Keadaan di negara Malaysia ini menjadi tumpuan dunia seketika apabila dua agama besar dunia yakni Islam dan Kristian diheret ke dalam satu polemik yang berpanjangan, polemik perebutan hak tentang milik siapakah penggunaan kalimah “Allah”.
Semua cuba memahami apakah ianya isu aqidah?Isu fiqh? Isu kalam? Tetapi tiada yang cuba mendalami dan memahami bahawa isu ini tidak ada dalil jelas (qath'ie). Sehingga hujah kedua-dua pihak masih berdasarkan dalalah yang tidak jelas (zhonniah), takwilan dan tafsiran masing-masing. Maka timbul persoalan apa perlunya menjadi 'extreme' atau menimbulkan provokasi dengan pernyataan-pernyataan yang hanya membangkitkan permusuhan?
Ramai tampil memberi respon dan pandangan, tetapi kebanyakannya hilang rasional apabila menganggap ijtihad(keputusan dan pemahaman) sendiri atau kumpulan mereka paling benar, manakala orang lain fasiq dan salah kerana berpijak pada epistemologi yang berbeza sehingga tidak dapat membuat konklusi dengan tepat!
Justeru saya hanya mampu berkata:
Allah Tuhan Kita Walau Apa Jua Kalimahnya
Ya! Penulis merujuk kepada Muslim dan bukan muslim. Bukankah menjadi impian suci kita sebagai pendakwah bahawa semua pihak di dunia ini beriman dengan keEsaan Allah? Ianya lebih bermanfaat buat dunia dakwah daripada bertelingkah tentang “Allah:Milik Siapa?” seakan-akan Tuhan Yang Esa itu mendambakan pemilikan. Perdebatan penggunaan kalimah ini dianggap sesuatu yang pelik di mata dunia kerana ianya satu isu lama yang tidak terlintas di benak dunia muslim lain seperti Indonesia,Syria, Egypt dan lain-lain, apatah lagi negeri Sabah dan Sarawak telah sekian lama menggunakannya. Maka persoalannya mengapa perlu timbul sekarang?
Maka ianya bukanlah satu kekeliruan di dalam Islam, tetapi agama Kristian sendiri yang beria-ia mahu menggunakan kalimah tersebut. Dalam konsepsi Islam, lafaz Allah adalah nama diri dari Dzat Yang Maha Kuasa, yang memiliki nama dan sifat-sifat Allah dan nama-namaNya yang sudah dijelaskan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.sehingga tidak membuka ruang dan kesempatan untuk terjadinya spekulasi akal dalam masalah ini.
Tuhan orang Islam adalah jelas, yakni Allah. Yang satu,yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada sesuatupun yang serupa denganNya. Kesemua kayu ukur ini adalah syarat yang ditetapkan di dalam al-Quran dalam mengenali Tuhan, dan yang sebenarnya layak menggelar diriNya sebagai Tuhan yang Esa. Berbeza dengan agama Kristian yang menyatakan sebaliknya, bahawa Tuhan yang mereka kenal itu Tiga dalam Satu.
Dalam kaedah bahasa Arab,ianya adalah satu lafaz isim jamid, sepertimana yang dipersetujui oleh para ulamak silam seperti Imam Syafie, al-Khitabi, Imam al-Haramain, Imam al-Ghazali dan yang lainnya. Ibn Katsir menjelaskan dalam tafsirnya bahawa ‘Allah’ itu adalah ‘al-ismu al-a’dhamu’. Maka tidaklah selain Allah yang memiliki nama tersebut selain Allah Rabbul ‘Alamin. Maka tidak wujud kekeliruan dalam agama Islam terhadap kalimah yang mulia ini.
Kini, apabila agama Kristian ingin turut sama berkongsi kalimah yang dianggap mulia oleh umat Islam di Malaysia, tambahan pula digembar-gemburkan hak agama masing-masing maka timbullah konflik sehingga maraknya kemarahan sehingga menyebabkan beberapa kes pembakaran gereja dan pencemaran masjid. Walaupun penulis secara peribadi memilih pandangan harusnya (mubah) penganut Kristian menggunakan kalimat ini setelah meneliti dari sudut fiqhnya, tetapi penulis juga tidak menafikan dari sudut siyasah shariiyyah, maslahah umum, sadhus zariah dan sebagainya, wujud ruang perbincangan lanjut yang tidak akan disentuh di dalam artikel ini.
Apa yang penulis ingin ketengahkan ialah apakah agama Krisitan benar-benar telah bersedia dengan keputusan yang mereka ambil, atau ianya hanya keras kepala suara satu dua orang ‘ulamak’ Kristian (merujuk kepada isu di Malaysia)? Maka persoalan yang ingin diutarakan dalam artikel ini ialah apakah umat Kristian benar-benar telah bersedia menerima keputusan satu-dua orang ini? Apakah mereka tidak mahu belajar daripada rakan-rakan mereka di Negara jiran?
Umat Islam tidaklah rugi jika kita berkongsi Tuhan! Allah yang sememangnya hanya layak disembah! Kerana itu:
Allah Tuhan Kita Walau Apa Jua Kalimahnya.
Penulis berhasrat memetik di sini satu petikan daripada buku yang berjudul “Allah dalam Kekristianan, Apakah Salah” karya Rev. Yakub Sulistyo,S.Th.,M.A (2009) yang menghuraikan kekeliruan kaum Kristian sendiri di Indonesia yang bertegas dengan pengunaan kalimah Allah tersebut dalam merujuk kepada Tuhan Mereka. Buku ini menyeru penganut Kristian supaya tidak lagi menggunakan perkataan Allah melalui pernyataannya:
“Kamus Theologia Kristian sendiri sudah sangat jelas menulis bahawa: Allah itu berasal dari bahasa Arab yang ertinya Keberadaan Tertinggi dalam agama Islam, jadi jika anda seorang Kristian atau Katolik (Nasrani) yang baik, anda seharusnya menghormati iman orang lain(umat Islam), dengan tidak mencampur-adukkan dengan iman Nasrani sehingga menjadi Sinkretisme..Sebagai umat Nasrani carilah Keselamatan sesuai dengan kitab sucinyasendiri dengan tidak takut menghadapi institusi duniawi seperti Sinode, Pimpinan Gereja yang tidak memahami Firman tuhan, merk Gereja dan lain-lain. Jangan takut dipecat demi kebenaran hakiki. Tuhan Yahwh di dalam Nama Yeshua HaMashiakh memberkati anda”.
Di Indonesia, negara jiran kita melalui akta pengangungan nama Yahweh dan sejenisnya akhir-akhir ini memang meresahkan kalangan Kristian sendiri. Mereka bukan hanya menerbitkan buku-buku atau risalah-risalah, tetapi juga menerbitkan Bibel sendiri yang menukar semua kalimah Allah di dalamnya (Kitab Suci Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru-Indonesia Literal Transalation (ILT), terbitan Yayasan Lentera Bangsa, Jakarta, 2008).
Itulah polemik yang dialami oleh kaum Kristian sekian lama,walhal dalam edaran Rasmi mereka di Indonesia, Lembaga Al-Kitab Indonesia (LAI) sendiri mengakui bahawa terjemahan-terjemahan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, kata Allah sudah digunakan terus menerus sekian lama sejak terbitan Injil Matius dalam bahasa Melayu yang pertama (terjemahan Albert Cornelis Ruyl, 1692), begitu juga halnya dengan Al-kitab Melayu yang kedua (terjemahan Hillebrandus Cornelius Klinkert, 1879 sehingga kini).
Mereka umat Kristian juga seperti mana kita (Muslim), ada yang menyokong penggunaan kalimah Allah, ada yang menentang. Banyak buku rujukan yang membahaskan tentang kontroversi penggunaan kalimah ‘Allah’ ini oleh agama Kristian. Kebanyakannya dari Negara jiran kerana isu ini telah lebih awal dibahaskan sebelum ianya tercetus di Malaysia. Antaranya buku dan karya di bawah adalah hasil kaum Kristian sendiri seperti:
-Kontorversi Nama Allah oleh I.J Satyabudi (2004), Wacana Press:Jakarta.
-The History of Allah oleh Bambang Noorsena (2005), PBMR:Yogya.
-Siapakah yang bernama Allah itu? Oleh Herlianto (2005), BPK:Jakarta.
-Waspadalah Terhadap Sekte Baru,Sekte Pengagung Yahweh oleh Pdt.A.H.Parhusip (2003)
Kaum Kristian di Indonesia memahami penggunaan kalimah “Allah” member impak dan kelebihan kepada dakwah Islam sehingga tertubuhnya kelompok Beth Yesua Hamashiah (BYH). Menurut Rev. Yakub Sulistyo, kelompok BYH mengungkapkan bahwa nama Tuhan yang sebenarnya adalah YAHWEH bukan Allah. Penggunaan nama “Allah” bagi golongan atau kelompok ini menanggapnya sebagai “oposisi” YAHWEH adalah sebuah kesalahan sejarah yang mesti diperbaiki. Menurut kelompok ini kata Yahwe berasal dari huruf tetragramaton YHWH. Perjuangan mereka ini pada penulis sangat berasas, tidak mustahil juga kerana ketakutan yang menyelubungi umat Kristian. Hal ini menjadi kembimbangan mereka kerana menurut statistik yang dilakukan di beberapa wilayah penganut Kristian, terjadinya penurunan jumlah penganut Kristian dari tahun ke tahun (Rujuk Menurut data CITRAS-Center for Indonesia Transform Studies).
Maka penulis mengharap para pendakwah melihat cawan yang terisi separuh air berbanding kontangnya separuh sisi lain. Inilah pemikiran yang wajar bagi mereka yang pernah selama ini terlibat dalam ilmu perbandingan agama, tidak wajar kita menghabiskan masa berdebat apakah mereka layak atau tidak menggunakan kalimah tersebut,biarkan golongan agamawan dan sarjana Islam dengan fatwa dan ijtihad mereka. Kita juga mempunyai peranan yang sewajarnya untuk dimainkan untuk terus mara dengan misi dakwah menerangkan: Allah Tuhan Kita Walau Apa Jua Kalimahnya.
Bagaimana?
Melalui kalimah-kalimah ‘Allah’ yang mereka umat Kristian inginkan! Sebarkan kitab suci versi ‘New International Version’ mereka yang kini tiba-tiba berfirman[1]:
* ‘Satu hari Yesus keluar ke pergunungan untuk bersembahyang, dan menghabiskan sepanjang malam sembahyang kepada Allah.’ (Lukas 6:12)
‘One of those days Jesus went out to a mountainside to pray, and spent the night praying to God.’ (Luke 6:12)
* ‘Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak dan Yakub, Allah nenek moyang kita, telah memuliakan hamba-Nya, Yesus.’ (Kisah Rasul-Rasul 3:13)
‘The God of Abraham, Isaac and Jacob, the God of our fathers, has glorified his servant Jesus.’ (Acts 3:13)
* ‘Yesus dari Nazareth ialah seorang manusia lelaki yang di tugaskan oleh Allah kepada kamu dengan mukjizat, keajaiban dan alamat yang dilakukan oleh Allah di kalangan kamu melalui dia, sepertimana kamu sendiri ketahui.’ (Kisah Rasul-Rasul 2:22)
‘Jesus of Nazareth was a man accredited by God to you by miracles, wonders and signs, which God did among you through him, as you yourselves know.’ (Acts 2:22)
* ‘Dengarlah wahai (bangsa) Israel: Allah Tuhan kita, Tuhan kita satu.’ (Ulangan 6:4)
‘Hear, O Israel: The LORD our God, The LORD is one.’ (Deuteronomy 6:4)
* ‘ “Yang paling utama,” jawab Yesus, “ialah: ‘Dengarlah wahai (bangsa) Israel, Allah Tuhan kita, Tuhan kita satu.’ “ ‘ (Markus 12:29)
‘ “The most important one,” answered Jesus, “is this: ‘Hear O Israel, the Lord our God, the Lord is one.’ “ ‘ (Mark 12:29)
* ‘Engkaulah yang berkuasa dan melaksanakan jasa-jasa yang baik; hanya Engkaulah Allah.’ (Mazmur 86:10)
‘For you are great and do marvelous deeds; you alone are God.’ (Psalm 86:10)
* ‘Akulah yang pertama dan Akulah yang terakhir; tidak ada Allah selain Aku.’ (Yesaya 44:6)
‘I am the first and I am the last; apart from me there is no God.’ (Isaiah 44:6)
* ‘Sesungguhnya Allah bersama kamu, dan tidak ada yang lain; tidak ada Allah yang lain.’ (Yesaya 45:14)
‘Surely God is with you, and there is no other; there is no other God.’ (Isaiah 45:14)
* ‘Ingatilah perkara yang berlalu, yang dahulu kala; Akulah Allah, dan tidak ada yang lain; Akulah Allah, dan tiada sesuatu pun yang serupa dengan Ku.’ (Yesaya 46:9)
‘Remember the former things, those of long ago; I am God, and there is no other; I am God, and there is none like me.’ (Isaiah 46:9)
* “Akulah Allah Tuhan kamu, yang membawa kamu keluar daripada Mesir, keluar daripada bumi hamba abdi. Kamu tidak boleh mempunyai Tuhan-Tuhan lain daripada Aku.” (Keluaran 20:2-3; Ulangan 5:6-7)
“I am the LORD your God, who brought you out of Egypt, out of the land of slavery. You shall have no other gods before me.” (Exodus 20:2-3; Deuteronomy 5:6-7)
* ‘Yesus berkata, “…dan beritahu mereka bahawa aku sedang kembali…kepada Allahku dan Allahmu.” ‘ (Yohanes 20:17)
‘Jesus said, “…and tell them, ‘I am returning…to my God and your God.” ‘(John 20:17)
* ‘Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia, “Ya Tuhan, semoga Allah menjauhkan perkara itu daripada Tuhan! Perkara itu tidak boleh berlaku kepada Tuhan!” ‘ (Matius 16:22)
‘Peter took him (Jesus) aside and began to rebuke him. “Never, Lord!” he said. “This shall never happen to you!” ‘ (Matthew 16:22)
* ‘Pada detik yang kesembilan, Yesus menjerit dengan suara yang kuat, “Eli, Eli, lama sabakhthani?” yang bermaksud, “Ya Allahku (ILLAHI), Ya Allahku (ILLAHI), kenapa Engkau meninggalkan Aku?” ‘ (Matius 27:46; Markus 15:34)
‘About the ninth hour Jesus cried out in a loud voice, “Eloi, Eloi, lama sabachthani?” – which means, “My God, my God, why have you forsaken me?” ‘ (Matthew 27:46; Mark 15:34)
* ‘Yesus berkata kepada kaum Yahudi, “…Sememangnya kamu sungguh-sungguh mahu membunuh aku, yang hanya seorang manusia lelaki yang telah menyampaikan kebenaran yang aku dengar daripada Allah kepada kamu…” ‘ (Yohanes 8:40)
‘Jesus said to the Jews, “…As it is, you are determined to kill me, a man who has told you the truth that I heard from God…” ‘ (John 8:40)
* ‘Yesus berdoa kepada Allah untuk dirinya dan berkata, “…Maka ini lah hidup yang kekal; agar mereka mengenali Mu, Hanyalah Allah Tuhan yang benar, dan Yesus Kristus yang di utuskan oleh Mu…” ‘ (Yohanes 17:3)
‘Jesus prayed to God for himself and said, “…Now this is eternal life; that they may know you, the only true God, and Jesus Christ, whom you have sent…” ‘ (John 17:3)
* ‘Kerana hanya ada satu Allah dan satu perantara diantara Allah dengan manusia, iaitu manusia lelaki bernama Yesus Kristus…’ (1 Timotius 2:5)
‘For there is one God and one mediator between God and men, the man Christ Jesus…’ (1 Timothy 2:5)
* ‘…Kita tahu bahawa berhala tidak ada gunanya di dunia dan sesungguhnya tiada Allah melainkan yang satu.’ (1 Korintus 8:4)
‘…We know that an idol is nothing at all in the world and that there is no God but one.’ (1 Corinthians 8:4)
* ‘Wahyu Yesus Kristus, yang disampaikan oleh Allah kepadanya…’ (Wahyu 1:1)
‘The revelation of Jesus Christ, which God gave him…’ (Revelation 1:1)
* ‘Yesus menjawab, “Berimanlah kepada Allah.” ‘ (Markus 11:22)
‘ “Have faith in God,” Jesus answered.’ (Mark 11:22)
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat para dai’e Islam dan membuka mata para penganut Kristian dengan izin Tuhan dan satu-satunya Pencipta kita, Allah Rabbul ‘Alamin.
[1] Kredit diberikan kepada Bro. Ungku Fauzi atas terjemahan Bible di atas. Beliau adalah salah seorang guru kami di Islamic Information Services (IIS) dalam Ilmu Perbandingan Agama yang mana pengkhususan beliau adalah dalam Kristianiti.
Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala amal soleh sempurna. saya telah selamat sampai ke Malaysia tatkala menulis coretan ini. Ternyata keinginan untuk menyambung tulisan sebelum ini adalah tepat kerana sentiasa ada perkongsian yang saya rasakan bermanfaat untuk dikongsikan bersama para pembaca. Rehlah kali ini dirasakan berbeza kerana ia merupakan rehlah peribadi yang saya tempuhi sendiri berbanding pengembaraan lain-lain yang selalunya berteman. Rehlah kali ini pergi baliknya sendirian, Cuma sahaja sesi pembelajaran yang berteman, kelas pengajian kami di Jogjakarta yang diselenggara oleh teman-teman dari Yayasan Pendidikan Islam Al-Atsari sangat flexible. Antara subjek-subjek yang kami pelajari di sini adalah, Nahwu (5.30 pagi - 7.00 pagi), Hadis (8.30 pagi - 9.30 pagi), Akidah (10.00 pagi - 11.00 pagi), Sorof (4.00 ptg - 6.00 ptg). Dan malamnya adalah waktu lapang yang selalunya kami gunakan untuk mengikuti kuliah-kuliah agama di masjid sekitar Universiti Gadjah Mada ini.
Daurah di Masjid Ma’had Jamilurrahman
al-Fadhil al-Ustaz Abdul Hakim bin Amir al-Abdat
Manakala sabtu dan ahad selalunya adalah libur (cuti) melainkan ada kelas tambahan yang para ustaz inginkan. Pada sabtu lepas (9 Januari 2010), kami berpeluang menghadiri daurah kajian Ustaz Abdul Hakim bin Amir al-Abdat di Masjid Ma’had Jamilurrahman, Bantul, Yogyakarta, ianya dihadiri oleh cukup banyak para thalabul ‘ilmi dari Yogyakarta dan sekitarnya. Kajiannya hari itu membahaskan isu jual beli dan masalah pokok dalam transaksi umat islam masa kini. Hal ini dirasakan sangat penting kerana kita tidak mungkin dapat lari daripada melakukan transaksi sehari-hari. Kini muncul pula pelbagai struktur yang mengelabui mata masyarakat dengan nama-nama seperti Skim Cepat Kaya, Pelaburan, Pembersihan Wang Haram, Kutu Rakyat, MLM atau Skim Piramid yang menyalahi undang-undang negara dan yang paling penting hukum syarak.
Pemahaman terhadap maksud tersirat daripada asal usul ilmu muamalah mampu menjernihkan beberapa salah faham yang berlaku ke atas muamalah Islam sekaligus menampakkan keindahan sistem yang ditetapkan. Antara yang disentuh oleh Ustadz Abdul Hakim bin Amir al-Abdat sebagai salah satu dari pelbagai keindahan muamalah Islam ialah melalui sistem khiyar (pilihan).
Di dalam Islam, pembubaran kontrak melibatkan beberapa syarat yang dinamakan sebagai khiyar atau pilihan untuk meneruskan kontrak atau membatalkan kontrak. Kaedah pembubaran kontrak ini tidak termasuk dalam teori pembubaran yang asas, tetapi terikat dengan khiyar yang dinyatakan di dalam perjanjian. Baik ianya pilihan memulangkan barang yang rosak setelah penerimaan, pilihan membuat keputusan apabila melihat barangan, atau pilihan membuat keputusan dalam majlis kontrak.
Pemandangan dari tempat penginapan kami (Wisma Darul Sunnah)
Maka kajian dan daurah hari itu lebih penting apatah lagi ianya melibatkan para thalabul ‘ilmi yang mengaku berpegang teguh dengan manhaj sunnah berpanjikan tauhid. Sistem Muamalah yang berlandaskan syariat Islam diyakini dapat menegakkan keadilan dan juga mengelak daripada sebarang penindasan sesama manusia. Malah semua kegiatan ekonomi dapat berjalan dengan bersih tanpa sebarang elemen yang tidak diiktiraf dalam Islam seperti riba, rasuah, judi, dan sebagainya. Ternyata sudah tiba masanya para thalabul ‘ilmi perlulah direnung amaran Sayyidina Umar al-Khattab yang mengingatkan:
“Jangan seseorang kamu berjual beli di pasar kami, kecuali ia telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya” ( Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi).
Topik yang dibahaskan oleh al-Fadhil Ustadz Abdul Hakim bin Amir al-Abdat pada daurah kali ini menyerlahkan keilmuan beliau dalam pelbagai bidang (dalam konteks ini ialah hal ehwal muamalat), ada sahaja golongan agamawan yang dilihat ahli dalam satu bidang tetapi mengambil enteng bidang muamalat, maka tidak mustahil dilihat wujud golongan agamawan yang kencang berbicara soal tauhid dan sunnah, tetapi menyelimuti diri mereka dengan pinjaman bank berasaskan riba, sungguh memalukan!
Bergambar di hadapan Al-Madinah International University (MEDIU) Cawangan Jogja
Di sebalik tabir Ice Cream Walls di Yogyakarta
Kenangan bersama Pak Andy
Selepas separuh hari berdaurah di Masjid Ma’had Jamilurrahman, rancangan seterusnya bertemu Pak Andy. Hari itu saya hanyalah pak turur yang mengikut jadual yang diaturkan oleh teman-teman daripada Yogyakarta. Pertemuan bersama Pak Andy di sebuah restoran memang merupakan jadual seterusnya pada hari itu. Keinginan bertemu bersama sosok tubuh yang bernama Pak Andy ini lebih menebal apabila Khairul telah bertemu dengannya sebelum ini dan apabila ditanya apakah rahsia kekayaan beliau (selaku distributor ice creame Walls di Yogyakarta dan Jawa), dia menjawab ini hanyalah titipan Allah kepadanya!
Pertemuan bersama Pak Andy dalam masa yang singkat itu sungguh menyenangkan. Sifat peramah yang ditunjukkannya membuatkan kami mampu mengenal beliau dengan lebih dekat. Antara persamaan yang saya ketahui ketika di meja makan ialah beliau juga berlatar belakangkan bidang ekonomi ketika di unviersiti dahulu. Dan antara perkara menarik yang dikongsikan beliau ialah beliau berhasrat dan mempunyai impian untuk menjadikan pasar Malioboro itu melaksanakan solat ketika sedang berjual beli. Kawasan yang menghubungkan antara Kraton Yogyakarta, Tugu dan puncak Gunung Merapi, jalan ini terbentuk menjadi suatu kawasan perdagangan setelah Sri Sultan Hamengku Buwono I mengembangkan sarana perdagangan melalui sebuah pasar tradisional semenjak tahun 1758. Tempat ini masih bertahan sebagai suatu kawasan perdagangan bahkan menjadi salah satu ikon Yogyakarta yang akhirnya dikenali atas nama Malioboro. Saya ketika itu teringat pengalaman kami tatkala azan zohor dilaungkan di kawasan tersebut, masjid di kawasan itu hanya dihadiri oleh beberapa kerat manusia sedangkan ribuan manusia sedang berjual beli di pasar tersebut. Untuk seseorang usahawan seperti Pak Andy mampu berfikir sedemikian, maka jelas sudut pandang beliau membezakan dirinya dengan cara fikir sesetengah para politikus di Indonesia khususnya.
Pejabat distributor Walls di Yogyakarta
Pak Andy kemudian membawa kami ke kantor (pejabat) beliau, beliau menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah Azza Wa Jalla. Terutama yang melibatkan keuntungan yang beliau perolehi dari tahun ke tahun, tanpa menisbahkan sedikitpun atas usaha atau kepandaian beliau mentadbir anak-anak buah beliau. Saya secara peribadi pernah mengenali beberapa pengusaha yang Berjaya seperti beliau (Pak Andy), tetapi cara beliau menerangkan rasa syukur terhadap pencapaian beliau sedia ada sungguh mengujakan, menyebabkan kami rasa takjub dengan kekuasaan Allah kerana masih ada usahawan seperti beliau, saya percaya di Malaysia juga ramai orang seperti ini, antaranya Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari yang terkenal dengan yayasan beliau.
"Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur)." (Surah Ad-Dhuha:11) Bukanlah pujian terhadap beliau ini hanya kerana beliau membelanja kami dengan sepotong ais cream walls, tetapi pujian ini perlu berasas apabila beliau antara penyumbang dana besar ke atas mendokong dakwah sunnah yang bergerak di Yogyakarta. Ternyata harta yang direzekikan oleh Allah Subhanallahu Ta’ala kepada beliau disalurkan kepada usaha-usaha dakwah di tengah-tengah pentas ajaran Islam yang kelihatan bobrok seperti yang difahami majoriti umat Islam di situ (melalui amalan-amalan syirik dan khurafat yang berleluasa di sana dan tidak dinafikan di Malaysia juga).
Antara pelajaran yang saya perolehi sepanjang perbualan bersama Pak Andy ialah berkenaan pengurusan pengusahaan yang perlu diterapkan sebagai seorang Muslim, perkongsian bagaimana beliau memilih untuk membentuk 150 orang para pekerja yang member komitmen yang bagus dalam menjalankan perusahaan beliau. Pengurusan seorang pengusaha Muslim semestinya berbeza dengan cara seorang bukan Muslim, cara pengurusan bukan sahaja berkenaan dengan target yang mesti dicapai, tetapi persediaan mencapai target yang dibuat juga merupakan perkara yang penting dan perlu dititik beratkan.
Saya cuba menganalisa papan scorepoint dan target syarikat Pak Andy
Sebab itu tidak mustahil saya melihat hampir setiap target perusahaan Pak Andy mencapai target yang diinginkan. Jelas di sini bahawa punca kegagalan kebanyakkan pengusaha Muslim ialah apabila mereka gagal memperkenalkan kemahiran asas untuk mengaplikasikan filsafat dan nilai pengurusan Islami dalam urusan berorganisasi seperti yang telahpun diajarkan oleh Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam dan para sahabat sehingga mampu memartabatkan sistem pengurusan Islami tersendiri. Jika tidak maka tidaklah timbul keselesaan sesetengah pihak untuk berurusan dengan orang Cina berbanding sesetengah pengusaha atau peniaga Melayu Muslim atas sikap-sikap mereka yang mengjengkelkan!
Barangkali tidak semua cerita-cerita menarik yang sempat saya coretkan di sini,tetapi memadai pengajaran yang dapat saya kongsikan bersama para pembaca.Semoga perkongsian ringkas ini mendatangkan manfaah dan pengajaran kepada para pembaca sekalian.
Cuti semester selama dua minggu yang bermula pada 25 December 2009 tidak ingin saya sia-siakan seperti semester sebelumnya. Sejak di pertengahan semester saya telahpun merancang untuk menghabiskan cuti semester ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Justeru ap abila mendapat jemputan daripada saudara Humaizi, Pegerusi Islamica Center di Universiti Teknologi Petronas untuk turut serta bersama beliau dan rakan-rakan UTP lain untuk ke Yogyakarta, dengan tujuan menuntut ilmu, maka saya tidak berfikir panjang dan terus bersetuju untuk mengikuti rombongan beliau.
Ini adalah kali ketiga saya menjejakkan kaki ke bumi Indonesia (selepas ke Jakarta dan Padang serta Bukit Tinggi) beberapa tahun lepas. Sewaktu itu saya ke Jakarta untuk melawat saudara mara di sana, manakala di Padang pula atas tujuan kerja-kerja kemanusiaan (humanitarian work) di Kampung Koto Panjang (selepas beberapa kejadian gempa pada Februari 2008). Pengembaraan kali ini lebih mengujakan, jika ada teman-teman sekuliah yang ingin menghabiskan masa cuti di kampung halaman, tetapi saya memilih untuk mengetepikan sebentar buku-buku fiqh muamalat dan mengfokuskan diri kepada cabang ilmu aqidah, hadis dan bahasa arab (nahu dan sorof).
Rehlah dengan tujuan menuntut ilmu adalah suatu yang dituntut oleh agama, terutama dalam mempelajari ilmu syar’ie. Siapakah yang tidak terkesan dengan kalam Nabi Sallallahu ‘alahi Wa Sallam yang menuturkan:
“Barangsiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, Dia akan menjadikannya faham tentang agamanya.”[Hadits Sahih Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (no. 71, 3116, 7312), dan Muslim (no. 1037)]
Imam an-Nawawi rahimahullaah memberi komentarnya terhadap hadis di atas dengan berkata, “Di dalam hadis ini terdapat keutamaan ilmu, mendalami agama, dan dorongan kepadanya. Sebabnya adalah kerana ilmu akan mengarahkannya kepada ketakwaan kepada Allah Ta’ala.” [Syarah Shahiih Muslim, VII/128]
Rombongan sahabat-sahabat dari UTP yang diketuai oleh saudara Humaizi telah bertolak terlebih dahulu pada 18 December 2009 manakala saya hanya bertolak pada 28 December 2009 kerana terpaksa menghabiskan minggu peperiksaan. Justeru saya adalah antara yang lewat tiba di tempat pengajian, saya tetap ingin menyusul kemudian walaupun hanya akan menghabiskan dua minggu di sana berbanding sahabat-sahabat lain yang menetap selama sebulan. Pada saya, tiada istilah terlambat dalam menuntut ilmu.
Sesampainya di Yogyakarta, persekitarannya lebih kurang suasana di Padang, cuma sahaja antara perkara yang menarik perhatian saya ialah betapa banyaknya kereta jenis Toyota dan Honda diguna pakai di jalan raya. Maka jelas harganya lebih murah berbanding harga di Malaysia yang lebih tinggi akibat tariff dan kuata yang dikenakan atas tujuan menjaga barangan domestic daripada tewas di pasaran terbuka. Bayangkan perasaan saya apabila melihat kereta jenis Honda Jazz, tergantung di plat keretanya ‘Saya Sedang Belajar Memandu’.!
Yayasan Pendidikan Islam Al-Atsari
Sepanjang berada di Yogyakarta, kami menyewa di rumah penginapan yang disediakan oleh Yayasan Pendidikan Al-Atsari. Ustaz Abu Ali atau nama sebenar beliau Dr. Noor Akhmat Setiawan baru sahaja pulang ke Yogyakarta dari Malaysia, beliau baru sahaja menamatkan phD-nya di UTP. Pertemuan malam itu dengan beliau dirasakan sangat bermakna kerana sahabat-sahabat dari Malaysia (yakni kami) didedahkan dengan hakikat sebenar dakwah yang dilalui oleh mereka yang berada di daerah ini. Yayasan ini menurut Ustaz Abu Ali (antara pioneer awal yang terlibat dalam lapangan dakwah di daerah ini) menyatakan mereka hanya menggunakan nama Yayasan ini sebagai medium dakwah, dan rata-rata yang terlibat sama dalam menjayakan kegiatan dakwah di daerah Pogung Dalangan,Yogyakarta ini terdiri daripada mahasiswa dari Universitas Gadjah Mada.
Suatu malam ketika kami sambung rasa (bahasa Indonesia bagi bertukar-tukar pendapat) dengan ahli jawatankuasa YPIA juga sangat bermakna. Mereka dengan rela hati berkongsi strategi mereka sehingga membuatkan persoalan saya selama ini tentang bagaimana dakwah mereka kepada masyarakat boleh memberI kesan serta impak yang menakjubkan akhirnya terjawab. Mahasiswa mahasiswi dari Universitas Gadjah Mada yang dilengkapi dengan penerapan budaya ilmu dan penjagaan akhlak yang rapi melalui sistem bi’ah (persekitaran) di Wisma (hostel) secara tidak langsung memberi kesan positif kepada perkembangan budaya ilmu terutama dalam pemahaman sunnah Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam terhadap masyarakat setempat.
Ya, mereka bergerak lebih kurang sama sahaja seperti jama’ah-jama’ah di kampus tetapi dengan tidak kurang dari 6 tahun, gerak kerja dakwah mereka mampu mempengaruhi masyarakat setempat, suatu kejayaan yang harus dipuji dan dicontohi. Hal ini adalah tidak lain tidak bukan kerana dakwah mereka berdiri dan berpaksikan kepada kepentingan menyampaikan pemahaman tauhid yang sahih dan juga bahasa arab selaku bahasa pengantar bagi memahami warisan ilmu para ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Kami sendiri merasakan terkesan dengan kelansungan dakwah di daerah ini, persekitarannya yang berpegang teguh dengan manhaj sunnah Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam membuktikanfirman Allah Subhanahu wa Ta’ala ternyata tidak hanya difahami secara literal:
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; mereka adalah orang-orang yang beruntung." [Ali Imran : 104]
Antara perkara yang saya ingat ketika perjumpaan bersama Ustaz Abu Ali, beliau menyatakan bahawa beliau tidak menuntut wang sepanjang sesi pengajaran beliau kerana para gurunya tidak menuntut wang darinya.Apa yang lebih menarik perhatian ialah para ustaz.
di sini yang mengajar kami dating dari pelbagai latar belakang pendidikan umum yang berbeza tetapi pada masa yang sama pakar dalam subjek-subjek agama,sebagai contoh Ustaz Abu Ali mendalami bidang engineering, Ustaz Ari Wahyudi yang berlatar belakangkan bidang biology mengajarkan kami kitab Ushul Tsalasah, dan juga Abu Hasan yang berlatar belakangkan bidang teknologi informasi (IT), Ustaz Muhammad Abduh pula dalam bidang teknik kimia dan juga ikhwan-ikhwan dari YPIA yang rata-ratanya berlatar belakangkan ilmu kimia,fizik dan engineering.
Perjalanan dakwah di daerah Pogung Dalangan
Dakwah Yayasan al-Atsari, bermula dengan hanya beberapa orang, menurut Ustaz Abu Ali semuanya mengifakkan harta sendiri dan sehinggalah yang terlibat ini bertambah sehinggakan terpaksa menggunakan organisasi sebagai satu medium bagi menghalalkan gerak kerja dakwah berdasarkan undang-undang Indonesia, adapun tanpa nama “yayasan pendidikan” maka dakwah masih perlu diteruskan.
Hakikat perjalanan dakwah di Malaysia dan Indonesia ternyata jelas berbeza, Indonesia dilihat terpaksa lebih struggle dalam dakwah mereka berbanding dakwwah di Malaysia yang berada dalam ruang lingkup yang selesa, manakala mereka ini terpaksa berdikari kerana medan pemikiran di sini terdiri daripada segala fahaman serta ideologi, menjadi mereka bersatu dan lebih berkerja keras berbanding Malaysia yang dilindungi justeru berada di comfort zone, ketika mengulas isu hakikat perlunya tauliah dalam berdakwah di Malaysia juga disentuh oleh Ustaz Abu Ali dan respon beliau ialah jikaianya diperketatkan adalah baik akan tetapi jika pada masa yang sama maksiat berleluasa maka ianya adalah tidak wajar. Perlulah para penguasa memahami bahawa ketika maksiat berleluasa perlu diberi peluang dana menyenangkan gerak kerja dakwah para pendakwah mendapatkan tauliah, bukan sebaliknya.
Kesan Dakwah Sunnah di Pentas Bobrok
Mantan presiden Indonesia Gus Dur, meninggal dunia pada 30 December 2009, tatkala itu saya sempat membaca beberapa keratan akhbar di sini yang mengkhabarkan berita tentang kematiannya. Mendapat jolokan Bapa Pluralisme dibuktikan dengan 'tahlilan' dari semua jenis bangsa dan agama sempena kematian beliau. Dan beberapa hari selepas ditanam, ada juga berita menceritakan bagaimana tanah kubur beliau diambil oleh para pelawat untuk tujuan barakah atau syafaat, suatu perbuatan yang jelas syirik besar yang membawa kepada kesesatan yang nyata.. Justeru di tengah-tengah pentaspemikiran di Indonesia yang terdiri daripada pelbagai fahaman dan ideologi ini, persekitaran di daerah Pogung Dalangan ini menjadi jawapan kepada kesan dakwahnya, ternyata persekitaran di sini dilihat mengamalkan sunnah secara serius. Sebagai pelajar Malaysia, saya dan rakan-rakan kerap membezakan beberapa perkara sunnah yang sukar dilihat dilakukan di Malaysia.
Masjid Pogung Raya dan Masjid Al-'Ashri merupakan antara dua masjid yang menjadi tempat harian kami semua solat berjemaah adalah jawapan dan gambaran bukti kepada kesan dakwah mereka, dari sekecil-kecil contoh seperti lurus dan rapatnya saf para jemaah, tidak berzikir secara jamai’e sehinggalah kepada segala macam sunnah yang selama ini hanya menjadi amalan ghuraba (asing) di Malaysia, tetapi dipraktikkan secara meluas di sini. Sehinggakan saya terfikir bahawa mustahil anda merasakan anda seakan gharib (asing/aneh) di sini. Yang paling jelas dalam menunjukkan contoh ghuraba ini ialah praktik pemahaman mereka terhadap larangan isbal bagi kaum muslimin! (Telah saya bahas panjang lebar permasalahan ini dalam artikel “Bebalkah Mereka Yang Tidak Isbal?”)
Selain itu, tatkala suatu malam apabila hujan turun dengan lebatnya sejak waktu zohor sehinggalah waktu maghrib, masjid tersebut melakukan solat jamak sesuai dengan pemahaman hadis Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam, ini antara perkara yang menyentuh perasaan saya, jika di Malaysia, barangkali masjid itu telah diberikan amaran atau ditukarkan jawatankuasa bertugas. Perbahasan jamak solat kerana hujan telahpun dibahaskan dengan kemas dan panjang lebar oleh Ustaz Muhammad Abduh (yang mengajar kami hadis di sini) di web beliau di rumasyo.com.
Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan, bahwa para pengikut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah para da’i dan para pemilik ilmu yang sempurna. Dan yang wajib sebagaimana diketahui, adalah mengikuti cara yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala.
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." [Al-Ahzab : 21]
Tiada perkataan yang dapat menggambarkan rasa syukur saya terhadap pengembaraan pada kali ini. Memetik kata-kata Syaikh Ali bin Hasan Al-Atsari, murid kepercayaan Syaikh al-Albani rahimahullah, dalam acara Ad-Daurah asy-Syariyah fi al-Masa'il al-'Aqadiyah wa al-Manhajiyah di Indonesia suatu ketika dahulu, beliau berkata:
“Saya memuji kepada Allah Tabaraka wa Ta'ala atas kesempatan baik yang telah mengumpulkan kami dengan ikhwah fillah (saudara-saudara di jalan Allah) ini, dan sebuah ziarah (kunjungan) telah mendekatkan hubungan antara kami dengan mereka, sekalipun kami dengan mereka dipisahkan oleh wilayah. Akan tetapi manhaj al-Kitab (al-Qur'an) dan Sunnah yang sesuai dengan pemahaman Salaful Ummah, adalah manhaj penghimpun ; menghimpun hati-hati dan akal-akal (manusia), sebelum menghimpunkan manusia.
Nabi Shallallahu alaihi wasallam bersabda.
"Siapa yang tidak berterima kasih kepada orang, berarti tidak bersyukur kepada Allah".
Jadi ini merupakan kesempatan yang didalamnya kami ingin menyampaikan rasa syukur (terima kasih) kepada saudara-saudara kami, para da'i yang mengajak (manusia) menuju al-Qur'an dan Sunnah, penyelenggara kegiatan mulia ini di negeri ini yang anda semua tahu betapa banyaknya tersebar bid'ah, bermaharajalelanya khurafat dan bermacam-macam serta beraneka ragamnya golongan/kelompok (ahzab).
Maka da'i ilallah (penyeru manusia untuk kembali menuju Allah) yang berdasarkan bashirah, berdasarkan cahaya ilmu dan berdasarkan sinar pengetahuan (ilmu syar'i) di tengah zaman dan negeri semacam ini, tampaknya ia termasuk orang-orang ghuraba' (tidak umum/aneh) itu. Orang-orang yang memegang bara (ibarat bagi orang yang berpegang pada sunnah pada zaman seperti sekarang), yang Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam telah menjanjikan orang-orang yang ikhlas di antara mereka sebagai orang-orang yang akan mendapatkan thuba (kebahagian). Sesuai dengan hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam:
“Kebahagianlah bagi Ghuraba' (orang-orang yang tidak umum karena berpegang pada sunnah)”
Tidaklah coretan ini ingin saya sia-siakan dengan mencoret betapa murahnya buku dan kitab-kitab yang dapat dibeli disini,atau menu makanan yang pelbagai serta kawasan-kawasan saya menziarah sepanjang berada di sini. Keindahan beberapa contoh sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang dipraktikkan di sini mengajar saya perkara yang lebih berharga daripada semua itu,yakni erti kepentingan budaya ilmu, penghayatan dan pemahaman, serta kelansungan dakwah dan kesannya.