Tuesday, August 10, 2010

(Siri ‘Back to Basic’ Versi Ramadhan) Doa Berbuka Puasa


Saat berbuka puasa adalah saat yang paling bahagia buat mereka yang berpuasa sepanjang hari. Manusia yang berpuasa menahan diri daripada makan,minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa demi Allah dan dengan itu dijanjikan ganjaran dan kebahagiaan yang tidak ternilai! Ini dibuktikan melalui sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


“Setiap amal manusia adalah untuk dirinya, satu perbuatan baik akan dibalas dengan sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwatnya, makanannya, minumannya untuk Aku. Orang yang berpuasa memiliki dua kebahagian, iaitu kebahagian saat berbuka puasa dan kebahagiaan saat berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada harumnya minyak wangi kasturi.”[1]


Tatkala saat ingin berbuka puasa, kita akan menghadap makanan (baca:rezeki) yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan saat itu juga merupakan antara sekian banyaknya saat untuk termakbulnya doa yang dipohon. Ini berdasarkan hadis dari Anas bin Malik Radhiyallahu 'anhu bahawa dia berkata bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:


"Tiga doa yang tidak ditolak ; doa orang tua terhadap anaknya ; doa orang yang sedang berpuasa dan doa seorang musafir"[2]


Hadis di atas berbentuk umum tentang penerimaan atau dimakbulkan doa orang yang sedang berpuasa, walau bagaimanapun dikhususkan pula waktu mustajab itu yakni tatkala saat berbuka puasa melalui hadis dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash Radhiyallahu 'anhu bahwa dia mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.


"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa pada saat berbuka ada doa yang tidak ditolak"[3]


Justeru tatkala waktu berbuka puasa, adalah suatu peluang yang terbuka luas untuk kita memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala apa jua permohonan kerana waktu tersebut ialah waktu yang mustajab. Dimaklumi berdasarkan pandangan jumhur ulamak bahawa doa ketika sebelum berbuka puasa merupakan doa di luar solat dan tidak menjadi kewajiban untuk disebut di dalam bahasa Arab, Cuma sahaja adalah afdhal (digalakkan) untuk membaca doa di dalam bahasa Arab kerana ia masih dalam ruang lingkup ibadat. Telah berkata Shaikhul Islam Ibn Taimiyyah bahawa:


Doa dibolehkan dalam bahasa Arab dan tidak dalam bahasa Arab. Allah mengetahui apa yang tersirat di dalam doa permintaan (hambanya-pen). Terserah bahasa apa yang diucapkan (hambanya-pen), kerana sesungguhnya Dia mendengar semua suara dari pelbagai bahasa, memohon berbagai jenis hajat...”[4]


Adapun praktik kebanyakan masyarakat umum di Malaysia khususnya sebelum berbuka puasa hanya akan membaca doa berbuka puasa. Menjadi tujuan artikel ini ditulis untuk berkongsi tentang penelitian terhadap doa berbuka puasa yang mahsyur diamalkan oleh masyarakat umum di Malaysia khususnya.


al-Fadhil al-Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat dari Indonesia[5] telah menulis[6] beberapa penelitian terhadap hadis doa berbuka puasa yang penulis rasa penting untuk kita ambil manfaat daripadanya (Semoga Allah Subhanallahu Ta’ala merahmatinya dan memberikannya ganjaran melalui usahanya ini). Berikut diringkaskan penelitian hadis-hadis berkenaan doa berbuka puasa dengan susunan dan sedikit tambahan daripada penulis menggunakan beberapa sumber lain juga:


Doa berbuka puasa yang mahsyur:


Doa daripada Hadis 1-

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْ ت بسم الله

Bismillah, Allahumma Laka Shumtu Wa Alla Rizqika Aftartu

(Dengan nama Allah, Ya Allah, Ya Tuhan kami, kerana-Mu kami berpuasa, dan atas rezeki-Mu kami berbuka)[7].


Atau doa yang lebih kurang bunyinya;

Doa daripada Hadis 2-

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْ ت

Allahumma Laka Shumtu Wa Alla Rizqika Aftartu

(Ya Allah, Ya Tuhan kami, kerana-Mu kami berpuasa, dan atas rezeki-Mu kami berbuka)[8]


Ada juga doa versi lain yang berbunyi;

Doa daripada Hadis 3-

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا فَتَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Allahumma Laka Shumna wa ala Rizqika Aftharna, Fataqabbal Minna Innaka Antas Samiul 'Alim

(Ya Allah ! untuk-Mu aku berpuasa dan atas rizkqi dari-Mu kami berbuka. Ya Allah ! Terimalah amal-amal kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar, Maha Mengetahui).

[Hadis riwayat Imam Daruqutni di kitab Sunannya, Ibnu Sunni di kitabnya 'Amal Yaum wa-Lailah No. 473. Thabrani di kitabnya Mu'jamul Kabir]


Penjelasan dan penelitian ke atas doa & hadis di atas


Status Hadis 1-

Status hadis: Sanad hadis ini dianggap lemah (dho’if)

Sebab: Ada perawi hadis yang bernama Ismail bin Amr Al-Bajaly dan Dawud bin Az-Zibriqaan.

Komentar para ulamak hadis terhadap Ismail bin Amr Al-Bajaly:

Dia seorang perawi yang lemah

1. Imam Dzahabi mengatakan di kitabnya Ad-Dhu'afa : Bukan hanya seorang sahaja yang telah melemahkannya (maksudnya ramai para ulamak hadis melemahkannya-pen).

2. Kata Imam Ibnu 'Adi : Dia menceritakan hadis-hadis yang tidak boleh diikut.

3. Kata Imam Abu Hatim dan Daruquthni : Dia seorang perawi yang lemah,

Komentar para ulamak hadis Dawud bin Az-Zibriqaan:

1. Kata Imam Abu Dawud, Abu Zur'ah dan Ibn Hajar : Dia ini Matruk (orang yang ditinggalkan riwayatnya).

2. Kata Imam Ibn 'Adi : Umumnya apa yang ia riwayatkan tidak boleh diikuti[9]


Status Hadis 2-

Status hadis: Hadis ini diangap sebagai hadis mursal.Hadis mursal mengikut para ulamak hadis adalah hadis yang lemah dan tidak boleh dijadikan hujah.

Sebab:

1. Hadis ini diriwayatkan oleh seorang perawi bernama Mu'az bin Zuhrah. Beliau bukanlah di peringkat sahabah sebaliknya beliau adalah tabi'in (generasi selepas sahabah). Tetapi beliau telah meriwayatkan hadis ini secara langsung dari Nabi. Bermaksud diriwayatkan dari Nabi sedangkan dia tidak pernah bertemu dengan Nabi (tanpa perantaraan sahabah-pen).

2. Perawi Mu'az bin Zuhrah adalah seorang lelaki yang tidak diketahui namanya, tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali Hushain bin Abdurrahman. Sedang Ibn Abi Hatim di kitabnya Jarh wat Ta'dil tidak menerangkan tentang celaan dan pujian baginya (tiada dalam perekodan para Imam hadis, tidak dikenali perawi ini-pen).


Status Hadis 3-

Status hadis: Sanad hadis tersebut dianggap lemah (dho’if)

Sebab: Ada seorang perawi hadis yang bernama Abdul Malik bin Harun bin 'Antarah dan bapanya Harun bin 'Antarah.

Komentar para ulamak terhadap Abdul Malik bin Harun bin 'Antarah :

Dia ini rawi yang sangat lemah.

1. Kata Imam Ahmad bin Hambal : Abdul Malik Dho'if

2. Kata Imam Yahya : Kazzab (pendusta)

3. Kata Imam Ibnu Hibban : Dia seorang pemalsu hadis

4. Kata Imam Dzahabi : Dia dituduh seorang pemalsu hadis

5. Kata Imam Abu Hatim : Dia seorang yang Matruk (orang yang ditinggalkan riwayatnya)

6. Kata Imam Sa'di : Dia seorang Dajjal (bermaksud pendusta).

Komentar para ulamak terhadap Harun bin 'Antarah:

Dia ini rawi yang diperselisihkan(statusnya sebagai perawi-pen) oleh para ulama ahli hadis

1. Kata Imam Daruquthni: Dia seorang yang Dho'if

2. Kata Imam Ibn Hibban: Munkarul hadits (orang yang diingkari haditsnya), sama sekali tidak boleh berhujjah dengannya.

Justeru hadis ini telah dilemahkan oleh Imam Ibnu Qayyim, Ibn Hajar, Imam Al-Haithami dan lain-lain[10].


Doa berbuka puasa yang diajarkan oleh Nabi


Jika dirujuk pada buku Hisnul Muslim ; Himpunan doa zikir dari al-Quran dan as-Sunnah yang telah disusun oleh Shaikh Sa’id Ali bin Wahf al-Qathani. Terdapat beberapa doa[11] ketika berbuka bagi orang yang berpuasa daripada hadis-hadis hasan yang tsabit dillakukan oleh Nabi Sallallahu 'alaihi Wa Sallam.


Perkara ini juga disebutkan oleh Shaikh Salim bin 'Ied Al-Hilaaly dan Shaikh Ali Hasan Ali Abdul Hamid dalam kitab tulisan mereka iaitu Kitab Sifat Shaum Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam Fii Ramadhan bahawa doa berikut sebagai doa yang paling afdhal adalah doa ma'tsur daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, bahawa beliau jika berbuka mengucapkan doa berikut:


Doa 1-

Daripada Ibn Umar, Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wa Sallam, apabila berbuka (puasa) beliau mengucapkan :

ذَھَبَ الظَّمَأُ

وَابْتَلَّتِ الْعُرُوْقُ وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ

Dzahabazh Zhaama-U Wabtallatil 'Uruqu Wa Tsabatal Ajru Insya Allah

(Telah hilanglah dahaga, telah basah urat saraf, dan telah tetaplah ganjaran, inshaAllah).

[Hisnul Muslim, hlm. 218][12]

Antara doa berbuka puasa lain ialah:

Doa 2-

اَللَّھُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِيْ وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ لِيْ تَغْفِرَ

Allahumma Inna As-aluka birahmatikallati Wa si’at Kulla Syai’in An-Taghfiroli

“Ya Allah!, Sesungguhnya aku me-mohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu, supaya memberi ampunan atasku.”

[Hisnul Muslim, hlm. 218][13]


Adalah lebih afdal kita mengambil doa alternatif di atas yang lebih baik isnadnya (sanad-sanad hadis) yang dapat kita manfaatkan dalam amalan sunat membaca doa ketika berbuka puasa.


Doa berbuka puasa daripada hadis lemah?


Barangkali selepas penjelasan semua doa-doa berbuka puasa yang mahsyur dianggap lemah dan diperkenalkan pula dengan doa-doa alternatif di atas daripada hadis-hadis bertaraf hasan (yang lebih baik), mungkin ada para pembaca yang menganggap ia sekadar doa sahaja,perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan dan masih tetap ingin mengamalkannya atas sebab dan alasan berikut:


1. Itu sahaja doa yang dihafal! (Malas meluangkan waktu menghafal doa lain,cukup sekadar apa yang pernah disuruh hafal ketika usia kecil)

2. Walaupun doa itu daripada hadis lemah, tetapi tidak salah untuk diamalkan kerana maksudnya baik!


Ya, tiada salahnya dengan sebab-sebab di atas, dan juga sekiranya sebab-sebab ini ingin dipanjangkan lagi senarainya. Tetapi dengan syarat selagi mana doa-doa daripada hadis-hadis yang lemah ini tidak disandarkan kepada Nabi kerana perbuatan itu adalah bersalahan dengan syarat-syarat untuk beramal dengan hadis lemah yang telah ditetapkan oleh para ulamak hadis. Sebaliknya, jika dianggap sebagai doa yang umum, maka tidak mengapa (tidak menjadi kesalahan) untuk beramal dengannya, justeru tiadalah diharap timbul isu tuduh menuduh bahawa mereka yang mengamalkan doa daripada hadis 1,2 dan 3 di atas sebagai bersalah.


Tetapi..


Dalam pada kita dibenarkan berdoa dengan apa jua doa-doa yang membawa erti kebaikan di dalamnya, alangkah baiknya jika kita dapat mencontohi doa yang diajar dan diamalkan sendiri oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wa Sallam sendiri, kerana baginda Nabi Sallallahu 'alaihi Wa Sallam tidak mungkin melafazkan sesuatu melainkan pasti padanya wujud kebaikan dan manfaat yang besar.


“Dia tidaklah berbicara dari hawa nafsu melainkan dengan wahyu yang diwahyukan padanya” [Surah An-Najm : 3-4]


Malah, bukankah baginda Nabi Sallallahu 'alaihi Wa Sallam adalah Uswah Hasanah (suri tauladan yang baik) dan Qudwah Solihah (suri tauladan yang soleh),hal ini dibuktikan melalui firman Allah Ta’ala:


“Telah ada suri tauladan yang baik bagi kalian pada diri Rasulullah bagi orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari akhir dan dia banyak menyebut Allah.” [Surah Al-Ahzab : 21]


Maka tidaklah pelik apabila telah berkata Shaikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam menjelaskan bahawa:

"Manusia hendaklah berdoa dengan doa-doa yang dibenarkan dalam syariat iaitu yang datang daripada Al-Quran dan Sunnah.Kerana sesungguhnya didalamnya tidak ada keraguan mengenai fadilat dan kebaikannya, dan sesungguhnya ia adalah jalan yang lurus. Ulama Islam dan para Imam agama telah menyatakan doa-doa ini yang ada didalam syariat, dan berpaling dari doa-doa yang direka-reka, maka hendaklah kita mengikuti mereka didalam perkara itu."[14]


Kesimpulannya, bukanlah dan jauh sekali menjadi tujuan artikel ini untuk menyalahkan amal orang lain selagi mana ia dalam ruang lingkup mubah, tetapi sekadar pendedahan ringkas dan juga sekadar berhasrat untuk mengajak para pembaca mengamalkan sesuatu doa yang ma'tsur daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam.


Semoga perkongsian ringkas dan padat ini bermanfaat, buat mereka yang mengambil berat.


Ibn Yusof

11 Ogos 2010 / 1 Ramadhan 1431

2:50p.m

www.ibnyusof.blogspot.com


[1] Hadis Muttafaqun ‘alaih

[2] Hadis riwayat Imam Baihaqi dalam Sunan Baihaqi, kitab Solat Istisqa dalam bab Istihbab Siyam Lil Istisqa', jld. 3 hlm.345.

[3] Hadis riwayat Imam Ibn Majah dalam Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da'watuhu jld.1 hlm.321 hadis no. 1775. Imam Hakim juga meriwayatkan dalam kitab al-Mustadrak jld.1 hlm.422.

[4] Ibn Taimiyyah dalam Majmu' al-Fataawa, jld.22 hlm.488-489

[5] Penulis sempat mengambil manfaat berkenaan ilmu Muamalat daripada al-Fadhil Ustaz ketika rehlah penulis ke Yogyakarta.

[6] Dalam Kitab Al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama)- Jilid 1, Cetakan ke III Th 1423/2002M,Terbitan Darul Qolam;Jakarta.

[7] Hadis riwayat Imam Thabrani di kitabnya Mu'jam as-Shogir hlm 189 dan dalam Mu'jam Auwshath

[8] Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, hadis no.2358

[9] Lihat Mizanul I'tidal jld.2 hlm.7, menurut al-Fadhil Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat lagi.Dia inilah juga yang meriwayatkan hadis lemah bahawa imam tidak boleh azan , rujuk Mizanul I'tidal jld.1 hlm.239.

[10] Mizanul I'tidal 2/666 , Majmau Zawaid 3/156 oleh Imam Haitsami , Zaadul Ma'ad di kitab Shiam/Puasa oleh Imam Ibnul Qoyyim

[11] Sepanjang pembelajaran,pembacaan dan kajian ringkas penulis yang cetek dalam ilmu hadis ini, terdapat perbezaan pandangan (khilaf) yang agak besar pada status hadis kedua-dua hadis di dalam Hisnul Muslim ini. Namun di sebalik status hasan atau dhoif kedua-dua hadis ini, terdapat ulamak hadis yang menganggapnya bertaraf hasan manakala doa-doa lain (yang dibincangkan lebih awal- doa daripada hadis 1,2 dan 3) lebih ramai ulamak hadis persetujui dan sedia maklum tentang kelemahan hadis tersebut berbanding dua hadis yang termuat dalam Hisnul Muslim ini.Wallahu'allam.

[12] Doa ini diambil daripada sebuah hadis yang diriwayat oleh Hadis ini ialah hadis hasan yang diriwayatkan Imam Abu Daud dalam Sunan Abu Daud hadis no. 2357, Imam Nasa'i dalam 'Amalul Yaum hlm. 296, Imam al-Hakim jld.1 hlm.422, Imam Baihaqi jld.4 hlm. no.239, Imam Ibn Hajar dalam al-Talhis al-Habiir jld.2 hlm.202, dan imam-imam hadis yang lain., Imam Daruquthni berkata : "Sanadnya hasan". Shaikh Salim bin 'Ied Al-Hilaaly dan Shaikh Ali Hasan Ali Abdul Hamid katakan : "Memang seperti ucapannya".[ Berdasarkan nota kaki Kitab Sifat Shaum Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam Fii Ramadhan]. Termuat juga dalam Sahih al-Jami’ jld.4 hlm.209 [ Berdasarkan nota kaki Hisnul Muslim]. Menurut al-Fadhil al-Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat dalam tulisannya beliau menyatakan Shaikh al-Albani bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Imam ad-Daruquthni (bahawa hadis ini bertaraf Hasan). Beliau menambah lagi, semua perawi dalam sanad hadis ini semuanya dipercayai (tsiqah), kecuali Husain bin Waaqid seorang rawi yang tsiqah tapi padanya ada sedikit kelemahan (Rujukan lanjut di dalam Tahdzibut-Tahdzib jld.2 hlm.373), maka tepatlah kalau dikatakan hadis ini hadis hasan. Namun bagi mengelakkan perbahasan panjang lebar, penulis tidak menafikan ada ulamak hadis lain yang beranggapan hadis ini bertaraf lemah (dhoif) atas hujah masing-masing seperti pemhaman istilah ‘hasan’ di sisi ulamak hadis silam (mutaqaddimin) dan kontemporari (mutaakhirin).

[13] Hadis ini ialah hadis hasan yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah jld 1 hlm.557, al-Hafiz Ibn Hajar dalam takhrij Al-Adzkar,kitab Syarah al-Adzkar jld.4 hlm.342, dan imam-imam hadis yang lain. Namun bagi mengelakkan perbahasan panjang lebar, penulis tidak menafikan ada ulamak hadis lain yang beranggapan hadis ini bertaraf lemah (dhoif) atas hujah masing-masing terutamanya jika dilihat perbezaan pandangan berdasarkan hujah ulamak hadis silam (mutaqaddimin) dan kontemporari (mutaakhirin).

[14] Ibn Taiimiyyah, Majmu' al-Fataawa, jld.1 hlm.346,348.

Sunday, July 25, 2010

Nisfu atau Nafsu Sya'ban?


Suatu ketika dahulu, penulis masih ingat ada suatu malam yang mana ramai akan berkumpul, membaca Yassin sebanyak 3 kali di masjid. Penulis hanya pak turut, yang penting di akhir majlis nanti ada ‘makan-makan’.

Suatu ketika dahulu, penulis masih ingat ada satu malam yang mana ramai akan berkumpul, membaca Yassin sebanyak 3 kali di masjid. Penulis ingat seperti mana tahun sebelumnya, maka tahun ini berazam untuk tidak menjadi pak turut, ditanya dan diselidik lebih lanjut. Kata jemaah yang turut serta,bacaan Yasin pertama diselangi doa panjang umur, bacaan ke dua diselangi doa murah rezeki dan bacaan yang akhirnya diselangi doa supaya mati dalam iman. Oh! Dari segi amalannya penulis sangka baik-baik sahaja, sekali lagi, yang penting di akhir majlis nanti ada ‘makan-makan’.

Suatu ketika dahulu, setiap kali menghampiri 14 Syabaan, akan ada poster-poster kecil mengajak mengimarahkan (meramaikan) masjid untuk majlis yang sama. Di canangnya hadis-hadis tentang kelebihan serta fadhilat menghidupkan malam yang dikenali sebagai Nisfu Sya’aban. Penulis juga berasa senang dengan usaha-usaha sebegitu.

Suatu ketika dahulu, menghampiri 14 Syabaan, aka nada poster-poster kecil yang menunjukkan sebaliknya, bukan hadis-hadis tentang kelebihan serta fadhilat menghidupkan malam Nisfu Sya’aban. Tetapi gambar seorang ulamak yang dikenali sebagai Shaikh Yusof al-Qardhawi dengan dialog beliau daripada kitab beliau yang terkenal, Fatawa al-Muasarah. Dialog itu berbunyi:

Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah).


Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan generasi terdahulu, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya. [Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383]

Wah! Menarik, kerana pandangan ini ternyata berlawanan dengan apa yang diamalkan selama ini. Penulis mencari sehingga ke lubang cacing si penampal poster itu, bukan untuk bertumbuk, tetapi untuk bertanya lebih lanjut. Perasaan ingin tahu membuak-buak. Ingin mengenali lebih lanjut di sebalik dialog ulamak tersebut.

Ketika berjumpa dengan penampal poster itu, antara pertanyaan pertama yang penulis ajukan ialah apakah amalan Nisfu Sya’aban yang pihak masjid anjurkan ini adat atau ibadat? Walhal seharusnya diajukan kepada pihak masjid, bukan si penampal poster. Beliau duduk tenang melayan kemusykilan penulis. Tidak dijawab soalan tersebut. Penulis tanya lebih lanjut, apakah ianya amalan mazhab Syafie yang umumnya masyarakat Malaysia ikuti. Beliau sekali lagi duduk tenang melayan kemusykilan penulis,akhirnya beliau bersuara.Di bawanya kalam Imam Nawawi rahimahullah (antara tonggak ulamak mazhab Syafie), dalam kitabnya yang dikenali sebagai Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (Kumpulan Penjelasan tentang Buku Al-Muhazzab). Katanya:

“Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan Isya’ pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama).”

Wah! Menarik, kerana pandangan ini ternyata berlawanan dengan apa yang diamalkan selama ini. Imam Nawawi juga menjelaskan banyak bentuk bid’ah (ditokok tambah dalam agama) dalam kitab tersebut. Maknanya bukankah beliau juga menentang segala bentuk ibadah khusus yang ditokok tambah seperti solat al-Raghaib pada malam nifsu Sya’ban. Kata si ppenampal poster, kalau solat sahaja telah ditegah keras, apatah lagi amalan-amalan lain seperti berkumpul dalam rangka membaca Yassinan serta Tahlilan. Penulis hanya tersenyum, mengiktiraf perbezaan pandangan yang si penampal poster utarakan. Tetapi pelik juga apabila beliau katanya mengiktiraf kewujudan Nisfu Sya’ban, Cuma sahaja katanya wujud hadis sahih tentang kelebihan malam Nisfu Sya’ban.
Sabda Rasulullah Sallallahu 'alahi Wa Sallam:

"Allah Tabaraka wa Taala melihat kepada hamba-hambaNya pada malam Nsifu Syaaban dan mengampunkan semua dosa mereka kecuali Musyrik (orang yang buat Syirik) dan Musyahin (orang yg buat bidaah)".
[Hadis Sahih, Silsilah Sahihah al-Albani Muktasarah no.1144].


Hadith di atas adalah katanya antara hadis yang diriwayatkan sahih dari Rasulullah Sallallahu 'alahi Wa Sallam berkenaan fadhilat nisfu Sya’ban. Itupun hanya dinilai sahih oleh ‘ulama mutaakhir (terkemudian). Selain daripada di atas, “hadis-hadis” berkenaan nisfu Sya’ban adalah maudhu’ (palsu) dan dhaif (lemah).

Wah! Menarik, kerana pandangan ini ternyata berlawanan dengan apa yang diamalkan selama ini. Pelik, mengiktiraf tentang kewujudan malam Nisfu Sya’ban serta fadhilatnya, tetapi tidak mengiktiraf amalan-amalan kebiasaan yang dianggap punya kebaikan oleh orang kebanyakan? Beliau hanya mengangguk. Disebutnya kalam Imam as-Suyuti rahimahullah sebagai penutup bicara:

“Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah”.[al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61]


Wah! Menarik, kerana pandangan ini ternyata menyebabkan pengetahuan agama penulis bertambah. Masih wujud perkataan ‘Suatu ketika dahulu’ untuk penulis renung-renungkan kembali. Sekiranya suatu ketika dahulu penulis hanya tahu istilah ABC, barangkali kini penulis sudah boleh mengeja, begitulah perumpamaanya. Apabila kita sedia membuka minda dalam hidup beragama. Sebelum mohon diri beransur, pesan si penampal poster itu dapat penulis garap sebagai

“Beribadatlah mengikut apa yang telah disyariatkan melalui nas sahih yang diperolehi dari al-Quran dan as-Sunnah. Jangan sekadar ikut-ikutan, tanpa sandaran yang kuk
uh.”


Maka ‘Suatu ketika dahulu’ itu membuatkan penulis merenung kembali amalan malam Nisfu Sya’ban itu, sungguh banyak benar amalan yang tidak dapat aku bezakan, antara adat dan ibadat. Apakah ibadah yang dilakukan itu semata Nisfu ataupun Nafsu?

Wallahu’allam,
Ibn Yusof
25 July 2010 /14 Sya’ban 1431

5.32p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Wednesday, July 14, 2010

Pengenalan kepada 4 Kitab Sunan (Siri Akhir - Sunan An-Nasa’i/ Sahih Nasa’i)


ü Nama:

- Ahmad bin Syu'aib bin Ali bin Sinan bin Bahr

ü Umur

- 215 H sehingga 303 H (dikebumikan di Bait al-Maqdis,Palestina) (88 tahun).

ü Sunan An-Nasai’/ Sahih Nasa’i juga dikenali sebagai kitab yang bernama Sunan al-Sughra, atau diriwayatkan oleh beliau sendiri sebagai al-Mujtabar (pilihan/saringan), tetapi dikalangan penuntut ilmu sebagai Sunan al-Kubra.

ü Orang Parsi pada zaman itu, dan belajar bahasa Arab kerana bahasa perantaraan pada waktu itu ialah bahasa Arab.

ü Mula pembelajaran hadis seawal umur 15 tahun.

ü Guru beliau yang rapat; Banyak hadis dimulakan dengan ‘Haddasana Qutaibah bin Sa'id’ (Guru kepada Imam An-Nasa’i)

ü Antara guru yang lain;

1. Imam Abu Dawud

2. Imam Abu Isa at Tirmidzi

3. Ishaq bin Rahawaih

4. Al Harits bin Miskin

5. Ali bin Kasyram

6. Ramai lagi

ü Guru kepada ramai ulamak yang hebat / antara murid-muridnya yang terkenal ; Abu 'Ali An Naisaburi (al-Hafiz/al-Imam) antara murid yang paling baik hafalan, dan juga Imam Ibn Adi.

ü Antara anak muridnya yang terkenal:

1. Abu 'Ali An Naisaburi

2. Abu al Qasim al Thabarani

3. Ahmad bin Muhammad bin Isma'il An Nahhas an Nahwi

4. Hamzah bin Muhammad Al Kinani

5. Muhammad bin Ahmad bin Al Haddad asy Syafi'i

6. Al Hasan bin Rasyiq

7.Ramai lagi.

ü Disamakan dengan Imam al-Bukhari dan Imam Abu Zur’ah oleh Imam al-Dzahabi. Kerana ketelitian dan hafalannya yang tinggi.

ü Sunan al-Kubra tersebar luas di Andalus dan sebelah Hijaz.

- Imam Nasai sendiri mengaku tidak semua sahih di dalamnya.

ü Al-Mujtabar atau Sahih An-Nasai kerana ianya dinilai sahih disisi Imam An-Nasai’ walaupun ada ulamak yang katakan dalam Sunan ini wujud hadis yang tidak sahih statusnya.

ü Antara imam yang mengiktiraf sunan ini sebagai kitab sahih ialah Imam Abu 'Ali An Naisaburi, Ibn Mandah,Darutqutni, al-Hakim (pemilik al-Mustadrak) dan Ibn Sakan lain-lain mengiktiraf dan mengatakannya sebuah kitab Sahih. Kesimpulan, al-Mujtabar dikenali sebagai Sahih an-Nasai oleh majoriti ulamak hadis Mutaqaddimin.

ü Antara periwayat kitab sunan ini ialah,

1. Anak murid kanannya Ibn Sunni (yang sangat mahsyur)

2. Anaknya sendiri Abdul Karim, dan

3. Warid al-Kassim al-Ghasib.

- Contoh lain, Shaikh Abdullah Fahim (ulamak tanah air 1960-an – datuk kepada bekas Perdana Menteri,Pak Lah) juga meriwayatkan daripada Ibn Sunni. Penting untuk tujuan pengesahan penulis.

ü Ketegasan beliau dalam meriwayat hadis:

ü Pernah mengkritik beberapa perawi hadis yang ada di dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

ü Hadis yang diriwayatkan beliau cukup tinggi penelitian dan ketegasannya.

- Contoh: Sa’ad Ali al-Zannjani pernah ditanya tentang seseorang perawi, perawi itu dianggap tidak dhoif tetapi Imam An-Nasai mendhoifkan perawi itu. Walhal Zanjani yang sudah dikenali dengan ketegasan beliau menilai perawi, begitulah tingginya penilaian beliau terhadap seseorang perawi.

ü Penilaian pandangan Shaikh al-Albani melalui buku beliau bertajuk Dhoif Sunan al-Nasai

i. Hadis 36; tentang membaca bismillah sebelum pembacaan al-Fatihah.

- Abu Hurairah yang katakan solat beliau paling dekat dengan solat Nabi ; disahihkan oleh Ibn Khuzaimah,Ibn Jarud, Ibn Hibban, Daruqutni.

- ada atsar sahabah baca basmalah secara jahr (Daruqutni)

- Pandangan mazhab ; Imam Ahmad secara sir (tetapi dinukilkan oleh Ibn Taimiyyah sekiranya pergi ke Madinah maka perlunya dibaca secara jahr), Imam Malik tidak perlu baca, Imam Syafie katakan perlu baca jahr (berdasarkan perbuatan sahabat) kerana hikmah untuk mengekalkan sunnah perbuatan itu daripada hilang terus.

ii. Hadis tentang mengangkat takbir sehingga hampir sampai dengan telinga.

- Nasai katakana hadis ini sahih

iii. Hadis 44 ; Hadis diriwayatkan oleh Anas yang solat dengan Nabi, solat Zohor,

- disahihkan oleh Ibn Khuzaiman, Ibn Hibban.

iv. Hadis 49 ; Hadis tentang Nabi solat dengan turun lutu terlebih dahulu

- Sahih oleh Ibn Khuzaimah, Ibn hibban, Ibn Sakan, Al-Khotabi, al-Hakim, manakala Imam Tirmidzi katakanan hadis hasan.

v. Hadis 52

vi. Hadis 68 (no. 174 dalam al-Mujtabar) tentang menundukkan tasyahud

- Mengangkat jari oleh Abu Daud, tetapi dijudulkan sebagai menundukkan jari ketika tasyahud oleh An-Nasai, menunjukkan penilaian lebih halus.

- diriwayatkan juga oleh Ibn Hibban, Ibn Khuzaimah etc.

ü Perawi-perawi yang dhoif dalam Sunan Nasai?

- Ibn Hajar dalam Fathul Bari katakan; para ulamak yang bertanggungjawab untuk memilih perawi. Maka wujud kelebihan yang dimiliki oleh para imam untuk menilai dan memilih hadis-hadis yang sahih hatta kadang kala wujud para imam lain yang dipertikaikan status sesetengah perawi.


Kesimpulan


Daripada 4 kitab sunan yang dijelaskan di atas, penuntut ilmu pasti mengetahui usaha Shaikh al-Albani yang dikenali dengan membezakan empat kitab sunan berikut mengikut status hadis (sahih,lemah dan palsu). Pengorbanan beliau adalah satu usaha yang boleh dibanggakan, dan ramai di kalangan ulamak kontemporari yang berpeluang mengambil manfaat daripadanya. Tetapi di sebalik usaha itu, ada juga yang berpandangan bahawa pengasingan sedemikian menyebabkan lari daripada tujuan asal pembukuan kitab sunan tersebut . Ada yang setuju dan ada pula yang sebaliknya.


Maka kesimpulan yang dapat diketengahkan bagi para pencinta ilmu hadis, ada baiknya jika tidak hanya fokus pada kitab hadis yang telah siap diasingkan oleh Shaikh al-Albani, tetapi juga mendulang faedah daripada kitab asal empat sunan yang telah diusahakan oleh para Imam Ahlul Hadis dengan tujuan asalnya.


Di samping itu, kebelakangan ini, kita tidak dapat nafikan bahawa pendedahan tentang kepentingan ilmu hadis telah menular, terutamanya kebangkitan beberapa golongan agamawan yang menitik beratkan tentang kesahihan sumber dalam beragama. Hal ini dirasakan perlu terutama apabila media dan arus perdana secara meluas menyebarkan sesuatu hadis yang diragui statusnya. Kesungguhan dan kebangkitan yang wujud ini menyebabkan para penuntut ilmu hadis tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.


Kesilapan yang dibuat oleh para penuntut ilmu hadis, dimaklumi bahawa tidak mungkin dapat kita lari dari melakukan kesilapan (banyak atau sekidit), maka ia dimaklumi sebagai isu yang berterusan. Bagaimanapun dapat kita elak dengan mengetahui sedikit sebanyak contoh seperti di bawah:


  1. Tidak mengetahui latar belakang buku, menggunakan buku tanpa menyelidik penulis dan manhaj yang digunakan oleh penulis
  2. Pembacaan yang tidak meluas
  3. Tidak mengetahui perbezaan zaman dan penulis kitab dan darjat ulamak hadis.
  4. Kelemahan dalam bahasa Arab, untuk membaca semula buku asal (buku asal tidak diterjemah sepenuhnya dan ada terjemahan yang silap)
  5. Kekurangan atau ketiadaan satu perasaan ingin melengkapkan dengan ilmu serta amal (bukan sekadar membaca hadis tetapi perlu juga beramal dan berdisiplin dalam berinteraksi dengan hadis)
  6. Tidak mempunyai jadual prioriti ; jadual belajar, membaca dan menulis etc.
  7. Terlalu gopoh dalam membuat kesimpulan, maka perlunya pembacaaan yang meluas.


Semoga dengan usaha untuk mengelak beberapa kesilapan yang diutarakan di atas, para penuntut ilmu hadis tergolong dalam golongan orang yang mendengar hadis lalu dia memelihara dan menyampaikannya, maka dia akan dikurniakan pencerahan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala iaitu pengurniaan ilmu pengetahuan dan ilmu makrifat yang menaikkan darjatnya daripada manusia biasa di dunia dan akhirat. Pengurniaan ini adalah kurniaan khas baginya sehingga tertanam di hati dan tercermin di wajahnya kebahagiaan dan keriangan.Ameen.


Nota: Artikel bersiri 'Pengenalan kepada 4 Kitab Sunan' ini adalah olahan hasil catatan penulis (dengan beberapa pindaan dan penyesuaian teks) ketika menghadiri daurah berkenalan dengan kitab sunan yang empat pada 11 Julai 2010, ahli panel yang diundang oleh pihak penganjur ialah ahli-ahli panel hadis di ruangan siber fiqh iaitu al-Fadhil al-Ustaz Adlan Abd Aziz, al-Fadhil al-Ustaz Anwaruddin, al-Fadhil al-Ustaz Shauki. Maka sekiranya wujud poin atau hujah di atas bercanggah dengan fakta sebenar, penulis mengalu-alukan teguran dan penambah baikan inshaAllah.


Ibn Yusof

15 Julai 2010/ 2 Syaaban 1431

11.37p.m

www.ibnyusof.blogspot.com