Tuesday, September 13, 2011

Daripada Kos Pentadbiran Riba Kepada Sistem Ujrah: PTPTN atau PTPTiPu?

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), diketahui secara maklum pernah mengamalkan sistem riba dalam caj perkhidmatannya. Belenggu riba dalam sistem pinjaman PTPTN ini dahulu meraih ramai fatwa serta ijtihad para ulamak dan para pensyarah dalam bidang Fiqh Muamalat yang menganggap tidak menjadi kesalahan untuk para pelajar mengambil dan bergantung kepada sistem ini atas sebab darurat dalam memerlukan dana untuk meneruskan pembelajaran.

Kemudiannya pada Jun 2008, para peminjam dikejutkan dengan ‘berita gembira’ tentang berlakunya perubahan kadar caj perkhidmatan 3% itu yang kemudiannya diturunkan kepada 1% dengan mengguna pakai konsep Islamik yang digelarkan sebagai Ujrah (upah). Penulis berpandangan sistem riba dalam caj perkhidmataan sebanyak 3% yang diamalkan dahulu itu sudah jelas, namun perubahan daripada 3% kepada 1% itu juga masih boleh dipertikaikan tentang apakah kontrak itu berdasarkan konsep ujrah sebenar dari persepktif Fiqh Muamalat. Perlu juga dilihat modus operandinya apakah menepati sistem ujrah yang dimaksudkan atau hanya sekadar pertukaran dalam angka dan peratusan.

Masih segar dalam ingatan penulis dalam sebuah forum yang dianjurkan di universiti, salah seorang panel forum yang merupakan pakar Fiqh Muamalat dan penasihat Shariah sebuah bank memberi komen ringkas bahawa perubahan itu hanyalah ‘hilah syar’iyyah’ (helah dari sudut Shariah). Setelah sekian lama PTPTN berasa selesa dengan perubahan yang dikatakan Islamik ini, wujud beberapa kelompongan jelas yang boleh mendatangkan kesan dalam pembayaran dan terpaksa ditanggung oleh para pelajar dan para peminjam, dan ternyata perkara ini perlu diketengahkan secara telus.

Apa yang ingin penulis kemukan dalam tulisan dan kajian ringkas ini ialah sudut kiraan serta formula yang diguna pakai oleh sistem PTPTN, apakah pembayaran semula menggunakan kontrak baru dengan sistem ujrah ini akan mendatang lebih kebaikan atau hanya lebih merugikan para peminjam atau para pelajar yang berhutang kepada PTPTN. Berdasarkan kajian ringkas ini penulis mendapati sistem kiraan PTPTN serta dokumentasi yang merujuk kepada ‘Lampiran Pembiayaan Pendidikan’ mempunyai masalah jelas dari beberapa sudut. Hal ini menyebabkan para peminjam berpotensi mengalami kerugian dan PTPTN akan meraih keuntungan dari pelbagai sudut yang berbeza. Penulis kurang pasti apakah ini helah ataupun strategi pihak PTPTN dalam mengaut keuntungan dalam diam daripada pinjaman yang diberikan ataupun kelompongan yang tidak disedari dalam sistem dan kaedah yang diguna pakai.

Contoh-contoh dan perbandingan yang akan penulis berikan di bawah adalah berpaksikan kepada fakta-fakta berikut:

  1. Contoh menggunakan kos sebenar seorang graduan (“Graduan A”) yang mengambil jurusan ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa, dengan kos keseluruhan pembelajaran dan pinjamannya daripada pihak PTPTN sebanyak RM26000, Graduan A juga telah mula membuat bayaran berdasarkan perjanjian/kontrak dahulu dan kemudiannya mendapat tawaran kontrak baru berdasarkan caj ujrah 1%.
  2. Menggunakan Kadar Purata atau kaedah ansuran bayaran balik mengikut pengiraan purata berdasarkan amaun pinjaman beserta kenaan kos pentadbiran dan tempoh bayaran balik. Amaun ansuran tersebut dianggap tetap sepanjang tempoh bayaran balik.
  3. Sistem peralihan itu tidak ditelusuri daripada perbahasan sistem ujrah (dari perbahasan Fiqh Muamalat) dan masih dikira tanpa beza (daripada 3% kepada 1%) atas alasan sistem kiraan yang masih menyandarkan kaedah peratusan daripada jumlah pinjaman yang diberikan. Maka perkataan dan terma ‘peminjam’ masih digunakan berbanding ‘penerima biaya’ seperti mana dalam kontrak baru.
  4. Kaedah pengiraan 'Straight Line' atau ‘Flat Rate’ menggunakan ‘Ujrah calculator’ di web PTPTN (http://202.184.125.21/loancalc/loancalc.jsp) dan manakala kaedah 'Reducing Balance' menggunakan ‘Loan calculator’ di web PTPTN (http://www.ptptn.gov.my/web/guest/pembiayaan/calculator) yang akan menghasilkan ‘Amortization Table’.


Isu-isu yang akan diutarakan ini hanyalah pandangan penulis untuk rujukan pihak peminjam dan para pelajar, secara teorinya pula konsep ujrah dalam PTPTN ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 28 Julai 2008, tetapi jika dirujuk dari sudut pengiraan iaitu formula yang diguna pakai serta dokumentasi seperti syarat dan terma dalam ‘Lampiran Pembiayaan Pendidikan’, masih banyak perkara yang boleh dibahaskan atas alasan sistem kiraanya masih sama iaitu kaedah peratusan yang disandarkan kepada jumlah pinjaman yang diberikan, dokumentasi pula terdapat beberapa klausa yang bermasalah dan tidak mencerminkan konsep ujrah yang dipromosikan. Berikut disenaraikan beberapa isu terpilih untuk rujukan bersama:

(1) Cara pengiraan atau formula yang diguna pakai adalah berbeza. Sewaktu caj perkhidmatan atau riba adalah 3%, formula yang digunakan adalah berdasarkan kaedah 'Reducing Balance' (Baki Berkurang). Tetapi apabila bertukar kepada caj ujrah 1%, formula yang digunakan ditukar kepada formula atau kaedah 'Straight Line' atau ‘Flat Rate’ (Kadar Rata).

Perbezaan ketara antara formula antara 'Reducing Balance' dan 'Straight Line' atau ‘Flat Rate’ ini selalunya melibatkan kiraan bayaran ansuran pinjaman. Jika 'Straight Line' atau ‘Flat Rate’ mengambil kira jumlah keseluruhan pinjaman setiap tahun dalam kiraan bayaran ansuran tahunan, kaedah 'Reducing Balance' pula akan mengambil kira jumlah baki pinjaman setiap tahun dalam kiraan setiap kali kiraan seterusnya (Bagi kiraan baki berkurang boleh terus menggunakan kalkulator di web PTPTN untuk mendapatkan jadual baki berkurangan seperti pautan yang diberikan di atas). Berikut disertakan hasil perbezaan dua kaedah yang disebutkan.

Contoh pengiraan berdasarkan formula / kaedah 'Straight Line'

Jika Caj Ujrah 1% menggunakan 'Straight Line Method'.
Formula Ujrah dalam dokumen PTPTN ; (Pembiayaan Yang Diluluskan X 1% Setahun X Tempoh Bayaran Balik)
Caj Ujrah= RM26000 x 1% Setahun x 15 tahun (tempoh bayar balik) = RM3900
Jumlah perlu bayar = RM26000 + RM3900 = RM29900
Jumlah bayaran bulanan = RM29900/180 bulan = RM166.11

Contoh pengiraan berdasarkan formula / kaedah 'Reducing Balance'
Jika Caj Ujrah 1% menggunakan keadah 'Reducing Balance’.
Jumlah pinjaman di sini : RM26000
Masukkan tempoh bayaran balik di sini : 180 bulan @ 15 tahun
Kadar Kos Pentadbiran : 1 %
Akan dapat Bayaran Ansuran : RM155.60

Kedua-dua contoh di atas menggunakan tempoh (15 tahun) dan caj (1%) yang sama bagi tujuan mendapatkan perbandingan yang jelas. Jumlah bayaran ansuran menggunakan kaedah 'Reducing Balance' iaitu RM155.60 adalah lebih murah berbanding kaedah 'Straight Line' iaitu RM166.11 sebulan! Persoalan utamanya ialah mengapa agaknya ketika caj perkhidmatan atau riba 3% pihak PTPTN menggunakan kaedah 'Reducing Balance' tetapi dalam sistem ujrah 1% menggunakan kaedah 'Straight Line'?

RM166.11 x 180 bulan = RM29899.80
RM155.60 x 180 bulan = RM28008

Maka akan terdapat lebihan RM1891.8 (hasil daripada RM29899.80 – RM28008) hanya dengan mengubah formula atau kaedah pengiraan. Oleh itu, walaupun pertukaran berlaku daripada caj perkhidmatan atau riba 3% kepada suatu peratusan lain bernilai 1%, pihak PTPTN tetap dapat mengambil keuntungan daripada perubahan kaedah atau formula pengiraan.

(2) Tempoh bayaran balik sewaktu kontrak caj perkhidmatan / riba adalah 3% iaitu 120 bulan (10 tahun), namun apabila bertukar kepada caj ujrah 1%, tempoh bayaran balik dipanjangkan sehingga 180 bulan (15 tahun).

Dengan mengambil contoh kiraan di atas, perbezaan tempoh bayar balik daripada 10 tahun kepada 15 tahun dengan kadar yang berbeza atau sama akan memberikan jumlah bayar balik yang berbeza. Perbezaan 5 tahun atau 60 bulan juga menyebabkan jumlah bayar balik menjadi lebih tinggi.


Contoh pengiraan 10 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Straight Line'
Caj Ujrah= RM26000 x 1% Setahun x 10tahun (tempoh bayar balik) = RM2600

Jumlah perlu bayar = RM26000 + RM2600 = RM28600
Jumlah bayaran bulanan = RM28600/120 bulan = RM238.33

Contoh pengiraan 10 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Reducing Balance'
Jumlah Pinjaman : RM26,000.00
Tempoh Bayaran Balik : 120 bulan @ 10 tahun
Kadar Kos Pentadbiran : 1.0%
Jumlah Kos Pentadbiran : RM1,331.92
Bayaran ansuran bulanan : RM 227.77

Contoh pengiraan 15 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Straight Line'
Caj Ujrah= RM26000 x 1% Setahun x 15 tahun (tempoh bayar balik) = RM3900
Jumlah perlu bayar = RM26000 + RM3900 = RM29900
Jumlah bayaran bulanan = RM29900/180 bulan = RM166.11

Contoh pengiraan 15 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Reducing Balance'
Jumlah Pinjaman : RM26,000.00
Tempoh Bayaran Balik : 180 bulan @ 15 tahun
Kadar Kos Pentadbiran : 1.0%
Jumlah Kos Pentadbiran : RM2,008.78
Bayaran ansuran bulanan : 155.60

Antara tempoh bayaran ansuran bulanan RM238.33 atau RM 227.77 selama 10 tahun dan tempoh bayaran ansuran bulanan RM166.11 atau RM 155.60 selama 15 tahun. Berikut dijelaskan dengan lebih terperinci:

(i) RM238.33 x 120 bulan = RM28599.60
(ii) RM 227.77 x 120 bulan = RM27332.40
(iii) RM166.11 x 180 bulan = RM29899.80
(iv) RM 155.60 x 180 bulan = RM 28008.00

Semestinya para peminjam inginkan jumlah bayaran semula yang lebih murah iaitu pada kadar RM27332.40 (pengiraan 10 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Reducing Balance'). Namun apa yang ditawarkan oleh pihak PTPTN ialah RM29900 (pengiraan 15 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Straight Line') dalam tempoh masa hanya 10 tahun berbanding tambahan 5 tahun, iaitu selama 15 tahun.

Walaupun jumlah ansuran bulanan adalah tinggi iaitu RM 227.77 berbanding RM166.11, namun jumlah keseluruhan bayar balik adalah lebih rendah RM27332.40 berbanding RM29899.80 (Pihak PTPTN akan bundarkan menjadi RM29900).

Maka akan terdapat perbezaan RM2567.60 (dikira daripada RM29900 - RM27332.40) hanya dengan mengubah tempoh pembayaran semula daripada 10 tahun kepada 15 tahun walaupun bertukar daripada caj perkhidmatan atau riba 3% kepada suatu peratusan lain bernilai 1%, pihak PTPTN tetap dapat mengambil keuntungan daripada perubahan tempoh bayaran semula.

(3) Pengiraan dalam kontrak baru atau sistem caj ujrah 1% tidak mengambil kira baki pinjaman terkini ('outstanding balance') namun dikira menggunakan jumlah keseluruhan pinjaman yang diberikan.


(i) Jika Caj Ujrah 1%
Formula yang diguna pakai oleh pihak PTPTN untuk sistem ujrah 1% dalam kontrak adalah berdasarkan kiraan ‘Straight Line’ ialah seperti berikut:

(Pembiayaan Yang Diluluskan X 1% Setahun X Tempoh Bayaran Balik)
RM26000 x 1% Setahun x 15 tahun (tempoh bayar balik) = RM3900
Jumlah perlu bayar = RM26000 + RM3900 = RM29900
Jumlah bayaran bulanan = RM29900/180 bulan = RM166.11

(ii) Jika Caj Perkhidmatan 3%
Kontrak dahulu yang mana caj perkhidmatan sebanyak 3% adalah berdasarkan formula / kaedah 'Reducing Balance'.

Jumlah Pinjaman : RM26,000.00
Tempoh Bayaran Balik : 180 bulan
Kadar Kos Pentadbiran : 3.0%
Jumlah Kos Pentadbiran : RM6,319.28
Bayaran ansuran bulanan : RM 179.55

Ketidakadilan ini jelas dilakukan oleh pihak PTPTN kepada mereka yang telahpun menandatangani dokumen/kontrak asal 3%, setelah graduan mula bekerja dan mula membayar hutang-hutang mereka secara bulanan, kontrak tawaran baru dengan caj 1% itu tidak mengambil kira jumlah yang telah dilunasi atau pinjaman berbaki (outstanding balance), tetapi formula menggunakan jumlah keseluruhan pinjaman. Oleh itu, pihak PTPTN bertangung jawab dalam mengambil lebihan bayaran awal itu secara batil.

Mengambil kira contoh kiraan di atas, Graduan A telah membayar RM 179.55 bermula Jan 2005 hingga Jun 2008* (tarikh bila mana sistem ujrah 1% mula ditawarkan kepada graduan dengan kontrak baru).

- *Tawaran perubahan pinjaman sedia ada (3%) kepada pembiayaan Ujrah 1% layak diterima oleh peminjam-peminjam sedia ada yang masih mempunyai baki pinjaman PTPTN pada 1 Jun 2008 (Sumber: Web PTPTN)

Maka Graduan A dijangka telah membuat bayaran secara konsisten sejak Jan 2005 sehingga Jun 2008 sebanyak RM7541.10:

RM 179.55x 42 bulan (Jan 2005 hingga Jun 2008) = RM7541.10

Sepatutnya kiraannya ialah seperti dibawah dengan mengambil kira RM7541.10 yang telah dilunasi,

(Jumlah pinjaman - jumlah telah dilunasi) = (RM26000 - RM7541.10) x 1% Setahun x 15 tahun (tempoh bayar balik) = RM 18458.90 x 1% Setahun x 15 tahun =RM 2768.84

Jumlah yang perlu dibayar sepatutnya = RM 18458.90 + RM 2768.84= RM 21227.74 (Kerana Graduan A telahpun menjelaskan RM7541.10 sepanjang tempoh 42 bulan)

Jumlah bayaran bulanan = RM 21227.74/180 bulan = RM117.93 sahaja!

Namun dengan perjanjian dan kontrak baru berdasarkan sistem ujrah dengan caj 1% ditawarkan itu pihak PTPTN masih mengambil kira jumlah pinjaman keseluruhan.

RM26000 x 1% Setahun x 15 tahun (tempoh bayar balik) = RM3900
Jumlah perlu bayar = RM26000 + RM3900 = RM29900
Jumlah bayaran bulanan = RM29900/180 bulan = RM166.11

Maka akan terdapat perbezaan RM8672.26 (dikira daripada RM29900 - RM 21227.74) hanya dengan mengambil kira jumlah pinjaman keseluruhan semula dan tidak mengambil kira baki jumlah bayaran semula kontrak asal yang telahpun dilunasiwalaupun bertukar daripada caj perkhidmatan atau riba 3% kepada suatu peratusan lain bernilai 1%, menyebabkan pihak PTPTN tetap meraih keuntungan dengan cara batil.

Makanya, persoalan apakah seseorang peminjam itu akan mengalami keuntungan (akibat jumlah bayaran semula yang lebih sedikit) atau lebih rugi jika dibandingkan berdasarkan kontrak asal yang mengenakan caj perkhidmatan 3% itu ataupun caj ujrah 1%,ia sebenarnya banyak bergantung kepada pengiraan jumlah baki terkini (outstanding balance) selepas mula membayar kepada pihak PTPTN kerana baki terkini (outstanding balance) bagi setiap peminjam adalah berbeza.

Tetapi bagi yang masih belum membayar 'satu sen' kepada PTPTN, ternyata 1% dengan kiraan ‘reducing balance’ dalam masa 120 bulan (10 tahun) adalah lebih murah (sekurang-kurangnya), walaupun belum tentu yang terbaik berdasarkan konsep sebenar ujrah dari perspektif Islam.

(4) Syarat dan terma pembiayaan melibatkan kadar ‘Upah Pengurusan Pembiayaan’ 1% setahun seperti yang dimuatkan dalam perjanjian serta terma dan syarat yang termuat dalam ‘Lampiran Pembiayaan Pendidikan’ bersifat tidak tetap dan berkemungkinan berubah kelak atas budi bicara mutlak pihak PTPTN, walaupun tanpa melibatkan persetujuan pihak berkontrak.

Tawaran yang berasaskan kaedah Ujrah dari pihak PTPTN sebagai Pemberi Khidmat Pengurusan Pembiayaan Pendidikan mengenakan upah sebanyak 1% (atau dalam perjanjian disebut Upah Pengurusan Pembiayaan) kepada individu sebagai Penerima Pembiayaan Pendidikan melalui Surat Tawaran Pembiayaan Pendidikan.

Dukacitanya, sekiranya dirujuk ‘Lampiran Perjanjian Pembiayaan Pendidikan’, dalam Fasal atau Klausa 1(a), 5 dan 13, pihak PTPTN berulang kali menegaskan bahawasanya pihak PTPTN berhak mengubah kadar tersebut mengikut budi bicara mutlak pihak PTPTN. Berikut disertakan fasal-fasal yang dimaksudkan:

Fasal 1(a)
PENERIMA BIAYA, dengan ini bersetuju: (a) bahawa Pembiayaan Tersebut dikenakan Upah Pengurusan Pembiayaan sebanyak 1% setahun atau apa-apa kadar yang ditetapkan oleh PERBADANAN dari semasa ke semasa ke atas Jumlah Pembiayaan sepanjang tempoh bayaran balik yang ditetapkan mulai Tarikh Kuatkuasa Bayaran Balik Pembiayaan Tersebut;

Fasal 5
PERBADANAN berhak mengenakan Upah Pengurusan Pembiayaan sebanyak 1% setahun atau apa-apa kadar yang ditetapkan oleh PERBADANAN dari semasa ke semasa ke atas Jumlah Pembiayaan sepanjang tempoh bayaran balik yang ditetapkan mulai Tarikh Kuatkuasa Bayaran Balik Pembiayaan Tersebut.

Fasal 13
PERBADANAN adalah berhak pada bila-bila masa untuk mengubah kadar Upah Pengurusan Pembiayaan, cara dan/atau masa bagi pembayaran balik itu dan meminta pembayaran balik dengan serta-merta bagi Keseluruhan Pembiayaan Tersebut atau sebanyak mana yang masih belum dibayar menurut budi bicara mutlaknya tanpa memberi apa-apa sebab baginya.

Hal ini sekaligus menyebabkan tawaran Upah Pengurusan Pembiayaan bersifat tidak tetap (yakni caj sebanyak 1% yang dipromosikan) dan membuka ruang kepada pihak PTPTN untuk mengubah serta memanipulasi kadar yang telah ditawarkan atau dipersetujui oleh pihak peminjam dengan kemungkinan bertukar kepada 2%, 3% hatta setinggi mana caj peratusan (%) yang dianggap munasabah (atas budi bicara mutlak pihak PTPTN) oleh pihak PTPTN. Maka hal ini menyebabkan berlaku ketidak jelasan (gharar) dalam jumlah sebenar pembayaran semula jumlah pinjaman kepada pihak PTPTN.

Kesimpulan

Memang sedia maklum pihak pemiutang (orang yang memberi hutang) selalu mengingatkan penghutang (orang yang berhutang) dengan hadis berikut seperti yang pihak PTPTN lakukan di web rasmi mereka.

“Jiwa (roh) seorang mukmin tergantung kerana hutangnya, sehingga dilunasi” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Dengan menjunjung kebenaran hadis di atas, pihak PTPTN perlu akur terdapat juga sekian banyak amaran Allah dan hadis-hadis Nabi lain yang menyuruh para peniaga dan para pemiutang berlaku jujur dalam timbangan, taksiran serta ukuran dalam berurusan. Tulisan ini ringkas ini menuntut pihak PTPTN mengkaji semula promosi perubahan caj perkhidmatan riba 3% kepada caj ujrah 1% yang dipromosikan itu sejak Jun 2008 sehingga kini dengan harapan pihak PTPTN tidak dianggap hanya sekadar menyalahguna salah satu konsep dalam Fiqh Muamalat dalam mengaburi keputusan para penghutang daripada membuat keputusan yang tepat.

Wallahu’allam.


Ibn Yusof
11 September 2011 / 13 Syawwal 1432

2.30 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com

Thursday, September 8, 2011

Introspeksi Pentarbiyahan Ramadhan di bulan Syawal



Kata orang, masjid dan surau akan kembali lengang (kosong ) selepas Ramadhan.

Kata orang, Al-Quran pula yang dahulunya menjadi santapan harian akan diketepikan.

Kata orang, manusia mula bermaksiat apabila geng syaitan terlepas dari dibelenggukan.

Kata orang lagi, lemang, ketupat dan rendang pula menjadi penyebab berat badan akan naik melonjak selepas hari perayaan.

Sejauh mana kebenaran pernyataan-pernyataan di atas untuk biar kita terus bermuhasabah tatkala mengorak langkah di bulan Syawal. Kenyataan sedemikian juga bertujuan mengetuk pintu kesedaran masyarakat tentang bagaimana masyarakat mencorak langkah-langkah dalam bulan Syawal selepas melambai pemergian Ramadhan.

Universiti Ramadhan diiktiraf sebagai medan melatih diri individu dengan jati diri Muslim sejati. Namun apakah individu itu dianggap lulus apabila melangkah keluar dengan sikap-sikap negatif lama yang masih sama? Sekiranya seorang graduan Universiti Ramadhan tidak mampu menterjemahkan latihan dan silibus yang diikutinya pada bulan Ramadhan dalam bulan-bulan yang mendatang, apakah graduan itu dianggap lulus?

Apakah benar anggapan bahawa bulan Syawal ini dianggap sebagai bulan untuk berehat-rehat dari melakukan amal-amal soleh? Dengan alasan kita telah berhempas pulas di bulan Ramadhan? Akhirnya kita akan kembali kepada persoalan, di mana duduk letaknya prinsip kita selaku seorang hamba, antara hamba Rabbani atau hamba Ramadhani?

Berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal

‘Mega sale’ yang ditawarkan pada bulan Ramadhan itu berlanjutan pada bulan Syawal dengan promosi yang lebih hebat. Apabila amalan berpuasa selama sebulan seakan sudah menjadi norma bagi umat Islam, promosi lanjutan yang Allah Subhanallahu Ta’ala tawarkan ini masih berhubung kait dengan puasa. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Dalam hadis yang lain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Barang siapa berpuasa enam hari setelah hari raya Idul Fitri, maka dia seperti berpuasa setahun penuh." (Hadis Riwayat Imam Ibn Majah)

Para ulamak membincangkan panjang lebar tentang perumpamaan puasa setahun penuh, antara pandangan yang paling masyur ialah pandangan berpuasa enam hari pada bulan Syawal setelah berpuasa pada seluruh bulan Ramadan menyerupai berpuasa fardu selama setahun adalah kerana puasa pada bulan Ramadan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan dengan 300 hari), puasa enam hari (pada bulan Syawal) pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (iaitu bersamaan dengan 60 hari),yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia daripada Allah dan nikmat ke atas hamba-Nya. (Taudhih al-Ahkam min Bulughul Maram ,jilid 3, ms. 576, Pustaka Azzam)

Prioriti antara Puasa sunat Syawal & Puasa Qadha?

Kesedaran untuk terus mengamalkan sunnah berpuasa enam ini semakin meningkat di kalangan masyarakat. Disebabkan waktu Syawal yang singkat, ramai yang beranggapan berpuasa sunat itu lebih prioriti berbanding puasa qadha (atas sebab musafir,haid,nifas pada bulan Ramadhan sebagai contoh).

Namun perlu diingatkan bahawa walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang sehingga bulan Syaban tahun berikutnya , kita tetap tidak pasti apakah kita mampu sampai ke tarikh itusebelum ajal menjelang. Justeru sesetengah para ulamak berpandangan puasa qadha adalah lebih wajar diutamakan sebelum berpuasa sunat di bulan Syawal dengan hujah bahawa puasa Qadha merupakan hutang yang wajib dilunaskan berbanding puasa sunat.

Hal ini juga menjadi hujah para ulamak bahawa ianya selari dengan hadis yang mennyatakan “Barang siapa berpuasa Ramadhan…” dengan erti kata keseluruhan bulan Ramadhan, barulah layak mengejar pahala puasa enam Syawal. Dan hal ini dianggap lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaanya seolah-olah berpuasa sepanjang tahun..

Formula Puasa ‘2 dalam 1’?

Atas sebab kesedaran mempunyai masa yang singkat, di sebalik jemputan rumah terbuka dan keinginan meraih pahala puasa sunat juga, wujud pemahaman di kalangan masyarakat bahawa dibenarkan berniat menggabungkan antara puasa sunat dan puasa qadha (ganti).

Namum, formula puasa serentak ini tidak didasari dengan mana-mana dalil daripada al-Quran mahupun as-Sunnah. Malahan para ulamak bersetuju bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat yang lain, ia mestilah diamalkan dengan sendirinya. Adalah mustahil untuk seseorang makmum yang ingin bersolat fardhu secara ber jemaah berniat mengikut imam pada masa yang sama berniat untuk melakukan solat sunat.

Justeru hendaklah kita mengetahui prioriti dalam beramal antara amalan sunat apatah lagi amalan wajib. Bagi yang tidak berkesempatan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal atas sebab jumlah puasa qadha yang banyak, para ulamak mencadangkan diteruskan sahaja dengan puasa qadha, dengan harapan niat yang dipendam untuk turut sama menunaikan puasa sunat enam di bulan Syawal itu masih mendapat ganjaran, inshaAllah.

Kesimpulan

Jati diri Muslim itu perlukan perisai yang utuh dalam meneruskan hari-hari yang mendatang dan tidaklah amalan berpuasa itu bertujuan melainkan menjadi perisai dalam membentuk jati diri seorang Muslim sejati. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda dalam hadits Qudsi:

Dan sentiasa hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunnah sehingga Aku mencintainya. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Semoga dengan sedikit penjelasan ini dapat mendorong kita meneruskan amalan berpuasa di bulan Syawal, semoga amalan kita diterima dan bermanfaat pada hari yang tidak ada sesuatupun yang lagi bermanfaat kecuali yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.

IbnYusof
8 September 2011 / 7 Syawal 1432
12.14 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Sunday, August 28, 2011

Menziarahi Kenalan Dan Kuburan : Antara Adat Dan Ibadat


‘Eidulfitri, Aidilfitri, Hari Raya, Hari Lebaran, atau apa jua nama yang semakna dengannya merupakan suatu sinonim yang merujuk kepada hari perayaan umat Islam di seluruh dunia. Kegembiraan dan kemeriahan dalam meraikan hari ini selalunya akan dirasai menjelang penghujungnya bulan Ramadhan. Maka umat Islam di Malaysia khusunya akan disibukkan dengan persiapan menyambut hari perayaan itu.

Hari ‘Eidulfitri merupakan ketetapan dan pilihan Allah Ta’ala kepada umat Muhammad sebagai hari untuk dirayakan dan bergembira, hal ini antaranya berpunca daripada tertegaknya salah satu rukun Islam yang mewajibkan umat Islam berpuasa pada bulan Ramadhan. Justeru Islam tidak melarang umatnya untuk bergembira pada hari perayaan, malah membolehkan umatnya untuk mengungkapkan perasaan bahagia dan bersenang-senang pada hari tersebut. Malahan kebahagian yang diungkap dan diterjemah dalam bentuk perbuatan itu, selagi mana penghayatan meraikan hari itu dalam aturan syariat, maka keraian itu akan dianggap sebagai satu ibadah yang menjana pahala dari Allah.

Shaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah pernah berkata:-

“Tidak mengapa menampakkan kegembiraan dan kebahagiaan pada hari-hari ‘Ied seperti Eidul Fitri atau Eidul Adha selama dalam batas-batas syar’i. Di antaranya seseorang makan dan minum atau yang semisalnya” (Majmu’ Fatawa Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, juz 16 bab Shalatul ‘Iedain)

Hal ini telah dibuktikan sendiri oleh baginda Nabi Muhammad Salallahu’alahi Wa Sallam bahawa baginda membenarkan anak kecil yang bernyanyi dan bersyair sebagai tanda kegembiraan menyambut perayaan (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Justeru, menampakkan kegembiraan pada dua hari raya merupakan syiar (slogan) agama ini.

Menziarahi Kenalan pada ‘Eidulfitri

Telah menjadi adat di Malaysia khusunya untuk kunjung mengunjung, ziarah menziarah pada hari perayaan, saling ziarah-menziarahi dapat merapatkan tali persaudaraan. Malah, kehadiran orang yang berziarah (bertamu) itu membawa rahmat kepada tuan rumah. Adat yang baik ini memberi kesempatan untuk kita berkunjung ke rumah kaum keluarga, sahabat, jiran ataupun sesiapa saja yang kita kenali, budaya ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan, mendapat peluang bertanya khabar. Sekiranya ada di kalangan kenalan kita yang diketahui ditimpa musibah dan sebagainya, kita berpeluang memberi sokongan moral dengan kehadiran kita. Oleh itu, sikap ziarah menziarahi ini boleh menyebabkan kita diberkati oleh Allah atas jalinan yang kita sambungkan.

"Barang siapa yang mahu diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim." (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Amalan menziarahi sangat ditekankan di dalam Islam, sekiranya niat menziarahi itu berdasarkan niat dan tujuan yang benar, Allah menjanjikan ganjaran yang besar. Hubungan yang terbina kerana Allah Ta’ala adalah setinggi-tinggi dan semulia-mulia hubungan yang dibina.

“Daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu. katanya: bahawa Rasulullah Salallahu’alahi Wa Sallam bersabda: Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Ta’ala, maka terdengarlah suara yang memanggil "Engkau melakukan kebaikan dan baik pulalah perjalananmu, serta engkau dapat menduduki tempat dalam syurga." (Hadis Hasan Riwayat Imam Tirmidzi)

Dan Rasulullah Salallahu’alahi Wa Sallam juga menggalakkan dieratkan hubungan silaturahim supaya wujudnya kasih dan sayang sesama saudara segama dalam sabdanya lain yang bermaksud:

"Orang-orang yang suka berkasih sayang sesama mereka akan mendapat kasih sayang Allah. Berbelaskasihlah kamu dengan penduduk bumi nescaya Allah yang berada di langit mengasihimu." (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi)

Namun, amalan berkunjungan ini jika tidak dibetulkan niatnya, secara tidak lansung boleh menjadi aspek negatif kepada tetamu yang berkunjung mahupun tuan rumah sekiranya menyebabkan mereka terjerumus dengan niat-niat yang terpesong.

Para tetamu yang berkunjung dengan niat mahukan duit raya atau bertanya khabar ala kadar sambil menunjuk-nunjuk kereta yang baru dibelinya sempena hari lebaran. Atau tuan rumah pula mungkin terlibat dalam pembaziran akibat anggapan bahawasanya hiasan dalaman rumah itu bakal menjadi satu cara menunjuk-nunjuk, bongkak dan riak. Hal ini berlaku kerana rumahnya itu bakal dikunjung oleh para tetamu yang terdiri daripada sanak saudara, rakan dan taulan, maka semestinya persediaan itu melibatkan kos yang tidak kurang banyaknya apabila ingin memberi imej yang mengagumkan kepada para tetamu yang datang berkunjung dari satu isi rumah kepada isi rumah yang lain.

Hanya kerana niat yang terpesong itu, sesuatu amalan yang bakal menempah syurga menjahanamkan si pelakunya ke jurang neraka. Nauzubillah. Semoga hati para tetamu dan tuan rumah dilindungi daripada perasaan-perasaan yang membinasakan.

Menziarahi Kuburan pada ‘Eidulfitri

Telah menjadi suatu budaya juga pada 1 Syawwal itu untuk umat Islam di Malaysia menziarahi tanah perkuburan. Sememangnya perkara ini dapat dilihat pada pagi 1 Syawwal bahawa orang ramai akan bertandang di tanah-tanah perkuburan. Jika dilihat dari aspek psikologikal, antara sebab mengapa orang ramai mengunjungi kubur mereka yang telah pergi meninggalkan yang hidup ialah disebabkan rakyat Malaysia telah biasa menyambut hari perayaan bersama ibu bapa, saudara mara yang mereka cintai, justeru apabila orang yang telah mereka cintai itu meninggal dunia, maka mereka yang masih hidup akan bertandang ke kubur-kubur orang-orang yang mereka cintai itu.

Selain itu, antara sebab mengapa orang ramai berkunjung ke tanah perkuburan pada hari perayaan ialah kerana kebanyakan orang kota yang sibuk ada yang hanya akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari perayaan, maka peluang yang ada digunakan untuk menziarahi kuburan yang telah lama tidak mereka kunjungi.

Maka, pada pagi 1 Syawwal itu, para peniaga mengambil peluang berniaga di tapak-tapak perkuburan, menjual buku Yassin, bunga rampai, air wangian, hatta botol yang disi air paip juga dijual pada mereka yang datang berlenggang. Hal sebegini menggalakkan lagi beberapa upacara untuk dilakukan di sekitar kuburan. Ada juga yang sempat mengadakan ‘mesyuarat’ sampingan bersama ahli keluarga untuk membaikpulih atau membangunkan tanah kuburan yang mereka kunjungi itu.

Ironinya, sekadar pembacaan yang terhad, tidak terdapat mana-mana dalil yang kuat dan sahih tentang amalan menziarahi orang yang telah meninggal dunia pada 1 Syawwal, atau pada hari eid. Malah jika difikirkan secara logik akal, ia juga agak bertentangan dengan roh ‘Eidulfitri itu sendiri yang menggalakkan umat Muhammad untuk bergembira, kuburan itu pula selalu disinonimkan dengan perasaan kesedihan. Menjadi lumrah mereka yang menziarahi kuburan akan menangisi pemergian pemilik kubur.

Amalan menziarahi kuburan pada hari perayaan ini juga umpama meniru amalan dan ritual agama Buddha pada hari perayaan QinMing, hari khusus bagi kaum Cina untuk menziarahi kubur bersama ‘peralatan-peralatan’ yang ingin ‘disampaikan’ kepada mereka yang telah meninggal dunia. Disebabkan asal usul menziarah kuburan pada hari perayaan ini tidak wujud dalam sejarah Islam, apakah ini bermaksud mereka yang mengamalkannya meniru amalan dan ritual penganut agama Buddha? Maka akhirnya kita kembali kepada persoalan adat vs. ibadat.

Akibat ritual-ritual sebegini saban tahun, kunjungan ke kuburan ini telah menjadi budaya di kalangan umat Islam di Malaysia, maka wujud pula beberapa ritual seperti tahlil, bacaan Yassin di kuburan bagi mengisi tentatif kedatangan ahli keluarga di kuburan walaupun tiada sebarang petunjuk wahyu yang jelas berkenaan ritual-ritual ini.

Walhal,apa yang perlu ditekankan berkenaan tujuan menziarahi kubur ialah supaya ia memberi manfaat kepada penziarah dan bukan orang yang telah meninggal dunia itu. Hal ini telahpun dijelaskan oleh Nabi Shallallahu'alaihi Wa Sallam yang bersabda:

"Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. "(Hadis Hasan Riwayat Imam al-Hakim)

Bak kata Shaikh Wahid Abdussalam Bali, “Bukan merupakan petunjuk Nabi s.a.w atau salah seorang sahabatnya mengkhususkan Hari Raya untuk berziarah kubur. Hari Raya adalah hari kegembiraan dan kesenangan, bukan hari kesedihan dan tangisan.Hari Raya adalah hari saling berkunjung orang yang masih hidup, dan bukan untuk mengunjungi orang yang sudah mati.” (474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, ms. 429).

Menjadi suatu kepentingan untuk dijelaskan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh para pengunjung kuburan:

(i) Membaca Qur’an (seperti surah Yasin) di kuburan

Nabi Shallallahu'alaihi Wasallam melarang membaca Quran di kubur seperti mana hadisnya yang bermaksud. “Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga bersabda:

“Laksanakanlah dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian jadikannya kuburan”.(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Pemahaman ringkas daripada hadis-hadis tersebut ialah bahawasanya perkuburan itu bukanlah tempat dibacanya al-Qur’an ataupun tempat didirikan solat, kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadikan perkuburan sebagai perumpamaan rumah yang tidak dibacakan al-Qur’an di dalamnya.

Sekiranya ahli keluarga ingin menghadiahkan bacaan al-Qur’an kepada ahli keluarganya yang telah meninggal dunia, dia boleh melakukannya di mana jua dan tidak semestinya perlu duduk di sebelah perkuburannya.

(ii) Bersandar di kubur-kubur

‘Amr bin Hazm al-Anshari radhiallahu ‘anh menceritakan: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat aku bersandar kepada sebuah kubur lalu baginda berkata: “Jangan menyakiti ahli kubur ini” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Perkara ini berpotensi berlaku akibat para tetamu yang menghadirkan diri di kuburan menjalankan ritual-ritual seperti membaca al-Quran di kuburan, maka ada yang bersandar di kubur-kubur akibat keletihan.

(iii) Membangunkan kuburan dengan hiasan

Menjadi kelaziman dan ikut-ikutan masyarakat Islam untuk membangunkan kuburan mereka yang telah meninggal dunia dengan batu simen, marmar yang ratusan dan ribuan harganya. Akibat tiada keselarasan, sesetengah tapak perkuburan akan berwarna warni, malah menjadi tempat kebanggaan ahli keluarga yang dapat membangunkan kubur keluarga mereka dengan pelbagai hiasan yang unik-unik.

Walhal perkara ini telah diharamkan oleh syarak sebarang perbuatan menghias, membuat batas, meninggikan tanah di atas kubur, memayungkan, mendirikan kubbah, bangunan, menulis apa pun tulisan dan mengecat kubur berdasarkan hujjah syarak dan fatwa Imam as-Syafie rahimahullah serta disokong pula oleh para ulamak di kalangan Syafiiyyah seperti Imam Ibn Hajar dan Imam Nawawi berdasarkan hadis-hadis yang jelas.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melarang dari mengkapur kubur, menulis di atasnya, membuat binaan di atasnya dan memijaknya. (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi)

Pengharaman ini juga boleh dilihat dari pelbagai sudut, tanah perkuburan kebanyakannya merupakan tanah wakaf yang telah diwartakan, justeru pengharaman mendirikan apa-apa binaan adalah berasas. Setiap binaan di atas tanah wakaf tanpa izin adalah dilarang di dalam Islam.

Yang dibenarkan hanyalah perbuatan meletakkan batu sebagai penanda untuk mengenali kubur umpama susunan batu berdasarkan tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang meletak batu di sebelah kubur ‘Utsman bin Mazh’un radhiallahu ‘anh (Hadis Hasan Riwayat Imam Abu Daud)

Kesimpulan

Ada baiknya untuk kita sama-sama menilai semula amalan ziarah menziarahi yang telah menjadi budaya oleh masyarakat Malaysia sekian lamanya, sama ada adat itu boleh dianggap ibadat, atau hanya adat yang merugikan si pelakunya. Hendaklah kita semua merenung kembali budaya dan ikutan selama ini, kerana dikhuatiri kita tergolong dalam golongan yang mengkhususkan kunjungan ke kuburan pada tempoh atau hari perayaan dalam Islam walhal ianya bertentangan dengan roh ‘Eid yang menuntut umatnya bergembira.

Oleh yang demikian, perbuatan ziarah-menziarahi sempena ‘Eidulfitri ini boleh menjadi rangkaian ibadah, pada masa yang sama boleh juga menempah dosa akibat daripada perbuatan dan budaya yang tidak berpaksikan kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Kunjungilah mereka yang masih hidup, dengan harapan mengeratkan ukhwah dan tautan cinta kerana Allah. Dan kunjungilah mereka yang telah pergi pada bila-bila masa, dengan harapan kita menyusul dengan berkat dan keredhaan Allah.

“Semoga Allah menerima (amal) dari kami dan dari kamu.”

Ibn Yusof
28 Ogos 2011 / 28 Ramadhan 1432

6:13p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Thursday, August 25, 2011

Lambaian Ramadhan Menyambut Syawwal


Ramadhan, bulan yang mulia ini akan berbaki.

Tatkala itu suasana Hari Raya akan terasa. Radio, televisyen pun sudah asyik dengan lagu-lagu raya.

Apakah agaknya kenangan dan amal yang kita tinggalkan dalam hari-hari yang berbaki ini selain puasa sehari-hari?

Tatkala orang-orang biasa sudah bergembira di ambang raya. Para ulamak dan orang-orang yang beriman sangat khuatir di hujung-hujung Ramadhan. Mereka khuatir tidak mendapat ampuan Allah, khuatir termasuk dalam doa yang diaminkan oleh orang yang dimakbulkan doanya,doa Rasulullah Sallallahu’alaihi Wa Sallam dalam hadis yang bermaksud.

Telah datang Malaikat Jibril dan ia berkata, "Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku (Rasulullah) berkata : ‘Amin’. [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari]

Masihkah adakah amal yang boleh kita lakukan dalam hari-hari Ramadhan yang berbaki ini?

Ya!

Mentransformasi RM7 dalam bentuk ibadah?

RM7 sangat besar nilainya di sisi Islam. Ianya dipilih sebagai kadar kepada Zakat fitrah di negeri Wilayah Persekutuan mahupun Selangor pada tahun ini. Dengan RM7 ini, seorang individu Islam dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dalam bentuk penyucian dan juga individu lain sebagai sumbangan.

Ibn Abbas Radhiyallahu 'anhuma berkata: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wa Sallam mewajibkan zakat fitri, penyucian bagi orang yang puasa dari perbuatan sia-sia, yang buruk dan (memberi) makanan bagi orang miskin" [Hadits Riwayat Imam Abu Daud dan Imam An-Nasa'i]

Zaman serba moden ini semakin memudahkan. Tidak memerlukan kita beratur menunggu giliran menunaikan zakat., tunaikan sahaja secara sms mahupun online, dengan hanya satu klik! Anda telah menunaikan satu ibadah daripada rukun Islam!

Beribadah seribu bulan bersamaan 83.4 tahun?

10 malam terakhir ialah klimaks di bulan Ramadhan. Bukan klimaks mengira hari berbaki untuk raya, bukan juga klimaks menguli tepung untuk kuih raya, tetapi klimaks dalam beribadah. Nabi beri’tikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadhan sehingga Allah mengambil nyawanya! Selepas baginda wafat, isteri-isterinya turut beriktikaf.

Namun, bak kata Imam Az-Zuhri:

“Aneh benar keadaan orang Islam, mereka meninggalkan i'tikaf padahal Rasulullah tidak pernah meninggalkannya sejak baginda datang ke Madinah sehingga baginda wafat" [al-I'tikaf Nazrah Taribawiyyah oleh Dr 'Abd al-Latif Balto]

Apa itu iktikaf? I’tikaf bermaksud duduk di masjid dalam rangka ibadah yang dilakukan oleh orang yang tertentu, dengan sifat atau cara yang tertentu dan pada waktu yang tertentu (Fathul Bari jld 4, hlm.344)

Hadirlah ke masjid, dan duduklah sebentar dalam rangka ibadah dan mengabdikan diri, hatta selama 1 jam maka dengan izin Allah ianya dianggap I’tikaf. Imam Nawawi menyebut : “Adapun tentang minima tempoh I’tikaf, pendapat yang benar yang diputuskan oleh majoriti ulamak ialah disyaratkan berada di dalam masjid, dan dibenarkan melakukannya dalam tempoh yang panjang mahupun pendek, hatta walau satu jam mahupun seketika” (al-Majmu’, jld.6, hlm.514)

Beribadahlah pada 10 malam terakhir untuk mencari satu malam yang misteri tarikh dan harinya, namun dinyatakan malam itu lebih baik dari seribu bulan, itulah malam al-Qadr atau Lailatul Qadr, malam diturunkan al-Quran.

Pilihan di tangan kita, mahu melambai pemergian Ramadhan dengan tangisan kegembiraan mendapat ampunan Allah, atau tangisan kerugian akibat gagal dan leka.

Wallahu'allam.

Ibn Yusof
20 August 2011 / 20 Ramadhan 1432
8.24 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com