Tuesday, January 26, 2010

Solat Jumaat Berperanan Kepada Kekuatan Ekonomi Ummah



Hari Jumaat merupakan hari kebesaran dalam seminggu bagi umat Islam kerana pada hari jumaat semua muslimin diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat secara berjemaah. Hari Jumaat adalah hari yang dikurniakan oleh Allah kepada umat Islam sebagai satu petunjuk yang menyeluruh. Nabi Muhammad SAW bersabda:

Kita adalah orang-orang yang terakhir dan kita jugalah orang-orang yang mendahului umat manusia pada Hari Kiamat. Setiap umat dikurniakan Kitab sebelum kita. Kemudian kita pula diberi kitab sesudah mereka. Oleh itu, inilah hari (Jumaat) yang ditentukan oleh Allah untuk kita. Allah memberi petunjuk kepada kita pada hari tersebut. Umat-umat lain akan mengikuti kita pada hari itu, kaum Yahudi esok (Sabtu) dan kaum Nasrani lusa (Ahad) (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim, no: 855)


Para ulamak fekah banyak menekankan aspek perkara-perkara sunat dalam menggapai keberkatan yang boleh diperolehi pada hari Jumaat seperti perkara-perkara sunat iaitu dengan datang awal ke masjid, solat sunat Tahiyyat al-Masjid, membaca Al-Qur‘an, beristighfar, berzikir dan berdoa, Hal ini tidak dinafikan kerana pada hari Jumaat itu mempunyai kelebihan dan kebesaran yang banyak dan ganjaran yang berlipat ganda. Banyak keistimewaan yang boleh digapai pada hari jumaat.


Namun dari aspek yang lain, Allah membicarakan tentang solat Jumaat melalui firman-Nya bahawa hari jumaat pada zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah hari ini tidak lekang daripada aktiviti-aktiviti ekonomi seperti berniaga dan berjual-beli. Selain itu, elemen penting yang boleh difahami daripada firman Allah berkenaan solat Jumaat ialah tentang peri pentingnya umat Islam mengimbangi kehidupan duniawi dan aspek spiritual sejurus mendengar seruan mendirikan solat Jumaat.


Walaupun Islam mengiktiraf jual beli, perdagangan dan sebagainya sebagai aspek penting dalam kehidupan, Islam tetap meletakkan kekuatan spiritual dengan mengingati Allah melalui ibadah solat sebagai satu penyucian rohani yang penting dalam meneruskan kehidupan duniawi ini.


Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) [al-Jumu’ah 62:9]


Para ulamak fekah tidak menafikan keharusan dalam hal ehwal muamalat yang berlansung sebelum dan selepas solat Jumaat. Adapun ketika azan kedua solat jumaat telahpun berkumandang, sesiapa yang masih berjual beli maka transaksi itu disepakati dalam keempat-empat mazhab sebagai transaksi yang haram, yang bermaksud sebagai salah satu dosa besar (walaupun diperselisihi sama ada terbatalnya akad atau tidak).


Selain itu, Islam mengiktiraf masjid sebagai tempat beribadat, khususnya untuk solat berjemaah baik ianya solat fardhu yang dilakukan secara harian dan juga solat Jumaat pada setiap minggu. Walau bagaimanapun peranan masjid tidak terhenti setakat itu, ia juga berperanan dalam menganjurkan segala urusan kehidupan bermasyarakat termasuklah urusan penyusunan ekonomi masyarakat setempat. Maka institusi masjid adalah penghubung dan media interaktif penting dalam agama Islam. Perhubungan sesama Muslim itu dikuatkan dengan perjumpaan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu iaitu pada waktu solat Jumaat.


Solat Jumaat ini dianggap peluang keemasan yang sewajarnya digunakan oleh pihak masjid dalam menyampaikan informasi berguna. Di sinilah para khatib memainkan peranan mereka dalam menyampaikan khutbah yang menyentuh kesemua bidang yang melibatkan kehidupan bermasyarakat dan meningkatkan kesedaran kaum muslimin tentang keadaan semasa umat Islam. Selain itu, hubungan ukhwah yang terjalin sesama Muslim menjadi penghubung (network) yang berkesan kerana semua manusia baik tua dan muda, kaya dan miskin semuanya akan berada di masjid dengan satu tujuan yang sama dan hubungan yang terjalin mampu melahirkan keakraban apabila mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.


Firman Allah itu diteruskan dengan keizinan dan menunjukkan limpah kurniaNya di atas muka bumi ini dengan khabar gembira agar mereka yang selesai menunaikan solat Jumaat untuk bertebaran di atas muka bumi Allah ini dan mencari rezeki dengan apa jua cara yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.


Allah berfirman yang bermaksud:

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah… [al-Jumu’ah 62:10]


Justeru, tidaklah sewajarnya cuti umum pada hari jumaat di sesetengah negeri menjadi alas an dan penyumbang kepada penurunan produktiviti negeri atau negara secara keseluruhannya. Firman Allah tersebut mengajak umat Islam supaya lebih produktif dalam urusan masing-masing selepas mendapat pengisian rohani melalui perjumpaan sesama saudara Muslim yang lain, perjumpaan yang menunjukkan perpaduan seharunya memberi motivasi kepada umat Islam keseluruhannya atas kekuatan yang terjalin. Maka menjadi kerugian besar buat umat Islam jika perjumpaan yang merupakan rutin mingguan umat Islam ini tidak dapat dimanfaatkan dengan efektif sesuai dengan tuntutan firman Allah di dalam Surah al-Jumuah tersebut.


Wallahu’allam.

Ibn Yusof

21 January 2010 / 5 Safar 1431

12:18 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com


Sunday, January 17, 2010

Allah Tuhan Kita Walau Apa Jua Kalimahnya


Keadaan di negara Malaysia ini menjadi tumpuan dunia seketika apabila dua agama besar dunia yakni Islam dan Kristian diheret ke dalam satu polemik yang berpanjangan, polemik perebutan hak tentang milik siapakah penggunaan kalimah “Allah”.


Semua cuba memahami apakah ianya isu aqidah?Isu fiqh? Isu kalam? Tetapi tiada yang cuba mendalami dan memahami bahawa isu ini tidak ada dalil jelas (qath'ie). Sehingga hujah kedua-dua pihak masih berdasarkan dalalah yang tidak jelas (zhonniah), takwilan dan tafsiran masing-masing. Maka timbul persoalan apa perlunya menjadi 'extreme' atau menimbulkan provokasi dengan pernyataan-pernyataan yang hanya membangkitkan permusuhan?


Ramai tampil memberi respon dan pandangan, tetapi kebanyakannya hilang rasional apabila menganggap ijtihad(keputusan dan pemahaman) sendiri atau kumpulan mereka paling benar, manakala orang lain fasiq dan salah kerana berpijak pada epistemologi yang berbeza sehingga tidak dapat membuat konklusi dengan tepat!


Justeru saya hanya mampu berkata:

Allah Tuhan Kita Walau Apa Jua Kalimahnya


Ya! Penulis merujuk kepada Muslim dan bukan muslim. Bukankah menjadi impian suci kita sebagai pendakwah bahawa semua pihak di dunia ini beriman dengan keEsaan Allah? Ianya lebih bermanfaat buat dunia dakwah daripada bertelingkah tentang “Allah:Milik Siapa?” seakan-akan Tuhan Yang Esa itu mendambakan pemilikan. Perdebatan penggunaan kalimah ini dianggap sesuatu yang pelik di mata dunia kerana ianya satu isu lama yang tidak terlintas di benak dunia muslim lain seperti Indonesia,Syria, Egypt dan lain-lain, apatah lagi negeri Sabah dan Sarawak telah sekian lama menggunakannya. Maka persoalannya mengapa perlu timbul sekarang?


Maka ianya bukanlah satu kekeliruan di dalam Islam, tetapi agama Kristian sendiri yang beria-ia mahu menggunakan kalimah tersebut. Dalam konsepsi Islam, lafaz Allah adalah nama diri dari Dzat Yang Maha Kuasa, yang memiliki nama dan sifat-sifat Allah dan nama-namaNya yang sudah dijelaskan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.sehingga tidak membuka ruang dan kesempatan untuk terjadinya spekulasi akal dalam masalah ini.


Tuhan orang Islam adalah jelas, yakni Allah. Yang satu,yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada sesuatupun yang serupa denganNya. Kesemua kayu ukur ini adalah syarat yang ditetapkan di dalam al-Quran dalam mengenali Tuhan, dan yang sebenarnya layak menggelar diriNya sebagai Tuhan yang Esa. Berbeza dengan agama Kristian yang menyatakan sebaliknya, bahawa Tuhan yang mereka kenal itu Tiga dalam Satu.


Dalam kaedah bahasa Arab,ianya adalah satu lafaz isim jamid, sepertimana yang dipersetujui oleh para ulamak silam seperti Imam Syafie, al-Khitabi, Imam al-Haramain, Imam al-Ghazali dan yang lainnya. Ibn Katsir menjelaskan dalam tafsirnya bahawa ‘Allah’ itu adalah ‘al-ismu al-a’dhamu’. Maka tidaklah selain Allah yang memiliki nama tersebut selain Allah Rabbul ‘Alamin. Maka tidak wujud kekeliruan dalam agama Islam terhadap kalimah yang mulia ini.


Kini, apabila agama Kristian ingin turut sama berkongsi kalimah yang dianggap mulia oleh umat Islam di Malaysia, tambahan pula digembar-gemburkan hak agama masing-masing maka timbullah konflik sehingga maraknya kemarahan sehingga menyebabkan beberapa kes pembakaran gereja dan pencemaran masjid. Walaupun penulis secara peribadi memilih pandangan harusnya (mubah) penganut Kristian menggunakan kalimat ini setelah meneliti dari sudut fiqhnya, tetapi penulis juga tidak menafikan dari sudut siyasah shariiyyah, maslahah umum, sadhus zariah dan sebagainya, wujud ruang perbincangan lanjut yang tidak akan disentuh di dalam artikel ini.


Apa yang penulis ingin ketengahkan ialah apakah agama Krisitan benar-benar telah bersedia dengan keputusan yang mereka ambil, atau ianya hanya keras kepala suara satu dua orang ‘ulamak’ Kristian (merujuk kepada isu di Malaysia)? Maka persoalan yang ingin diutarakan dalam artikel ini ialah apakah umat Kristian benar-benar telah bersedia menerima keputusan satu-dua orang ini? Apakah mereka tidak mahu belajar daripada rakan-rakan mereka di Negara jiran?


Umat Islam tidaklah rugi jika kita berkongsi Tuhan! Allah yang sememangnya hanya layak disembah! Kerana itu:


Allah Tuhan Kita Walau Apa Jua Kalimahnya.


Penulis berhasrat memetik di sini satu petikan daripada buku yang berjudul “Allah dalam Kekristianan, Apakah Salah” karya Rev. Yakub Sulistyo,S.Th.,M.A (2009) yang menghuraikan kekeliruan kaum Kristian sendiri di Indonesia yang bertegas dengan pengunaan kalimah Allah tersebut dalam merujuk kepada Tuhan Mereka. Buku ini menyeru penganut Kristian supaya tidak lagi menggunakan perkataan Allah melalui pernyataannya:


“Kamus Theologia Kristian sendiri sudah sangat jelas menulis bahawa: Allah itu berasal dari bahasa Arab yang ertinya Keberadaan Tertinggi dalam agama Islam, jadi jika anda seorang Kristian atau Katolik (Nasrani) yang baik, anda seharusnya menghormati iman orang lain(umat Islam), dengan tidak mencampur-adukkan dengan iman Nasrani sehingga menjadi Sinkretisme..Sebagai umat Nasrani carilah Keselamatan sesuai dengan kitab sucinyasendiri dengan tidak takut menghadapi institusi duniawi seperti Sinode, Pimpinan Gereja yang tidak memahami Firman tuhan, merk Gereja dan lain-lain. Jangan takut dipecat demi kebenaran hakiki. Tuhan Yahwh di dalam Nama Yeshua HaMashiakh memberkati anda”.


Di Indonesia, negara jiran kita melalui akta pengangungan nama Yahweh dan sejenisnya akhir-akhir ini memang meresahkan kalangan Kristian sendiri. Mereka bukan hanya menerbitkan buku-buku atau risalah-risalah, tetapi juga menerbitkan Bibel sendiri yang menukar semua kalimah Allah di dalamnya (Kitab Suci Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru-Indonesia Literal Transalation (ILT), terbitan Yayasan Lentera Bangsa, Jakarta, 2008).


Itulah polemik yang dialami oleh kaum Kristian sekian lama,walhal dalam edaran Rasmi mereka di Indonesia, Lembaga Al-Kitab Indonesia (LAI) sendiri mengakui bahawa terjemahan-terjemahan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, kata Allah sudah digunakan terus menerus sekian lama sejak terbitan Injil Matius dalam bahasa Melayu yang pertama (terjemahan Albert Cornelis Ruyl, 1692), begitu juga halnya dengan Al-kitab Melayu yang kedua (terjemahan Hillebrandus Cornelius Klinkert, 1879 sehingga kini).


Mereka umat Kristian juga seperti mana kita (Muslim), ada yang menyokong penggunaan kalimah Allah, ada yang menentang. Banyak buku rujukan yang membahaskan tentang kontroversi penggunaan kalimah ‘Allah’ ini oleh agama Kristian. Kebanyakannya dari Negara jiran kerana isu ini telah lebih awal dibahaskan sebelum ianya tercetus di Malaysia. Antaranya buku dan karya di bawah adalah hasil kaum Kristian sendiri seperti:


-Kontorversi Nama Allah oleh I.J Satyabudi (2004), Wacana Press:Jakarta.

-The History of Allah oleh Bambang Noorsena (2005), PBMR:Yogya.

-Siapakah yang bernama Allah itu? Oleh Herlianto (2005), BPK:Jakarta.

-Waspadalah Terhadap Sekte Baru,Sekte Pengagung Yahweh oleh Pdt.A.H.Parhusip (2003)


Kaum Kristian di Indonesia memahami penggunaan kalimah “Allah” member impak dan kelebihan kepada dakwah Islam sehingga tertubuhnya kelompok Beth Yesua Hamashiah (BYH). Menurut Rev. Yakub Sulistyo, kelompok BYH mengungkapkan bahwa nama Tuhan yang sebenarnya adalah YAHWEH bukan Allah. Penggunaan nama “Allah” bagi golongan atau kelompok ini menanggapnya sebagai “oposisi” YAHWEH adalah sebuah kesalahan sejarah yang mesti diperbaiki. Menurut kelompok ini kata Yahwe berasal dari huruf tetragramaton YHWH. Perjuangan mereka ini pada penulis sangat berasas, tidak mustahil juga kerana ketakutan yang menyelubungi umat Kristian. Hal ini menjadi kembimbangan mereka kerana menurut statistik yang dilakukan di beberapa wilayah penganut Kristian, terjadinya penurunan jumlah penganut Kristian dari tahun ke tahun (Rujuk Menurut data CITRAS-Center for Indonesia Transform Studies).

Maka penulis mengharap para pendakwah melihat cawan yang terisi separuh air berbanding kontangnya separuh sisi lain. Inilah pemikiran yang wajar bagi mereka yang pernah selama ini terlibat dalam ilmu perbandingan agama, tidak wajar kita menghabiskan masa berdebat apakah mereka layak atau tidak menggunakan kalimah tersebut,biarkan golongan agamawan dan sarjana Islam dengan fatwa dan ijtihad mereka. Kita juga mempunyai peranan yang sewajarnya untuk dimainkan untuk terus mara dengan misi dakwah menerangkan: Allah Tuhan Kita Walau Apa Jua Kalimahnya.


Bagaimana?





Melalui kalimah-kalimah ‘Allah’ yang mereka umat Kristian inginkan! Sebarkan kitab suci versi ‘New International Version’ mereka yang kini tiba-tiba berfirman[1]:


* ‘Satu hari Yesus keluar ke pergunungan untuk bersembahyang, dan menghabiskan sepanjang malam sembahyang kepada Allah.’ (Lukas 6:12)

‘One of those days Jesus went out to a mountainside to pray, and spent the night praying to God.’ (Luke 6:12)


* ‘Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak dan Yakub, Allah nenek moyang kita, telah memuliakan hamba-Nya, Yesus.’ (Kisah Rasul-Rasul 3:13)

‘The God of Abraham, Isaac and Jacob, the God of our fathers, has glorified his servant Jesus.’ (Acts 3:13)


* ‘Yesus dari Nazareth ialah seorang manusia lelaki yang di tugaskan oleh Allah kepada kamu dengan mukjizat, keajaiban dan alamat yang dilakukan oleh Allah di kalangan kamu melalui dia, sepertimana kamu sendiri ketahui.’ (Kisah Rasul-Rasul 2:22)

‘Jesus of Nazareth was a man accredited by God to you by miracles, wonders and signs, which God did among you through him, as you yourselves know.’ (Acts 2:22)


* ‘Dengarlah wahai (bangsa) Israel: Allah Tuhan kita, Tuhan kita satu.’ (Ulangan 6:4)

‘Hear, O Israel: The LORD our God, The LORD is one.’ (Deuteronomy 6:4)


* ‘ “Yang paling utama,” jawab Yesus, “ialah: ‘Dengarlah wahai (bangsa) Israel, Allah Tuhan kita, Tuhan kita satu.’ “ ‘ (Markus 12:29)

‘ “The most important one,” answered Jesus, “is this: ‘Hear O Israel, the Lord our God, the Lord is one.’ “ ‘ (Mark 12:29)


* ‘Engkaulah yang berkuasa dan melaksanakan jasa-jasa yang baik; hanya Engkaulah Allah.’ (Mazmur 86:10)

‘For you are great and do marvelous deeds; you alone are God.’ (Psalm 86:10)


* ‘Akulah yang pertama dan Akulah yang terakhir; tidak ada Allah selain Aku.’ (Yesaya 44:6)

‘I am the first and I am the last; apart from me there is no God.’ (Isaiah 44:6)


* ‘Sesungguhnya Allah bersama kamu, dan tidak ada yang lain; tidak ada Allah yang lain.’ (Yesaya 45:14)

‘Surely God is with you, and there is no other; there is no other God.’ (Isaiah 45:14)


* ‘Ingatilah perkara yang berlalu, yang dahulu kala; Akulah Allah, dan tidak ada yang lain; Akulah Allah, dan tiada sesuatu pun yang serupa dengan Ku.’ (Yesaya 46:9)

‘Remember the former things, those of long ago; I am God, and there is no other; I am God, and there is none like me.’ (Isaiah 46:9)


* “Akulah Allah Tuhan kamu, yang membawa kamu keluar daripada Mesir, keluar daripada bumi hamba abdi. Kamu tidak boleh mempunyai Tuhan-Tuhan lain daripada Aku.” (Keluaran 20:2-3; Ulangan 5:6-7)

“I am the LORD your God, who brought you out of Egypt, out of the land of slavery. You shall have no other gods before me.” (Exodus 20:2-3; Deuteronomy 5:6-7)


* ‘Yesus berkata, “…dan beritahu mereka bahawa aku sedang kembali…kepada Allahku dan Allahmu.” ‘ (Yohanes 20:17)

‘Jesus said, “…and tell them, ‘I am returning…to my God and your God.” ‘(John 20:17)


* ‘Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia, “Ya Tuhan, semoga Allah menjauhkan perkara itu daripada Tuhan! Perkara itu tidak boleh berlaku kepada Tuhan!” ‘ (Matius 16:22)

‘Peter took him (Jesus) aside and began to rebuke him. “Never, Lord!” he said. “This shall never happen to you!” ‘ (Matthew 16:22)


* ‘Pada detik yang kesembilan, Yesus menjerit dengan suara yang kuat, “Eli, Eli, lama sabakhthani?” yang bermaksud, “Ya Allahku (ILLAHI), Ya Allahku (ILLAHI), kenapa Engkau meninggalkan Aku?” ‘ (Matius 27:46; Markus 15:34)

‘About the ninth hour Jesus cried out in a loud voice, “Eloi, Eloi, lama sabachthani?” – which means, “My God, my God, why have you forsaken me?” ‘ (Matthew 27:46; Mark 15:34)


* ‘Yesus berkata kepada kaum Yahudi, “…Sememangnya kamu sungguh-sungguh mahu membunuh aku, yang hanya seorang manusia lelaki yang telah menyampaikan kebenaran yang aku dengar daripada Allah kepada kamu…” ‘ (Yohanes 8:40)

‘Jesus said to the Jews, “…As it is, you are determined to kill me, a man who has told you the truth that I heard from God…” ‘ (John 8:40)


* ‘Yesus berdoa kepada Allah untuk dirinya dan berkata, “…Maka ini lah hidup yang kekal; agar mereka mengenali Mu, Hanyalah Allah Tuhan yang benar, dan Yesus Kristus yang di utuskan oleh Mu…” ‘ (Yohanes 17:3)

‘Jesus prayed to God for himself and said, “…Now this is eternal life; that they may know you, the only true God, and Jesus Christ, whom you have sent…” ‘ (John 17:3)


* ‘Kerana hanya ada satu Allah dan satu perantara diantara Allah dengan manusia, iaitu manusia lelaki bernama Yesus Kristus…’ (1 Timotius 2:5)

‘For there is one God and one mediator between God and men, the man Christ Jesus…’ (1 Timothy 2:5)


* ‘…Kita tahu bahawa berhala tidak ada gunanya di dunia dan sesungguhnya tiada Allah melainkan yang satu.’ (1 Korintus 8:4)

‘…We know that an idol is nothing at all in the world and that there is no God but one.’ (1 Corinthians 8:4)


* ‘Wahyu Yesus Kristus, yang disampaikan oleh Allah kepadanya…’ (Wahyu 1:1)

‘The revelation of Jesus Christ, which God gave him…’ (Revelation 1:1)


* ‘Yesus menjawab, “Berimanlah kepada Allah.” ‘ (Markus 11:22)

‘ “Have faith in God,” Jesus answered.’ (Mark 11:22)


Semoga perkongsian ini bermanfaat buat para dai’e Islam dan membuka mata para penganut Kristian dengan izin Tuhan dan satu-satunya Pencipta kita, Allah Rabbul ‘Alamin.


Wallahu’allam.

Ibn Yusof

17 January 2009 / 1 Safar 1431

6:06 p.m

www.ibnyusof.blogspot.com



[1] Kredit diberikan kepada Bro. Ungku Fauzi atas terjemahan Bible di atas. Beliau adalah salah seorang guru kami di Islamic Information Services (IIS) dalam Ilmu Perbandingan Agama yang mana pengkhususan beliau adalah dalam Kristianiti.