S would be the semiconductor industry. In 2006, the Malaysian American Electronics Industry (MAEI) employed more than 54,000 workers here” (sumber:Bernama).

Barangkali mereka yang mengambil pandangan isu memboikot inilah adalah isu kewajiban bagi menentang keganasan, dan ada pula yang memboikot kerana terpaksa, lebih teruk jika ada yang memboikot membuta tuli. Walau bagaimanapun, saya (selaku seorang muslim dan pelajar ekonomi) bersetuju secara dasarnya dengan pandangan beliau, saya tetap merasakan kita perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa dalam memboikot produk US dan Israel. Sebelum para pembaca menuduh saya pro-Amerika atau pro-Yahudi, ada baiknya jika teruskan membaca sehingga akhir penulisan ini.

Hal ini adalah kerana pemboikotan ini melibatkan perdagangan antarabangsa, bukan sahaja melibatkan produk domestik, akan tetapi produk antarabangsa secara menyeluruh. Saya bersetuju dengan pandangan yang dilaungkan oleh para ustaz yang menyatakan boikot ini adalah isu aqidah, al-wala’ wal-bara dan sebagainya. Maka dengan rendah dirinya saya menyatakan aqidah yang sahih mengajar kita menjadi bijak dan berhikmah.

Pemboikotan ini perlu dilaksana secara bijak dan adil untuk mengelak daripada kita tergolong dalam golongan yang memboikot membuta tuli, atau kerana mengikut arus persekitaran. Jika tidak hasilnya jadilah pemboikotan yang bermusim, apabila ianya tidak didasari dengan kefahaman dan ketaatan. Lihat sahaja usaha boikot kini yang lebih berbentuk mikro, tetapi yang kaya raya menabur duit atas dasar persahabatan bersama musuh utama.

Aqidah itu perkara besar yang perlu diambil kira, akan tetapi jangan lupa Maqasid Syariah yang wujud maslahah umum dan individu di dalamnya, jangan lupa juga beza keperluan (daruriyat), kehendak (hajiyyat). dan kemewahan (tahsiniyat) yang menjadi kayu ukurnya.

Atas dasar itu saya amat bersetuju dengan jawapan Bro. Mustafa Omar apabila disoal tentang boikot umat Islam pada barangan US dan Israel. Jawapannya yang umum sekurang-kurangnya menggerakkan daya fikir agar tidak memboikot membuta tuli apabila jawapan beliau menggabungkan kefahaman aqidah dan maqasid al-shariah. Setiap barangan yang dicadangkan bagi tujuan pemboikotan perlu dinilai kategori kepentingannya, baik ianya bersifat keperluan (necessities), sebagai pelengkap (complement), atau hanya penghiasan (embellishment) semata.

Barangan keperluan (necessities) dan pelengkap (complement) ini jika diboikot barangkali akan lebih mendatangkan mafsadah (keburukan) berbanding maslahah (kebaikan). Sebagai contoh, ubat-ubatan yang diimport daripada US barangkali menjadi keperluan bagi sesetengah pesakit yang mana jika turut diboikot akan mendatangkan mudarat kepada dirinya. Hal yang sama berlaku jika memboikot barangan pelengkap, Malaysia terkenal sebagai pusat pemasangan komputer dari Negara luar yang mana jika diboikot akan menyebabkan impak ekonomi kerana kebergantungan Malaysia selaku pengimport terbesar dunia dalam barangan elektronikal.

Adapun barangan penghiasan (embellishment) seperti Starbucks, McDonald’s, Coca-Cola dan sepertinya adalah wajar. Tidak pernah lagi kes mati kempunan menikmati hidangan McDonald’s berlaku di Malaysia. Maka saya sangat bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mencadangkan kempen selective boycott. Ianya lebih berstategi daripada cadangan ‘berani mati’ sesetengah pihak agar memboikot membuti tuli baik berhujahkan aqidah apatah lagi jika sekadar pengaruh persekitaran.

Cuma sahaja isu yang saya rasakan perlu ditekankan dalam usaha pemboikotan ini oleh badan-badan seperti PPIM dan sebagainya, kesedaran yang ingin dipupuk dalam masyarakat akan lebih utuh jika mereka dibuktikan dengan kesahihan berita saluran wang kepada musuh Islam. Masih ada suara masyarakat boikot kerana mereka mendapat tahu ianya perlu diboikot, apabila ditanya kenapa perlu diboikot, jawapan standard ialah kerana syarikat-syarikat ini menyalurkan keuntungan mereka kepada tentera Israel,musuh Islam. Tetapi jika soalan itu berlanjutan sehingga bertanyakan bukti pernyataan, maka ada yang mengangkat kedua bahu mereka tanda tidak mempunyai kepastian dalam hal ini. Saya merasakan memupuk sikap tabayyun (meneliti) juga perlu ditekankan agar kita tidak memboikot kerana tahu, tetapi kita memboikot kerana kita faham, dan barulah hasilnya ‘mengancam’. Oleh itu, "Boikot Biar Bijak".


Wallahu’allam.

Ibn Yusof
3 Februari 2009 / 8 Safar 1430
6.30 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

1 comment:

Helmis said...

Assalamualaikum,

www.zeitgeistmovie.com probably can give you another view of the world today.

Sekadar berkongsi...Wassalam